Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, December 3, 2012

Bila orang tua bercinta





APA perasaan anda apabila diberitahu ibu bapa anda akan bercerai? Bayangkan ketika itu anda dan dua adik masih lagi belajar. Tentu terkejutkan? Tambah menyakitkan hati apabila anda dapat tahu, orang yang anda sayang dan percaya selama inilah yang menjadi punca perceraian tersebut," ujar Ella dalam e-melnya.

''Mulanya saya tak percaya apabila ayah beritahu perkara ini. Saya masih fikir tentulah ayah puncanya, nak kahwin lagi atau nak madukan ibu, sebab itu ibu minta cerai.Tetapi saya terkejut bila ayah pula meminta saya memujuk ibu supaya jangan teruskan hasrat bercerai, sebab ayah sangat sayangkan ibu.

''Saya yang baru balik bercuti, terkejut dan bagai tak percaya dengan berita yang saya dengar. Kecewa betul! Hingga petang saya tunggu, ibu masih tak balik rumah. Ketika keluar bilik untuk makan malam, adik beritahu yang ibu sudah tiga minggu tak balik rumah. Ibu pindah ke rumah kawannya. Ini sudah lebih!

''Waktu itu perasaan marah saya pada ibu menjadi-jadi sebab selama ini ibu nasihat saya supaya belajar demi masa depan, jangan sibuk cari kawan lelaki selagi belum lulus dan bekerja. Banyak lagi nasihatnya yang hingga kini masih tersemat di hati. Tetapi apa dah jadi, ibu pula buat hal?

''Tak ada nafsu saya nak makan malam tu, sebab kepala berserabut. Saya juga tak ada selera nak bertanya pada ayah, sebab hubungan ayah dengan kami tak rapat. Ayah pendiam. Ibulah yang rajin berbual kerana itu kami lebih rapat dengannya.

''Saya ambil kesempatan berbual dengan adik bongsu perempuan sebab adik lelaki pendiam macam ayah. Kata adik, ibu dah lama bergaduh dengan ayah tapi dia tak tahu puncanya hinggalah ibu minta cerai dan keluar rumah. Ayah mulanya larang ibu keluar dan tak mahu ceraikan ibu tetapi ibu mendesak. Akhirnya ayah bagi surat dan dengan surat itu ibu keluar.

''Saya cuba hubungi ibu dan setelah beberapa kali mencuba, barulah ibu jawab. Kata ibu dia tak mahu keruhkan suasana, apa yang sudah terjadi dia terima sebagai tadir, tapi saya tak puas hati hingga saya tahu hal sebenarnya.

''Pada hari yang ditetapkan saya jumpa ibu di rumah kawannya. Kata ibu dia bercerai setelah dapat surat taklik daripada ayah. Ayah tak izinkan ibu keluar rumah tetapi ibu berkeras jadi ayah beri taklik kalau ibu keluar juga maka gugurlah talaknya.

''Hati saya panas. Tentulah ayah puncanya. Tapi setelah dengar cerita ibu saya berfikir dua kali. Kata ibu dia tak boleh hidup dengan ayah sebab mereka tak sehaluan, puas dia bersabar tetapi sikap ayah yang banyak membisu, tak suka bergaul dengan orang, menjadikan ibu bosan dan tidak dapat teruskan hidup bersama.

''Saya tanya mengapa sekarang? Bukankah ibu telah berkahwin lebih 23 tahun dan masing-masing kini dekat 50 tahun. Mengapa sekarang baru bosan kerana ayah pendiam? Kalau ibu boleh sabar lebih 20 tahun takkan tak boleh bersabar lagi?

''Kata ibu selama ini dia bersabar sebab kami masih kecil tapi kini kami dah besar, saya dah masuk IPTS, maka ibu hendak rasa hidup lebih ceria dan bahagia.

''Saya cakap sepatutnya ibu bersyukur dapat hidup aman kerana ayah pendiam, tak tahu bersungut, marah apa lagi mengamuk. Tapi ibu kata, dia perlukan hidup yang penuh bermakna sementara bernyawa.

''Saya tak nafikan ayah memang pendiam tapi takkan kerana itu ibu sanggup tingalkan ayah? Saya korek lagi, apakah ibu ada orang lain untuk menceriakan hatinya? Mulanya ibu mengelak tetapi setelah ditanya berkali-kali, barulah terbongkar cerita rupanya ibu jumpa kawan lama, lebih tepat kekasih lama semasa muda, kini lelaki itu menduda setelah kematian isterinya dan mereka kembali bercinta.

''Ya Allah! Meluatnya! Dah tua tua pun nak bercinta lagi? Saya tak hangat hati kalau ibu balu tapi ibu isteri orang. Kalau ayah buat perangai memang patut ayah kena tinggal, tapi sebab ibu nak kembali dengan kekasih lama, saya jadi benci dan meluat dengan perangai ibu. Cukup-cukuplah bercinta! Patutnya ibu fikirkan pasal saya nak kahwin atau paling tidak pergi haji ketika kaki masih kuat.

''Akhirnya saya buat kesimpulan ayah bukan masalah utama ibu diberikan taklik.

''Setelah puas berdebat dengan ibu, saya tinggalkan ibu dengan perasaan sakit hati. Namun saya masih tak puas hati jika tak bertanya pada ayah.

''Malam itu juga saya tanya ayah. Saya nampak ayah berubah sungguh, dia mahu berbual. Ayah mengaku beri taklik pada ibu setelah dapat tahu ibu ada hubungan dengan lelaki lain. Kata ayah dia memang beri kebebasan kepada ibu pergi ke mana dia suka dengan kawan-kawannya, walaupun waktu malam. Tetapi adik ayah beritahu dia nampak ibu makan malam dengan lelaki lain di sebuah restoran.

''Adik ayah kenal lelaki tersebut kekasih lama ibu. Dua kali adik ayah ekori ibu sebelum menceritakan pada ayah. Memang ayah tak percaya, tetapi dalam diam ayah siasat telefon ibu. Terbukti segalanya dan ibu tak boleh berdalih lagi. Akhirnya ibu mengaku berjumpa kekasih lamanya. Ayah cuba nasihatkan ibu tetapi sudah terlambat.

''Kata ayah dia mahu rujuk semula setelah ibu bawa kes ke mahkamah dan mereka disahkan bercerai. Tapi ibu menolak.

''Saya hairan mengapa ibu berubah perangai. Ibu seorang wanita yang gigih membina hidup daripada cuma kerani, melahirkan kami bertiga, sambung belajar atas izin ayah yang memang berpendidikan tinggi, lalu naik pangkat.

"Ayah beri sepenuh kebebasan kepada ibu keluar dengan kawan, berseminar dan sebagainya tapi tak sangka ini balasan ibu.

''Saya bersimpati dengan ayah. Ayah baik, jujur dan sayangkan keluarga tetapi itu tidak dapat memenuhi perasaan dan kehendak ibu. Ibu mahukan suami yang boleh diajak berbincang, keluar membeli-belah dan lebih penting boleh bergurau senda," keluh Ella dengan sikap lupa diri ibunya.


Artikel Penuh:  © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment