Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, December 17, 2012

Mujur saya tidak cepat curiga





PERJALANAN hidup tidak semudah merencana sebuah skrip untuk dipertontonkan. Kehidupan adalah perjuangan yang akan mencorakkan hasil kerja yang diusahakan.

Dalam kembara melangkah ke destinasi yang diingini, terdapat detik-detik yang bahagia dan menyedihkan yang mana dibatasi oleh kisah tersendiri untuk diabadikan sebagai teladan.

Pun begitu bagi mereka yang ada akal, tentunya semua itu diterima dengan reda dan berusaha menanganinya dengan positif tanpa peduli cabaran yang datang.

Begitu juga dalam rumah tangga, tidak ada yang terkecuali. Hormat-menghormati, saling percaya mempercayai adalah kunci kepada kebahagiaan yang sedang dibina.

Melengkapkan kekurangan dan kelebihan diri masing-masing sebagai pasangan suami isteri adalah lumrah dalam hidup berumah tangga yang sering dilambung ombak.

Namun tidak siapa menduga jika kepercayaan yang diberi oleh pasangan disalah guna oleh yang seorang lagi hanya kerana ingin menambah cawangan dan menagih kasih daripada wanita lain.

Begitu perasaan yang diluahkan oleh Hanim (bukan nama sebenar) untuk dikongsi dengan pembaca minggu ini.

Ingin tahu lebih lanjut apa yang dialami Hanim, ikuti cerita di bawah ini.

"Saya berusia lewat 20-an dan bernikah pada usia muda atas dasar cinta. Pada awal pernikahan, saya dan suami hidup dalam suasana yang harmoni. Kebahagiaan kami amat menyerlah.

"Suami, Salam (bukan nama sebenar) memiliki perniagaan sendiri dan sering keluar negara untuk urusan perniagaannya. Jika terdapat waktu yang terluang kami sekeluarga akan dibawa bercuti bersama.

"Rumah tangga kami tambah bahagia dengan kehadiran tiga orang cahaya mata yang berusia di antara 10 hingga 15 tahun.

"Saya begitu mempercayai suami dan tidak pernah langsung terlintas di hati mengsyaki sesuatu yang mencurigakan terhadapnya. Saya terlupa akan pesanan seorang rakan, jika mendengar jangan percaya semuanya, jika berkata berhati-hati dan jika memberi simpanlah sedikit untuk diri sendiri.

"Kisah seperti seorang isteri sering menemui barangan milik wanita lain dalam bagasi atau apa sahaja barangan peribadi milik seorang suami adalah lumrah. Tidak sangka pula satu hari nanti ia akan terkena batang hidung sendiri.

"Itulah yang berlaku dalam rumah tangga saya. Saya terjumpa pelbagai benda dalam kereta suami, beg tangan, cermin mata, aksesori hinggalah kepada pakaian dalam. Tapi saya tidak terus bertanya kerana tidak mahu perkara itu menjadi panas dan tidak terkawal.

"Teringat pesanan emak dan ayah sewaktu mula bernikah, alam rumah tangga itu hebat dugaannya dan jika bijak merungkai akan aman dan damai. Mengenangkan pesanan tersebut, saya tidak keberatan memaafkan suami.

"Naluri seorang isteri itu dapat menghidu ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik penemuan barangan tersebut. Saya tidak menyoal siasat suami tetapi saya perhatikan gerak-gerinya sehingga suatu hari saya terjumpa dokumen yang tertera alamat wanita tersebut.

"Ketika suami saya berlepas ke luar negara saya mengambil kesempatan menemui wanita misteri tersebut. Hati semakin berdebar dan pelbagai andaian bermain di fikiran. Adakah milik saya telah dirampas? Atau adakah Allah ingin tunjukkan sesuatu kepada saya?

"Sampai sahaja ke alamat rumah tersebut, muncul seorang wanita bersama anak-anak yang seusia anak-anak saya. Saya tidak menunjukkan kemarahan tetapi memberi senyuman tanda perkenalan.

"Selepas memberi salam, saya dijemput masuk ke dalam rumah yang sederhana besarnya. "Ada hajat apa puan datang?" tanya wanita tersebut.

"Saya kawal perasaan walaupun hati amat sakit saat itu. Saya ceritakan kepadanya tujuan sebenar. Dia tidak terkejut, malah langsung tidak berubah air mukanya.

"Dengan tersenyum dia memberi penjelasan kepada saya. Saya tergamam bila dimaklumkan wanita tersebut adalah kakak ipar saya, kakak kepada suami saya yang baru ditemui selepas berbelas tahun mereka terpisah.

"Pelik. Saya hairan kenapa suami merahsiakan perkara yang sepatutnya dikongsi bersama. Perasaan marah saya berubah menjadi simpati. Tetapi saya masih tertanya-tanya tujuan suami berbuat demikian.

"Saya pulang dengan rasa insaf dan malu. Curiga kepada kakak ipar sendiri, tapi itulah ujian Allah kepada saya. Sehingga kini, saya menjadikan kejadian itu sebagai pengajaran berguna dalam hidup saya.

"Lama saya simpan perasaan untuk bertanya suami akan hal sebenar. Tiba satu hari ketika kami sedang bersantai, saya memberanikan diri bertanyakan hal itu kepada suami, kenapa abang buat macam itu, tidakkah ia bahaya jika saya bertindak di luar batasan?

"Suami tersenyum mendengar pertanyaan saya dan berkata: 'Hanim, sebenarnya sengaja abang letakkan dokumen wanita misteri itu dalam bagasi dan saya biarkan kerana ingin melihat telatah awak.

"Lalu saya berfikir, selalunya seorang isteri akan mengesyaki perkara yang negatif terhadap suaminya bila berjauhan. Tidak semua suami itu curang. Suami saya sebaliknya telah melakukan tanggungjawab murni untuk melindungi kakaknya.

"Kakak ipar saya seorang ibu tunggal dan dia dan suami saya terpisah disebabkan kemiskinan. Dunia ini sangat kecil untuk kita berselindung daripada tanggungjawab dan akhirnya mereka dipertemukan.

"Tanggungjawab suami kepada keluarga dan adik kepada seorang kakak yang memerlukan perhatian tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Saya akur dengan perkara itu dan reda dengan ketentuan Ilahi seperti mana kata suami, saya seorang isteri yang berhemah dan bijak dalam tindakan.

"Alhamdulillah. Kini saya faham tujuan suami bertindak demikian sekadar untuk menguji tahap kesabaran dan kepercayaan seorang isteri terhadap suaminya  apabila berjauhan. Kehidupan perlu dikongsi bersama dengan insan yang memerlukan.

"Sekarang kakak Salam tinggal bersama kami dan membantu saya di rumah. Syukur doa saya untuk mendapatkan seorang yang boleh membantu kerja-kerja di rumah telah ditemui.

"Sekurang-kurangnya Allah telah mendengar doa saya dan menghadiahkan kakak ipar untuk membantu saya. Saya bukan sahaja mendapat seorang kakak tetapi teman ketika suami menjalankan tugas di luar negara.

"Syukur kerana Allah tidak melalaikan saya dalam kehidupan berumah tangga, selalu percayakan suami dan menghargai penat lelahnya untuk melindungi saya dan anak-anak. Semoga kebahagiaan ini kekal selamanya."

Begitu Hanim menamatkan ceritanya dengan suara sebak.

Demikian pengakuan ikhlas seorang isteri terhadap pengorbanan suaminya yang tidak melupakan isteri dan anak-anak yang disayangi tetapi kakak dan anak saudara juga tidak diabaikan.

Sukar mencari seorang lelaki yang ada perasaan dan rasa tanggungjawab seperti Salam. Jelas sekali dia suami yang baik dan adik yang bertanggungjawab.

Besar tanggungjawab yang Salam laksanakan. Semoga Allah permudahkan segala urusan hidup Salam dan keluarganya di samping memurahkan rezeki, diberi kesihatan yang baik dan melindungi kehidupannya di dunia dan akhirat.

Menamatkan catatan, Allah menurunkan kedamaian dan ketenangan kepada mereka yang mensyukuri penderitaan dan cabaran yang diberi-Nya sebagai ujian untuk menjadi insan yang lebih menghargai nikmat-Nya.

Salam
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment