Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, December 31, 2012

Anak-anak dilahirkan dengan rezeki yang telah ditentukan....cuma kita perlu menyokong anak2 kita...mudah2an segalanya mudah untuk anak2ku


Ibu menyesal bezakan kebolehan anak-anak


AKAL yang pintar milik individu yang sihat dan cerdas. Pintar, cerdik , bijak, pandai atau apa sahaja perkataan yang membawa maksud tersebut di atas adalah mereka yang bertuah dianugerahkan dengan kelebihan oleh Yang Maha Esa.

Dalam era moden, pelbagai teknik terkini ditemui saintis untuk melahirkan anak-anak genius. Setiap daripada kita dilahirkan dengan akal untuk menjadi yang terbaik.

Kekurangan yang dimiliki dan kesilapan mendidik menjadi penyebab potensi sebenar mereka gagal menyerlah

Memiliki anak-anak yang genius adalah idaman setiap ibu bapa. Pun begitu, kita hanya mampu menanam impian kerana selebihnya adalah kerja Allah. Namun harus diingat, setiap anak memiliki keistimewaan mereka yang tersendiri. Ini harus diakui oleh semua ibu bapa.

Sikap suka membandingkan anak ini menjadikan seorang ibu leka buat seketika sehingga dia tersedar betapa setiap anak ada keistimewaan dan kekurangan. Inilah cerita yang ingin saya kongsi dengan anda semua.

Kisah bagaimana seorang ibu tidak melihat kelebihan dan kekurangan anak-anaknya dengan mata hati tetapi menyisihkan anak kandung sendiri.

Ingin mendalami cerita menarik ini, ikuti kisah selanjutnya.

"Saya Nabilah (bukan nama sebenar) pegawai kanan di sebuah syarikat swasta. Saya telah berkahwin dengan Ali (bukan nama sebenar) seorang penjawat awam kanan di sebuah jabatan kerajaan."Kami mempunyai tiga orang anak remaja perempuan tapi seorang daripada mereka, Yati (bukan nama sebenar) agak kurang bijak berbanding dengan kakak-kakaknya dalam bidang akademik.

"Pada mulanya saya dan suami amat kecewa dengan Yati kerana tidak menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam pelajaran walaupun kami telah menghantarnya ke kelas tambahan supaya dia pandai seperti dua kakaknya.

"Akibatnya dia menjadi mangsa kemarahan saya setiap kali saya membandingkan dia dengan dua orang kakaknya itu. Saya selalu katakan yang dia tidak pandai, memalukan saya dan macam-macam lagi.

"Yati tidak pernah merajuk atau menunjukkan wajah masam kepada saya setiap kali saya membezakan dia dengan kakaknya. Malah dia membalas dengan kata-kata 'adik tahu' disertakan dengan senyuman. Kadang-kadang saya marah juga kerana pada saya dia menyindir.

"Saya selalu juga merungut dan membebel kepada Yati dan memuji kakak-kakaknya sebagai motivasi untuk dia terus berusaha ke arah kejayaan tetapi hampa. Nampaknya saya hanya menuang air ke daun keladi.

"Akhirnya saya menurut sahaja apa yang Yati minat setelah suami menasihatkan saya supaya berhenti menekan dia untuk berjaya dalam pelajaran. Kata suami dalam setandan pisang tidak semua yang elok untuk dimakan.

"Lalu saya mula berfikir,kenapa harus saya bezakan Yati dengan kakak-kakaknya kerana mereka lahir dari rahim yang sama. Saya yang mengandungkan mereka.

"Satu hari, Yati menangis mungkin sebab tidak tahan dengan kata-kata saya. Tangisannya menghibakan saya, sehingga saya juga turut menangis. Lalu saya teringat, tidak semua anak akan menjadi bijak kerana Allah memberi mereka dengan kelainan dan kelebihan serta kekurangan.

"Saya akhirnya menerima hakikat yang Yati tidak cerdik seperti kakak-kakaknya tetapi dia ada keistimewaan lain. Saya tahu dia mempunyai sesuatu minat yang dia suka.

"Lalu saya berazam untuk melayan minatnya. Saya dan suami terus meyakinkan dia untuk berusaha setakat yang termampu menggunakan minatnya agar dia berjaya dalam hidupnya kelak.

"Secara kebetulan saya menjalankan perniagaan kuih-kuih tradisional dan sering mendapat tempahan bila ada majlis keraian. Tidak tahu pula rupanya Yati berminat dalam bidang masakan.

"Tanpa dipaksa dia dengan sendirinya akan menolong saya. Setiap hari dia membantu saya buat kuih. Dia tidak kekok menolong saya di dapur. Mak, Yati nak belajar memasak dan jual kuih macam mak. Itulah kata-kata yang meruntun jiwa saya.

"Ia terbit secara tiba-tiba daripada mulut Yati pada satu hari. Saya terkejut juga pada mulanya sebab saya tidak pernah fikir dan bertanya apa minatnya selama ini. Sebaknya hati waktu itu hanya Allah yang tahu. Saya berdosa kerana menyisihkannya sebelum ini. Saya malu pada diri sendiri kerana membezakan anak-anak.

"Selama ini saya tidak pernah menyelami perasaannya dan bertanya apa yang dia suka. Lalu jawab saya, insya-Allah mak akan ajar Yati sampai berjaya. Dari situ bermula perjalanan hidup Yati sebagai tukang masak.

"Hubungan kami menjadi lebih rapat dan Yati akan menolong saya setiap hari. Pada masa yang sama, dia mula belajar memasak pelbagai jenis lauk-pauk, kuih-muih dan makanan lain sedikit demi sedikit.

"Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi, itulah yang berlaku. Yati mewarisi bidang yang saya ceburi. Saya amat menyesal bersikap pilih kasih kepadanya dulu.

"Sejak itu, saya tidak pernah lupa memberinya sokongan dalam apa juga yang dia mahu. Suami turut memberi nasihat dan perangsang agar Yati berjaya. Dia kami hantar menghadiri kelas masakan jangka masa pendek dan panjang di mana sahaja yang dia inginkan.

"Pada masa yang sama Yati kami masukkan ke sebuah kolej terkenal di ibu kota agar cita-citanya untuk menjadi seorang chef bertauliah akan tercapai. Hasil usaha dan kerajinannya, akhirnya Yati berjaya menggenggam segulung diploma dalam bidang masakan yang amat digemarinya.

"Ketika kedua-dua kakaknya meninggalkan menara gading dengan segulung ijazah, saya gembira kerana Yati juga ada diplomanya sendiri. Dia seorang chef yang berjaya sekarang, dia pandai masak dan melayan apa sahaja yang keluarga kami ingin makan.

"Malah Yati juga sudah berjinak-jinak dengan membuka kelas masakan di rumah kami secara kecil-kecilan. Pelajarnya semakin hari semakin ramai. Menitis air mata saya melihat kejayaannya.

"Saya menyesal kerana menyisihkannya dulu. Tidak tahu pula begitu besar minatnya dalam bidang ini. Tapi saya bersyukur kerana saya cepat insaf dengan apa yang berlaku. Syukur ke hadrat Ilahi, tidak sia-sia usaha Yati dan kini dia berjaya dalam bidang yang disukainya.

" Saya teringat kata-kata setiap anak yang dilahirkan membawa rezeki jika kita memberi peluang kepada mereka menceburi bidang yang mereka suka tetapi bukan kerana kita yang meminta mereka berbuat demikian.

"Memaksa anak-anak mengikut telunjuk emak bapa dalam memilih kerjaya adalah suatu tindakan yang tidak adil. Walaupun pada mulanya saya dan suami kecewa kerana Yati kurang menyerlah dalam bidang akademik tetapi kini kami berbangga kerana di sebalik kekurangan Yati terdapat kelebihan yang membolehkannya menjadi insan yang berjaya dan berdikari.

"Pada majlis konvokesyen anak sulung dan anak kedua saya, kami sekeluarga hadir. Pada mulanya saya terfikir mungkin Yati akan terasa hati atau rendah diri dengan kejayaan kakak-kakaknya, namun sangkaan saya meleset, Yati seorang anak yang hebat dan tidak pernah berputus asa atau memandang rendah dengan kebolehan sendiri.

"Yati sangat bertuah kerana mempunyai kakak-kakak yang sentiasa mendorongnya supaya  terus gigih dalam bidang yang diceburi. Kini saya dan suami boleh berbangga dengan kejayaan anak-anak yang setiap daripada mereka dilahirkan dengan kebolehan dan bakat masing-masing.

"Kami sekeluarga bercadang mencari sebuah bangunan kedai untuk Yati supaya dia dapat mengajar dalam keadaan lebih sempurna. Jika ada rezeki saya dan suami akan membuka sebuah restoran untuk Yati.

"Kami harap ibu bapa lain memberi dorongan dan perhatian kepada anak-anak dengan adil dan usah bersikap pilih kasih. Mungkin dari awal mereka kurang menyerlah dan akan bersinar jika diberikan perhatian serta doa yang sentiasa dipanjatkan kepada Ilahi.

"Bakat dan kebolehan perlu digilap untuk menghasilkan produk yang berkualiti. Di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalannya, kita sebagai ibu bapa perlu peka dan membantu mereka mencari arah hidup yang sempurna di dunia dan akhirat,'' Nabilah menamatkan ceritanya.

Alhamdulillah! Itulah yang sewajarnya dilakukan oleh ibu bapa untuk membimbing anak-anak dalam kehidupan mereka. Untuk berjaya tidak hanya dengan kejayaan akademik tetapi juga melalui minat dan kemahiran yang dimiliki.

Saya bangga dengan kesedaran yang ditunjukkan oleh Nabilah sebagai ibu. Mudah-mudahan usaha murni Nabilah dan suami akan menjadi contoh kepada ibu bapa lain. Bantulah anak-anak untuk mencari hidup mereka sendiri melalui kemahiran yang dimiliki tetapi jangan sekali-kali membezakan anak-anak dalam apa juga keadaan sekalipun.

Saya mendoakan hidup keluarga Nabilah akan diberkati oleh Allah SWT dan semoga Yati akan terus cemerlang.

Menamatkan catatan, pesanan saya, kenanglah kejayaan dan kecemerlangan yang dicapai tanpa melupakan kesulitan dan kepayahan yang dilalui untuk mendapatkannya.

Salam


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121229/ke_06/Ibu-menyesal-bezakan-kebolehan-anak-anak#ixzz2GaRjLPpI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment