Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Thursday, December 27, 2012

JANGAN MUDAH TERPEDAYA DENGAN SEBARANG TELEMARKETER...(TP BUKAN SEMUA YA)


Rabu, Disember 26, 2012 (dipetik dari blog mazidul akmal sidik - dengan izin)

PENDEDAHAN INI MUNGKIN MENGELAKKAN PEMBACA DARIPADA DIPERDAYA

Beberapa hari selepas menukilkan entri ini, saya dihubungi oleh wanita melalui private messageFacebook  dan memperkenalkan dirinya sebagai 'Elis', 26 tahun.

Saya kemudian menemuinya pada jam 4 petang semalam di Kuala Lumpur.

"Saya mula bekerja di agensi telemarketing, sebagai kerani pentadbiran kira-kira dua tahun lalu dan kemudian berhenti kerana agensi terbabit tidak membayar gaji saya. Ruang pejabat di tingkat dua dibahagikan kepada banyak partition diduduki telemarketer bertugas menghubungi pemegang kad kredit dan kad debit menggunakan telefon. Jumlah mereka mencecah lebih empat puluh orang, majoriti berbangsa Melayu dan India, tiada Cina. Lebih menarik, kebanyakkan mereka graduan institusi pengajian tinggi atau individu biasa tetapi mempunyai kemahiran bercakap secara berkesan. Sepanjang tempoh latihan seminggu, pihak pengurusan agensi memberikan bakal telemarketer skrip sebagai rujukan untuk membuat panggilan dan kaedah menjawab soalan untuk dihafal. Antara pengisian utama modul, cara untuk menyakinkan pelanggan agar  akhirnya bersetuju mendedahkan tiga nombor kod di belakang kredit kad dan debit mereka atau lebih dikenali sebagai security codebank," kata anak kelahiran Johor itu saya temui di restoran mamak.

"Baik, ini kad kredit. Nombor manakah awak maksudkan?," soal saya.

Elis kemudian spontan mengangkat kad kredit saya letakkan di atas meja.

"Nombor di belakang kad ini, di sebelah kanan tandatangan pemilik. Nombor tiga digit ini amat penting kepada telemarketer," responnya.

Saya mendengar dengan teliti sambil merakamkan kenyataan Elis menggunakan perakam suara jenis Sony.

"Sewaktu membuat panggilan, kami mulakan dengan kenyataan standard. Assalamulaikum encik! Saya Elis daripada bank A dan bekerjasama dengan syarikat insuran B untuk menawarkan skim insuran kepada pemegang kad kredit. Memang semua telemarketer tidak menggunakan nama sebenar. Kemudian kami sambung ... nama encik, Mazidul Akmal Sidik, terlebih dahulu saya ingin membuat semakan nombor kad pengenalan encik, 670319 ..... Betul? Pemilik kad lazimnya berkata 'ya' kerana kami memang dibekalkan semua perincian peribadi bakal mangsa seperti alamat, alamat rumah, nama pewaris dan termasuk nombor kad kredit visa dan mastercard mereka," jelas Elis.

"Kemudian?," celah saya.

Ternyata wanita itu amat petah berkomunikasi.

"Kemudian kita cakap, baiklah encik, sekarang saya ingin mengesahkan nombor kad kredit visa encik. Katalah 6080-0978-0800, bolehkah encik tolong bacakan tiga nombor di belakang kad, bersebelahan tandatangan? Sebenarnya ramai tidak mengetahui itu security code bank. Kami sengaja bertanya walhal selalunya kami memang mempunyai maklumat itu tersenarai," katanya.

"Kalau sudah memiliki nombor kad kredit dan security code mengapakah awak harus bertanya kepada pemilik kad?," tanya saya keraguan.

"Itu memang syarat ditetapkan oleh agensi. Sebelum itu saya terangkan kepada dia, skim insuran ditawarkan mengenakan bayaran RM399 untuk setahun. Apapun, ayat terakhir setiap telemarketerlebih kurang sama sahaja, jadi encik bersetuju kami akan cajkan RM399 ke akaun kad kredit encik? Penolakan amaun itu akan bermula pada awal bulan hadapan dan kami kemudian akan menghantarkan sijil insuran kepada encik. Kami mesti menunggu sehingga dia berkata, saya bersetuju atau ok terlebih dahulu, sebelum nombor kad kredit dan security code digunakan untuk tujuan pembayaran. Biarpun pada awalnya kami memaklumkan dia penolakan bermula pada bulan hadapan, sebenarnya kami akan caj kad kredit dia, pada hari sama. Setiap telemarketer dimestikan membuat minimum dua sale sehari. Setiap pemilik kad bersetuju dengan transaksi terbabit,telemarketer meraih komisyen RM100 manakala syarikat mengaut keuntungan berbekalkan modal air liur, RM299," ujar Elis.

"Sebenarnya wujudkah hubungan di antara agensi, bank serta syarikat insuran itu? Sijil insuran itu datang dari mana pula?," tanya saya sekaligus.

"Tidak! Itu semua penipuan! Sijil dijanjikan kepada mangsa dicetak sendiri di pejabat. Bertujuan mengelakkan pemilik kad datang menyerang, kami sedaya-upaya cuba untuk tidak akan memberikan alamat lengkap kepada mereka. Manakala nombor telefon digunakan oleh telemarketer bukan nombor talian tetap tetapi nombor telefon bimbit seperti 019, 017, 014 atau private number," jelas Elis. 

Kata Elis, purata bil telefon bulanan mencecah RM10,000 namun itu hanya sekelumit berbanding jumlah keuntungan diperolehi oleh pengusaha agensi.
Tambah bekas pekerja agensi penipuan itu, majoriti mangsa mereka, pengguna baru kad kredit atau kad debit.

Elis bekerja di antara jam 10 pagi dan 6 petang setiap hari dan diberikan senarai ratusan data perbankan pemilik kad untuk dihubungi.

"Semua individu kami telefon itu tidak semestinya memberikan layanan baik. Kebanyakkannya kami  attack pengguna kad kredit baru kerana mereka tidak begitu arif mengenai transaksi kad kredit jauh sekali  kegiatan sindiket penipuan. Tambahan pula barangkali sebilangan bank gagal memperingatkan pelanggan agar tidak mendedahkan security code kad kredit atau debit melalui panggilan telefon. Beberapa individu kami hubungi, acapkali melontarkan soalan, kalau benar awak daripada bank, mengapakah perlu bertanya dan mendapatkan security code kad kredit saya? Kami akan balas dengan kenyataan, kami ingin membuat pengesahan, betulkah encik pemegang sah kad kredit itu? Itu trick digunakan," responnya.

Menurut Elis, pengusaha agensi penipuan sebegitu meraih keuntungan ribuan ringgit setiap sehari. Tidak hairan jika mereka hidup senang-lenang dan memandu kereta mewah. Agensi terbabit lazimnya hanya beroperasi kurang setahun di pejabat sama sebelum berpindah ke lokasi lain dan sekaligus menukar nombor telefon untuk menjalankan kegiatan sama.

Di bawah, gambar bekas pejabat Elis. 


Kini pejabat di tingkat satu dan dua terbabit telah ditinggalkan.

"Tingkat dua tempat telemarketer beroperasi manakala tingkat satu bekas pejabat kakitangan pentadbiran termasuk bos.  Tiada papan tanda syarikat dipaparkan dan selalunya semua tingkap ditutupi tirai. Pejabat tempat saya bekerja dahulu, pernah diserbu oleh kakitangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Sewaktu kejadian itu telemarketer diarahkan keluar dari pejabat. Ada sekali, wakil syarikat insuran datang ke pejabat secara mengejut. Mungkin berikutan terdapat aduan mengatakan agensi kami menggunakan nama syarikat itu secara tidak sah untuk memperdayakan orang ramai," katanya.

"Semasa awak bekerja, berapakah jumlah sale sehari?," soal saya.

"Satu atau dua sale sahaja SEBULAN sebab saya bekerja sebagai kerani pengurusan dan cuma sesekali diarahkan bertugas sebagai telemarketer.  Pekerja lain? Mereka memang seronok. Contohnya, andai telemarketer mampu menipu purata enam orang pemegang kad kredit baru, pendapatan harian mereka mencecah RM600  Kalau telemarketer tidak membuat sale langsung, mereka akan dibuang kerja. Kaedah digunakan oleh agensi, mudah. Bayar sahaja gaji pokoktelemarketer tidak perform separuh atau jangan membayar langsung. Maka pekerja itu tidak akan mampu bertahan dan dengan sendirinya terpaksa berhenti," kongsi wanita itu.

Gaji pokok telemarketer, di antara RM800 dan RM1,500 sebulan dan majoriti pekerja, wanita.

"Adakah selama waktu bekerja, awak tahu agensi terbabit menipu ramai orang?," tanya saya lagi tanpa jemu.

"Saya tahu, sebab itu saya tidak suka membuat sale. Saya juga pernah berbual bersama kawan, bekerja sebagai marketer. Dia sudah berkeluarga dan mempunyai anak. Saya bertanya kepada dia, sampai bilakah awak hendak memberikan anak makan duit hasil penipuan?," balasnya.

Saya kemudian mengemukakan soalan berikut.

"Pernah terdengar rungutan di kalangan telemarketer? Mungkin mereka tertekan kerana terpaksa membuat terlalu banyak panggilan sehari?"

"Pernah! Namun kakitangan pihak pengurusan amat bijak memainkan peranan mereka. Untuk mengalihkan pandangan dan  tumpuan telemarketer, mereka mengajak kami makan dan berkata, hari ini awak semua  tidak perlu membuat panggilan, kita semua boleh berehat. Mereka juga membuat pekerja gembira  menggunakan elemen kejutan. Baiklah, minggu ini kita akan pergi melancong ke Melaka! Semua kos dibiayai sepenuhnya oleh agensi. Di samping itu, pakej insentif berkumpulan juga ditawarkan kepada telemarketer. Contohnya, jika sale mencecah sasaran, 60 sehari, pakej pelancongan lebih istimewa ditawarkan kepada mereka. Bagaimanapun melalui pengalaman saya, purata tempoh telemarketer bekerja di agensi itu hanya di antara lima dan enam bulan sahaja," kata Elis. 

"Adakah semua telemarketer menyedari mereka bekerja di agensi menipu orang ramai?," soal saya.

"Tidak semua. Saya lebih banyak tahu kerana bekerja sebagai kerani pengurusan tetapi itupun atas tujuan mencari rezeki, terpaksalah. Telemarketer tidak tahu langsung berhubung keuntungan ditangguk oleh agensi apatah lagi status nama bank dan syarikat insuran mereka gunakan untuk memperdaya pemegang kad kredit dan debit sewaktu menjalankan tugas. Pihak pengurusan terlebih dahulu memaklum dan menyakinkan telemarketer, operasi dijalankan itu kononnya sah dan dokumen peribadi pemilik kad dibekalkan oleh pihak bank," ujar Elis.

Tambah Elis, kebanyakkan telemarketer, pemegang diploma dan ijazah. Justeru mereka mampu berkomunikasi dalam dwi bahasa, bahasa Melayu dan Inggeris tatkala berkomunikasi dengan bakal mangsa.

"Kalau betul betul bekerja berbekalkan mulut manis, daya pujuk dan telinga tebal, mereka boleh meraih pendapatan bulanan di antara RM3,000 dan RM4,000. Andai kata bakal mangsa marah,telemarketer harus bersikap sabar kerana kakitangan pengurusan berkata, penjawab panggilan bukan berada di hadapan awak. Jadi, mengapakah awak harus berasa takut? Semua bertugas di pejabat agensi sama dilatih untuk menjawab pelbagai soalan dilontarkan oleh pemegang kad kredit dan debit, kekadang dihubungi berulang kali menggunakan teknik dicetak sebagai panduan. Adakalanya bakal mangsa bertindak bijak. Mereka memberikan alasan kononnya sedang bermesyuarat dan meminta untuk dihubungi kemudian dan selepas itu tidak akan melayan panggilan kami. Hanya mereka bersikap lalai sahaja terpedaya," kongsi Elis.

Jika kini tiba-tiba dihubungi telemarketer, apakah respon awak? Soalan itu saya lontarkan kepada wanita hanya meminum teh 'O' ais limau ketika saya temui.

"Saya pernah bekerja seperti kamu sebelum ini dan kamu tidak perlu menipu saya sebab kamu cuma ingin mendapatkan security code tiga digit itu, kan? Terima kasih," balasnya yakin.

Elis turut membawa saya ke lokasi agensi dipercayai masih beroperasi.


"Berikan saya tiga bank seringkali data peribadi pelanggan mereka diperolehi oleh agensi secara mudah," soal saya dengan debaran.

"M....., R..... dan C.... Itu bank paling popular dan mangsa sebelum ini, ramai pelanggan institusi kewangan terbabit," responnya tanpa kelihatan teragak-agak.

"Soalan terakhir, adakah senarai nama dan maklumat perbankan peribadi individu menjadi mangsa atau tidak, dibekalkan oleh kakitangan syarikat telekomunikasi  atau ...?," tanya saya.

Memang saya membiarkan soalan itu tergantung.

"Sekali, saya dan kakitangan pengurusan agensi pernah bertemu dengan lelaki mendakwa kakitangan bank. Kami bertemu di restoran mamak. Dia menyerahkan senarai kira-kira 200 nama, lengkap beserta data peribadi perbankan pelanggan dalam bentuk  pen drive. Setiap satu data dijual dengan harga di antara RM1 dan RM1.50. Apapun pastinya bukan semua kakitangan institusi perbankan terbabit," jelas Elis.

"Wow! Semurah itu?

Saya terkejut.

"Ya dan lazimnya dalam tempoh dua minggu, secara rutin agensi akan membeli senarai data lain pula, dibekalkan individu sama atau berbeza. Melalui pengalaman, saya boleh mengesahkan, syarikat telekomunikasi tidak terbabit dalam sindiket penipuan ini," balasnya.

NOTA 

Perkataan 'telemarketer' dalam entri ini secara spesifik HANYA merujuk kepada pekerja di bekas agensi Elis pernah bertugas sekaligus BUKAN ditujukan kepada SEMUA telemarketer di seluruh negara.

Justeru telemarketer laintidak terbabit dengan kegiatan penipuan, usah terasa mahupun melenting.

SILA SEBARKAN KANDUNGAN ENTRI INI DI FACEBOOK, BLOG DAN TWITTER UNTUK MEMPERTINGKATKAN KESEDARAN MASYARAKAT AGAR TIDAK KERUGIAN AKIBAT DIPERDAYA.

No comments:

Post a Comment