Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, December 31, 2012

Allah Tau apa yang terbaik untuk hambaNya...


Allah memberi yang terbaik

BANYAK kisah di ruangan ini memaparkan masalah wanita yang diceraikan, tetapi rasanya masalah mereka tidaklah seteruk dan seberat yang saya lalui. Walaupun diceraikan tetapi anda bertuah ada pekerjaan tetap dan ada saudara mara juga ibu bapa yang boleh menyokong dan membantu.

''Namun nasib saya cukup malang kerana diceraikan dalam keadaan saya tiada pekerjaan tetap, tidak ada duit dalam tangan dan tak ada adik-beradik yang boleh menyokong apa lagi membantu kerana saya bukan warga tempatan, saya orang asing.'' Itu cerita Siti Sara ketika ditemui di Seremban baru-baru ini.

''Walaupun telah berkahwin selama 20 tahun, permohonan saya mendapatkan kewarganegaan ditolak kerana saya diceraikan sebulan sebelum dipanggil untuk temuduga menjadi warganegara.

''Saya mohon belas ihsan suami supaya menemani ke Putrajaya kerana ketika itu saya masih dalam idah kerana belum pun sebulan diceraikan. Saya fikir mungkin suami akan rujuk semula sebab kami berkahwin atas dasar cinta dan saya berkorban memeluk Islam untuk berkahwin.

''Saya tidak menduga dia langsung tidak mengambil kira pengorbanan saya selama 20 tahun menjadi isterinya, selain memberikan dia dua orang anak yang semakin dewasa.

''Dia perlu hadir ke Putrajaya sebab selain suami, dia ialah saksi. Namun dia enggan, walaupun saya sembah dan pujuk dia ikut sama. Lagipun dia juga yang buat permohonan tersebut ketika saya masih isterinya.

''Disebabkan keengganannya, maka permohonan saya mendapatkan taraf warganegara ditolak dan pihak berkuasa minta saya memulangkan semula borang tawaran tersebut dengan alasan saya sudah bercerai. Sedih memang sedih. Tetapi malangnya tidak ada siapa yang boleh membantu saya ketika itu.

''Peristiwa ini berlaku lebih enam tahun lalu dan sehingga kini saya masih tidak berjaya mendapatkan taraf kewarganegaraan. Setiap tahun saya diminta membuat permohonan baru tapi yang pasti, saya gagal dan permohonan saya ditolak.

''Ketika diceraikan, hanya Allah yang tahu betapa susahnya saya membesarkan anak-anak sendirian tanpa nafkah tetap daripada bekas suami untuk menyambung hidup. Pada satu peringkat, saya terpaksa jual barang kemas yang ada tetapi tidak mencukupi kerana anak-anak sedang belajar dan perlukan banyak wang.

''Semasa masih bergelar isteri, saya memang tidak bekerja kerana banyak masa saya habiskan menguruskan suami, anak-anak dan rumahtangga. Suami dan anak-anak amat penting dalam hidup saya. Dan saya tidak pernah terfikir kembali ke negara asal saya Filipina, walaupun kini saya seorang ibu tunggal.

''Ketika diceraikan, memang saya jadi macam orang hilang akal kerana tidak ada tempat bergantung, lebih penting tidak ada wang dalam tangan untuk beri anak-anak makan. Namun saya bersyukur masih ada kalangan keluarga bekas suami yang bersimpati beri sumbangan ketika saya betul-betul sesak.

''Kerana malu sentiasa meminta sebab perbuatan itu bukan budaya hidup saya. Saya beranikan diri bertemu seorang pegawai di Pusat Islam Negeri. Beliau nasihatkan saya supaya melupakan dan jangan fikir apa yang telah suami lakukan ke atas saya, biarlah Allah sahaja membalasnya kerana saya orang teraniya, mohonlah pada Allah, bulatkan tekad bangkit daripada kesusahan untuk berdikari demi anak-anak, diri sendiri dan lebih penting jangan tinggalkan agama Islam.

''Agama Islam tidak kejam, tidak jahat, sebaliknya orangnya yang kejam. Nasihat beliau lagi percayalah selagi saya kuat berpegang dan percayakan Islam, Allah tidak akan menganiaya saya, malah Allah akan memberi lebih banyak rahmat suatu hari nanti.

''Di sebalik sesuatu musibah yang berlaku akan ada rahmat-Nya yang akan dicurahkan kepada hamba-Nya selagi hamba-Nya tidak melupakan-Nya.'' Itu nasihat beliau.

''Ketika itu memang sukar saya fikirkan, sebab banyak perkara lebih mustahak berlegar difikiran. Terutama bagaimana mencari rezeki untuk besarkan anak-anak dan memberi mereka pelajaran. Nasihat pegawai itu lagi, gunakan kemahiran yang saya ada untuk mencari rezeki. Saya bersyukur dengan nasihat dan sedikit bantuan kewangan daripada Pusat Islam, saya mulakan perniagaan menjual nasi lemak dan seterusnya kuih-muih, yang saya teruskan hingga kini.

''Walaupun saya ada kad pengenalan merah, tetapi itu tidak cukup untuk saya teruskan usaha mencari rezeki dengan berniaga. Saya perlu berniaga kerana inilah sahaja kemahiran yang saya ada, paling tidak untuk menanggung diri saya sendiri. Saya ingin berniaga di Pasar Tani tetapi saya bukan warganegara pasti tidak dibenarkan.

''Kini, walaupun saya ada rumah tempat berteduh, rumah ini sudah dilelong kerana saya tidak mampu bayar ansuran bulanannya. Namun saya reda jika inilah takdir saya. Saya telah berusaha, hanya Allah menentukan segalanya.

''Saya juga bersyukur berkat usaha kecil-kecilan ini dan keazaman anak-anak, mereka berjaya dalam pelajaran masing-masing. Yang sulung baru sahaja dapat kerja, sementara yang kedua masih meneruskan pengajiannya.

''Saya yakin kejayaan anak-anak ketika di sekolah menengah adalah kerana usaha mereka setelah melihat pengorbanan saya dan kami sama-sama melalui kesusahan mencari duit dengan berniaga. Mereka sama-sama bangun pukul 3 pagi membantu saya menyediakan bahan-bahan untuk berniaga.

''Nasihat saya pada anak-anak, tidak ada sesiapa yang boleh bantu kita jika kita tidak berusaha membaiki diri sendiri. Allah hanya akan hulurkan bantuan jika kita berusaha. Saya yakin kerana kesusahan itu jugalah mereka belajar bersungguh-sungguh, akhirnya cemerlang dalam pelajaran dan dapat tawaran Mara dan yayasan kebajikan melanjutkan pelajaran.

''Kini saya tidak lagi menangisi pengorbanan selama 20 tahun menghambakan diri kepada suami kerana saya sedar mengapa Allah pisahkan kami. Allah mahu memberi yang terbaik kepada anak-anak dan saya. Saya bersyukur. Inilah rahmat Allah sebenarnya walaupun saya masih tidak ada rumah dan belum jadi rakyat Malaysia.

Demikian luahan hati Siti Sara yang sudah pun bergelar warga emas.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121230/ke_05/Allah-memberi-yang-BterbaikB#ixzz2GaQsT9xi
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment