Oleh Aida Rizmariza Kamaruddin
UCAPAN yang diberikan anak muda ini sewaktu menerima Anugerah Yasmin Ahmad pada Anugerah Skrin 2012 ini merupakan permulaan buat industri perfileman negara untuk mengenali siapa Mohd. Pierre Andre Nazarul Andre yang baru.
Memulakan karier sebagai pengarah sejak berumur 21 tahun, nampaknya ada sisi perubahan yang akan dibawakan Pierre kepada kerjaya seninya selepas ini.
Tampil dengan imej lebih dewasa, dengan jiwa yang lebih menjurus kepada sisi keagamaan, Pierre memberitahu ini semua merupakan anugerah buat dirinya.
Bagaimanapun anak muda ini percaya ia tidak akan datang percuma kerana itu dia sendiri sudah bersedia untuk menempuhi segala cabaran yang bakal menguatkan lagi hatinya untuk terus mendekati jalan keagamaan.
"Saya pernah khatam al-Quran sebelum ini, namun beberapa bulan lepas saya mula meluangkan masa untuk membaca terjemahannya.
"Ternyata al-Quran bukan sekadar apa yang saya sangka sebelum ini, ia penuh dengan cerita mengagumkan. Dari saat itu saya mengambil keputusan untuk lebih dekat dengan Allah," katanya yang ditemui pada tayangan perdana filem terbaru lakonannya berjudul Strawberi Cinta.
Baru beberapa bulan mengisi pedoman hati dengan cara yang jauh berbeza dengan kehidupan lalu nya, Pierre memberitahu dia pasti cabaran yang akan terus menguji hatinya akan hadir dari orang sekeliling.
"Saya tahu akan ada orang yang akan mempertikaikan perubahan saya ini, dan itu antara cabaran yang saya pasti akan hadapi.
"Namun pendekatan saya mudah, iaitu akan tetap meneruskan apa yang saya lakukan kini dengan izin dari Allah," katanya.
Mengakui pernah keliru dengan keadaan dirinya, Pierre menjelaskan pernah pada suatu ketika dia mahu mengambil keputusan untuk melangkah keluar dari dunia seni. Dia hanya mahu menumpukan perhatian kepada urusan dakwah sahaja.
"Pada awal itu memang saya fikir adalah lebih baik saya untuk tidak lagi menjadi anak seni dan memberi tumpuan kepada aktiviti berdakwah sahaja.
"Bagaimanapun ada seorang sahabat mula membuka mata saya mengenai apa yang dimaksudkan dengan tanggungjawab berdakwah itu. Katanya ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara selagi niatnya itu ke jalan Allah. Melalui kelebihan yang saya miliki, dia yakin saya mampu melakukan perubahan," katanya yang kini memilih untuk tampil dengan imej berjanggut.
Berkongsi antara detik yang terus menguatkan lagi penghijrahannya ini adalah ketika dia berasa terlalu kecewa dengan kerjaya seninya.
"Saya percaya kemenangan pada malam ASK itu merupakan antara keajaiban yang Allah izinkan berlaku keatas diri saya.
"Saya sebenarnya berdoa untuk memenangi anugerah itu, dan bila ia nya benar-benar berlaku saya lebih yakin untuk meneruskan penghijrahan ini," katanya.
Bersyukur untuk mempunyai keluarga yang sentiasa menyokong dirinya anak teruna kepada pelakon wanita terkenal Khadijah Tan ini memberitahu ibunya merupakan penyokong kuat kepada penghijrahannya ini.
"Mana-mana ibu juga pasti akan gembira dengan perubahan begini.
"Dan mummy juga tidak ketinggalan memberi sepenuh sokongan untuk melihat saya kekal dengan niat ini," katanya.
Istiqamah
Jauh di sudut anak seni yang berumur 27 tahun ini, ada kata-kata harapan yang mahu dia kongsi bersama peminat di luar sana. Pinta Pierre hanya satu, agar kehidupannya terus diselangi dengan doa ketetapan hati.
"Selain orang di sekeliling kita, ancaman terbesar adalah diri kita sendiri. Saya hanya harap untuk meneruskan penghijrahan ini dan istiqamah di dalam semua yang dilakukan saya," katanya.
Bakal muncul dengan sebuah novel hasil tulisannya sendiri tidak lama lagi, menurut Pierre ini bukan kali pertama dia berjinak-jinak dengan dunia penulisan.
Pernah menyimpan impian untuk terlibat di dalam bidang penulisan tidak lama dahulu hasrat itu terpaksa dilupakan kerana terlalu sibuk dengan urusan seni lain. Memilih untuk menyediakan penulisan dengaan sentuhan islamik, Pierre berharap agar ia diterima sebaiknya.
"Novel berjudul Road to Darussalam ini mengisahkan tentang perjuangan, bukan mengisahkan tentang saya ia lebih kepada sebuah novel motivasi sebenarnya.
"Bakal di terbitkan tahun hadapan, saya harap ia merupakan permulaan yang baik untuk saya berdakwah," katanya.
Pierre juga menjelaskan perubahan itu bakal dilaksanakan tanpa rasa terkilan.
"Saya akan mengehadkan diri dari melakonkan adegan-adegan yang tidak sesuai, itu sudah pasti," katanya ringkas.
Diusik dengan soalan mengenai lakonan terbarunya bersama bekas kekasih di dalam filem Strawberi Cinta, Yana Samsudin, Pierre akui ada adegan yang tidak akan diulanginya lagi selepas ini.
"Saya tahu bersentuhan di antara wanita dan lelaki tanpa ikatan yang sah itu haram.
"Bagaimanapun semasa penggambaran filem ini dijalankan saya masih lagi Pierre dahulu, saya harap penonton faham keadaan saya," katanya serius.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20121211/hi_01/Pierre-Andre-pernah-keliru#ixzz2EtZ4rHut
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment