Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Thursday, December 27, 2012

Kangkang bukan sebarang kangkang




Bahana nasi kangkang

KELIBAT Mak Cik Piah (bukan nama sebenar) selama sebulan ini semakin kerap dilihat di rumahnya.

Kalau dahulu pantang sahaja ada majlis keraian, berzanji malah kelas-kelas mengaji dan syarahan agama tidak pernah Mak Cik Piah lepaskan peluang untuk menghadirinya.

Apa yang membanggakan, Mak Cik Piah yang berumur 60 tahun dan mempunyai tiga orang anak yang sudah dewasa dan empat orang cucu itu seringkali dibawa oleh anak-anaknya berjalan-jalan sama ada bercuti ke luar negara mahupun dalam negara.

Pendek kata, hidup Mak Cik Piah kini semakin ceria, lebih teratur dan senang malah sentiasa dipantau kesihatannya oleh anak-anaknya.

Berbanding kisah hidupnya kira-kira 30 tahun dahulu, Mak Cik Piah bukan sahaja hidup dalam kesusahan malah sering berendam air mata kerana sikap suaminya yang kaki perempuan sehingga sanggup meninggalkannya untuk hidup bersama wanita lain biarpun susah senang hidup Mak Cik Piah menanggung bersama-sama suaminya.

''Mak cik tidak kisah sangat sekiranya hidup bermadu jikalau memang itu sudah takdir hidup mak cik, tapi apa yang dikesalkan, selepas berkahwin dia mengabaikan tanggungjawabnya terhadap mak cik.

''Selepas berkahwin kali kedua, hanya sekali seminggu dia balik menjenguk anak-anak, nafkah dan wang ringgit tidak dihulurkan. Bagi anak-anak apa yang ada mak cik dahulukan dengan gaji kecil mak cik yang didapati dari kerja kilang," katanya ketika kami bersua, baru-baru ini.

Menceritakan pengalamannya, Mak Cik Piah mengakui, suaminya bukanlah ada harta atau anak orang kaya, malah kerja yang ada pun biasa-biasa sahaja, tetapi Mak Cik Piah mengakui, suaminya agak menawan orangnya, menyebabkan ramai yang jatuh hati dengannya.

Mak Cik Piah berkata, selepas berkahwin kali kedua, suaminya kemudian berkahwin untuk ke sekian kalinya dengan seorang ibu tunggal selang setahun selepas itu.

Selepas berumahtangga kali ketiga, suaminya terus tidak balik ke rumah. Bukan itu sahaja suaminya tidak pernah menelefon bertanyakan khabar berita dirinya dan anak-anak.

''Hairannya, waima apa pun yang berlaku sehinggakan ke soal kematian pun, suami mak cik tidak akan balik ke rumah.

''Kalau balik pun hanya satu jam sahaja dan kemudian buru-buru balik semula ke rumah isteri mudanya kerana katanya isteri mudanya mengharamkan dia keluar dari rumah dan bertandang ke rumah kami," katanya.

Setelah beberapa lama, Mak Cik Piah ada juga terjumpa suaminya yang dilihat semakin tidak terurus, muka semakin cengkung dan seolah-olah tidak sihat.

Sekiranya dia ke rumah Mak Cik Piah, suaminya ada memberitahu dirinya tidak sihat. Selalu seram sejuk dan terasa diperhatikan. Kakinya terasa seperti diikat dan rasa tidak tenteram.

Tapi dia berasa sebaliknya apabila berada di rumah isteri mudanya.

Selama 18 tahun kehidupan Mak Cik Piah diumpamakan digantung tidak bertali, namun Mak Cik Piah tetap tabah menghadapi kenyataan hidup.

Kehidupannya berbekalkan kudrat tulang empat kerat membesarkan anak-anak berbaloi dengan ke semua anak-anaknya memasuki universiti.

''Setelah hampir 18 tahun hidup berseorangan, suami mak cik tahu pula pulang ke rumah kami setiap hujung bulan bertemu anak-anaknya.

''Disebabkan dia sudah pencen dan semua duit simpanannya sudah habis digunakan untuk isteri mudanya, dia akan ke sini untuk meminta sesen dua daripada anak-anak untuk meneruskan kehidupannya.

''Sekarang isteri mudanya benarkan dia balik ke rumah mungkin sebab dia merasakan suaminya itu sudah tidak berguna lagi, menjadi beban dalam kehidupannya dan sudah tidak berduit.

Anak-anak pula kata Mak Cik Piah, mengenangkan perbuatan ayahnya yang lalu, merasakan perasaan sayang terhadap ayah mereka semakin tawar. Tetapi mereka tetap melayan ayah mereka dengan baik.

Mak Cik Piah memberitahu, sejak sebulan lalu, suaminya pulang ke rumahnya akibat menghidap sakit sendi yang menyukarkannya untuk bergerak.

''Isteri mudanya enggan menjaganya dan menghalau suami mak cik keluar dari rumah.

"Baru-baru ini suami mak cik seakan-akan baru tersedar dari dunianya.

''Suami mak cik mengatakan isteri mudanya itu mengenakan ilmu hitam kepadanya menyebabkan suami mak cik tunduk patuh dan takut kepadanya.

''Suami mak cik pernah melihat dia berbuat sesuatu kepada makanan yang diberikan kepadanya. Mungkin suami mak cik terkena ilmu nasi kangkang atau ilmu penunduk lain, tapi waktu itu dia tidak boleh berbuat apa-apa kerana dia seperti orang bodoh," katanya.

Sepanjang kehidupannya bersama isteri muda, suaminya mengaku terasa lemas dan rimas kerana asyik dibentak dan diarahkan ke sana dan sini.

Namun suaminya tidak mempunyai kudrat untuk membantah segala perbuatan isteri mudanya itu.

Mak Cik Piah memberitahu, suaminya turut meminta maaf kepadanya kerana dia pernah meninggalkan Mak Cik Piah dan anak-anak suatu masa dahulu dalam tempoh yang lama.

''Ini semua sudah suratan. Hendak 'ditolak' suami kita, mahu tidak mahu terpaksa jugalah mak cik menjaganya biarpun apabila mengenangkan perangai buruknya dulu amat mengecewakan hati dan membakar perasaan mak cik.

''Soal dia dikenakan ilmu penunduk itu mungkin itu adalah balasan untuknya yang sememangnya kaki perempuan dan kena pada masanya ibarat terkena buku dengan ruas.

''Namun melihatkan dia sakit begini, tidak sampai hati pula, biarlah mak cik jaga sampai ke akhir hayatnya dan mak cik sedang berusaha mengubati dia agar pulih semula," tulus kata-kata Mak Cik Piah yang mengakui akhirnya biar berapa ramai isteri pun, isteri pertama juga yang menjaga suami yang sedang sakit.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment