Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Thursday, December 27, 2012

BUKAN SEMUA MADU BOLEH DIJADIKAN PENAWAR....


Antara madu dan racun

KALAU bercinta dengan suami orang kita perlu hati-hati, mengkaji selain sabar. Pada peringkat awal, ketika di alam percintaan kitalah putri, kitalah permaisuri, tetapi setelah berkahwin, baru kita tahu siapa diri kita, sama ada kita bahagia ataupun sentiasa makan hati kerana dimadu.'' Itu cerita NorEllyna dalam emelnya.

''Sebelum pembaca tertawakan saya, biar saya mengaku, memang saya bodoh, cepat makan 'gula-gula' yang diberikah lelaki, kini setelah enam tahun berkahwin dah dapat seorang anak, saya rasa macam sudah10 tahun. Bukan madu yang saya dapat, tetapi racun berbisa.

''Banyak orang kata suami selalu memanjakan atau menyayangi isteri kedua, tetapi bagi saya isteri kedua banyak dianiaya dan jadi mangsa fizikal dan emosional, bukan sahaja oleh suami, lebih lebih lagi isteri pertama.

''Tidak dinafikan ketika bercinta dan awal perkahwinan memang saya disayangi, tetapi setelah setahun berkahwin dan isteri pertama tahu, hidup saya kucar-kacir dan tidak aman.

''Tambah menyakitkan hati suami bukan jenis lelaki sejati, tahu tanggungjawab apa bila berpoligami, sebaliknya jenis lelaki lemah lutut, kena tengking terus kecut, bila rahsia terbongkar terus kalut tak berani buka mulut. Sudah pasti orang yang jadi mangsa maki hamun dan serang hendap tentulah saya. Macamlah saya yang gilakan suaminya.

''Sebenarnya bukan saya hendak sangat berkahwin dengan Shah, tetapi dia memujuk dan berjanji menjaga dan membesarkan dua orang anak saya. Kini bukan dia jaga anak saya, tetapi saya yang terpaksa uruskan hidupnya.

''Selepas rahsia kami terbongkar, Shah beritahu, isterinya kawal semua duit gaji, dia hanya diberi RM500 untuk kegunaan peribadi. Tidak dibenarkan guna kad kredit. Dia dilarang ke rumah saya, tetapi Shah tetap berdegil sebagai protes.

''Tiga tahun saya bersabar dengan kerenah isteri pertamanya. Waktu itu hidup saya sempit, tanggungjawab bertambah kerana terpaksa tanggung Shah, di samping menanggung dua orang anak yang sedang membesar kerana bekas suami tak beri nafkah.

''Bukan tujuan saya berkahwin dengan Shah supaya dia tanggung saya anak beranak, kerana saya mampu walaupun saya tak minta nafkah dari bekas suami. Bukan sombong, tetapi saya tak mahu buang masa turun naik mahkamah, habiskan duit bayar peguam, akhirnya sakit hati sebab bekas suami tak mahu beri nafkah. Itu pengakuannya ketika bercerai.

''Katanya dia akan berhenti kerja kalau saya tuntut nafkah di mahkamah. Dia biasa bertukar kerja semasa kami hidup bersama. Selama berkahwin, saya yang tanggung makan minum kami anak beranak sebab dia sibuk dengan urusan peribadi.

''Namun saya bersyukur berkat kesabaran, Allah memberi saya lebih rezeki berbanding dia yang sentiasa berhenti kerja kerana tak puas hati dengan majikan. Pada saya bukan salah majikan, tetapi dirinya yang tidak boleh menyesuaikan diri dan memilih kerja. Lebih teruk dia berlagak jadi bos, sedangkan dia kuli.

''Bukan saya sahaja ibu tunggal yang teraniaya tidak dapat nafkah anak dari bekas suami, di luar sana lebih ramai. Ada yang habis ribuan ringgit bayar peguam dan turun naik mahkamah tapi nafkah tidak dapat.

''Masalah ini perlu mendapat perhatian mahkamah syariah dengan mengambil tindakan tegas kepada bekas suami yang tegar dengan memotong terus nafkah anak sebaik perceraian diluluskan, jangan tunggu isteri tuntut di mahkamah.

''Mahkamah Syariah juga jangan terlalu mudah nak nikahkan suami yang ingin berpoligami tanpa melihat latar belakang sama ada mampu atau tidak. Nak sekat mereka buat maksiat bukan dengan mudahkan poligami, tetapi dengan bimbingan dan nasihat tentang tanggungjawab berkeluarga.

''Sebab itu bila nak kahwin dengan Shah saya ingatkan dia tentang nafkah anak-anak dan isterinya. Saya tak mahu Shah tanggung dosa di dunia dan akhirat kerana tak bagi nafkah dan tak bertanggungjawab.

''Kerana itu empat tahun saya jadi ibu tunggal sebelum ambil keputusan berkahwin dengan Shah. Saya tak paksa Shah sara hidup anak-anak saya, kerana dia ada tanggungjawab sendiri. Saya cuma mahu seorang lelaki dalam hidup yang boleh jadi tempat bersandar apabila dilanda masalah.

''Malangnya keadaan sebaliknya, saya jadi tempat Shah sandar harapan. Sebelum ini memang ada lelaki bujang ingin berkahwin dengan saya, tapi saya tolak, saya tak mahu bergaduh dengan keluarganya, mana ada ibu suka anak terunanya kahwin janda anak dua. Jadi saya pilih Shah tapi ini pula jadinya.

''Saya sedar masalah wanita bermadu. Saya sudah jangka, tetapi langsung tak terfikir Shah pengecut. Saya tak kisah kalau isterinya kawal gajinya untuk tanggung anak-anak kerana itu memang tanggungjawabnya, tapi bukan bermakna saya kena tanggung Shah. Ini tidak adil.

''Memang zaman ini payah nak cari lelaki yang betul-betul faham hukum hakam poligami. Mereka cuma pandai cakap dan sibuk mempertahankan hak berpoligami. Memang poligami halal. Tetapi masalahnya apakah mereka tahu tanggungjawab kepada isteri pertama dan kedua?

''Saya tahu tanggungjawab Shah kepada keluarga, tetapi Shah dan isteri pertama tak tahu tugas mereka mengikut Islam. Biasanya bila ada poligami, maka akan ada isteri teraniaya.

''Pada kesempatan ini saya suka mengingatkan isteri pertama jangan salahkan orang kedua jika berlaku poligami, yang bersalah adalah suami anda sendiri? Saya tak paksa Shah kahwin dengan saya? Malah saya hidup aman ketika jadi ibu tunggal, saya mampu sara hidup anak-anak saya.

''Kini setelah berkahwin hati saya tidak tenang, bukan kerana bertambah beban untuk sara anak-anak, tetapi menanggung suami yang sering kesempitan wang. Sedangkan dia bukan tanggungan saya.

''Saya tak salahkan isteri pertama yang sekat pendapatannya, tetapi saya tetap menyalahkan Shah yang tak tahu tanggungjawab. Sebagai isteri pertama anda wajib kaji diri anda apakah tindakan anda betul? Apa hak anda sekat pendapatan suami? Adakah untuk membalas dendam?

''Kepada Shah, berpoligami bukan setakat memuaskan nafsu, tetapi mesti tahu tanggungjawab, malangnya setelah enam tahun berkahwin anda gagal dan tak layak jadi ketua kepada dua buah keluarga.'' Itu cerita NorEllyna mengakhiri rasa kecewa berpoligami.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121223/ke_03/Antara-madu-dan-racun#ixzz2GD9NH19Y 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment