Integriti: Tonggak utama amalan tadbir urus yang baik
MUKADIMAH: Teks ucapan Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan, Raja Nazrin Shah di Konvensyen Integriti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia pada 13 Disember di Menara Hasil, Cyberjaya.
Maha Suci Allah Subhanahu Wata'ala yang telah berfirman,
" Wahai Adam, diamilah oleh kamu dan isteri mu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim ".
Terjemahan ayat 35, Surah Al-Baqarah.
" Dan Sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah itu), dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat".
" Lalu syaitan membisikkan fikiran jahat kepadanya, dengan berkata: "Hai Adam, mahu kah aku tunjukkan kepada kamu pohon khuldi dan kerajaan yang tidak akan binasa? "
" Maka keduanya memakan dari buah pohon itu, lalu nampaklah bagi keduanya auratnya dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun (yang ada di) syurga, dan durhakalah Adam kepada Tuhan maka sesatlah ia "
Terjemahan ayat 115, 120 dan 121, Surah Thaha.
2. Ayat 35 Surah Al Baqarah dan ayat-ayat 115, 120 dan 121 Surah Thaha, menyentuh, pertama: perintah yang ditetapkan oleh ALLAH Subhanahu Wata'ala; kedua: pengaruh negatif yang memesongkan minda manusia; ketiga: sifat alpa insan hingga terlanggar perintah yang ditetapkan; keempat: ketegasan ALLAH Subhanahu Wata'ala melaksanakan hukum. Peristiwa tersebut boleh ditafsirkan sebagai bermulanya pelanggaran amanah kerana pengaruh jahat syaitan. Peristiwa memakan buah dari pohon yang syaitan namakan khuldi itu, ada kaitan dengan aspek melanggar amanah dan penghakisan integriti.
3. Ketika berlakunya peristiwa tersebut, Nabi Adam Alaihissalam berada di dalam kesenangan syurga, dilimpahi segala nikmat yang dijamin oleh ALLAH Subhanahu Wata'ala, "tidak akan kelaparan, tidak akan merasa dahaga, tidak akan telanjang, tidak akan ditimpa panas matahari"; tetapi ALLAH turut memberi peringatan "iblis adalah musuh". Nabi Adam Alaihissalam, hanya menghadapi satu sumber godaan dari iblis. Pun demikian, godaan yang satu itu, telah mengalpakan Baginda hingga terlanggar perintah yang diamanahkan; lalu Baginda dijatuhkan hukum oleh ALLAH Subhanahu Wata'ala untuk turun dari syurga.
4. Peristiwa tersebut wajib dijadikan iktibar, dijadikan petunjuk, dijadikan peringatan; bahawa ujian pertama ALLAH Subhanahu Wata'ala ke atas insan, menyentuh subjek amanah - menyentuh subjek integriti. Secara equation, ia melambangkan, keinginan mendapatkan kuasa, merupakan pintu pertama membolehkan iblis mencelah masuk, melakukan pemesongan terhadap iman seorang insan. Iblis berjanji kepada Nabi Adam Alaihissalam untuk memberikan kuasa; janji palsu "pengekalan kuasa" seperti yang terkandung di akhir ayat 120 Surah Thaha, yang bermaksud, "...aku tunjukkan kepada kerajaan yang tidak akan binasa". Betapa dinding ketahanan integriti insan telah ditembusi dengan godaan tarikan untuk mendapatkan kuasa. Peristiwa tersebut turut membuktikan keadilan ILAHI, menguatkuasakan hukum tanpa memilih kasih. Nabi Adam Alaihissalam adalah ciptaan ILAHI, dimuliakan, dikurniakan status khalifah, diperkenankan hidup di dalam syurga. Namun apabila peraturan gagal dipatuhi, hukuman dilaksanakan secara tegas lagi segera.
5. Hari ini, godaan menghakis integriti lebih pelbagai wajahnya - lebih beraneka rupanya; tidak terbatas kepada sebatang pohon khuldi. Ia berbentuk pangkat dan gelaran, wang ringgit dan wanita cantik, intan berlian, zamrud dan nilam, percutian dan melancong, banglo besar dan kondominium mewah, malah namakan apa sahaja, lebih membimbangkan ia termasuk pakej-pakej bertopengkan ibadah - bertopengkan agama, dari keraian berbuka puasa di hotel lima bintang sehingga tajaan melakukan umrah dan mengerjakan haji. Hari ini, godaan menghakis integriti insan di dunia yang fana ini, lebih pelbagai, dengan daya tarikan yang sukar ditolak, memudahkan dinding pertahanan dirempuh, memudahkan iman diruntuh.
6. Apabila integriti sudah tiada, pelbagai bencana akan menyusul. Akan berlaku situasi matlamat menghalalkan cara, keuntungan material diutamakan di dacing pertimbangan, perbuatan salah dilindungi kerana kebenaran sudah tidak bernilai lagi. Keselamatan insan, kehidupan makhluk dan kelestarian alam tidak lagi dihiraukan malah sedia dikompromikan. Bahan radio aktif dari tragedi Cernobyl pada tahun 1986, hampir empat puluh kali ganda lebih tinggi dari penyinaran (radiation) bom atom yang digugurkan di Hiroshima; tersebar ke 3,600 bandar dan desa, merebak ke Poland, Germany, Belgium, France, Holland, United Kingdom, Balkans dan Italy; tetapi pimpinan Soviet Union ketika itu mempamerkan sikap tidak bertanggung jawab, memilih merahsiakan tragedi tersebut; satu pendirian yang tidak mencerminkan amalan integriti yang baik. Tragedi Cernobyl telah dua puluh enam tahun (26) berlalu, mangsa kesan radio aktif mencecah tujuh juta orang, di samping kos pencemaran udara, bumi dan air yang menjejaskan kehidupan makhluk dan alam serta sumber rezeki ribuan insan. Demikian harga tinggi yang perlu dibayar oleh manusia akibat tiadanya integriti.
7. Rasuah adalah ragi perosak, pemusnah integriti. Rasuah adalah perlakuan khianat - amalan penyelewengan, dilakukan untuk kepentingan peribadi tanpa menghiraukan impak kerosakan - impak kemusnahan kepada insan lain, kepada institusi, kepada negara, kepada alam maya. Kerana rasuah membawa bencana, semua agama dan semua tamadun tidak menghalalkan rasuah. Semua Kerajaan mengkategorikan rasuah sebagai barah, wajib dicegah - wajib ditegah. Semua insan menyifatkan rasuah amalan jijik. Anehnya, terdapat jurang di antara 'kata' dan 'kota.' Rasuah dikatakan merosak integriti, diisytihar wajib diperangi, dianggap amalan keji, disifatkan musuh dalam selimut dan gunting dalam lipatan; tetapi usaha untuk menghapuskannya masih berlegar di peringkat retorik, meniti dari bibir ke bibir, hinggap dari telinga ke telinga. Ada di kalangan yang secara tersurat, lantang melaung mengutuk rasuah, tetapi secara tersirat mengamalkan rasuah. Rasuah telah menjadi sebahagian dari darah daging mereka, berperanan sebagai talian hayat - penggerak nadi, berfungsi untuk membolehkan mereka hidup secara mewah - secara megah. Lalu perbuatan rasuah didakap erat satu persatu, bagai kekasih yang tidak sanggup dipisahkan kerana rasuah telah membawa mereka sampai ke puncak kegembiraan mengecap nikmat duniawi. Demikian hipokrasi, sifat munafik yang sedang berlaku hingga membolehkan rasuah terus hidup - terus berkembang - terus menjalar - terus membesar. Akibatnya, perlakuan rasuah kini bagaikan perlakuan yang tidak lagi malu untuk dilakukan. Malah rasuah bagaikan semakin diterima sebagai satu norma urus niaga, satu budaya urus tadbir; berperanan sebagai fasilitator untuk memudahkan urusan kerja - berfungsi sebagai 'supplement' berharga di kalangan sebahagian mereka yang diamanahkan dengan kuasa dan jawatan tinggi.
8. Toleransi terhadap rasuah kelihatan semakin tinggi hingga sampai ke peringkat diterima sebagai keperluan dalam tadbir urus institusi dan tadbir urus syarikat. Sudah ada pihak yang mengiktiraf bahawa perbelanjaan bagi tujuan rasuah adalah satu keperluan; lalu diolah perakaunan secara bijak ketika menyediakan bajet organisasi. Skandal rasuah yang dilakukan oleh Syarikat Siemens, sebagai contoh, telah dikesan oleh seorang pegawai akaun dalam tahun 2008 yang menemui peruntukan 50 juta dolar, di bawah klasifikasi yang dikenali sebagai Bajet Rasuah Tahunan. Syarikat Siemens didenda 800 juta dolar di bawah The Foreign Corrupt Practices Act, Amerika Syarikat. Dalam tahun 2010, enam syarikat minyak dan gas yang beroperasi di Amerika Syarikat didenda 236 juta dolar di bawah akta yang sama kerana mengamalkan rasuah. Kajian terhadap pelbagai kes rasuah di Amerika Syarikat, mendapati 46 peratus dari kes yang berlaku, menunjukkan, terdapat hubungan rapat di antara penerima rasuah dengan pelanggan; sementara 42 peratus memperlihatkan penerima rasuah mengamalkan gaya hidup mewah yang mengatasi sumber pendapatan yang sah.
9. Rasuah membawa impak negatif, secara langsung membantut pertumbuhan dan pembangunan ekonomi. Kos projek meningkat, kualiti kerja dikompromikan, aspek keselamatan dikorbankan, kelestarian alam dikesampingkan. Bank Dunia menganggarkan, setiap tahun, berlaku kebocoran 0.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar Dunia kerana rasuah. Kajian Bank Dunia menunjukkan rasuah turut menurunkan tahap kecekapan pengeluaran, memberikan lebihan yang tidak saksama dan melemahkan daya saing. Rasuah menghalang tahap kelajuan kemajuan, mempersendakan kedaulatan undang-undang, melemahkan institusi awam, mencabar prinsip demokrasi serta memudahkan perlakuan jenayah. Dalam tahun 2000, bersidanglah para pemimpin dunia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kata sepakat dicapai, meletakkan SASARAN PEMBANGUNAN MILLENIUM (Millenium Development Goals_MDGs) supaya kemiskinan dunia diturunkan lima puluh peratus menjelang tahun 2015. Sudah dua belas tahun SASARAN PEMBANGUNAN MILLENIUM dirumuskan. Di sebalik segala usaha yang dirintis serta sumber kewangan yang disediakan, rasuah terus menjadi penghalang utama untuk membolehkan sasaran tersebut dapat dicapai.
10. Piagam, undang-undang, deklarasi dan kenyataan untuk menghapuskan rasuah terus diperkenalkan - terus disuarakan. Namun pengamal rasuah terus bertambah sebagaimana bertambahnya penagih dadah. Malah, pertambahan penagih dadah itu sendiri, adalah salah satu akibat perlakuan rasuah, apabila ada di kalangan penguat kuasa bersekongkol dengan sindiket dadah. Bukan sahaja bilangan pengamal rasuah semakin meningkat, ia turut memperlihatkan perluasan penglibatan, dari peringkat yang berjawatan rendah dan berpendapatan kecil sehingga di kalangan mereka yang berkedudukan tinggi dan berganjaran besar. Rasuah yang dilakukan di peringkat tertinggi lebih menakutkan - lebih memburukkan. Kuantum transaksi rasuah, semakin hari - semakin membesar, meningkat dan terus meningkat tinggi, jauh lebih tinggi dari kadar peningkatan inflasi.
11. Bumi Malaysia tidak terlepas dari ditimpa bahana rasuah. Indeks persepsi rasuah yang baru diumumkan meletakkan Malaysia berada di tangga kelima puluh empat daripada 174 negara. Terdengar suara gembira kerana kejayaan peningkatan enam anak tangga dari tahun sebelumnya. Semoga kita tidak dilalikan dengan angka pencapaian tersebut. Pencapaian 49 markah belum membolehkan negara bersifat selesa. Apatah lagi tangga kelima puluh empat meletakkan negara berada di bawah negara membangun lain seperti Bostwana (tangga 30), Bhutan (tangga 33) dan Rwanda (tangga 50). Imej rasuah di negara masih menghadapi persepsi negatif. Sejak Indeks Persepsi Rasuah diperkenalkan, markah tertinggi yang berjaya dicapai oleh negara hanyalah 52 dari 100. Pencapaian markah pada zahirnya meningkat dari 43 pada tahun lalu kepada 49 pada tahun ini. Namun apabila dibandingkan dengan usaha, masa, tenaga, sumber manusia dan perbelanjaan awam yang terlibat, status yang dicapai tidak sepadan dengan usaha yang dilaksanakan. Presiden Transparency International Malaysia melaporkan hasil kaji selidik Global Corruption Barometer 2010, mendapati satu dari sepuluh responden menjawab bahawa mereka telah pernah melakukan rasuah; beliau mengesyaki nisbah sebenar yang melakukan rasuah lebih tinggi dari itu.
12. Semasa menzahirkan titah sempena Konvokesyen Universiti Malaya kali kelima puluh satu pada 1 Oktober lalu, Beta telah memetik laporan media tempatan bertarikh 30 Jun 2012 yang melaporkan penemuan kaji selidik yang dilaksanakan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (PEMANDU) mengenai persepsi rasuah yang dilakukan ke atas 1800 mahasiswa. Keputusan kajian tersebut bukan sahaja mengejutkan tetapi amatlah membimbangkan. Majoriti dari mahasiswa yang di soal selidik menganggap perlakuan menawar dan menerima rasuah, tidak memudaratkan. Beta turut memetik, laporan di akhbar-akhbar bertarikh 26 September 2012 mengenai empat pegawai dari sebuah agensi penguat kuasa kerajaan yang telah disabitkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana melakukan rasuah. Mereka dijatuhkan hukuman paling ringan dua tahun penjara berserta denda 10,000 ringgit, paling berat dua belas tahun penjara berserta denda 361,400 ringgit. Kes mereka mula disebut dalam tahun 2010, ketika mereka dalam usia 24 ke 30 tahun. Pada usia sedemikian muda, di kalangan mereka ada yang telah melakukan 31 kali perbuatan rasuah.
13. Chandra Muzaffar dalam makalah yang diterbitkan oleh Institut Integriti Malaysia menghuraikan bahawa rasuah di negara kita memperlihatkan keadaan yang semakin serius sejak tiga dekad kebelakangan ini.
Pertama: Di dapati penglibatan jumlah wang yang lebih besar. Jumlah wang yang terlibat dalam kes Abdul Rahman Talib pada tahun 1964, lebih kecil berbanding kes Harun Idris pada tahun 1976; dan jumlah wang yang terlibat dalam kes Harun Idris, lebih kecil berbanding kes Bumiputera Malaysia Finance (BMF) dalam tahun 1984.
Kedua: Di dalam subsektor masyarakat yang sama, amalan rasuah menjadi semakin teruk.
Ketiga: Jika pada masa dahulu dakwaan rasuah hanya terbatas pada birokrasi dan sektor swasta, kini amalan rasuah merebak seperti kanser hampir ke setiap lingkungan masyarakat.
14. Pemerhatian Chandra Muzaffar sukar disangkal. Hari ini rasuah sudah menular dalam sukan. Pemain bola sepak sudah boleh dibeli; keputusan perlawanan ditentukan lebih awal sebelum pengadil meniupkan wisel permulaan. Hari ini, sering kali dilaporkan soalan peperiksaan dibocorkan; sudah ada cakap-cakap yang mengatakan ada pihak yang turut memberikan panduan kepada pelajar akan tata cara meniru demi memastikan pelajar mendapat markah tinggi dan sekolah bakal di puji sebagai sekolah yang berjaya menghasilkan keputusan peperiksaan awam terbaik. Hari ini dikatakan turut berlaku jual beli untuk mendapat anugerah, gelaran dan bintang penghormatan. Hari ini, rasuah tidak lagi terbatas dalam bentuk sogokan wang tetapi turut berlaku secara manipulasi data untuk membuktikan kejayaan agensi memenuhi sasaran kuantitatif. Hari ini, rasuah berlaku secara manipulasi cukai dan klasifikasi cukai. Hari ini rasuah telah merebak ke dalam badan-badan sukan dan rekreasi, pertubuhan sukarela, malah amat menyayat hati apabila ia turut berlaku dalam badan-badan amal dan agama, merangkumi institusi masjid, gereja dan kuil.
15. Ketika berucap di Majlis Perasmian Persidangan Pertubuhan Agensi Penguat Kuasa Anti Rasuah Antarabangsa pada 4 Oktober lalu, Perdana Menteri, sekali lagi menegaskan azam dan usaha beliau memerangi rasuah; membasmi rasuah kekal menjadi keutamaan kerajaan dan beliau telah meletakkannya sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
16. Memerangi rasuah adalah agenda nasional. Negara amat sedar perlakuan rasuah akan memudaratkan masa hadapan negara bangsa. Mengukuhkan integriti adalah hasrat - adalah impian - adalah matlamat negara. Empat dari lima prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara, ia itu Kepercayaan kepada Tuhan, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan adalah prinsip-prinsip yang berkait langsung untuk membina integriti. WAWASAN 2020 menetapkan sembilan matlamat. Matlamat keempat, untuk mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika paling tinggi adalah matlamat untuk membina integriti.
17. Dunia menuntut kepada amalan integriti, terutamanya di kalangan pemimpin tertinggi. Integriti bukan ciptaan baru, bukan penemuan baru, bukan konsep baru dan bukan doktrin baru. Integriti kini menjadi kata kunci yang semakin disuarakan - kata kunci yang semakin ditekankan kerana elemen integriti kelihatan semakin pupus - semakin dikompromikan - semakin dikorbankan. Integriti terlalu penting untuk dikesampingkan - prinsip yang sama sekali tidak boleh diketepikan. Ia satu kemestian, komponen yang perlu dimiliki - karakter yang wajib diamalkan; dimiliki dan diamalkan di tahap yang meyakinkan. Ia pra syarat untuk menentukan tadbir urus yang bersih, cekap dan amanah. Ia gagasan untuk mendukung amalan tadbir urus yang telus, adil lagi saksama. Ia tunggak untuk membina budaya tadbir urus yang baik.
18. Prinsip-prinsip Rukun Negara dan matlamat WAWASAN 2020 amat luhur niatnya, amat indah kata-katanya, amat murni tujuannya. Kenyataan yang tertulis itu mencerminkan hasrat. Menzahirkan hasrat, kerja mudah; dihasilkan melalui perbincangan, melibatkan watak yang tidak ramai di dalam bilik mesyuarat, dirumuskan di atas kertas, diuar-uarkan melalui media. Merealisasikan hasrat dan menjayakan hasrat, sangat berlainan situasinya. Ia menuntut kepada komitmen, kesungguhan, kecekalan, keberanian dan ketegasan. Ia melibatkan watak yang lebih ramai. Ia melibatkan kumpulan sasar yang bukan sahaja ramai bilangannya tetapi turut tersebar dalam kawasan geografi yang lebih luas, setiap seorang memiliki pelbagai kerenah, pelbagai kepentingan peribadi dan pelbagai agenda tersendiri.
19. Integriti adalah keupayaan melakukan perkara betul meskipun ia sekadar satu perbuatan laksana melukut di tepi gantang, seperti tidak membawa pulang ke rumah walaupun sebatang pensel atau sekeping kertas milik pejabat. Peranan asal cuti sakit, semakin disalah guna; dijadikan instrumen untuk tidak hadir bekerja; malah setelah memperoleh cuti sakit, pihak yang terlibat tidak langsung berasa bersalah untuk berseronok melancong atau bersuka ria bersama famili dan kawan-kawan. Doktor, yang berada dalam kategori profesional terpelajar, turut bersubahat melakukan penipuan, bukan mengeluarkan sijil sakit tetapi sebenarnya menjual cuti sakit kepada orang yang tidak sakit. Telefon pejabat dibayar oleh wang awam untuk urusan kerja. Jika telefon pejabat digunakan untuk urusan peribadi berbual dengan kekasih, menempah tiket konsert, melakukan urus niaga saham, maka kos panggilan telefon tersebut, hendaklah dibayar dari saku pemanggil. Integriti bermula dari sekecil-kecil perbuatan.
20. Dalam hasrat memartabatkan imej negara bangsa, integriti bukan satu opsyen tetapi satu kemestian; tergolong bukan dalam kategori amal sunat tetapi berada dalam kategori amal wajib. Kelangsungan sesebuah kerajaan tidak mungkin dapat dipertahankan tanpa budaya integriti yang tinggi kerana rasuah dan salah guna kuasa tidak sekadar perbuatan seorang individu tetapi melambangkan kelemahan sesebuah kerajaan. Kehadiran atau ketiadaan integriti mempengaruhi rupa bentuk dan lakar wajah sesebuah negara bangsa.
21. Negara tidak ketandusan mekanisme perundangan dan mekanisme penguatkuasaan untuk memastikan integriti tidak dinodai. Negara turut diperlengkap dengan pelbagai struktur - pelbagai institusi untuk mengawal selia supaya integriti tidak tergelincir dari landasan. Isu yang dihadapi adalah jurang pencapaian, di antara hasrat yang diimpikan dengan prestasi yang dicapai. Warga wajib disemai dengan nilai-nilai asas untuk mengukuhkan jati diri. Integriti hendaklah didirikan berlandaskan empat tunggak utama.
Pertama: Pendekatan preventif.
Kedua: Penguatkuasaan undang-undang secara tegas.
Ketiga: Perimbangan sasaran kuantitatif dengan pencapaian kualitatif.
Keempat: Kepimpinan melalui teladan.
22. Pertama: Pendekatan preventif; secara simplistik, tarikan atau temptation melakukan rasuah terbahagi kepada dua kategori. Kategori pertama, apa yang boleh disifatkan sebagai terpaksa atau pressured untuk melakukan rasuah kerana didorong oleh keadaan terdesak kesempitan hidup, kerana ketidakupayaan mengimbangkan gaji untuk membiayai keperluan asas harian, bagi menampung perbelanjaan tempat tinggal, pengangkutan, persekolahan anak, kesihatan dan makanan. Negara tidak boleh berada dalam minda penafian atau denial akan realiti sebenar-benarnya yang sedang berlaku.
23. Perkiraan rambang menyerlahkan bahawa lebih satu pertiga gaji kakitangan awam peringkat rendah dan sederhana rendah, diperlukan untuk membayar sewa atau ansuran rumah. Disebabkan rumah kediaman yang mampu didiami berada di lokasi yang jauh dari tempat kerja, ia melibatkan kos pengangkutan yang tinggi; baki gaji satu pertiga lagi, diperlukan untuk belanja pengangkutan sama ada berbentuk ansuran bulanan pembelian kenderaan atau tambang pengangkutan berulang alik ke tempat kerja, di tambah dengan tambang pengangkutan untuk anak-anak ke sekolah. Baki terakhir satu pertiga, dibelanjakan untuk menampung pelbagai keperluan lain; makanan, pakaian, perubatan dan sebagainya. Mereka dan anak-anak mereka tidak terkecuali dari keinginan menonton saluran astro, mereka juga ingin memiliki telefon, mereka turut mempunyai pelbagai naluri lain untuk dipenuhi. Setiap satu keperluan melibatkan perbelanjaan.
24. Majoriti dalam kategori ini sebenarnya, tidak mahu melakukan rasuah. Ada yang memilih melakukan kerja kedua, berniaga di pasar malam, memandu teksi secara sambilan, melibatkan diri dalam direct selling, serta melakukan pelbagai kerja sampingan untuk mencukupkan pendapatan. Sebagai anggota perkhidmatan kerajaan, mereka turut memiliki kuasa - memiliki autoriti. Bagaimanakah daya tahan mereka terhadap sogokan yang ditawarkan dalam keadaan menghadapi tekanan hidup. Cabaran yang sedang dihadapi adalah masalah sebenar - masalah besar. Ia bukan sekadar sakit tekak, bersifat sementara, boleh diringankan dengan memamah gula-gula HACKS ataupun HUDSON. Masalah yang dihadapi adalah masalah sosial yang memerlukan rawatan intensif dari doktor sosial dan ramuan perubatan dari farmasi sosial yang berupaya merangka dasar sosial yang komprehensif serta program sosial yang holistik.
25. Langkah Kerajaan meningkatkan kemudahan pengangkutan awam serta program Kerajaan membina kuarters kakitangan awam adalah langkah dan program tepat. Membina kuarters kakitangan awam terutama bagi kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana rendah bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan mereka malah turut membantu menangani pelbagai isu sosial lain. Program perumahan kakitangan awam dapat diperkukuhkan apabila turut dilengkapkan dengan kemudahan nurseri, tadika, sekolah serta klinik kesihatan supaya dapat meminimumkan tanggungan mereka untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan sosial yang diperlukan. Dalam konteks ini, program membina Klinik Satu Malaysia adalah program pembangunan sosial yang bijak lagi relevan.
26. Membantu meringankan beban tanggungan kewangan kakitangan peringkat rendah dan sederhana rendah, dipercayai dapat meningkatkan daya tahan mereka terhadap godaan rasuah. Program Negara yang dapat membantu memenuhi keperluan asas tempat tinggal, makanan, pengangkutan, persekolahan serta perubatan para pekhidmat awam, adalah satu kaedah preventif yang amat wajib diberikan keutamaan.
27. Kedua: Penguatkuasaan Undang-undang secara tegas; pelaku rasuah kategori kedua, melakukan rasuah bukan disebabkan menghadapi beban tekanan hidup. Pelaku rasuah kategori ini melakukannya kerana didorong sifat tamak - sifat haloba. Pelaku rasuah kategori ini terdiri dari kumpulan atasan, berjawatan penting, bernafsu tinggi, mengamalkan gaya hidup mewah - gaya hidup megah. Pelaku rasuah kategori ini umumnya mempunyai hubungan dengan pelbagai individu berpengaruh, lalu menganggap diri mereka memiliki imuniti dari diambil tindakan undang-undang.
28. Kurang ketegasan mengambil tindakan terhadap pelaku rasuah kategori ini memberikan mesej silap. Ia mempamerkan contoh salah. Ia menyemarakkan pembiakan budaya rasuah. Ia akan mendorong terbinanya sistem piramid amalan rasuah; yang di bawah menyogok yang di atas, lapisan demi lapisan, hingga akhirnya sampai ke puncak piramid. Sikap memejamkan mata terhadap perbuatan rasuah kumpulan ini, akan melahirkan mafia rasuah, yang sama-sama seiring melakukannya, lantas sama-sama saling lindung melindungi. Pimpinan negara yang bergantung kekuatan kepada sokongan dari pengamal rasuah sebenarnya telah memilih kayu-kayu reput yang mengandungi anai-anai untuk membina kota. Negara yang didukung oleh mafia rasuah pada kesudahannya bakal mengundang kebangkitan rakyat. Rakyat apabila berada dalam psyche 'tidak ada apa lagi yang boleh merugikan mereka', bersedia bangun menentang pemimpin, hatta ke peringkat bermandi darah dan bertarung nyawa seperti yang berlaku di beberapa negara jiran, seperti yang sedang berlaku di Asia Barat. Sejarah menunjukkan pemimpin rasuah, sama ada Presiden, Gabenor, Menteri ataupun Jeneral, akhirnya digulingkan. Di antara mereka ada yang mati dibunuh; di antara mereka ramai yang terpaksa lari meninggalkan negara.
29. Bahasa undang-undang hanyalah satu. Yang salah, wajib dihukum. Undang-undang hanya dihormati apabila dilaksanakan secara tegas dan tidak dikompromikan walau sekecil mana kesalahan dilakukan. Kita tidak dapat lari dari memuji disiplin yang diperlihatkan oleh pengguna jalan raya dan tahap kebersihan di negara tertentu. Kita kecewa kerana ia tidak berlaku di negara kita. Ia tidak berlaku kerana sifat kita yang meringankan penguatkuasaan undang-undang. Lalu undang-undang di negara kita hilang kedaulatannya, menjadi bahan sendaan - bahan sindiran. Kita tidak perlu pergi jauh untuk melihat contoh-contoh kegagalan penguatkuasaan. Puntung-puntung rokok masih bertabur di sudut tertentu di kawasan hospital, kereta yang menunggu penumpang, berlapis dan berderet, sama ada di KLIA, di KL Sentral, di perhentian bas dan di banyak tempat lagi di kawasan yang terpampang tanda larangan tidak dibenarkan menunggu; sedangkan warden trafik atau polis trafik, berjalan mundar-mandir ke hulu ke hilir, bagai tidak ada sebarang pelanggaran undang-undang yang berlaku. Akibatnya laluan menjadi sempit dan kesesakan meningkat. Lebih memalukan, kereta-kereta tersebut memiliki nombor istimewa dan ada yang terpampang crest yang melambangkan status sosial pemiliknya. Senario ini mencerminkan budaya tidak bersungguh menguatkuasakan undang-undang, sekali gus memberikan mesej yang salah.
30. Kehebatan negara selama ini diterasi atas tiang perundangan. Dalam tahun 1964, negara menyaksikan Menteri Pelajaran merangkap Menteri Kesihatan Abdul Rahman Talib (Allahyarham) kalah dalam perbicaraan kes sivil melawan S.P. Seenivasagam, memberi implikasi ada melakukan rasuah. Abdul Rahman Talib (Allahyarham) mengundur diri dari menjadi anggota Jemaah Menteri. Dalam tahun 1970, Ahmad Said (Allahyarham) berundur dari jawatan Menteri Besar Perak kerana terkait dengan rasuah. Dalam tahun 1976, Harun Haji Idris (Allahyarham) disabitkan dengan kesalahan rasuah. Kes Dato' Harun Idris dibicarakan di hadapan Paduka Ayahanda Beta, ketika itu Hakim Raja Azlan Shah. Hakim Raja Azlan Shah menghadapi tugas berat. Tertuduh, bukan sahaja mempunyai sokongan politik tetapi seorang individu yang tidak asing kepada Baginda. Ketika menjatuhkan hukuman antara lain Hakim Raja Azlan Shah menyatakan:
Petikan:
" It is painful for me to have to sentence a man I know. I wish it were the duty of some other judge to perform that task.
To me this hearing seems to re-affirm the vitality of the rule of law. But to many of us, this hearing also suggests a frightening decay in the integrity of some of our leaders.
It has given horrible illustrations of Lord Acton's aphorism 'power tends to corrupt, and absolute power corrupts absolutely', and has focussed concern on the need of some avowed limitations upon political authority.
..the law is no respector of persons. Nevertheless it will be impossible to ignore the fact that you are in a different category from any person that I have ever tried. It would be impossible to ignore the fact that, in the eyes of millions of our countrymen and women, you are a patriot and a leader. Even those who differ from you in politics look upon you as a man of high ideals. You had every chance to reach the greatest height of human achievement. But half-way along the road, you allowed avarice to corrupt you. It is incomprehensible how a man in your position could not in your own conscience, recognise corruption for what it is. In so doing, you have not only betrayed your party cause, for which you have spoken so eloquently, but also the oath of office which you have taken and subscribed before your Sovereign Ruler, and above all the law of which you are its servant".
31. Petikan dari penghakiman tersebut mengandungi kata-kata bukan sekadar mensabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukum. Petikan kata-kata tersebut mengandungi komponen khutbah nasihat, khutbah teguran, khutbah peringatan, khutbah amaran, agar dijadikan teladan. Tentulah berat bagi lidah Hakim Raja Azlan Shah untuk menzahirkan ungkapan kata-kata sedemikian keras dan tegas terhadap tertuduh, yang turut Baginda kenali; tetapi Hakim Raja Azlan Shah perlu lebih mengutamakan kedaulatan undang-undang dan kepentingan umum dari batang tubuh seorang kenalan.
32. Proses undang-undang yang dilaksanakan tanpa gangguan dan halangan politik, meskipun melibatkan pemimpin politik, sebenarnya memberikan imej positif kepada kerajaan, di samping mengukuhkan penghormatan rakyat terhadap pemimpin sekali gus meningkatkan integriti pemimpin di mata rakyat.
33. Ketiga: perimbangan sasaran kuantitatif dengan pencapaian kualitatif. Negara tidak harus terlalu taksub hingga terperangkap dengan angka dan data yang tampak menggambarkan kejayaan. Pentas hidup ini mempunyai ramai watak penglipur lara yang bijak menari mengikut irama. Tragedi Revolusi Kebudayaan di China yang dipelopori oleh Mao Tze Tung perlu dijadikan contoh peringatan. Di era Revolusi Kebudayaan, manipulasi data dilakukan di setiap peringkat di negara China, merangkumi kampung, bandar, komuniti, wilayah dan negara supaya Mao terhibur dengan angka-angka yang menunjukkan pencapaian sasaran. Di kiri kanan jalan raya begitu juga di kiri kanan landasan kereta api yang dilalui oleh Mao, akan diwujudkan teater dan tirai latar yang melakonkan kejayaan. Rakyat dan produk dari tempat lain diimport, gudang dibangunkan secara serta merta, tumbuhan ditanam menjelang lawatan, ladang diperlihatkan subur, dan rakyat China dipamerkan bekerja sambil menyanyi dan menari dalam keceriaan. Mao Tze Tung terpukau, merasakan dirinya bijak, kerjanya betul dan rakyatnya sejahtera; sedangkan realitinya amat berbeza. Jutaan rakyat China menghadapi kebuluran, jutaan lagi mati kerana tiada makanan. Sifat terlalu taksub kepada pencapaian kuantitatif boleh menjadi madat bahaya yang berpotensi membiakkan budaya hipokrasi dan kepura-puraan hingga boleh melenakan pemimpin dalam mimpi serba indah.
34. Anggota perkhidmatan awam hendaklah diasuh berani berkata benar supaya yang condong dapat segera ditegakkan, yang tiris dapat segera ditampal. Keberanian menyatakan kebenaran meski dimarahi - meski tidak disukai, melambangkan integriti. Filantropi serta tokoh perniagaan dan pelaburan terkenal di Amerika Syarikat, Warren Buffet ketika menyaring calon-calon untuk diambil bekerja berpegang kepada prinsip:
Petikan:
"In looking for people to hire, you look for three qualities, integrity, intelligence and energy. And if they don't have the first, the other two will kill you".
35. Keempat: Kepimpinan Melalui Teladan. Kepimpinan Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam tidak tertanding nilai teladannya. Baginda sebaik-baik contoh memimpin melalui teladan. Baginda telah wafat. Namun, ucap kata dan tingkah laku Baginda dirujuk sebagai Hadis, terus dijadikan pedoman. Bagi generasi kita, teladan baik kepimpinan Baginda masih dapat kita ikuti melalui pengajian - melalui pembacaan.
36. Salah satu Hadis Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam yang diriwayatkan oleh Abu Daud bermaksud:
Petikan:
"Jikalau ALLAH inginkan supaya sesuatu bangsa itu sejahtera, maka ALLAH akan memberikan bangsa itu pemimpin yang baik."
Beta memilih untuk berkongsi beberapa episod mengenai teladan kepimpinan agar dapat memberikan inspirasi dalam hasrat membina integriti diri.
37. Episod pertama: Seorang ibu amat risau akan perangai anaknya memakan gula secara berlebihan. Ibu tersebut membawa anaknya berjumpa Mahatma Gandhi memohon Gandhi menasihatkan anaknya untuk tidak memakan gula. Gandhi hanya menasihatkan ibu tersebut untuk pulang dan datang semula sebulan kemudian. Sebulan berlalu, ibu dan anak tersebut kembali bertemu Gandhi. Kali ini, barulah Gandhi menasihatkan anak tersebut untuk berhenti memakan gula. Perbuatan Gandhi menghairankan ibu dan anak. Mereka bertanya mengapa nasihat sedemikian tidak disuarakan sewaktu kunjungan pertama. Jawab Gandhi, "ketika kamu berdua menemui aku kali pertama, aku sendiri ketika itu masih memakan gula. Pastinya aku tidak layak menyuruh orang lain berhenti melakukan perkara yang aku sendiri masih lakukan. Aku baru sebulan berhenti memakan gula, maka barulah aku berada dalam kedudukan yang layak menasihati orang lain untuk turut berhenti memakan gula".
38. Episod Kedua: Yang Teramat Mulia, Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum) pernah mendapat rawatan di sebuah hospital di London. Yang Teramat Mulia Tunku tertarik dengan susun atur hospital tersebut. Kebetulan Hospital Besar Kuala Lumpur dalam peringkat perancangan pembinaan semula. Setelah kembali ke Tanah Air, Yang Teramat Mulia Tunku mencadangkan kepada Menteri Kerja Raya, Tun Sambanthan (Mendiang) untuk menimbangkan kemungkinan mendapat pandangan dari juru perunding hospital berkenaan membantu perancangan pembinaan Hospital Kuala Lumpur.
39. Kementerian Kerja Raya merintis perbincangan awal. Dalam salah satu sidang Parlimen, seorang anggota Parlimen mencelah soalan kepada Menteri Kerja Raya bertanyakan kesahihan cerita bahawa atas arahan Perdana Menteri, Kementerian Kerja Raya telah melantik kenalan peribadi Perdana Menteri sebagai juru perunding untuk pembinaan Hospital Kuala Lumpur. Yang Teramat Mulia Tunku yang turut ada di Parlimen semasa soalan dikemukakan terus bangun, meminta laluan dari Menteri Kerja Raya, secara terbuka mengaku ada mencadangkan kepada Menteri Kerja Raya tetapi menafikan juru perunding tersebut adalah kenalan peribadi beliau. Yang Teramat Mulia Tunku, selanjutnya menyatakan, memandangkan ahli Yang Berhormat itu telah menimbulkan keraguan yang boleh menjejaskan reputasi dan integritinya, Yang Teramat Mulia Tunku di Dewan Parlimen itu sendiri mengarahkan supaya apa juga perhubungan yang telah dijalinkan dengan juru perunding tersebut hendaklah ditamatkan serta-merta.
40. Episod Ketiga: Tun Abdul Razak (Allahyarham) dalam salah satu lawatan ke luar negara, terlupa membawa ubat gigi dan krim rambut lalu meminta juru iring beliau membelinya. Sewaktu sarapan keesokan paginya, Tun Abdul Razak bertanyakan harga ubat gigi dan krim rambut. Pembantu peribadi Tun mengatakan bil pembelian akan dimasukkan dalam tuntutan perbelanjaan perjalanan. Pembantu peribadi tersebut ditegur dan Tun menegaskan bahawa adalah salah untuk perbelanjaan peribadi seseorang itu dibayar dari sumber kewangan kerajaan.
41. Tun Abdul Razak pernah berhasrat membina kolam renang di Sri Taman untuk mengelakkan dari mengganggu keselesaan ahli-ahli lain apabila beliau turun ke kolam renang di Kelab Taman Tasik. Seorang kenalan peribadi, menganggarkan kos, dua puluh ribu ringgit untuk membina sebuah kolam renang ketika itu. Apabila Jabatan Kerja Raya mengemukakan anggaran kos enam puluh ribu ringgit, Tun Abdul Razak membatalkan hasrat beliau kerana berasa bersalah menggunakan wang sejumlah itu, bagi membina kolam renang di kediaman Perdana Menteri. Pegawai peribadi Allahyarham mencadangkan supaya kerja membina kolam renang tersebut diberikan kontrak kepada kenalan peribadi Tun dengan kos dua puluh ribu ringgit. Allahyarham menolak saranan tersebut kerana tidak mahu integriti beliau terjejas dengan memberikan kontrak kepada seorang ahli perniagaan kenalan peribadi.
42. Episod Keempat: Ketika Tun Dr. Ismail (Allahyarham) meninggal dunia, Tun Hussein Onn (Allahyarham) berada di London. Tun Hussein Onn ketika itu adalah Menteri Pelajaran Malaysia, mengambil cuti untuk ke London bersama Toh Puan Suhaila menghadiri acara konvokesyen anak mereka. Tun Hussein menggunakan duit sendiri, membeli tiket pulang balik pakej ekonomi untuk dirinya dan Toh Puan Suhaila. Setelah jasad Tun Dr. Ismail (Allahyarham) selamat disemadikan, Tun Abdul Razak telah meminta Tun Hussein Onn segera balik ke Malaysia. Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London diminta menghubungi Tun Hussein Onn untuk menyampaikan permintaan Tun Abdul Razak. Tun Hussein Onn menjawab bahawa tiket penerbangan pakej ekonominya, tidak membolehkan dia menukar tarikh perjalanan. Mendengar jawapan tersebut, Tun Abdul Razak telah meminta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London membeli tiket baru untuk Tun Hussein Onn dan Toh Puan Suhaila. Arahan tersebut dimaklumkan, tetapi Tun Hussein Onn tetap bertegas menolak dengan mengatakan adalah menyalahi peraturan kewangan untuk kerajaan membiayai perjalanan beliau yang sedang bercuti dan bukannya melakukan tugas rasmi di London; sedangkan tujuan Tun Abdul Razak memanggil Tun Hussein segera pulang adalah untuk berunding melantik beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri menggantikan Allahyarham Tun Dr. Ismail.
43. Empat episod tersebut adalah antara contoh yang dipamerkan oleh watak-watak berintegriti tinggi. Empat episod tersebut wajar dijadikan pedoman. Integriti yang dipamerkan melalui episod-episod tersebut mengukuhkan ungkapan kata seorang ahli falsafah Amerika berketurunan Jerman, Hannah Arendt,
Petikan:
"Power is actualized only when word and deed have not parted company".
44. Ungkapan kata Hannah Arendt amat selari dengan ayat 2 dan ayat 3 Surah Ash-Shaff yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat. Amat besar kebencian di sisi ALLAH bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan"
45. Sering berlaku apabila sesebuah negara menjadi kaya, nilai-nilai moral dan rohaniah yang berperanan penting membantu pembangunan negara tersebut di peringkat awal, begitu mudah dilupakan. Cendekiawan kurun keempat belas, yang boleh dianggap ahli sosiologi pertama dalam sejarah, Abdul Rahman Ibn Khaldun berpendapat bahawa apabila masyarakat mendapat kemewahan, perwatakan mereka sering menjadi lemah.
46. Tahir bin Husayn, seorang Jeneral, Gabenor dan ilmuwan pada zaman Kerajaan Abbasiyah, dalam surat yang diutus sebaik sahaja anaknya, Abdullah dilantik oleh Khalifah Ma'mun, ke jawatan Gabenor di Mesir, mengandungi kata-kata berikut:
Petikan:
" Pertukaran dari rahmah ILAHI kepada kemurkaan Nya, cepat berlaku, apabila orang diberikan kuasa, tidak mengiktiraf rahmat yang Tuhan berikan, dan apabila mereka yang berkedudukan di dalam Kerajaan pula, tidak bersyukur dengan pemberian Tuhan, lalu menganggap diri mereka itu sebagai manusia terhebat, sedangkan ia adalah hasil dari rahmat dan anugerah Tuhan kepada mereka "
Abdullah dinasihatkan agar sentiasa merujuk kepada cendekiawan, mengasihi orang yang jujur, ikhlas dan mulia serta sentiasa bersama mereka yang tidak takut memberi nasihat yang benar.
47. Hari ini dunia bagaikan menghadapi paradoks untuk mentadbir urus kejayaan setelah kejayaan dicapai. Sifat tamak - sifat haloba - sifat bongkak - sifat angkuh, semakin berada di tengah pentas. Sifat sederhana - sifat rendah diri - sifat jujur - sifat ikhlas, bagaikan semakin jauh tersisir. Kini, semakin berlaku jurang yang luas di antara imej luaran dengan kandungan dalaman; kecantikan palsu luaran dijelmakan di sebalik kosmetik hingga terlindung kehodohan dalaman; membawa kepada persoalan adakah semakin tinggi kejayaan dicapai, akan semakin terhakis integriti insan.
48. Mungkin telah berlaku penyimpangan - telah tersasar haluan dalam merentasi perjalanan hari ini, yang semakin bersimbang siur disebabkan lebuh raya yang semakin panjang, dan jejambat yang semakin bertingkat, di bina dari hasil kekayaan negara. Kembalilah kepada pesanan orang tua-tua, sesat di hujung jalan - balik ke pangkal jalan.
49. Jika bahtera telah belayar terlalu jauh, kompas pula gagal menelah haluan secara tepat, kembalilah bersauh ke pangkalan asal, agar lantai rosak dapat diganti, layar koyak dapat ditukar. Mungkin bahtera telah terlalu lama di laut luas, kemudikan kembali ke sisir pantai, agar nakhoda kembali berpijak di bumi nyata, menghilangkan lelah, kerana telah terlalu lama dilambung ombak.
50. Dalam hasrat dan niat untuk membina dan mengukuhkan integriti diri, kembalilah kita mengenali asal kejadian; asal usul penciptaan manusia. Di mana juga anak Adam itu dilahirkan, baik di pondok buruk atau di mahligai besar, ia adalah hamba di sisi tuhan yang dicipta untuk berperanan khalifah di bumi. Setiap seorang darinya akan kembali ke alam baqa, setiap seorang darinya akan menghadapi pengadilan di Padang Mahsyar. Junjunglah setiap tugas sebagai amanah, anggaplah setiap tugas sebagai ibadah, mengabadikan diri atas nama ALLAH yang Maha Pencipta, selaras dengan maksud yang terkandung dalam ayat 162, Surah Al An' Aam:
Petikan:
" Katakanlah: Sesungguhnya sembahyang ku, ibadat ku, hidup ku, dan mati ku hanyalah untuk ALLAH semesta alam".
Semoga ALLAH Subhanahu Wata'ala memberikan panduan dan perlindungan agar kita dapat menemui jalan yang diredai. Amin, Ya Rabul Alamin.
Wabillahi taufik walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121214/re_01/Integriti-Tonggak-utama-amalan-tadbir-urus-yang-baik#ixzz2EyriRxqO
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment