SOALAN
SAYA berusia 45 tahun. Sejak lima tahun lalu, saya mengalami sakit pada sendi badan, kepala dan pinggang, susah tidur malam dan cepat marah. Saya sudah mendapatkan rawatan di hospital. Selepas menjalani pelbagai pemeriksaan termasuk MRI dan ujian darah, doktor tidak dapat mengesan punca penyakit saya. Adakah ini disebabkan gangguan? Apakah beza penyakit gangguan saka dan sihir? Bolehkah Tuan Haji Lokman berikan ayat yang boleh diamalkan.
Puan Rogayah, Melaka.
JAWAPAN
TERIMA kasih atas soalan tersebut. Secara umum, gangguan terbahagi kepada dua iaitu saka dan sihir. Kedua-duanya perbuatan khurafat dan khianat untuk menghancurkan manusia melalui ilmu sesat menggunakan jin.
Bezanya, gangguan saka diwarisi manakala gangguan sihir termasuk santau, pelalau dan pemisah dihantar melalui jin oleh seseorang kepada seseorang lain dengan tujuan khianat.
Al-Quran mengakui adanya jin. Terangkum dalam golongan jin adalah iblis dan syaitan. Gangguan jin terhadap manusia suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan. Ilmu sihir adalah salah satu ilmu tertua di dunia.
Di dalam Al-Quran terdapat banyak kisah sihir pada zaman nabi. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 102, maksudnya "...mereka membelakangkan kitab Allah dan mengikut ajaran sihir yang dibaca oleh puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, pada hal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran, tetapi puak Syaitan itulah yang kafir dengan amalan sihirnya kerana mereka yang mengajarkan manusia ilmu sihir".
Jin dan iblis sangat kreatif, sentiasa mengubah suai kaedah dan teknologi sihir mengikut peredaran zaman dan masa. Kita selalu memandang rendah keupayaan jin dan iblis menyesatkan umat Nabi Muhammad. Firman Allah dalam surah An Nisa' ayat 120 "Syaitan sentiasa menjanjikan mereka serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata."
Terdapat enam punca gangguan jin dan iblis. Pertama, perbuatan sihir. Allah menjadikan makhluk jin mampu berubah dari satu bentuk kepada bentuk lain dengan cepat kerana jasadnya halus. Oleh itu, mereka berupaya menyakiti manusia dengan memasuki tubuh manusia secara halus. Sabda Rasulullah: "Sesungguhnya Iblis dan syaitan itu berlari dalam tubuh anak Adam melalui saluran darah." (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Kebanyakan pengamal sihir membela jin dan menggunakannya untuk melakukan sihir. Pengamal sihir akan mengarahkan jin peliharaannya memasuki tubuh manusia, menyebabkan kesakitan fizikal dan gangguan emosi serta fikiran. Jin yang diarahkan oleh tuannya akan berada di dalam tubuh mangsa hingga matlamat tercapai. Contohnya dalam sihir pemisah suami isteri, jin berada di dalam tubuh pasangan suami isteri hingga tercapai matlamat penyihir. Jin boleh berada di dalam tubuh mangsa bertahun lamanya dan jin boleh beranak-pinak dalam tubuh manusia.
Namun biar sehebat mana ilmu sihir, tiada yang mampu menandingi kuasa Allah. Firman Allah di dalam surah Al Baqarah, ayat 102: "...Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudarat dengan sihirnya kepada seorang pun, kecuali dengan izin Allah..."
Pastinya golongan pengamal sihir tidak terlepas daripada hukuman Allah atas dosa yang mereka lakukan.
Kedua, gangguan jin boleh hadir melalui saka iaitu gangguan jin yang asalnya dibela oleh keturunan keluarga pesakit. Pesakit akan mewarisi jin secara turun-temurun dan selalunya diwarisi melalui pertalian darah.
Di dalam al-Quran turut menyentuh mengenai wujudnya golongan manusia yang berdamping dan mendapat bantuan jin. Firman Allah di dalam Surah Al Jinn ayat 6 bermaksud, "Dan bahawasanya ada beberapa lelaki dari kalangan manusia meminta perlindungan daripada beberapa lelaki dari kalangan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan...".
Golongan jin atau saka akan berpindah kepada waris pembela berikutnya apabila pembela meninggal dunia tanpa sempat membuang ilmu tadi atau membebaskan jin daripadanya. Terdapat juga kes pembela mewariskan saka tersebut kepada waris pilihannya sebagai hadiah. Apabila ini berlaku, si waris berupaya melakukan sesuatu yang pernah dilakukan oleh moyang yang menurunkan saka seperti menjadi bomoh atau pawang, tanpa belajar atau kaedah seiring dengan syarak. Kadangkala, pesakit tidak mengetahui bahawa dirinya sedang didampingi oleh jin saka atau menjadi pewaris saka. Terdapat ramai pesakit yang datang ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah untuk mendapat rawatan sakit fizikal, contohnya darah tinggi dan urat saraf, tetapi apabila diperiksa, penyakit tersebut berpunca daripada gangguan saka. Dalam keadaan ini, gangguan saka dalam badan pesakit mesti dikeluarkan dahulu sebelum rawatan untuk penyakit fizikal dapat dimulakan.
Keempat, gangguan jin juga boleh terjadi akibat amalan songsang seseorang yang memuja jin seperti membaca jampi serapah atau mentera. Adakalanya perbuatan ini dilakukan secara sengaja. Namun, ada juga secara tidak sengaja, misalnya ritual kebatinan berkaitan ilmu kebal, kecantikan (susuk) atau berubat dengan pengamal perubatan tradisional yang menggunakan unsur-unsur meragukan dalam perubatan mereka. Mereka mungkin menyangka ia sekadar ritual, tetapi sebenarnya kaedah tersebut melibatkan pemujaan jin dan iblis. Kita perlu berwaspada dengan tipu muslihat jin dan iblis yang sentiasa kreatif mengaburi pemikiran manusia terutama umat Nabi Muhammad sehingga tersesat daripada akidah Islam yang sebenar.
Untuk mengelakkan perkara-perkara di atas berleluasa, pada November 2011, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Jakim mengeluarkan Garis Panduan Amalan Pengubatan Islam. Ia mengandungi piawaian yang perlu dipatuhi oleh semua pengamal perubatan Islam. Dengan tertubuhnya Gabungan Persatuan Pengamal Pengubatan Islam Malaysia (Gappima), pada Mac lalu, badan ini memantau persatuan dan pengamal pengubatan Islam dan berfungsi memartabatkan syariat Islam dalam bidang pengubatan Islam.
Usaha juga sedang dijalankan Gappima untuk menggubal Undang-Undang Sihir, bagi menjadikan perbuatan itu satu jenayah. Buat masa ini sihir tidak dianggap sebagai satu jenayah kerana tiada undang-undang di negara ini yang menghukum pengamal sihir atau orang yang terlibat dalam kegiatan sihir.
Gangguan kelima yang berpunca daripada jin adalah gangguan terhadap pesakit terencat akal sejak lahir. Kanak-kanak yang mengalami penyakit terencat akal kebiasaannya diganggu oleh makhluk halus. Hal ini kerana daya ketahanan mereka lemah akibat akal fikiran yang kurang sempurna. Berdasarkan pengalaman saya sebagai perawat, ada kanak-kanak yang mengalami penyakit terencat akal seperti Sindrom Down, Autism dan Cerebral Palsy ini, terdapat gangguan jin di dalam tubuh badan mereka, terutamanya pada bahagian otak dan urat saraf.
Akhir sekali, gangguan jin juga boleh menyebabkan penyakit-penyakit fizikal seperti angin ahmar (strok), sakit buah pinggang dan busung. Punca-punca penyakit ini adalah gangguan makhluk halus yang memasuki anggota badan dan menyerang organ-organ seperti otak, buah pinggang, urat saraf dan sebagainya. Sebagai contoh, ada sejenis jin ahmar yang menyebabkan berlakunya pendarahan di dalam otak.
Apabila jin memasuki tubuh manusia, ia selalunya berada di dalam otak dan tulang belakang berdekatan dengan urat saraf. Melalui otak dan urat saraf, jin-jin ini dapat mempengaruhi pemikiran dan emosi pesakit. Oleh sebab itu kalau seseorang itu sakit gangguan jin, saka atau sihir, fikiran dan emosi mereka terganggu menyebabkan perasaan marah, tertekan, hati tidak tenteram atau anxiety level mereka tinggi. Apabila fikiran terganggu, seseorang itu akan mendapat tekanan jiwa. Malah pesakit tersebut mendakwa melihat benda pelik seperti lembaga menakutkan, akibat halusinasi yang dipaparkan oleh jin di dalam otak pesakit. Gangguan kepada urat saraf juga mengakibatkan rasa sakit tubuh badan, sistem pernafasan terganggu dan debaran jantung yang tidak menentu. Terdapat kes ekstrem, sehingga berlaku jenayah seperti pembunuhan disebabkan oleh pengaruh jin. Ini semua adalah permainan jin dan iblis.
n Ikuti sambungannya minggu depan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121209/ke_04/Jin-sangat-kreatif#ixzz2Ebff0cEm
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment