Jarang ada lelaki yang menghargai isteri seperti ini.....
Faizal Ismail dan keluarga
PERNAH melalui episod duka pada tahun 2008 kerana kehilangan anak kedua selepasbeberapa hari dilahirkan akibat komplikasi jantung, penyampai radio popular, Faizal Ismail enggan lagi mengenang kisah pilu itu.
Walaupun peristiwa tersebut memberi tamparan hebat buatnya dan isteri, Nor Azlina Ahmad Din, 37, namun kesedihan itu terubat dengan kehadiran puteranya, Mohd Khalish Iman, pada 11 November 2011.
Berhasrat memiliki keluarga yang besar, Faizal, 37, sekali lagi berkongsi kegembiraan apabila isterinya disahkan hamil dua bulan.
"Alhamdulillah, akhirnya doa saya dimakbulkan.
"Pada asalnya, saya mahu lima orang anak, tetapi atas nasihat doktor, isteri hanya boleh mengandung sekali sahaja lagi.
"Ketiga-tiga anak saya dilahirkan secara pembedahan, jadi sukar untuk mengandung lebih daripada itu.
"Pun begitu, saya terima dengan hati yang terbuka. Yang penting, anak-anak saya sihat dan membesar dengan penuh keceriaan," kata penyampai radio HotFM ini.
Bawa keluarga bercuti
Mengakui jadual kerjanya semakin sibuk dengan tugas di konti dan dalam bidang pengacaraan, Faizal tidak pernah merasakan ia sebagai kekangan baginya untuk bersama keluarga.
Cuba sedaya upaya untuk meluangkan masa yang ada bersama isteri dan anak-anak, Faizal mengakui walau sesibuk mana sekalipun, keluarga tetap menjadi keutamaan.
"Kalau nak ikutkan jadual, memang tak sempat nak bersama mereka. Namun, saya tetap akan pastikan untuk makan tengah hari bersama. Lepas makan, barulah saya keluar semula.
"Tugas mengambil dan menghantar anak sulung, Nur Khairina Iman, 12, ke sekolah akan diuruskan oleh isteri. Namun, jika ada kelapangan, saya sendiri akan melakukannya.
"Kalau saya terpaksa berada di luar daerah dalam jangka masa yang lama, saya akan membawa mereka bersama dan menggunakan peruntukan sendiri untuk menempatkan mereka di hotel berdekatan," katanya yang bakal mengacara program realiti terbaru terbitan TV3, Bintang Mencari Bintang.
Menurut Faizal, aktiviti bersama keluarga tidak pernah dilupakan, malah setiap tahun, dia akan membawa anak dan isteri bercuti.
"Selalunya dalam setahun, kami akan bercuti panjang sebanyak dua kali. Ketika itu, saya akan bercuti betul-betul dan menolak apa sahaja tawaran yang ada.
"Saya akan membawa mereka ke luar negara. Selalunya kami akan bercuti ketika musim cuti persekolahan.
"Mungkin pada orang lain, ia tidak begitu berharga. Namun, bagi saya, walau sesibuk mana, keluarga tetap utama. Saya tidak mahu anak-anak dan isteri melayari kehidupan mereka tanpa kasih sayang serta perhatian daripada suami dan bapa," katanya yang pernah mengacara program terkenal termasuk, Vokal Bukan Sekadar Rupa, Anugerah Juara Lagu dan program sendiri, Apa Kata FBI, di TV9.
Isteri memahami
"Dia tulang belakang saya. Tanpa dia, saya tidak akan berada di sini," luah Faizal ketika ditanya mengenai isteri tercintanya, Nor Azlina.
Mengakui isteri sangat memahami kerja seninya, Faizal berkata, jatuh bangun dirinya hanya isteri yang tahu.
"Mungkin orang luar tidak tahu masalah dan dugaan yang kita hadapi. Sebagai isteri, dialah kekuatan saya dan tempat saya meluahkan rasa. Di sebalik kejayaan saya adalah doa dan dorongan daripada isteri. Saya mungkin tidak berdaya mengharungi kehidupan yang penuh duri ini tanpa dia.
"Apa jua tohmahan liar yang hinggap di telinganya, langsung tidak diendahkan, malah dia sangat positif," katanya yang turut terlibat dalam penghasilan suara latar (VO) iklan dan rancangan kartun animasi, The Paddle Pop Lion.
Gerun dengan Johan
Dari segi kerjaya, Faizal Ismail, bukanlah nama picisan dalam bidang penyiaran tanah air. Malah, hampir semua lapisan masyarakat mengenalinya sebagai personaliti berkebolehan.
Popularitinya dalam bidang penyampaian radio dibuktikan kejayaan merangkul trofi, Penyampai Radio Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular (ABP) sebanyak lima kali berturut-turut.
Sepanjang 13 tahun dalam bidang penyiaran, Faizal merasakan kepuasan sudah berada di tahap maksima dan menganggap kejayaan dalam masa lima tahun itu sangat besar nilainya.
Walaupun namanya terus dicalonkan menerusi dua kategori, Penyampai Radio Lelaki Popular dan Pengacara TV Lelaki Popular di ABP 2012, namun dia lebih selesa merendah diri.
"Kemenangan lalu adalah pengiktirafan besar buat diri saya. Namun, jika masih ada rezeki dan undian daripada peminat, saya bersyukur.
"Namun, saya tidak mengharapkan kemenangan besar dalam dua kategori ini memandangkan saya ada pencabar hebat.
"Jika dahulu, saya takut dengan nama besar, Datuk Aznil Nawawi, kini saya gerun dengan Johan. Dia terkenal sebagai pelawak hebat dan memiliki kelompok peminat yang tersendiri. Tidak mustahil untuk dia bergelar juara," katanya yang dicalonkan dalam kategori Pengacara TV Lelaki Popular sebanyak empat kali.
Jangan kejar glamor!
Tidak perlu mempertikaikan kredibiliti Faizal kerana pengalamannya dalam bidang penyiaran bukanlah sedikit.
Menurut Faizal, bukan senang untuk berada di tahap ini. Malah, di awal pembabitannya, dia pernah terlibat dengan Skuad Perodua Era dan menimba pengalaman terlebih dahulu.
Memandang positif penyertaan generasi muda dalam bidang penyiaran, Faizal memberitahu, tanpa minat yang mendalam, individu itu pasti tidak mampu bertahan lama.
"Ada yang bertanya kepada saya, macam mana nak jadi popular macam abang?. Pesan saya, jangan kejar populariti.
"Bukan sahaja dalam bidang ini, malah bidang lain juga mementingkan minat, barulah apa jua yang kita buat menjadi. Jika niat masuk dalam bidang ini untuk mengejar glamor atau popular, tak akan ke mana.
"Ia tidak membantu kita untuk terus berjaya dan bertahan lama," katanya yang tidak pernah terlibat dalam sebarang kontroversi yang boleh menjejaskan namanya.
Sumber
No comments:
Post a Comment