Oleh SITI AISHAH YUSOFF
KINI Mardhiah (bukan nama sebenar), 28, bahagia menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal bersama-sama dua orang cahaya matanya.
Selepas berpisah dengan suami hampir empat tahun lalu, dia pasrah dan reda dengan ketentuan serta takdir yang terjadi antara mereka berdua.
Perkahwinan yang diikat atas dasar cinta itu hanya mampu bertahan sekejap cuma, sementelah hubungan mereka tidak pernah mendapat restu daripada keluarga masing-masing.
Bercerita lanjut tentang kisah hidupnya, Mardhiah mengakui dia berkahwin pada usia terlalu muda iaitu baru mencecah 16 tahun.
Waktu itu dia terlalu mentah untuk menilai tabiat sebenar lelaki yang menjadi pujaan hatinya.
Dia tidak pernah menyangka suami yang dilihat sebagai seorang yang sabar sebenarnya mempunyai sifat panas baran melampau sehingga menjadi punca perpisahan antara mereka berdua.
"Saya berhenti sekolah selepas menamatkan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Ketika usia mencecah 16 tahun saya sudah berkahwin, sementara suami ketika itu tua lapan tahun daripada saya.
"Kami berkahwin secara rahsia di selatan Thailand. Waktu itu keluarga langsung tak tahu apatah lagi mereka tidak pernah merestui hubungan kami.
"Bagi mereka saya masih terlalu muda dan mentah untuk berkahwin," kata anak ketiga daripada enam orang adik-beradik itu.
Rahsia yang cuba diselindung terbongkar juga. Puas Mardhiah dimarahi ahli keluarganya selepas mereka mengetahui dia berkahwin di selatan Thailand.
"Ibu dan ayah merupakan orang yang paling kecewa dan sedih kerana tidak menyangka saya akan menconteng arang di muka mereka.
"Tambahan pula saya adalah anak yang paling rapat dengan ibu. Apa sahaja masalah yang dihadapi, ibu akan berkongsi bersama-sama saya.
"Tindakan saya kahwin senyap-senyap nyata menghancurkan perasaan mereka," katanya.
Selepas berkahwin Mardhiah dan suami berpindah ke rumah sewa yang berdekatan dengan tempat kerja suaminya.
"Pendapatan suami sebagai pekerja kilang ketika itu tidaklah lumayan sekadar cukup -cukup untuk menampung keperluan hidup kami berdua.
"Tambahan pula sara hidup di kota sangat tinggi. Kami perlu membayar sewa rumah dan keperluan lain menyebabkan seringkali juga mengalami masalah kewangan," katanya.
Mardhiah berkata, walaupun hidup mereka berdua ibarat kais pagi makan pagi, itu langsung tidak mengurangkan perasaan kasih antara mereka berdua. Malah dugaan tersebut menjadikan hubungan mereka semakin erat.
"Walaupun tidak mendapat restu daripada keluarga, ikatan yang dibina bersama suami bertambah kukuh lebih-lebih dengan kehadiran dua orang cahaya mata lelaki kami.
"Walaupun keluarga tidak menerima kami pada awal perkahwinan, tetapi setelah kelahiran kedua-dua anak, akhirnya hati mereka semakin terbuka dan reda dengan takdir tersebut," katanya.
Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Perasaan bahagia yang dikecapi tidak berpanjangan apabila semakin lama semakin menonjol perangai suami yang sebenar.
"Dahulu dia seorang lelaki yang penyabar dan penyayang tetapi bertukar wajah dari sehari ke sehari.
"Jika ada berlaku perselisihan faham antara kami berdua, suami cepat panas baran sehingga adakalanya sanggup memukul dan menerajang saya sehingga tercedera. Perangainya itu sangat berbeza dengan dirinya yang saya kenali dahulu," katanya.
Tambahnya lagi, beberapa kali dia pernah dimaki dan ditampar oleh suaminya hanya kerana perkara-perkara kecil yang mereka hadapi.
"Sampai bila saya boleh bertahan menjadi mangsa pukul dan makian suami sendiri. Suami yang dahulunya menjadi pelindung di kala susah dan senang kini sudah menjadi seperti musuh sendiri.
"Oleh kerana tidak tahan dengan perangainya, saya telah memohon dia melepaskan saya daripada membiarkan saya terus menjadi mangsa sepak terajangnya," katanya.
Sehingga hari ini, walaupun sudah berpisah dengan suami, Mardhiah bahagia hidup bersama-sama anak yang sentiasa menjadi penghibur di saat suka dan duka.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130206/ke_01/Bahana-kahwin-tanpa-restu#ixzz2KkYnwVzw
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment