Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, February 18, 2013

Seksa dapat suami mata keranjang




Salah satu adegan mata keranjang....


Aku Pasrah


Oleh SITI AISHAH YUSOFF

SETIAP insan impikan kebahagiaan dalam rumah tangga. Namun, bukan semua insan bertuah kerana kadangkala Allah SWT datangkan ujian kepada mereka untuk melihat sejauh mana tahap keimanan hamba-Nya.

Begitu juga dialami dalam perkahwinan Amani (bukan nama sebenar), yang dapat bertahan selama 25 tahun biarpun bersuamikan lelaki mata keranjang.

Segalanya kerana kesabaran dan ketabahannya menghadapi satu demi satu ujian yang mendatang.

Kini selepas berpuluh tahun makan hati, perasaan wanita itu semakin lega kerana suaminya yang suka bermain kayu tiga semakin berubah sikap seiring dengan peningkatan usia yang hampir mencecah separuh abad.

Namun, masih ada luka yang menjeruk kerana sehingga saat ini segala keperluan anak-anak dan rumah tangga diuruskan Amani bersendirian.

Suami sudah lama bersikap lepas tangan, hanya sekali sekala menghulur nafkah untuk anak-anak itu pun selepas payah diminta.

Amani bagai sudah lali dan pasrah dengan ketentuan itu.

Bercerita lanjut tentang kisah rumah tangganya, wanita berusia awal 40-an itu mengaku berkahwin ketika umurnya masih muda.

Ketika itu usianya baru masuk 18 tahun manakala suaminya 21 tahun.

Namun usia bukan jadi masalah kerana ketika itu pun kebanyakan kawan-kawan sebayanya sudah ramai yang berumah tangga.

"Kami berdua tidak pernah kenal antara satu sama lain. Urusan perkahwinan semuanya diatur oleh keluarga. Hanya selepas berkahwin baru kami dapat mengenali hati budi masing-masing.

"Di awal perkahwinan, hubungan kami seperti pasangan lain yang baru berkahwin. Saat bahagia bergelar isteri tidak dapat dibayangkan ketika itu.

"Begitu pun disebabkan kami berkahwin atas pilihan keluarga perasaan pada awal bergelar suami isteri sedikit kekok," katanya.

Tambah Amani, selepas berkahwin mereka tinggal di rumah keluarga suami memandangkan dia anak tunggal dan sangat rapat dengan ibu bapanya.

"Boleh dikatakan suami adalah anak manja emak dan ayahnya. Jika dia mengalami masalah kewangan ibu dan bapanya yang menjadi tempat dia meminjam wang.

"Memang sejak dari awal perkahwinan dia tidak menjalankan sepenuhnya tanggungjawab memberi nafkah zahir. Namun, tiada masalah baginya kerana semua keperluan rumah ibu bapanya yang tanggung.

"Bagi meringankan beban rumah tangga saya juga bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya berdekatan dengan rumah," katanya.

Menurut Amani, sepanjang mengenali suaminya memang diakui dia jenis lelaki yang suka menghabiskan masa dengan melepak bersama-sama kawan-kawan di luar.

Pada awal perkahwinan, sifat tersebut tidak terlalu menonjol, sehinggalah selepas beberapa tahun sifat buruk itu semakin menjadi-jadi.

"Perangainya yang suka menghabiskan masa di luar mungkin kerana sukar membuat tabiat masa bujang dahulu.

"Keadaan tersebut sedikit sebanyak mengganggu hubungan kami, namun mujurlah mertua layan saya dengan baik," katanya.

Luah Amani, selepas melahirkan anak kedua perangai suaminya semakin berubah bukan saja sering pulang lewat malam bahkan kadang kala tidak balik hingga berhari-hari.

Apabila ditanya ke mana, alasan yang diberikan adalah keluar berjumpa dengan rakan-rakan.

Beberapa kali juga penampar singgah di pipi lembut Amani apabila pertanyaan itu tersebut menimbulkan kemarahan suami.

"Mengenangkan perasaan sayang yang semakin mendalam dan anak-anak yang semakin membesar saya mengambil sikap berdiam diri dengan harapan dia akan berubah," katanya.

Rupanya sikap berdiam diri Amani tidak memberi kesan kepada suaminya, malah perangai lelaki itu semakin liar sehinggalah terbongkar dia telah berlaku curang kepadanya.

"Sebelum itu, saya memang mengesyaki suami mempunyai perempuan lain setelah melihat sikapnya yang banyak berubah dan tidak lagi menghiraukan kebajikan anak dan isteri.

"Semuanya terbongkar apabila saya sendiri terserempak dengan suami bersama perempuan lain di sebuah pusat membeli belah.

"Gelagat mesra mereka sangat merobek perasaan saya ketika itu kerana apa yang diduga selama ini memang betul-betul terjadi," katanya.

Ujarnya, selepas kejadian tersebut, dia telah bersemuka dengan suaminya dan meminta penjelasan mengenai hubungan dengan wanita tersebut.

"Ternyata pertanyaan saya itu membuatkan suami menjadi berang dan dia bertindak memukul saya dengan alasan saya sibuk mengambil tahu urusannya.

"Tindakannya itu membuatkan hati saya menjadi semakin sakit dan perasaan sayang semakin hilang.

"Selepas kejadian itu saya minta diceraikan tetapi dia enggan lepaskan saya sebaliknya dia berjanji untuk meninggalkan wanita tersebut dan tidak akan buat perangai lagi.

"Percaya pada janjinya, saya beri peluang kedua pada suami lagipun waktu itu anak-anak sedang membesar," katanya.

Rumah tangga Amani kembali pulih seperti biasa. Namun siapa sangka ia cuma bersifat sementara sebelum suaminya menjalin lagi hubungan kali ini dengan seorang wanita yang sudah punya anak dua.

Begitulah yang berlaku selama berpuluh tahun, cintanya ditabur dari satu wanita ke satu wanita. Sikap mata keranjang suaminya ternyata memang sukar dikikis.

Peliknya, apabila Amani minta diceraikan dia akan naik angin dan setiap kali itulah juga dia menabur janji untuk berubah.

Setelah 25 tahun makan hati dan pasrah dengan nasibnya, kini Amani tetap bersyukur kerana rumah tangga dapat bertahan hasil kesabaran dan kasih sayang kepada empat anaknya,

Tabiat suami yang kaki perempuan juga semakin hilang dan masanya kini juga banyak dihabiskan di rumah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130213/ke_01/Seksa-dapat-suami-mata-keranjang#ixzz2LE0yiALP 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment