Oleh Murshid Eunos-Hmetro
Seperkara terlintas di fikiran saat memerhati gaya dan lenggang pemilik senyuman manis ini dari jauh, dia semakin manis dan berseri.
Hakikatnya, umum mengetahui penghijrahan Nor Azzarima Zawari Aziz atau lebih sinonim dengan panggilan Azza yang kini sudahpun bertudung.
Realitinya, ia tidak semudah dilihat dan tidak sekemas disangka. Sebaliknya jelas pelakon juga bekas anggota kumpulan terkenal, Elite ini, 1001 dugaan datang melanda dan sebanyak itu juga rasa manis datang menyimbah.
“Inilah saya dan alhamdulillah sehingga kini, selepas lebih dua bulan saya berhijrah mengenakan tudung, segala-galanya lebih sempurna dan menyenangkan,” katanya membuka bicara petang itu.
SUAMINYA, Azlan adalah tulang belakang dan sahabat setia Azza.
Hampir dua dekad bertapak membina nama, Azza mengakui puas menikmati segala macam perasaan dan sepak terajang industri. Usah ditanya mengenai gosip dan kontroversi kerana ia umpama ‘sahabat’ kepada Elite yang dianggotainya dulu.
Tambah Azza lagi, percaya pada rezeki dan ketentuan adalah kunci segala-galanya.
“Saya sendiri ada kalanya tersenyum sendiri memikirkan keputusan saya lakukan. Bohong kalau tidak saya terfikir soal kerja dan tanggungjawab menjadi anak seni. Maklumlah ia mungkin terbatas berbanding sebelumnya. Saya perlu memikirkan soal lokasi dan konsep persembahan sebelum terus menerima, begitu juga dengan lakonan, bimbang juga jika tiada lagi penerbit datang memberikan skrip.
“Bagaimanapun, itu semua hanya persepsi dan kata-kata nakal yang singgah untuk memberikan rasa keliru. Mujur, suami khususnya dan keluarga banyak menyokong serta teman rapat yang gembira melihat keberanian saya membuat keputusan. Tiada apa harus dikesalkan kerana saya sudah merasai kegemilangan dan pahit maung dunia seni ini.
“Sudah tiba masanya, saya mengikut kata hati. Itulah dinamakan takdir, beberapa kali diberikan watak bertudung dalam drama lakonan sejak akhir tahun lalu termasuk drama bersiri tayangan RTM, Mujahid, ia menjentik jiwa saya untuk terus melekat mengenakan tudung.
Bukan soal fesyen atau ingin sebuah perubahan, namun ini adalah hijrah yang sudah lama saya fikirkan,” katanya tekad bertudung sepenuhnya sejak 6 Januari lalu.
Azza bersyukur kerana diberi peluang untuk sempat berhijrah kerana hidayah itu perlu dicari dan tidak datang bergolek. Dia juga bersyukur kerana menemuinya sendiri.
Apa yang mengusik jiwa wanita ini untuk tiba-tiba mengambil keputusan besar seperti ini? Menyedari statusnya sebagai selebriti, bertudung memerlukan pengorbanan baik fizikal mahupun mental.
Ternyata, kenyataan itu disokong penuh Azza yang melaluinya sendiri.
“Memang kena kuat dan nekad. Saya sendiri awalnya bimbang namun syukur jalan ini dipermudahkan. Suami awal lagi sudah pesan ketika saya bertanya dengannya, adakah saya sudah benar-benar sedia kerana dia tahu akan kerjaya saya. Namun saya yakin dan percaya, rezeki itu ada di mana-mana jika niat itu ikhlas dan jujur.
“Bayangkan, banyak pula tawaran lakonan datang, namun semuanya tidak lagi bersesuaian dengan saya yang sudah berhijab. Itulah dugaannya. Tapi dalam pada banyak terpaksa ditolak, penuh juga jadual saya dengan rezeki lain. Saya bersyukur kerana ramai penerbit drama dan pengurus acara yang yakin dengan bakat saya.
“Kini saya banyak melakonkan watak wanita bertudung dan Muslimah. Itu lebih sesuai dan sebenarnya memberikan kepuasan berbeza. Malah kelakarnya, ada juga memanggil untuk saya mengacarakan majlis dan membuat persembahan di majlis korporat.
Itu sudah membuktikan yang wanita dengan imej bertudung sudah jauh melangkaui segala batasan yang dianggap ‘stigma industri’ sebelum ini.
“Lebih membuatkan saya gembira dan bertambah yakin apabila peminat tidak henti menyokong dan memuji penghijrahan saya menerusi laman sosial Twitter dan Instagram. Itulah sebenarnya yang membuatkan saya lebih nekad dan berani untuk mengambil segala risiko atau kemungkinan,” katanya yang mengagumi Yuna dan Shila Amzah yang sudah mampu menempa nama di peringkat antarabangsa dengan mengekalkan imej bertudung.
Wanita keletah menyusun kata dan tidak henti berjenaka ini masih sama orangnya yang dikenali sebelum ini. Beza hanya pada imej dan penampilan saja.
Sengaja diusik persoalan itu, lekas pelakon yang popular menerusi beberapa filem lakonannya termasuk Bara, Mami Jarum Junior, Jutawan Fakir, Kuliah Cinta, Sembilu 2005 dan Bujang Senang mencelah.
“Saya bertudung kerana Allah SWT dan diri sendiri. Ia tiada kaitan untuk saya mengubah segala-galanya termasuk karakter dan pendirian diri. Apa yang penting adalah tuntutan agama untuk saya menutup aurat. Namun untuk saya berubah secara drastik, ia tidak mungkin kerana jujurnya saya tahu kemampuan dan kredibiliti diri sendiri.
“Belum lagi rasanya untuk saya berceramah atau menasihat orang lain. Jauh sekali membabitkan diri dalam agenda peribadi lain kerana saya masih lagi berada dalam industri ini, tempat saya mencari rezeki,” kata ibu kepada Marissa Janna yang kini berusia tujuh tahun, anak angkat daripada perkahwinan terdahulu.
Lebih sejam bersembang dengannya, jelas tiada apa berubah. Azza masih sama, ketawanya, jenaka dan usikan tetap ‘gila’.
Sesekali dia melemparkan senyuman pada suami tercinta, Azlan Zulaily yang setia menemaninya.
“Inilah hadiah terindah saya, suami dan perkahwinan kami sejak April tahun lalu. Walaupun saya dan suami pernah berdepan dugaan terbesar, saya keguguran selepas tujuh minggu mengandung September lalu, namun ia tidak sekali memberikan tekanan, sebaliknya menguatkan lagi hubungan kami berdua.
“Insya-Allah saya mohon kepada semua peminat untuk terus mendoakan kebahagiaan saya. Mana tahu, esok lusa jika diberikan rezeki, saya mengandung sekali lagi,” katanya berseloroh.
Teroka bisnes bedak sejuk
Istimewanya lagi bagi Azza yang bakal muncul dengan drama Mujahid, Musim Cinta Atuk dan Sepai di TV1 serta Kiah Spy di Astro Warna, kini dirinya perlahan-lahan mengukuhkan lagi kerjaya dengan menceburi lapangan perniagaan pula.
Bekerjasama dengan dua lagi temannya termasuk pelakon baru, Azam Pitt, Azza bersyukur kerana berkesempatan melancarkan produk kecantikan dan kesihatan pertamanya, SAZ.
“Ini satu usaha dan alternatif untuk saya. Selain berlakon, menyanyi dan mengacara, saya memang sudah lama mengimpikan menjadi usahawan yang berjaya, mempunyai rangkai perniagaan yang boleh dibanggakan.
“Alhamdulillah rezeki dan peluang itu datang cepat dan siapa sangka, semua urusan dan perancangan berjalan lancar,” katanya.
Azza tidak henti-henti bersembang mengenai produk yang menjadi rahsia turun-temurun keluarganya, bedak sejuk yang kini sudah diadunkan dalam peket menarik, Azza's.
“Azza's adalah formula lama yang kini diperbaharui. Bayangkan, sebelum ini sejak saya kecil lagi, kita pakai bedak sejuk untuk pelbagai kebaikan dengan meletakkannya di wajah, habis putih melepak tapi dengan adanya Azza's, saya jadikan bentuk serbuk itu kepada cecair yang mudah digunakan.
“Hanya sapukan tipis setiap malam sebelum tidur, sesiapa saja yang menggunakannya dapat melihat perubahan seperti mencerahkan lagi kulit, melembutkan dan menyegarkan wajah,” katanya.
Kepada sesiapa yang berminat ingin mencuba produk Azza's, bolehlah menghubungi talian 017-3077012.
Tambah Azza, jika diberikan rezeki, dia ingin mengembangkan lagi Azza's ke peringkat lebih jauh.
No comments:
Post a Comment