Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, February 18, 2013

Ceraikan isteri kerana tidak mahu dituduh dayus

Teringat lagu Allahyarham Ahmad Jais, lirik dia lebih kurang begini:

Hilang terang timbul gelap
Hilang kasih tak berguna
Dikau pergi tanpa kata
Tinggal daku menderita

Ikutilah kisah Azim (bukan nama sebenar)

"DIALAH segala-galanya dalam hidup saya. Kami telah berjanji untuk setia sampai ke akhir hayat kerana sayang saya kepadanya tidak pernah pudar, malah sentiasa segar setiap hari. Tapi, inilah yang terjadi. Dia mungkir janji dan berlaku curang terhadap saya," demikian e-mel yang saya terima daripada seorang suami bernama Azim (bukan nama sebenar).

Telah banyak kali saya berinteraksi dengan Azim menerusi Facebook dan e-mel. Banyak juga nasihat yang saya beri kepadanya untuk meredakan gelora rumah tangganya yang sedang dilanda badai.

Namun, katanya, sebagai lelaki dia perlu membuat keputusan kerana tidak mahu dikatakan dayus. Hingga ke saat ini, dia masih tertanya-tanya, kenapa isterinya sanggup berlaku curang terhadapnya.

Kepada saya, Azim mencurahkan isi hatinya menceritakan kejadian yang menimpa rumah tangganya. Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan. Begini kisah Azim.

"Saya berusia lewat 30-an, mempunyai dua orang anak hasil perkongsian hidup dengan isteri saya Miza (bukan nama sebenar) sejak 10 tahun lalu.

"Kami berkahwin atas dasar cinta setelah dua tahun berkenalan di universiti. Ketika mengenalinya, Miza baru putus cinta dengan teman lelakinya yang memutuskan hubungan mereka setelah ke luar negara.

"Mungkin jodoh kami kuat, saya akhirnya mengambil keputusan menikahi Miza kerana cinta yang mendalam terhadapnya. Dia juga berjanji akan setia dengan saya walau apa pun yang terjadi. Saya pegang janjinya itu.

"Kehidupan kami amat bahagia terutama setelah anak sulung, Farisya lahir menjenguk dunia. Kini, Farisya berusia sembilan tahun dan belajar dalam tahun tiga. Kehadiran Fazli yang kini berusia enam tahun menambah bahagia kami sekeluarga.

"Pendapatan saya yang agak lumayan dan juga Miza menjadikan kami hidup senang dan mampu memiliki apa sahaja yang kami mahu. Setahun dua kali, kami ke luar negara bercuti.

"Namun panas yang saya sangka sampai ke petang, rupanya dilanda hujan di tengah hari. Miza berubah setelah balik daripada menghadiri satu seminar antarabangsa di Thailand. Dia tidak gembira seperti dahulu.

"Di rumah, dia selalu termenung, makan minum saya dan anak-anak tidak dihirau dan hanya melepaskannya kepada pembantu rumah kami. Telefon bimbit 24 jam di tangan. Saya tanya..., dia diam. Tanya lebih-lebih, dia akan menangis.

"Pelik dengan keadaan dirinya, saya bertanya kepada rakan-rakan pejabat yang sama-sama menghadiri seminar tersebut, kenapa isteri saya berubah. Pada mulanya, mereka enggan bercerita tetapi setelah didesak dan saya ceritakan perubahan isteri saya selepas balik dari seminar itu, baru mereka buka mulut.

"Benar tekaan saya. Ada cerita rupa-rupanya di sana. Miza dikhabarkan telah bertemu dengan seorang lelaki yang dikatakan bekas teman lelakinya lebih 10 tahun lalu.

"Bekas teman lelakinya itu, salah seorang daripada penceramah dalam seminar tersebut. Menurut salah seorang rakan Miza yang saya kenal, semasa di sana, isteri saya sangat gembira dan sentiasa bersama lelaki itu.

"Sebagai suami, tentu saya marah dan geram dengan khabar tersebut tetapi saya tidak cepat melatah. Saya perlu cari bukti dan pengesahan daripada empunya diri, baru boleh bertindak.

"Tidak sangka pula Miza akan berubah begitu perangainya. Tapi setelah saya fikir semula, manusia boleh berubah. Saya ambil positif perkara itu dan tidak mahu mendengar sebelah pihak sahaja.

"Saya tanya Miza sebelum mengambil sebarang keputusan. Dia tidak mengaku dan tidak pula menafikannya. Wajahnya nampak murung. Dia menangis bila saya desak, dia menceritakan perkara sebenar. Akhirnya dia mengaku telah bertemu dengan bekas kekasihnya di sana.

"Lelaki itu adalah yang pernah dia ceritakan kepada saya semasa kami mula berkenalan dahulu. Saya tidak terkejut tetapi terpaksa mengawal perasaan kerana tidak mahu terlalu agresif sehingga berlaku perkara yang tidak diingini. Memang saya marah dan kecewa tetapi saya perlu mengawal perasaan.

"Saya tanya adakah dia masih sayangkan bekas kekasihnya itu? Dia mengangguk. Saya tanya lagi, bagaimana sekarang, adakah dia ingin kembali kepada kekasihnya? Dia juga mengangguk. Bayangkan perasaan saya sebagai suami ketika itu?

"Begitu mudah dia membuat keputusan. Saya jadi orang bodoh di depannya. Sebagai suami, saya amat malu dan kecewa dengan perbuatan Miza. Sepuluh tahun hidup bersama, dia boleh lepaskan kasih sayangnya terhadap saya dan anak-anak dalam sekelip mata.

"Dia langsung tidak fikirkan bekas kekasihnya yang telah membuang dia 12 tahun lalu tanpa khabar berita. Saya ambil dia dengan ikhlas untuk dijadikan isteri dan ibu kepada anak-anak saya tetapi ini pula balasannya kepada saya.

"Saya tidak cepat membuat keputusan tetapi amat berharap dia akan sedar dan berubah fikiran. Seminggu saya bagi masa dia fikir. Kawan-kawan ramai nasihatkan saya supaya melepaskan sahaja dia. Kata mereka, mungkin dia sudah terlanjur. Tapi sebagai suami, saya masih berharap perkara buruk itu tidak berlaku.

"Akhirnya, saya terpaksa menerima hakikat akan kehilangan Miza setelah dia mengambil keputusan meminta cerai. Alasannya kerana tidak lagi sayang kepada saya dan tidak lagi boleh tinggal sebumbung. Mudahnya dia memberi alasan.

"Saya masih memujuk dia supaya berfikir semula demi anak-anak. Keluarga nasihatkan saya jangan pujuk demi maruah saya sebagai suami. Saya solat isthiqarah, mohon petunjuk Allah agar saya diberi jalan terbaik dalam menangani masalah ini.

"Alhamdulillah, saya nampak jalan yang Allah tunjukkan. Jodoh saya dengan Miza hanya setakat ini. Saya reda dan menerima segalanya dengan lapang dada. Tapi dalam hati saya ada kecewa yang sangat dalam.

"Tidak saya sangka Miza mempermainkan kesetiaan saya. Dia lupa janji untuk bersama saya sehingga ke akhir hayat. Saya pelik kenapa bekas kekasihnya itu tiba-tiba muncul ketika kami sedang bahagia.

"Pada hal, semasa saya mengenali Miza dahulu, dia dalam keadaan yang amat kecewa kerana ditinggalkan kekasihnya.

"Apa pun, saya akur dengan kehendak Allah. Manusia tidak akan dapat semua yang mereka impikan. Dan saya salah seorang daripada insan yang dipilih untuk diuji oleh Allah SWT.

"Keluarga saya yang selama ini menatang Miza bagai minyak yang penuh sangat marah dengannya. Mentua saya amat malu dengan perbuatan anak mereka dan meminta maaf kepada saya dan keluarga.

"Nasi sudah menjadi bubur, saya tidak salahkan sesiapa tetapi kesal kerana Miza tidak fikir panjang dan tidak bijak menjaga statusnya sebagai isteri dan ibu. Yang saya sedih, dia tidak ingat dosa pahala.

"Semoga apa yang berlaku kepada saya dijadikan teladan oleh para suami dan isteri di luar sana. Setiap pasangan suami isteri perlu membina kasih sayang sejati untuk menyelamatkan rumah tangga, bukan sekadar lakonan semata.

"Jangan mudah terpengaruh dan paling penting, walau di mana berada, jaga status sebagai suami atau isteri dengan baik dan berhemah agar tidak ada masalah mengundang. Sematkan dalam minda, masa lampau perlu dilupa, masa kini diutamakan.

"Saya berdoa agar anak-anak kami tidak menjadi mangsa kepada perpisahan ini walaupun kedua-duanya diletakkan di bawah jagaan saya. Mereka masih muda untuk mengetahui apa yang berlaku terutama untuk menerima hakikat ibu mereka telah jatuh hati dengan lelaki lain.

"Mudah-mudahan, saya diberi kekuatan untuk mengharungi hidup sebagai ibu dan bapa kepada mereka dengan baik dan bertanggungjawab," sebak Azim menamatkan ceritanya.

"Itulah lumrah rumah tangga. Jika tidak suami buat hal, isteri pula buat perangai. Entah kenapa institusi keluarga semakin rapuh sekarang ini. Kepada Azim, anggaplah kejadian ini ujian Allah untuk anda.

"Saya percaya, masih ada sinar bahagia untuk anda dan anak-anak. Lupakan apa yang telah berlaku. Bertindak positif dan ingat kepada takdir Allah yang sentiasa ada hikmah di sebaliknya.

"Sematkan dalam hati, Allah memberi ujian kepada hamba-Nya untuk memberi mereka sesuatu yang lebih baik. Semoga hidup anda dan anak-anak sentiasa di dalam peliharaan Allah SWT.

"Sepatah pesanan sebelum menamatkan catatan, kedamaian pasti akan datang kepada mereka yang diawal hidupnya terlebih dahulu diuji dengan derita dan air mata.

Salam

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130216/ke_04/Ceraikan-isteri-kerana-tidak-mahu-dituduh-dayus#ixzz2LDy3zRAZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment