Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Wednesday, February 27, 2013

Mungkinkah satu peringatan?







Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

DUNIA dikejutkan dengan berita hujan meteor yang melanda bahagian tengah Rusia pada minggu lalu. Fenomena tersebut ditakuti oleh para penduduk dunia kerana kejadian itu dikhuatiri boleh menyebabkan kemusnahan total alam. Serpihan meteor seberat 10 tan itu akhirnya telah mengakibatkan hampir 1,000 penduduk kawasan berkenaan tercedera.

Menerusi laporan berita AFP, satu rakaman televisyen menunjukkan lalu lintas tergendala di bandar Urals, Chelyabinsk kerana kejadian itu telah menyebabkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri untuk berlindung di dalam bangunan.

Dalam laporan itu lagi, Kementerian Bencana negara itu pula mengesahkan perkhidmatan komunikasi telefon selular tergendala buat sementara.

"Ketulan meteor tersebut bersepai di atas kawasan pergunungan tengah Rusia, Urals, dengan separuh daripadanya terbakar pada bahagian atmosfera. Serpihan meteor itu jatuh ke bumi di kawasan yang kurang penduduk di wilayah Chelyabinsk," kata pejabat kementerian itu melalui satu kenyataan.

Kejadian itu telah mengakibatkan tingkap-tingkap bangunan pecah kesan daripada gegaran yang berlaku dengan kira-kira 300 bangunan dilaporkan rosak, termasuk sekolah, hospital dan bangunan kilang serta stadium hoki ais. Manakala sekolah-sekolah ditutup selepas serpihan tersebut menyebabkan cermin bangunan pecah.

Berdasarkan fenomena alam tersebut, apakah pengajaran yang sepatutnya diambil oleh manusia, khususnya umat Islam. Adakah ia merupakan satu peringatan oleh Allah terhadap kelalaian umat Islam dengan meninggalkan suruhannya dan melakukan larangannya?

Ketika menjelaskan persoalan itu, personaliti agama, Fauzi Mustafa berkata, Allah mempunyai kekuasaan terhadap seluruh alam termasuk apa yang berlaku di langit. Ujar beliau, penggerakan bintang, bulan, matahari dan lain-lain lagi semua telah diatur oleh Allah.

Kekuasaan itu boleh dibuktikan melalui firman Allah dalam ayat lima surah al-Jaathiyah yang bermaksud: Dan pertukaran malam dan siang silih berganti, dan juga rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta peredaran angin, semuanya itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaannya, kebijaksanaannya serta keluasan rahmatnya) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.

Oleh demikian, ujar Fauzi, kejadian hujan meteor di Rusia dan terhempas di kawasan pergunungan Urals, tengah Rusia lalu dikenali sebagai meteorit sebenarnya merupakan amaran Allah kepada manusia supaya jangan lalai dan leka dengan kelazatan nikmat dunia.

"Peringatan itu tidak terjadi secara berterusan tetapi secara berkadar. Maka kita boleh melihat ketika selepas peristiwa tsunami suatu ketika dahulu, manusia mula-mulanya insaf. Tetapi tidak lama kemudian, mereka kembali alpa.

"Sehubungan itu, sebagai umat Islam kita jangan lupa tentang tugas di bumi ini iaitu melakukan segala yang Allah suruh dan tinggalkan semua larangannya," ujar beliau.

Fauzi justeru itu mengingatkan umat Islam jangan terlalu sibuk mengejar kelazatan dunia sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka sebenar di dunia ini khususnya dalam soal akhirat kerana bila-bila masa Allah boleh mencabut nyawa dan menurunkan bala.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan agar umat Islam supaya tidak mengaitkan kejadian yang berlaku di Rusia dengan dakwaan kalendar Maya seperti mana pernah ditimbulkan oleh kaum dan tamadun Maya pada hujung tahun lalu.

Menurut Fauzi, persoalan samiyat (ghaib) termasuk hari kiamat merupakan urusan Allah. Selain Allah, tidak seorang pun termasuk para malaikat hatta Nabi Muhammad SAW sebagai kekasih Allah tidak mengetahui bilakah hari kiamat akan berlaku.

Perkara itu berdasarkan sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim apabila malaikat Jibrail bertanyakan kepada Nabi Muhammad SAW berhubung tarikh hari Kiamat. Baginda pun menjawab dengan mengatakan situasi orang bertanya itu menyamai keadaan orang ditanya.

"Umat Islam tidak wajar mempercayai ramalan berkenaan kerana semuanya itu adalah suatu pembohongan sedangkan pada tahun lalu mereka mendakwa akan berlaku hari kiamat. Tanggungjawab kita memperkukuhkan akidah umat Islam dan menegakkan syariat manakala persoalan bila tarikh kiamat, itu kerja Allah," kata beliau.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130222/ba_06/Mungkinkah-satu-peringatan#ixzz2M5GF0hYY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment