Anak manja hidup merana
SAYA tidak nafikan setiap orang ada kelemahan dan kebaikannya. Namun kita tidak boleh berserah kepada nasib jika dirundung malang ataupun menghadapi masalah. Semuanya boleh diperbaiki jika ada semangat mahu memperbaiki diri. Masalahnya, ada orang sanggup berpeluk tubuh dan berserah kepada nasib tanpa mahu berusaha, seperti keluarga bapa saudara saya.
''Bukan niat saya nak hina mereka tetapi saya kesalkan Cu sanggup lihat anak isterinya hidup susah, sedangkan dia berlengkar atas katil tanpa mahu bekerja,'' itu cerita MasEmylia ketika ditemui Isnin lalu.
''Dari kecil hingga kini saya lihat Cu tak pernah kerja tetap. Bila susah minta nenek tolong atau merayu pada adik-beradik. Oleh kerana adik-beradik ramai, ada yang duduk sekitar rumah, jadi senanglah merayu minta bantuan.
''Nenek dah tua dan uzur, maka pakcik Lah ambil tanggungjawab jaga dan duduk di rumah nenek yang besar. Kerana Cu selalu tak ada duit, nenek buatkan dia rumah di belakang rumah nenek, maka semakin malaslah Cu sebab semua dapat free.
''Setiap bulan adik-beradik ayah beri sumbangan kepada nenek, orang yang tolong kikis duit nenek pastilah Cu. Dia minta nenek bayarkan bil elektrik, air, beli barang makan dan macam-macam lagi. Alasannya susah nak cari kerja dan anak nak makan.
''Cu ada tiga anak yang masih kecil, adik-beradik ayah tak sampai hati tengok anak-anak saudara berbogel ke hulu ke hilir tetapi kerana terlalu sangat ditolong Cu bertambah pemalas.
''Dulu katanya tak larat nak bekerja, jadi adik-beradik tolong buatkan gerai lengkap peralatan berniaga kerana dia ada pengalaman berniaga burger. Tapi dia berniaga ikut mood, suka berniaga dia berniaga, bila malas dia tidur di rumah.
''Lagi satu perangai buruk Cu, dia suka berjudi. Bila ada duit lebih sikit dia habiskan di meja judi, balik rumah larut malam, jadi dia memang tak peduli anak isteri ada barang makan atau tidak. Dia cuma lepaskan tekak sendiri saja.
''Sebenarnya perangai buruk Cu ini sejak bujang lagi, suka habiskan duit nenek. Perkahwinan pertamanya bertahan selama lapan tahun sebelum isterinya lari sebab tak sanggup nak tolong Cu bayar hutang. Duit gajinya setiap bulan habis kena bayar hutang ah long. Pernah rumahnya kena simbah cat merah dan isteri Cu diugut.
''Ketika itu bukan saja isteri Cu dan nenek takut, adik-beradik ayah yang duduk berdekatan pun naik takut.
''Mulanya Cu tak mahu ceraikan isterinya, sebab isterinya bekerja tempat dia minta duit, tetapi akhirnya dia bercerai juga sebab Cu tak bagi nafkah selain kes ah long. Lepas tu tak tahu macam mana Cu berani balik rumah, dengar cerita hutang sudah selesai, agaknya nenek yang bayar.
''Lepas tu Cu bekerja tolong orang berniaga dan akhirnya adik-beradik bagi modal. Di situlah dia bertemu isteri barunya, kini ada tiga anak masih kecil. Dulu isterinya juga bekerja, tetapi masalah tak ada orang nak jaga anak dia terpaksa berhenti kerja. Sebenarnya bukan tak ada orang nak jaga tapi kalau tak dibayar upahnya siapa mahu.
''Isteri Cu ni memang bendul. Dia terlalu dengar cakap Cu. Bila ada saudara-mara nak bagi pakaian untuk anaknya, dia kata Cu tak suka, anaknya bukan sampah pakai baju second-hand. Tentu orang terkedu nak beri. Sebenarnya Cu mahu orang beri duit, supaya dia boleh berjudi. Akhirnya adik-beradik tak mahu beri nenek duit, mereka belikan makanan atau ubat untuk nenek. Jadi susahlah Cu minta nenek duit. Namun susah macam mana pun dia tetap malas kerja.
''Satu lagi perangai Cu tak suka campur adik beradik. Kalau nenek atau adik beradik buat kenduri, jangan mimpi Cu akan datang. Pagi-pagi lagi dia bawa anak bininya pergi rumah mertuanya, petang baru balik. Dia akan suruh isterinya ke dapur nenek ambil barang makan bawa balik untuk dia anak beranak makan.
''Sebenarnya Cu tak susah, tak perlu bekerja pun anak-anaknya dapat makan. Takkan nenek dan saudara mara sampai hati tengok anak-anak Cu main tepi longkang atau tepi rumah ketika waktu makan, tentu beri budak tu makan. Jadi senanglah hati Cu.
''Dulu pernah juga suruh isteri Cu kerja bersihkan rumah nenek dan dia dibayar gaji tapi tak lama sebab barang makan di rumah nenek termasuk ikan sayur cepat habis, rupanya isteri Cu bawa balik rumah. Gajinya Cu buat berjudi. Selain itu, pakaian kotor mereka sekeluarga pun dicuci di rumah nenek gunakan mesin basuh, sebab air dan elektrik rumahnya kena potong.
''Mereka sanggup duduk bergelap guna pelita, hinggalah nenek keluarkan duit bayar sebab kesiankan cucu, begitu juga bil air. Cu macam tak ada perasaan kesian langsung pada anak isterinya yang hidup susah.
''Isteri Cu bergantung sepenuhnya pada arahan Cu, apa Cu suruh akan laksanakan. Kalau Cu tak balik dari pagi hingga senja, maka anak-anaknya melalak kelaparan. Kalau kita beri makan makin tak balik rumahlah Cu senang lenang kat luar. Jadi kita terpaksa keraskan hati supaya Cu berubah, malangnya Cu dah tak peduli.
''Isteri Cu pulak bukan jenis pandai ikhtiar. Kalau tak ada makanan, dia tak makanlah. Nak salahkan dia pun tak boleh sebab Cu yang salah. Agaknya inilah salahnya bila anak terlalu dimanja. Nenek terlalu manjakan Cu berbanding anak-anak lain. Akhirnya hidup nenek yang susah terpaksa membantu Cu dari kecil hingga tua.
''Masalah Cu memang teruk, bukan setakat malas bekerja, puasa dan solat pun dia tak pernah buat. Walaupun solat Jumaat dan solat sunat raya. Alasan isteri Cu mereka tak puasa kerana tak ada apa nak makan sahur.
''Bab berhutang dengan adik-beradik memang banyak, ada beratus malah beribu ringgit, tapi Cu tak ada niat nak bayar. Ayah kata Cu memang jenis orang tak suka bayar hutang!
''Tapi wajarkah orang macam Cu dibantu sebab dia pemalas dan kaki judi. OKU pun berusaha untuk hidup. Inilah padahnya anak kalau terlalu dimanja," cerita MasEmylin tentang bapa saudaranya yang tak habis-habis menyusahkan keluarga.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130127/ke_05/Anak-manja-Bhidup-meranaB#ixzz2JKMXXvuU
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment