Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, January 7, 2013

Bapa mangsa rogol: ‘Nama anak saya Jyoti’



Posted on the January 7th, 2013 under Luar Negara by admin

Suspek kes rogol yang didakwa di mahkamah Khamis. Mereka akan dihadapkan di mahkamah esok. – Foto ihsan Mirror UK


NEW DELHI – Gadis yang dirogol dan diserang lebih dua jam oleh sekumpulan lelaki sebelum dia dicampak dari bas bersama rakan lelakinya di New Dehli bulan lalu, sebelum ini hanya dikenali sebagai ‘Anak Perempuan India’.
Tetapi hari ini, bapa gadis malang itu tampil mendedahkan namanya – Jyoti Singh Pandey.

Badri Singh Pandey, 53, memberitahu The Sunday People: “Kami mahu dunia tahu nama sebenar dia.”
http://my.effectivemeasure.net/emnb_18_19945.gif?840724382
“Anak perempuan saya tidak buat sebarang kesalahan. Dia meninggal dunia ketika melindungi dirinya.

“Saya bangga dengan dia. Dengan mengungkap namanya akan memberi keberanian kepada wanita lain. Mereka akan mencari kekuatan dari anak perempuan saya,” katanya.

Badri dan keluarganya tinggal di kampung nenek moyangnya Billia, Uttar Pradesh, utara India. Mereka telah berpindah jauh dari rumah mereka di Delhi – tempat yang akan sentiasa mengingatkan mereka kepada serangan seksual yang kejam terhadap Jyoti, 23.

Isterinya, Asha 46, kelihatan masih terkejut untuk bercakap kepada media.

Badri berkata: “Pada mulanya saya mahu melihat muka lelaki yang bertanggungjawab ke atas kematian anak perempuan saya, tetapi saya tidak mahu berbuat demikian lagi. Saya hanya mahu dengar bahawa mahkamah telah menghukum mereka dan mereka akan digantung.

“Hanya kematian layak untuk kesemua enam daripada mereka. Lelaki-lelaki itu adalah binatang. Mereka harus dijadikan bahan pengajaran dan masyarakat tidak akan membenarkan perkara seperti itu berlaku lagi,” katanya.
Mengimbas kembali hari kejadian, Badri memberitahu, dia baru sahaja pulang selepas jam 2.15 petang waktu tempatan pada 16 Disember dari lapangan terbang Delhi di mana dia bekerja sebagai pemunggah barang.
Ketika pulang, Badri mendapati isterinya resah dan bimbang kerana Jyoti, seorang graduan sekolah perubatan masih tidak pulang dari pawagam.

Badri menambah: “Kami mula memanggil telefon mudah alihnya dan rakannya tetapi tiada jawapan.”
“Kemudian pada 3.30 petang waktu tempatan, kami mendapat panggilan daripada hospital di Delhi memberitahu saya anak perempuan saya ditimpa kemalangan,” katanya.

Badri meminta rakan untuk membawanya ke hospital menaiki motosikal.

Katanya: “Apabila saya tiba di hospital, saya nampak dia di katil dengan matanya ditutup.”

“Saya meletakkan tangan saya pada dahinya dan memanggil namanya. Dia perlahan-lahan membuka matanya dan mula menangis dan berkata dia berada dalam kesakitan. Saya menahan air mata saya. Saya memberitahu dia supaya tidak perlu bimbang, kuatkan semangat dan segala-galanya akan menjadi baik,” katanya.
Pada masa itu, Badri masih tidak tahu apa yang telah berlaku.

Seorang anggota polis akhirnya menjelaskan.

Jyoti dan rakannya Awindra Pandey, 28, telah menaiki bas untuk pulang ke rumah tetapi telah diculik ke dalam dan diserang selama dua setengah jam oleh pemandu, pembantu dan empat penumpang.

Kedua-duanya didera dengan batang besi dan Jyoti telah dirogol berkali-kali sebelum kedua-dua mereka dibogelkan dan dibuang di atas jalan raya menuju ke lapangan terbang Delhi – beberapa meter dari tempat Badri bekerja.

Katanya: “Saya segera memanggil isteri dan anak-anak saya dan memberitahu mereka untuk datang ke hospital.”

“Tetapi saya tidak boleh memberitahu mereka tentang rogol,” katanya.

Sepanjang 10 hari pertama, Jyoti dalam keadaan luar kesedaran dan berharap seluruh keluarganya mengharapkan supaya dia akan terus hidup.

Badri berkata: “Doktor melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan dia.”

“Jyoti ada bercakap beberapa kali tetapi kebanyakannya melalui isyarat tambahan pula dengan paip makanan berada dalam mulutnya, menjadikan dia lebih sukar untuk bercakap.

“Tetapi dia menulis di atas kertas bahawa dia mahu hidup, dia mahu untuk terus hidup dan tinggal dengan kami,” katanya.

Dalam pada itu, Jyoti berjaya memberi polis dua kenyataan. Tetapi Badri terlalu tertekan untuk terus duduk bersama anaknya ketika sesi memberi keterangan. Dia tidak sanggup mendengar bagaimana dan apa yang diperlakukan terhadap anak gadisnya.

“Saya dan isteri menangis begitu banyak selepas mendengar segala apa yang berlaku,” Badri.

“Dia kemudian memberitahu saya apa yang berlaku. Saya tidak mempunyai perkataan untuk menggambarkan kejadian itu.

“Apa yang boleh saya katakan ialah mereka bukan manusia, tidak juga haiwan. Mereka tidak berada di dunia ini.
“Apa yang berlaku sangat mengerikan dan saya berharap tiada siapa yang akan melalui apa yang dia lalui. Dia banyak menangis, dia berada dalam kesakitan. Dan sebaik sahaja dia melihat ibu dan adik-beradik, dia menangis lagi.
“Bagaimanapun, bagi kami, dia seorang gadis yang berani, malah memujuk kami dan memberi harapan kepada kita bahawa segala-galanya akan menjadi baik,” katanya lagi.

Doktor terpaksa membuang usus Jyoti dan selepas itu keadaannya semakin teruk dan kemudiannya menerbangkan dia ke Singapura untuk rawatan pakar.

Badri berkata lagi: “Saya memberitahu segala-galanya akan menjadi OK dan kita tidak lama lagi akan pulang ke rumah.”

“Dia teruja apabila kita bercakap tentang pulang ke rumah dan dia tersenyum.

“Saya meletakkan tangan saya di dahinya, dia bertanya kepada saya, jika saya ada makan apa-apa dan kemudian dia beri isyarat kepada saya supaya pergi tidur. Saya memegang tangan dan memberi dia kucupan. Saya memberitahu dia agar berehat dan tidak perlu bimbang dan dia memejamkan matanya,” katanya lagi.
Ketika Jyoti sedang berjuang untuk hidup, beribu-ribu orang mengadakan tunjuk perasaan menuntut kesemua enam perogol digantung dan undang-undang antirogol baru diwujudkan.

Bagaimanapun, Jyoti telah diserang serangan jantung yang membawa kepada kematian pada 29 Disember.
Badri berkata: “Saya begitu terdesak dan mahu dia terus hidup walaupun dia akan terpaksa hidup dengan memori serangan itu dan mendapatkan melalui trauma.

“Kami begitu kecewa apabila terpaksa menerima berita bahawa dia telah pergi. Terdapat kekosongan besar dalam kehidupan kami. Dia adalah dunia kami. Kehidupan kami berkisar kepadanya.

“Ketiadaannya begitu menyakitkan, masa depan tanpa dia tidak dapat dibayangkan,” katanya lagi.

Badri berkata, Awindra, rakan Jyoti bukan teman lelakinya – hanya seorang kawan yang sangat berani, yang cuba untuk menyelamatkan dia.

Beliau berkata: “Tiada soalan mengahwini beliau kerana kita tergolong dalam kasta yang berbeza.”

“Dia tidak pernah menyatakan hasrat untuk berkahwin. Dia hanya ingin menumpukan perhatian pada pelajaran dan mahu bekerja,” katanya.

Badri juga mendedahkan bahawa Jyoti sering menyebut berapa banyak Awindra cuba untuk menyelamatkan beliau.

“Dia terus memberitahu ibunya dia cuba yang terbaik untuk membantu tetapi mereka telah memukul kawannya itu menggunakan batang besi,” katanya lagi.

Badri kini tinggal dalam kenangan anak perempuannya. Dia sentiasa ingat impiannya menjadi doktor.

Katanya lagi: “Saya memberitahunya, saya tidak mampu untuk membiyai pelajarannya tetapi Jyoti tetap bersemangat. Dia tetap mahu menjadi seorang doktor dan akan mendapat banyak wang dan akan selalu pergi ke luar negara.”

Apabila Badri berpindah ke Delhi pada tahun 1983, dia memperoleh hanya RP$150 (RM8.30) sebulan. Tetapi dia menjual beberapa bidang tanah untuk membiaya pengajian anak perempuannya.

Badri berkata: “Sukar untuk hidup di Delhi dengan gaji saya, tetapi Jyoti selalu berkata dia akan mengubah semua itu.”
“Dia mahu mengubah kehidupan kami sebaik sahaja dia mendapat pekerjaan,” katanya.

Jyoti baru sahaja selesai kursus empat tahun dalam bidang fisioterapi di Delhi. Beliau telah melakukan latihan amali sebelum dia diserang.

Adik-adik lelakinya, Gaurav Singh, 20, dan Saurav Singh, 15, amat rapat dengan kakak mereka dan tidak boleh boleh menerima kejadian yang menimpa kakak mereka.

Gaurav berkata: “Hidup ini akan menjadi begitu sukar tanpa dia. Tanpa bimbingan kakak, saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan atau bagaimana untuk lalui kehidupan ini.”

Badri dan semua keluarga amat tersentuh dengan cara negara menyokong mereka.

Beliau berkata: “Rakyat India telah memberi kami kekuatan untuk menghadapi kehilangan dia. Saya rasa dia bukan hanya anak perempuan saya tetapi juga anak perempuan India.

“Saya pernah membaca tentang kejadian rogol dalam akhbar tetapi tidak pernah berfikir lebih daripada itu. Kami begitu berterima kasih kepada orang-orang yang keluar untuk memprotes terhadap kekejaman itu,” katanya.
Dalam pada itu, ujian DNA telah menyabitkan lima lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun terhadap serangan itu. Lelaki itu akan muncul di Mahkamah Daerah di kawasan Saket India, esok manakala remaja itu akan dibicarakan secara berasingan di mahkamah juvenil.

Badri kini berharap ibu dan bapa akan mengajar anak-anak mereka menghormati wanita.

Beliau berkata: “Pihak polis tidak boleh mengendalikan semua ini sendiri. Tetapi ibu bapa perlu memerhatikan anak-anak mereka juga. ”

Sementara itu, wajah Badri merah menyala apabila dia bercakap mengenai impian Jyoti dan menjemput pemberita melihat melalui album keluarga mereka.

Setiap foto menunjukkan anak perempuan yang cantik tersenyum.

Dalam kebanyakan gambar, dia memakai pakaian barat, yang dia digemari berbanding sari tradisional.
Bagi menghormati Badri, pemberita tidak dibenarkan merakamkan gambar Jyoti. Mungkin pada hari lain.

Undang-undang India melarang menamakan mangsa rogol melainkan jika dia membenarkan atau, jika dia mati, keluarganya bersetuju.

Pada masa ini, adalah cukup untuk keluarga kecewa dan merana kerana membenarkan dunia mengetahui nama anak mereka.

Sinar

No comments:

Post a Comment