Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Thursday, January 3, 2013

Lebih ringkas lebih afdal...yang wajib adalah akad...(jgn nanti sibukkan kelainan, selepas kahwin kerukunan rumahtangga entah kemana2)


'Ikat' cinta dalam air (omputih yang dah banyak buat macam ni, sekarang dah nak dijadikan trend orang melayu pulak ya)....

Hanya lakonan. Pengantin lelaki diakad nikah oleh tok imam disaksikan oleh saksi.

NAMUN ada juga pasangan yang mahu kenangan berkenaan diabadikan dalam bentuk agak ekstrem.

Pasangan ini mahu menjadi pelopor meraikan perkahwinan mereka dengan cara tersebut menerusi perkhidmatan yang dilakukan oleh perunding perkahwinan.

''Kepercayaan pasangan pengantin dan keluarga mereka terhadap seseorang perunding perkahwinan tidak boleh diambil sambil lewa.

"Ini kerana jika kita dapat menunaikan impian perkahwinan mereka dan mereka berpuas hati, nama kita akan disebut-sebut dan dengan sendiri pelanggan akan mencari kita,'' demikian kata Azlihana Abdul Rahim, seorang perunding perkahwinan yang telah tujuh tahun berkecimpung dalam bidang ini.

Menurut Azlihana yang menubuhkan syarikat perunding perkahwinannya sendiri yang dinamakan Emina Online Store, dia sentiasa mencari idea terkini dengan tujuan dapat menunaikan impian perkahwinan sesuatu pasangan.

Azlihana yang ditemui di Gombak, Selangor, baru-baru ini, berkata, sebenarnya seronok menjadi seorang perunding perkahwinan kerana dapat bertukar-tukar fikiran dengan pasangan pengantin mengenai keinginan mereka.

''Pengantin kini sudah berani dan ingin mencuba kelainan. Lagi nampak pelik lagi mereka suka kerana belum ada orang lain lagi yang melakukannya.

''Baru-baru ini saya mendapat idea terbaru, iaitu membuat pelamin di dalam air. Saya rasa belum ada orang lagi yang melakukannya dan saya bertekad untuk menjadikannya satu realiti.

''Bersama-sama tiga orang ahli kumpulan yang terdiri daripada saya dan Syaritzman Mansor sebagai pereka, Napie Moksin sebagai jurugambar dan Azura Hasin sebagai jurusolek, kami berbincang bagaimana pelamin ini dapat diletakkan di dalam kolam,'' ujar Azlihana yang setakat ini telah membuat lebih 50 buah pelamin di sekitar Kuala Lumpur, Lembah Klang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Menurut Azlihana, minatnya sebagai perunding perkahwinan bermula hanya sebagai hobi.

Dia gemar melihat benda-benda yang cantik dan kemudian mencuba mencari idea bagaimana hendak menzahirkannya dan menjadikannya sebagai satu impian yang menjadi kenyataan.

Ibu kepada tiga orang anak yang turut menggemari aktiviti-aktiviti lasak seperti menyelam di lautan dalam, mengembara di dalam hutan, mendaki gunung dan sebagainya ini menambah, idea membuat pelamin di dalam air ini timbul setelah melihat gambar-gambar menarik yang diambil oleh Napie.

Kebetulan anak saudaranya yang baru sebulan bernikah ingin mengadakan majlis persandingan, Azlihana lantas menyarankan supaya persandingan dibuat di dalam air dan anak saudaranya itu bersetuju.

Azlihana memilih konsep ringkas namun cantik bagi pelamin yang dibuat di dalam kolam renang di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Cyberjaya.

Dua buah kerusi besi ditambah dengan besi pemberat diletakkan di dalam kolam.

Pelamin turut dihiasi dengan bunga-bunga tiruan, tiang lilin yang dibuat daripada besi serta tirai kain yang dibuat daripada kain jersi kerana kain ini berat dan tidak terapung.

Sebelum meneruskan perancangan bersanding di dalam air, Azlihana juga akan bertanya pelanggan sama ada mereka tahu berenang pada kedalaman pelamin 1.8 meter sementara 1.4 meter bagi pengantin yang tidak tahu berenang.

''Jika pengantin dapat menahan nafas selama 15 saat saja sudah cukup baik. Bagi mereka yang sudah biasa dan suka berenang, boleh menahan nafas selama 20 saat.

''Pengantin boleh 'tenggelam' di dasar kolam kerana pinggang mereka diikat dengan besi pemberat dan pengantin akan memakai persalinan seperti biasa.

''Selain pengantin, pengiring juga akan masuk ke dalam kolam selain ahli keluarga atau kawan-kawan yang ingin merenjis pengantin. Napie akan turut terjun ke dalam kolam bagi mengambil gambar majlis persandingan yang unik ini," katanya.

Kata Azlihana, membuat pelamin di dalam kolam amat mencabar namun kepuasannya sukar digambarkan,'' jelas Azlihana yang turut menerima tempahan majlis ulang tahun perkahwinan, hari jadi dan sebagainya yang diadakan di dalam air.

Tambahnya, persiapan membuat pelamin dalam air ini mengambil masa selama tiga jam dengan kos RM1,800 ke atas.

Bagaimanapun jika pengantin mempunyai konsep dan idea sendiri mungkin mengambil masa yang lama sedikit.

Azlihana yang membuka tempahan melalui facebook Eminaonlinestor atau talian 012-3450256 merancang pada masa akan datang untuk menambah hiasan pelamin supaya nampak seperti pelamin biasa yang dibuat di rumah, hotel atau dewan. - Oleh MERAN ABU BAKAR


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130102/ke_02/Ikat-cinta-dalam-air#ixzz2GtvlzimP 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment