Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, January 7, 2013

Bermadu dengan anak tiri


KALAU boleh saya ingin nasihatkan wanita yang bergelar balu atau ibu tunggal, janganlah berkahwin lagi jika anda ingin hidup aman tenteram sendirian, tak sakit hati dan bahagia bersama anak-anak sendiri.

''Sebab banyak masalah terpaksa dilalui jika anda berkahwin lagi terutama dengan duda yang mempunyai anak-anak tak kiralah masih kecil, remaja, dewasa mahupun yang telah berumah tangga. Setiap mereka akan membawa masalah dalam kehidupan anda, yang kecil dengan kerenahnya sementara yang dewasa dan berkahwin dengan perangainya bimbang hilang harta pusaka." Itu cerita Norsuraya.

''Sebenarnya saya langsung tidak sangka akan berkahwin lagi setelah perkahwinan pertama gagal pada usia awal 30-an. Sepanjang bergelar ibu tunggal dengan dua anak, saya cukup bahagia dan tidak menduga masih lagi mendapat perhatian lelaki yang ingin mendekati dan mengambil saya jadi isterinya.

''Dalam pada itu tak kurang juga ada kalangan wanita yang mencemburui saya. Maklum bergelar ibu tunggal, mereka bimbang saya akan pikat suami atau curi kekasih mereka.

''Saya tak nafikan semasa masih bergelar anak dara memang saya boleh memilih siapa saja yang saya suka, walaupun pada hakikatnya lelaki yang ada kuasa memilih.

''Rupa-rupanya setelah bergelar ibu tunggal, saham saya masih baik lagi, masih ada harga kerana ada yang masih berminat. Namun terus-terang saya tidak terdesak mencari pengganti kerana anak-anak masih kecil dan saya takut pisang berbuah dua kali.

''Namun ketentuan Allah tiada siapa boleh menduga, setelah 15 tahun bergelar ibu tunggal, saya akhirnya bertemu jodoh dengan seorang duda anak dua. Anak-anak suami baru saya ini kedua-dua nya perempuan berusia awal 20-an.

''Memikirkan anak-anaknya telah dewasa maka saya setuju berkahwin, lagipun bakal suami saya itu nampak baik dan saya rasa kami berdua perlukan teman dan sahabat berkongsi rasa dan masalah bagi menjalani hari-hari tua nanti.

''Tetapi hasrat saya ini mendapat tentangan dan bantahan kuat ayah saya. Katanya dia tak mahu hidup saya susah.

Menggalakkan''Berbeza sekali dengan emak dan adik-beradik saya. Mereka menggalakkan saya segera kahwin. Kata mereka jangan buang masa, mana tahu saya akan menemui kebahagiaan dengan perkahwinan kedua.

''Kerana ramai yang menyokong, saya teruskan hasrat berkahwin. Saya sangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Sungguh tidak disangka, tidak berapa lama selepas berkahwin, rumah tangga kami bergolak. Kalau setakat berselisih faham, itu memang resam berumahtangga tetapi membawa kepada caci-mencaci saya di khalayak ramai.

''Saya rasa amat sedih. Suami tempat saya bergantung harap yang sudah pun berusia 60 tahun bersikap tidak matang. Dialah yang bercerita sana sini memburukkan saya walaupun untuk hal-hal kecil seperti ''hari ni aku makan kedai je..'' Maknanya dia sengaja bercerita kepada semua orang bahawa saya tak masak.

''Walhal kebiasaannya saya masak. Walaupun balik kerja lewat, saya masih berkejar-kejar ke dapur untuk masak. Bukan untuk suami seorang, tapi untuk semua. Cuma kadang-kala bila kerja terlalu banyak di pejabat, saya rasa terlalu letih untuk masak maka saya akan meminta suami makan di kedai, tapi bukan selalu!

''Tapi suami saya bercerita konon dia terpaksa makan di kedai setiap hari. Tujuannya memang nak burukkan saya. Itu cerita suami, kisah anak-anaknya lagi teruk.

''Rupa-rupanya anak-anak tiri tak dapat terima hakikat ayahnya kahwin lagi, walaupun saya ikhlas anggap ayahnya sebagai teman hidup. Pelbagai cacian, maki, hinaan mereka lontarkan di belakang saya. Mulanya saya tidak tahu tetapi satu hari anak teman anak saya bercerita. Terkejut dan terduduk saya sebab tak percaya apa yang saya dengar.

''Betullah kata orang, kita sering ditipu kerana ada manusia mulut manis seperti anak tiri saya. Mereka semua dah besar panjang, seorang masih belajar dan seorang sudah bekerja, takkan nak kawal hidup ayah mereka lagi?

''Akhirnya saya sedar selama ini saya bermadu dengan anak-anak tiri malah merekalah yang menghasut suami membenci saya, hinggakan ayah mereka langsung tidak mahu dengar cakap saya. Dalam semua hal dia tetap utamakan anaknya.

''Lebih menyedihkan semua cerita termasuk dalam kain pun diceritakan kepada anak-anaknya. Semua benda yang saya hendak lakukan di rumah mesti terlebih dahulu dirujuk kepada anak-anak tiri.

''Akhirnya saya sedar bahawa saya hanya diperlakukan seperti bibik yang ditugaskan memasak dan berkemas. Sebagai isteri saya hanya jadi pelayan nafsu suami.

''Dalam pada itu, anak-anak saya amat tertekan tinggal bersama mereka sebab suami sangat berkira soal makan minum di rumahnya. Suami juga sering bersangka buruk dan mencari salah anak-anak saya, ada saja yang tidak kena di matanya.

''Terbaru saya dapat tahu anak tiri menggunakan khidmat bomoh supaya kami bercerai. Sepatutnya kalau tak suka ayah kahwin lagi, beritahu terus terang dari awal. Jagalah ayah sendiri. Ini tidak jangankan kata nak masak, kemas rumah pun tidak, sibuk dengan hal sendiri dan bersosial.

''Sekarang saya tidak mahu banyak fikir lagi, saya tak mahu anak-anak saya stres. Saya tak kisah kembali hidup sendiri. Biar hilang suami jangan hilang anak-anak, " cerita Norsuraya tentang pengalamannya 'bermadu' dengan anak-anak tiri.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130106/ke_03/Bermadu-dengan-anak-tiri#ixzz2HFjSzwqy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

1 comment:

  1. Terima kasih atas perkongsian cerita ini... semoga kita semua mendapat pengajaran..

    ReplyDelete