Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Thursday, January 10, 2013

Bukan Hidup Hartini jer musnah...hidup org keliling pun musnah gara2 orang yang macam Hartini....


Dadah musnahkan hidup Hartini

SIAPA menduga Hartini, (bukan nama sebenar), 32, seorang yang terpelajar sebelum hidupnya dihabiskan sebagai penagih dadah dan bergelandangan di kaki lima Jalan Chow Kit dan sekitarnya.

Dahulu sebelum berkahwin dengan arwah suaminya, dia merupakan penuntut di salah sebuah kolej swasta terkenal di Ampang.

Namun hidupnya berubah apabila berumah tangga kerana suami yang dikenali sebagai seorang yang baik dan penyayang rupa-rupanya adalah penagih dadah.

Berkesempatan bertemu dengannya baru-baru ini, timbul rasa belas terhadap wanita ini. Dengan pakaian yang tidak terurus, keadaan wajahnya nampak jauh lebih berusia daripada umur sebenar dan butir bicaranya juga tidak jelas serta sukar difahami.

Hartini juga mengakui ingatannya juga semakin merosot apabila kini dia kerap lupa dengan secara tiba-tiba, tetapi ingatan akan kembali semula seperti sediakala dalam tempoh tertentu.

Sepanjang temu bual, suaranya tenggelam timbul sehingga kadang kala sukar didengari.

Bercerita lanjut mengenai kisah hidupnya, Hartini mengakui segala musibah yang berlaku dalam hidupnya bermula selepas dia bersuamikan seorang penagih dadah tegar.

"Ketika mula berkenalan, saya tidak tahu dia seorang penagih. Segalanya terbongkar selepas kami berkahwin tetapi waktu itu sudah terlambat dan saya terpaksa menerima saja keadaan suami kerana terlalu sayangkan dia.

"Selain menagih suami juga seorang pengedar dadah. Memang mulanya susah untuk saya terima keadaan tersebut tetapi lama-kelamaan apabila sudah lali dengan tabiatnya itu, akhirnya saya sekali terjebak dengan najis dadah," katanya.

Menurut Hartini, hasil jualan dadah tersebutlah mereka sekeluarga menampung kehidupan bersama-sama tiga orang anak.

"Pada awalnya kami berdua cuba juga sembunyikan kegiatan tersebut daripada pengetahuan anak-anak tetapi akhirnya mereka tahu sendiri apabila terserempak dengan kami yang sedang khayal di bawah pengaruh dadah.

"Kalau sebelum ini secara sembunyi-sembunyi, tetapi apabila rahsia terbongkar kami jadi tak kisah mengambil dadah di depan anak-anak, malah suami pernah membawa anak yang kecil ketika bertemu pelanggan yang mahukan bekalan," katanya terus-terang.

Bagaimanapun keadaan mula berubah apabila suami terlantar sakit selepas disahkan menghidap AIDS akibat jarum suntikan yang digunakan.

Kegiatan menjual dadah terhenti menyebabkan mereka anak-beranak hilang punca pendapatan.

Lebih teruk bagi Hartini apabila dia juga terputus bekalan dadah sehingga membuatkan dia nekad mengambil-alih tugas suami mengedar dadah dan pada masa sama mendapatkan bekalan untuk diri sendiri.

"Pada mulanya memang takut, tetapi kerana terpaksa dan tiada cara lain untuk mendapatkan wang, saya lakukan juga," katanya.

Dalam tempoh dia menjadi pengedar dadah, beberapa kali juga dia keluar masuk penjara semuanya adalah atas kesalahan dadah.

Disebabkan dia sendiri menagih dadah dan jumlah dadah yang ditemui kecil, Hartini terlepas hukuman jantung hanya sekadar di hukum penjara atau dihantar ke pusat pemulihan.

"Selepas suami meninggal, hidup semakin tidak terurus. Tanggungjawab semakin berat kerana saya terpaksa membesarkan tiga orang anak yang masih kecil.

"Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, selepas kematian suami saya pula disahkan menghidap virus HIVpositif akibat berkongsi jarum suntikan dengan dia.

"Saya akui keadaan hidup saya ketika itu sangat teruk sebagai penagih dadah tegar ditambah lagi dengan penyakit yang dihadapi. Saya mengambil keputusan menghantar anak-anak ke kampung untuk dijaga keluarga di sana.

"Saya beri alasan saya telah mendapat kerja di Kuala Lumpur dan tiada orang untuk menjaga anak-anak ketika keluar bekerja.

"Apa yang berlaku adalah sebaliknya, kerana tiada satu pun pekerjaan yang mampu saya lakukan dengan keadaan saya yang tidak terurus dan sakit.

"Buat beberapa ketika saya hidup sebagai orang gelendangan di kaki lima Jalan Chow Kit dan sekitarnya sehinggalah saya berkenalan dengan seorang rakan yang juga seorang pelacur jalanan," katanya.

Rakan tersebut mencadangkan agar Hartini mengikutnya menjual tubuh untuk mendapatkan wang.
Walaupun awalnya berasa takut, dia memberanikan diri mencari 'pelanggan' demi mendapatkan wang untuk membeli dadah.

"Kalau tak kerja macam mana nak dapat untuk membeli dadah. Itupun, kadang-kadang terpaksa mengikat perut kerana tidak mempunyai wang untuk membeli makanan.

"Pendapatan yang diperoleh dalam satu malam tidak banyak. Bergantung kepada pelanggan, paling tinggi pun RM30 hingga RM50. Dalam dengan keadaan diri yang sakit dan tidak sihat, saya hanya larat melayan seorang hingga dua orang pelanggan sahaja dalam satu malam," katanya.

Hartini berkata, ada ketikanya dia menerima wang ihsan daripada pelanggan yang sedang dilayan, walaupun ketika itu tidak dapat menawarkan khidmat yang baik untuk mereka kerana keadaannya yang selalu lemah dan sakit.

"Virus HIV yang merebak dalam diri sudah berada pada peringkat teruk. Kadang-kadang seluruh badan jadi lemah dan tidak bermaya," katanya yang tidak pasti sampai bila akan hidup dengan keadaan sedemikian.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130109/ke_01/Dadah-musnahkan-hidup-Hartini#ixzz2HXhUQg6e
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment