Edar dadah, perdagang tubuh
WAJAHNYA cengkung. Badannya sangat kurus ditambah rambutnya yang tidak disikat membuatkan dirinya kelihatan tidak terurus. Kadang-kadang mata bulatnya mengerling ke kiri dan ke kanan ketika temu bual dijalankan.
Sesekali Dewi, (bukan nama sebenar), 35, terbatuk-batuk dan kelihatan buih-buih putih terkeluar dari mulutnya, namun cepat-cepat dia menyapu dengan tuala yang terletak di dalam poketnya.
Jelas kelihatan pada perlakuannya itu, kesengsaraan yang amat sangat akibat menahan kesakitan ketika virus HIV semakin kronik 'memakan' dirinya.
Dewi sanggup berkongsi kisah hidupnya dengan penulis walaupun ketika itu kesihatannya semakin merosot.
Akuinya, adakalanya dia menjadi sangat pelupa terutamanya apabila kerap sangat menyuntik dadah ke dalam dirinya.
"Dulu sebelum datang ke Kuala Lumpur, aku tinggal dengan keluarga di Johor. Waktu aku datang ke sini umur baru 13 tahun.
"Aku ambil keputusan untuk lari dari rumah pun sebab aku malu dengan diri aku. Waktu umur sebelas tahun aku dah tahu aku hidap HIV positif.
"Aku dapat HIV bukan sebab ayah seorang penagih, tetapi aku telah berkongsi jarum dengan kawan-kawan yang sama-sama guna dadah. Waktu itu aku sangat gian, aku guna sahaja jarum yang ada darah itu," katanya.
Katanya lagi, setelah tahu dia adalah penghidap HIV, Dewi terasa dirinya begitu hina dan malu untuk berhadapan dengan keluarga. Tambahan ketika itu dia terpaksa menjaga ayahnya yang sedang terlantar sakit akibat kaki patah.
"Ayah aku juga seorang penjual dadah, dia juga adalah bekas banduan dari Pulau Jerjak. Setiap hari aku perlu uruskan ayah dan memasak untuknya. Kadang-kadang timbul perasaan risau jika penyakit yang aku hidap akan berjangkit kepada ahli keluarga lain.
"Akhirnya, kerana semakin tertekan dengan keadaan tersebut dan selalu memikirkan keselamatan mereka, aku telah mengambil keputusan untuk lari dari rumah," katanya.
Tambahnya, apabila datang ke Kuala Lumpur dia telah berkenalan dengan seorang rakan. Rakan tersebut yang banyak membantunya ketika di dalam kesempitan dan mereka juga sama-sama menghisap dadah.
"Aku ambil dadah jenis heroin. Dalam sehari aku mesti nak 'benda' tu. Kalau tidak ambil memang aku jadi gian. Seluruh badan aku jadi lemah.
"Sampai bila aku nak minta bantuan dari dia (rakan). Nak kerja pun aku tak boleh sebab kelulusan tak ada. Tambahan keadaan penagih seperti aku ni siapa yang nak ambil bekerja dengan mereka," katanya.
Dewi berkata, selain menjadi penagih, dia juga menjadi pengedar kepada penagih-penagih lain di sekitar Kuala Lumpur.
"Dalam pada masa yang sama, aku juga menjadi pengedar kepada penagih-penagih di Chow Kit dan Jalan Tunku Abdul Rahman. Mereka ni seperti aku juga, apabila dah gian memang kami tak boleh nak kawal diri. Jika dah dapat 'benda' itu barulah rasa lega sedikit.
"Aku juga mengedar dadah di Segambut dan Kepong . Tapi tidak banyak wang aku boleh dapat dari jual dadah sebab kena bahagikan dengan tauke," katanya.
Tambahnya, kerana desakan hidup dan wang tidak mencukupi untuk membeli dadah, dia akhirnya telah terlibat dengan dunia pelacuran.
"Setiap hari aku kena ambil benda tu, tapi duit tak cukup. Jadi aku terpaksa menjual diri untuk mendapatkan wang lebih.
"Dalam kumpulan pelacuran, aku tidak bergerak seorang diri. Kami dijaga oleh bapa ayam. Bapa ayam ini akan mengawal setiap pergerakan kami. Tapi aku percaya dengan tauke aku, sebab apabila berada dalam kelompok ini aku rasa lebih selamat," katanya.
Namun ujarnya, bekerja sebagai pelacur juga tidak menjanjikan pulangan yang lumayan. Jadi, untuk mendapat wang yang lebih, kumpulan ini mengambil kesempatan mencuri wang daripada pelanggan yang sedang dilayan.
"Ketika mekakukannya, kami akan memilih setiap pelanggan yang datang. Ketika salah seorang daripada kami sedang menjalankan kerjanya melayan pelanggan berkenaan yang seorang lagi akan bersembunyi di bawah katil atau di sebalik pintu.
"Setiap kali ketika pelanggan sedang dilayan, seluarnya akan disangkut di dinding. Tanpa disedari pelanggan, kami akan memeriksa secara senyap jumlah wang dalam poket seluar tersebut dan mencurinya," katanya.
Dewi berkata, jumlah wang yang ada dalam seluar tersebut akan menentukan sama ada pelanggan tersebut akan terus dilayan atau terus ditinggalkan.
"Ada perkataan khusus yang digunakan untuk memastikan sama ada pelanggan tersebut memiliki banyak wang atau sebaliknya.
"Perkataan seperti 'Kopi-O', bermaksud pelanggan tersebut tiada wang, 'Operasi' sekiranya wang yang berada di dalam poket lebih kurang RM 5,000 dan 'Ikan besar' paling kami gemari kerana pelanggan ini mempunyai simpanan sebanyak lebih RM10,000 dalam poketnya.
"Tetapi duit yang diperoleh hasil curian itu akhirnya terpaksa dibahagikan kepada empat bahagian termasuk tauke," katanya.
Ujarnya, sepanjang hidup bergelumang dengan najis dadah dan memperdagangkan tubuh, dia telah ditangkap sebanyak 24 kali dan dilepaskan setelah diikat jamin oleh tauke.
"Sekarang saya sudah tidak melacur lagi, namun masih mengambil dadah. Semua aktiviti pelacuran itu telah saya tinggalkan beberapa tahun lepas kerana sudah tidak berdaya memandangkan keadaan yang semakin lemah akibat virus HIV.
"Kalau nak makan dan minum sekarang hanya berharap ihsan orang ramai yang memberikan sumbangan di tepi -tepi jalan," katanya ketika mengakhiri temu bual berkenaan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130102/ke_01/Edar-dadah-perdagang-tubuh#ixzz2Gt1QvWrm
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment