Rahsia pecah di kubur
SEBENARNYA saya tak suka nak campur urusan ibu bapa, tetapi keadaan memaksa saya ambil tahu. Semakin lama disimpan semakin meruntun jiwa. Dengan bercerita di ruangan ini, saya harap dapat tenteramkan hati saya dan emak yang benar-benar kecewa.
''Sejak ayah meninggal dunia, fikiran emak berkecamuk kerana ayah pergi meninggalkan kami dengan pelbagai masalah yang sukar untuk dijawab apa lagi menyelesaikannya.'' Itu cerita Nurkumala dan emaknya baru-baru ini.
''Siapa sangka wanita yang bersama-sama emak menghantar ayah ke kubur ialah isteri ayah. Wanita itu datang bersama anaknya yang masih kecil. Nak pengsan bila kami diberitahu siapa dia ketika orang masjid, saudara mara dan jiran sibuk nak kebumikan jenazah ayah.
"Siapa tak terkejut? Katanya dia baru sampai dari KL dan nak sangat tengok ayah.
''Peristiwa itu bukan sahaja mengganggu kami adik-beradik, tetapi menjadi bahan cerita tetamu yang datang menziarah dan menghantar jenazah ke kubur. Kami bukan sahaja terkejut malah bingung campur geram. Sebab kami tak pernah tahu ayah kahwin lain. Apa yang kami tahu, ayah ceraikan emak setelah 28 tahun kahwin. Saya tak tahu apa alasan ayah sebenar, tetapi kata emak, ayah mahu bersendirian.
''Cuba bayangkan, selama ini ayah membohongi kami sekeluarga. Memanglah berkahwin hak ayah, tetapi mengapa sorok? Lebih sedih ketika ayah berkahwin kali kedua, ayah belum ceraikan emak. Mereka masih suami isteri.
''Memang betul ayah tidak perlu minta kebenaran emak untuk berkahwin lagi, tetapi pembohongan ayah menyusahkan kami adik-beradik hingga kini terutama apabila melibatkan wang pencen untuk adik kami yang masih belajar.
''Memang emak tak boleh marah sebab emak tak ada hak. Emak cuma bekas isteri, sepatutnya isteri barunya lebih berhak. Masalahnya ketika ayah sakit, siapa yang jaga dan merawat ayah? Emak jaga ayah kerana fikirkan dia ayah kami.
''Tambahan pula ayah sendiri pulang ke rumah kami ketika sakit, takkan emak sampai hati tak jaga dan sediakan makan minum ayah. Mengenangkan dia ayah kami, jasa dan budi ayah selama ini maka emak sanggup jaga ayah.
''Apa yang amat menyedihkan kami adik-beradik selepas kematian ayah, macam-macam masalah berlaku. Bermula dengan wanita yang mengaku isteri ayah. Tidak lama kemudian kami dapat tahu wanita tersebut juga bekas isteri ayah. Mereka berkahwin kira-kira lapan tahun sebelum bercerai.
''Pendek kata perkahwinan ayah kami tak tahu, perceraiannya juga kami tak sedar. Semuanya berlaku dengan penuh rahsia. Sememangnya ayah pendiam dan terlalu banyak berahsia dengan kami begitu juga kepada ibu. Ayah juga tidak berapa suka berbual dengan anak-anak.
''Sebagai anggota beruniform, ayah sering bertukar tempat kerja demi tugas mempertahankan negara. Oleh kerana kami masih bersekolah, emak jarang ikut ayah malah ayah sendiri tak mahu kami mengikutnya berpindah.
''Oleh kerana kami masih terkejut dan kebingungan dengan kejadian yang berlaku ketika kematian ayah, dalam kealpaan kami, bekas isteri kedua ayah menjalankan misinya.
"Sepantas kilat dia menghantar permohonan terhadap pencen ayah ke bahagian pesara tentera sedangkan dia juga cuma bekas isteri ayah, sama dengan emak saya.
''Kami cuma tahu tindakannya beberapa bulan kemudian ketika menghantar borang dan memohon pencen untuk adik kami yang masih belajar. Ketika itu barulah cerita terbongkar. Dia mengaku mempunyai seorang anak angkat.
''Di sini saya ingin bertanya apakah taraf anak angkat kepada bahagian pencen tentera. Layakkah dia dapat pencen ayah angkat? Bolehkah dia menuntut harta pusaka dan pencen?
''Pada mulanya, pihak jabatan pencen tentera memberitahu kami berempat beradik tidak layak dapat duit pencen ayah sebab kami sudah bekerja. Emak juga tidak layak sebab sudah bercerai, namun setelah diberitahu adik masih belajar, barulah adik bongsu kami layak tetapi berkongsi dengan anak angkat ayah. Kami amat kecewa.
''Setelah mohon duit pencen, wanita tersebut buat pula permohonan melalui mahkamah supaya kami serahkan kereta yang baru ayah beli dan rumah yang kami duduki sekarang kepadanya. Kami amat sedih, tapi kami serahkan kereta tersebut kepadanya, tambahan pula kereta baru itu masih belum habis bayaran ansurannya.
''Tetapi bab memberikan hak ke atas rumah yang kami diami sekarang rasanya ini sudah keterlaluan! Kami tahu dia ada beli rumah ketika menjadi isteri ayah, tapi kami tak tuntut pun.
''Rumah kami sekarang hampir 20 tahun ayah beli. Bila ayah meninggal, pihak insurans perumahan kerajaan membebaskan rumah tersebut daripada kami membayar ansurannya..
''Setelah berbincang anak-beranak, kami berusaha pertahankan rumah ini, sebab inilah sahaja harta ayah yang kami ada. Kami berusaha menghubungi Jabatan Perumahan Kerajaan untuk mencari bukti tentang hak kami. Jika rumah ini pun dia hendak ambil di mana kami adik-beradik nak tinggal? Ini memang tak adil. Di mana hak kami? Sudahlah kami tidak berhak ke atas duit simpanan ayah dalam bank.
''Sebenarnya bekas isteri ayah ini seorang ibu tunggal anak tiga sebelum berkahwin dengan ayah. Dia diceraikan dua tahun sebelum ayah meninggal. Tarafnya sama seperti emak.
''Kesimpulannya kami adik-beradik kecewa dengan sikap ayah yang penuh rahsia selama ini. Pemergiannya meninggalkan kami dengan pelbagai masalah untuk kami tanggung,'' luah Nurkumala yang masih berusaha mempertahankan rumah yang didiami bersama emak dan adik beradiknya selama ini daripada dirampas bekas isteri arwah ayahnya.
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment