Posted on the January 7th, 2013 under Tempatan by
admin
KENANGAN… Safwan
(kiri) insaf selepas kehilangan dua sahabat baik.
Seperti kemiskinan, kekayaan boleh menjadi dugaan hidup, apatah lagi
memilikinya pada usia muda. Maklumlah masa muda merupakan waktu di mana nafsu
mahu mencuba segala nikmat dunia berada di puncak dada.
Itulah pengalaman dikongsikan Safwan (bukan nama sebenar). Sebagai
permulaan cerita dia menyatakan kesyukuran kerana perjalanan hidupnya sejak
kecil sering dipermudahkan.
Di sekolah walaupun bukan pelajar paling cemerlang, prestasi pelajarannya
dalam kategori baik. Dikelilingi kawan-kawan, Safwan menjalani kehidupan remaja
dalam suasana gembira.
“Sejak sekolah rendah saya ada empat kawan rapat – Jeff, Azrul, Din dan
Min. Kami membesar dan bermain sama sejak kecil sebab tinggal berjiran. Kami
seolah-olah tak dapat dipisahkan,” ujar Safwan.
Selepas tamat SPM, bagai sudah berjanji kelima-lima mereka mendapat
tawaran melanjutkan pelajaran di sebuah IPT sama, mengambil kursus serupa. Hal
ini membuatkan persahabatan mereka tambah erat.
Ketika bergelar penuntut mereka jalani hidup bersama; daripada aktiviti
pelajaran hinggalah aktiviti luar lain. Keseronokan merempit, mencuba dadah dan
mengunjungi pusat hiburan turut diterokai berlima. Lebih daripada itu, mereka
turut menjalankan perniagaan menjual ganja dan pil khayal.
“Kami sepakat tak mahu kerja dengan orang. Jadi lepas tamat belajar kami
gunakan keuntungan jual ganja untuk buka perniagaan bersama,” kata Safwan.
Pada mulanya mereka mengusahakan perniagaan kafe siber. Hasil diperoleh
agak lumayan namun lama-kelamaan, ia kian merosot membuatkan mereka mula
mencongak peluang perniagaan baru.
“Sudah rezeki Tuhan nak bagi, kami dapat kontrak eksport lintah ke
Jepun. Peluang itu terus diambil. Kami usahakan ternakan lintah di tanah yang
dipajak,” ujar Safwan.
Sejak itu kehidupan mereka berubah agak total. Memanglah sebelum ini
mereka tidak susah sangat dari segi duit, namun saat itu hidup bertukar lebih
mewah lagi.
Walaupun selepas diagihkan kepada lima, jumlah untung diterima masih
sangat besar untuk dibelanjakan apatah lagi bagi orang muda seperti mereka.
Langkah kian panjang. Semua keseronokan dunia ingin dicuba.
Aktiviti melancong dan berbelanja sakan menjadi perkara biasa. Pada masa
sama judi, minuman keras dan perempuan turut menjadi makanan harian. Meskipun
rumah sewa mereka masih di Lembah Klang, ibu bapa dan keluarga jarang-jarang
sekali dikunjungi. Safwan, Jeff, Azrul, Din dan Min hanyut dalam kehidupan
sendiri.
“Mungkin sebab keluarga ada juga bekalkan ilmu agama waktu kecil,
kadang-kadang masa tengah khayal dek minuman keras atau dadah kami sempat
berbual soal kehidupan. Bertanya satu sama lain, sampai bila nak macam ni? Apa
yang kita buat ni berdosa tahu? Tapi walaupun masing-masing tahu dan setuju
susah untuk tinggalkan perkara haram. Maklumlah benda seronok kan,” ucap
Safwan.
Tak ingat mengucap
Satu hari, ketika sedang melepak, Min mengajak mereka semua ke satu
tempat untuk berjudi. Namun apabila kawan-kawan lain tampak bermalas-malas, dia
ambil keputusan untuk bergerak dahulu.
“Kami janji akan datang kemudian. Tapi tak sampai 15 minit lepas dia
beredar, saya dapat satu panggilan daripada telefon bimbit Min,” ujar Safwan.
Panggilan bagaimanapun dibuat oleh orang lain. Menurut pemanggil, Min
terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Kuching. Safwan dan lain-lain segera ke
tempat kejadian.
Setibanya di sana, Min masih sedar namun sudah tak mampu bersuara. Safwan,
Din dan Jeff menemaninya dalam ambulan menuju ke Hospital Kuala Lumpur manakala
Azrul, memandu kenderaan sendiri.
“Dalam ambulan, kami saling berpandangan dalam keadaan panik lihat Min
sedang nazak. Petugas ambulan minta kami ajar Min mengucap tapi entah macam
mana terpacul dari mulut Jeff, ‘kami tak ingat macam mana nak mengucap pakcik’.
“Petugas itu kemudiannya mengajar Min mengucap. Min menghembuskan nafas
terakhir sejurus selepas itu,” ujar Safwan.
Selepas kematian Min, mereka berempat agak tersentak. Aktiviti harian
dan perniagaan diteruskan seperti biasa tapi tak serancak dulu. Apabila duduk
bersama mereka lebih banyak berdiam diri melayan perasaan masing-masing.
Begitu pun, sekali sekala pengambilan dadah dan alkohol masih
diteruskan. Keseronokan dunia tetap digunakan untuk merawat hati yang sedih
kerana kematian sahabat.
“Satu malam, Jeff tiba-tiba ajak kami balik ke rumah ibu bapanya kerana
rindukan ibunya. Oleh sebab keluarga Jeff dah macam keluarga sendiri kami nak
ikut tapi mahu menyusul kemudian dengan kereta berasingan,” kata Safwan.
Bawa haluan sendiri
Bagai dejavu, tidak lama selepas Jeff keluar, Safwan sekali lagi
menerima panggilan telefon daripada orang tak dikenali. Katanya Jeff kemalangan!
Maka mereka bergegas ke tempat kejadian. Sepanjang perjalanan kesemua mereka
bagai tak keruan kerana masih diimbau kejadian menimpa Min yang belum pun
sampai sebulan.
“Jeff meninggal dunia selepas dibawa ke hospital. Kami terduduk menerima
berita itu. Ia terlalu sukar dihadamkan fikiran. Belum pun hilang terkejut
kehilangan Min, kini Jeff pula menyusul,” ujar Safwan.
Kali ini kematian Jeff benar-benar meninggalkan impak. Safwan, Azrul dan
Din bagai kehilangan kata-kata. Semuanya terlalu mengejut.
“Kami mula berbual tentang dosa yang pernah dilakukan bersama-sama. Kami
sama-sama setuju ini wake up call dari ALLAH agar kami bertaubat,” ujar Safwan.
Seminggu selepas kematian Jeff, Azrul dan Din menemui Safwan di sebuah
restoran. Azrul menyatakan hasrat untuk membawa diri, sementara Din lebih
banyak berdiam.
“Selepas pertemuan itu, saya tak lagi tahu khabar berita mereka.
Kedua-duanya menghilangkan diri begitu sahaja. Sampailah dua tahun lalu, saya
bertemu Azrul secara tak sengaja di Pulau Pinang. Penampilannya sudah jauh
berubah. Dia masih menyatakan kekesalan atas dosa lampau.
“Din pula sampai sekarang tak tahu apa khabar berita. Terakhir saya
dengar, dia sertai tabligh,” kata Safwan.
Bagi Safwan sendiri, kematian Min dan Jeff meninggalkan kesan yang bukan
sedikit. Dia mula mendekatkan diri dengan keluarga dan kembali pada tuntutan
agama.
Perniagaan yang diusahakan bersama kawan-kawan baiknya sebelum ini turut
dijual kerana terlalu banyak kenangan mengusik jiwa untuk diteruskan. Buat masa
ini, dia mengambil keputusan untuk bekerja makan gaji sahaja.
“Kubur kedua-dua sahabat saya itu tidak jauh dari kawasan perumahan,
jadi setiap hari saya akan melewatinya setiap kali pergi dan balik kerja.
Sekurang-kurangnya, ia mengingatkan saya bahawa kematian sangat dekat dengan
manusia tidak kira berapa usia kita.
“Maka rugilah jika kita terlalu leka dengan nikmat dunia hingga abaikan
persediaan ke alam kekal kelak,” ujar Safwan yang baru menginjak ke usia 28
pada 8 Disember 2012 lalu.
Sinar
No comments:
Post a Comment