Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Thursday, January 31, 2013

Jaga hubungan baik suami isteri

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin


Tiada sesiapa pun yang ingin melihat alam rumah tangga dibina menjadi ‘neraka dunia’. Malah, niat tulus setiap pasangan bermula detik diijabkabulkan adalah bagi membina kehidupan sejahtera dalam kerangka tanggungjawab bersama suami isteri dan anak dengan mencontohi sunah Nabi SAW.

Namun, sebaliknya mendukacitakan apabila rumah tangga dibina berkecai di tengah jalan. Dilihat kepada perangkaan pada 2011 saja, sebanyak 27,355 kes perceraian direkodkan di seluruh negara.

Kita hairan mengapa boleh berlaku kes sebanyak itu sedangkan pelbagai langkah sudah dan sedang dilaksanakan demi melahirkan kehidupan rumah tangga yang harmoni. Kursus, seminar, bengkel kemahiran keibubapaan dan entah apa lagi namanya sering digerakkan secara aktif, namun impaknya masih jauh daripada yang diharapkan.

Sekiranya kita teliti, banyak faktor sebenarnya yang mengakibatkan keruntuhan rumah tangga, antaranya sikap amarah tanpa kawalan dan panas baran suami terhadap isteri. Pantang ada sedikit kesilapan, isteri menjadi mangsa kemarahan suami. Isu remeh dipandang serius manakala yang kecil sengaja diperbesarkan.

Dalam mengatasi perasaan marah, Rasulullah SAW menasihatkan kita supaya berusaha merendam emosi itu bagi mengelakkan impak negatifnya menular kepada gejala yang lebih kronik. Sebenarnya, menahan marah juga adalah lambang kekuatan iman dan sesiapa yang gagal mengawalnya menunjukkan imannya rapuh.

Gelojak perasaan marah membuak-buak mampu ditangkis sekiranya jiwa kita disirami keutuhan dan wibawa iman yang padu terhadap Allah. Konflik dan bibit situasi kurang menyenangkan sepatutnya bukan saja dihidu, tetapi dirawat seawal mungkin bagi mengelakkan diri daripada terkena hasutan syaitan yang sentiasa merancang untuk memusnahkan kehidupan kita suami isteri.

Syaitan sentiasa bersedia menunggu tanpa putus asa untuk menjahanamkan kerukunan rumah tangga dengan cara halus. Oleh itu, kita juga jangan sesekali lekas berputus asa, sebaliknya tabah untuk mencari titik penyelesaian dan perdamaian apabila timbul konflik.

Usah sakiti isteri Bagi si suami, kebijaksanaan dalam mengemudi rumah tangga itu penting. Contohnya, dalam mengelolakan kaedah berkomunikasi bersama si isteri, perlulah dalam nada bicara yang lemah lembut, tidak mengguris dan menyakitkan hati, malah tidak sekali-kali merendahkan dan memperlekehkan isteri.

Kita sedia maklum bahasa pertuturan ada ketikanya menjadi punca salah faham. Lain ditutur, lain yang difahami. Jangan sampai tersalah cakap perkara berkaitan talak kerana parah akibatnya.

Dalam perkara ini, mari kita lihat pesanan Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud: “Orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, dia wajar menyatakan perkara yang baik ataupun diam.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Seterusnya baginda SAW tinggalkan satu lagi pesanan mengenai penggunaan gaya komunikasi berhemah seperti tegasnya: “Allah tidak suka lelaki yang bersuara tinggi. Dia menyayangi lelaki yang bersuara lembut.” (Hadis riwayat al-Baihaqi) Dua pesanan baginda SAW itu seharusnya menjadi pedoman buat lelaki bergelar suami dalam menjaga hubungan dengan isteri dan ahli keluarga yang lain. Inilah bentuk komunikasi yang mampu menjernihkan situasi dan membangunkan rukun sejahtera yang menceriakan dalam sebuah rumah tangga. Tetapi mungkin juga ada si suami yang mengatakan bukan semua lelaki bersikap panas baran dan suka marah-marah! Malah, si isteri juga suka buat hal, gemar berleter tak tentu pasal. Balik sahaja dari tempat kerja, dah dengar suara leteran isteri, sedangkan penat bekerja belum hilang. Jika berdepan situasi ini, bagaimana kita mahu menanganinya? Menurut pakar psikologi, antara langkah perlu diambil ialah jangan membiarkan isteri memulakan bicara sekiranya mendapati beliau sedang naik angin. Ini kerana apabila suami yang memulakan bicara, tindakan itu insya-Allah akan mampu mengurangkan tekanan emosi isteri secara berkesan.
Demikian juga, seandainya isteri bercakap dan meluahkan emosinya, cubalah bawa bertenang sambil menumpukan pada gaya bahasa badan yang kita simpati dengannya. Jangan dicelah-celah percakapan isteri, suami mengeruhkan lagi situasi dengan dakwaan menyakitkan hati.

Pada waktu sebegini suami perlu tunjukkan sikap wibawa dan ingat apa yang pernah dipesan Rasulullah SAW: “Jangan marah! Jangan marah! Jangan marah!” (Hadis riwayat Bukhari) Sematkan kalimah ini sekemas-kemasnya di dalam hati kita dan insya-Allah apabila bersemuka dengan situasi yang mengemosikan jiwa pasti kita mampu mengawal diri dan sentiasa kelihatan ‘cool’. Suami yang mampu mengawal tekanan emosi marah adalah seorang suami berjiwa murni dan berkredibiliti unggul. Kemudian, seorang suami juga tidak usah terburu-buru membela diri, sekiranya waktu dirasakan belum mengizinkan. Tunggu dan cari waktu sesuai untuk berbuat demikian. Ini kerana Nabi SAW pernah memberitahu kita dalam satu hadis bermaksud: “Saya menjamin ke syurga untuk orang yang meninggalkan perdebatan sekalipun dia benar.” (Hadis riwayat Muslim) Elakkan pergaduhan Bertelingkah dan berdebat sampai tegang urat leher sekalipun akan memberikan impak negatif terhadap kerukunan hubungan suami isteri. Sebab itu Rasulullah SAW menegah kita terus berdebat, meskipun percakapan kita itu untuk membela diri ataupun membetulkan keadaan. Tunggu dan cari waktu lebih tenang, pasti yang kusut dapat dijernihkan kembali. Jadi, dalam hubungan suami isteri pengawalan emosi amat mustahak dan jangan membiarkan diri hilang kawalan iman. Bertindaklah dalam kerangka yang berhemah dan bijaksana demi menjadikan hubungan sentiasa erat dan menceriakan. Insya-Allah anda sebagai suami mampu lakukan. Ingatlah! Rapuh iman, retak hubungan.



Penulis Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah
Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/31

No comments:

Post a Comment