Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Wednesday, March 30, 2011

Bung Moktar perlu kemuka statistik pemandu wanita berbahaya

KUALA LUMPUR 29 Mac - Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin diminta mengemukakan statistik kemalangan melibatkan pemandu wanita bagi membuktikan pemanduan golongan tersebut amat berbahaya seperti didakwanya.

Yang Dipertua Persatuan Siswazah Wanita Malaysia, Datin Fauziah Ramly berkata, ahli politik itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan demikian tanpa sebarang bukti.

"Tanpa bukti kukuh beliau tidak layak membuat dakwaan itu. Ia jelas menunjukkan beliau memperlekehkan keupayaan pemandu wanita," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bung Moktar pada sidang Dewan Rakyat semalam mendakwa pemanduan kebanyakan wanita di negara ini amat berbahaya sehingga boleh mengundang kemalangan.

Fauziah menyangkal dakwaan itu dengan menegaskan, wanita memandu dengan berhati-hati tanpa mengikut perasaan berbanding golongan lelaki.

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Ivy Josiah pula menyifatkan Bung Moktar sebagai seorang yang seksis berikutan kenyataannya itu.

"Beliau juga pernah mengeluarkan kenyataan yang menunjukkan diskriminasi terhadap wanita di Parlimen pada 2007 dan kini beliau mengeluarkan kenyataan sama.

"Ini jelas menunjukkan beliau tidak menghormati wanita. Ia juga menunjukkan beliau tidak peka dengan kajian pemanduan di Malaysia yang mengatakan pemandu lelaki sering melanggar peraturan di jalan raya," ujar beliau.

Komen:  Saya juga seorang wanita yang memandu kenderaan samada ke pejabat, pasar dsbnya...pahit untuk ditelan apa yang Bung Mokhtar katakan...tapi mmg ada kebenarannya... kebanyakan wanita bila memandu tak pandang kiri kanan, org lain pulak yang kena hati2 dengan wanita yang memandu..nak masuk simpang tak bagi signal...nak berhenti di tepi jalan tak bagi signal... nak tukar laluan dilebuh raya tak bagi signal... suka potong barisan...memandu perlahan di laluan kanan.. maaf kalau ada yang terasa... tetapi itu adalah hakikat yang terpaksa ditelan...kadang2 saya sendiri menyumpah seranah dalam kereta bila pemandu tak reti nak bg signal bila nak masuk simpang dsbnya... dan saya akan perhatikan pemandunya...hah... pempuan... sedih sebab kaum wanita ini sepatutnya lebih berdisiplin berbanding lelaki... tetapi sebaliknya...bila kita hon...dia buat muka dek ajer...siap pandang ke lain... dah lah lalai...pekak lak tu... so dengan komen dari Bung itu..ubahlah persepsi lelaki terhadap pemandu wanita...biarkan org lelaki ajer yang buat salah atas jalan...kita wanita kena tunjukkan yang kita lebih berdisiplin...bukan melenting ya Datin Fauziah...mungkin lelaki yang banyak accident tu cuba mengelak wanita yang memandu dengan bahaya...????

Tuesday, March 29, 2011

mee segera

bahan penambah kebanyakannya bahan kimia dibenarkan ditambah di dalam mi segera oleh Codex, piawaian makanan WHO/FAO. Gambar di atas menunjukkan bahan ramuan itu.

Daripada 136 bahan penambah itu, 24 daripadanya adalah garam natrium, di samping garam makan juga turut ditambah. Disebabkan itulah kenapa mi segera mengandungi natrium yang tinggi. Satu paket mi segera sahaja boleh mengandungi kira-kira maksimum pengambilan harian yang dibenarkan 2,400 mg natrium.

Di samping banyak bahan penambah dan paras natrium yang tinggi, mi segera juga mengandungi jumlah lemak yang tinggi. Kebanyakan mi segera digoreng dalam proses pembuatannya. Menurut Majlis Pengguna Hong Kong (HKCC) dan Pusat Keselamatan Makanan (CFS), sampel 3 cawan mi segera didapati mengandungi lebih daripada 30g daripada jumlah lemak bagi setiap pakej, yang merupakan lebih daripada 50% daripada had pengambilan harian bagi jumlah lemak untuk diet 2,000-kcal.

Huraian lanjut, sila dapatkan akhbar Utusan Pengguna keluaran Nov-Dis 2010.

10 Ramuan Melampau Dalam Mi Segera

Adakah mi segera makanan sebenar atau makanan palsu? Apakah bahan penambah ini sebenarnya dan sejauh manakah ia selamat? Berikut beberapa ramuan yang mungkin anda mengambilnya bersama dengan mi segera anda.

Kalsium Sulfat:    Kapur Paris.

Asid Tartarik: Bahan kimia yang digunakan dalam julap dan untuk memutihkan cermin. Lebih beracun berbanding 100% alkohol tulen.

Kalsium Oksida: Digunakan rawatan sisa buangan dan dalam racun serangga.

Tertiary Butylhydroxyquinone (TBHQ): Produk berasaskan petroleum; satu bentuk butane (cecair dalam pemetik api).

BHT: Risiko karsinogen dan kesan berbahaya kepada ginjal.

Propyl Gallate: Satu xenoestrogen (sebatian seperti hormon). Boleh memberikan kesan sampingan kepada pembiakan, perkembangan janin yang sihat dan menghalang pengeluaran sperma

Pentasodium triphosphate: Bahan pencuci paling berkuasa (sering digunakan dalam bahan cuci), bahan samak untuk kulit; juga digunakan dalam pengeluaran kertas, penapisan petroleum, aplikasi lombong dan rawatan air.

Propylene Glycol: Pelarut sintetik yang dianggap racun neurologi. Digunakan untuk pembuatan bahan pendingin, antibeku automotif, cecair yang berfungsi dalam tekanan hidraulik dan sebagainya. Jumlah berlebihan yang diambil boleh membawa kepada kerosakan buah pinggang.

Polydimethylsiloxane:Digunakan dalam kanta sentuh, syampu (untuk menjadikan rambut berkilat dan licin), minyak pelincir dan jubin tahan panas.

Pewarna tiruan (contohnya: Sunset Yellow FCF dan Tartrazine): Menyumbang kepada hiperaktiviti dalam kalangan kanak-kanak; mungkin turut menyumbang kepada gangguan visual dan pembelajaran, kerosakan saraf; mungkin menjadi penyebab kanser.

Komen:  Anak2 suka benor makan benda2 nih...

Tazkirah : Gambaran Kiamat

Sila baca sampai habis, hayati dan renungkan bagaimanakah keadaaan kita nanti, yang amalan kita selama di dunia ini sangatlah jauh jika dibandingkan dangan para Alim-Ulama, apatah lagi dengan para sahabat Nabi.

*sekadar gambar hiasan.
Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.
Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.  Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.
 
Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.  Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.  Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
- Pemimpin yang adil.
- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.
- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.
Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.  Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.
‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.  Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.
Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.  Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.
Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.  Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.  Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.  Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :

- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)
Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.  Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.  Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.

Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.

Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
Sedekah/amal jariahnya.
Doa anak²nya yang soleh.
Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.
 
sumber: Amar Sufi .
 Komen:  Sekadar peringatan untuk diri sendiri dan bagi rakan2 yang melayari blog mami.

Monday, March 28, 2011

Wang tidak boleh beli segala-galanya


PEGAWAI Jabatan Pengangkutan Jalan melakukan operasi pemeriksaan cermin gelap kenderaan. - Gambar hiasan


BAGI sesetengah orang, wang berkuasa menyelesaikan banyak masalah malah boleh melancarkan urusan dan jaminan untuk mencapai sesuatu matlamat.

Namun ramai tidak menyedari kuasa wang jugalah menyebabkan ramai tersungkur dan musnah kerananya. Wang juga menyebabkan kita silap membuat pilihan sehingga menjejaskan reputasi dan masa depan.

Satu kisah benar yang dipaparkan Jejak Rasuah minggu ini memberi iktibar bahawa wang tidak boleh membeli segala-galanya.

Seorang pengurus syarikat swasta yang dikenali sebagai Lim juga termasuk dalam golongan yang mempercayai wang boleh membantunya daripada disaman dalam satu operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Operasi yang dijalankan di Lebuh Raya Utara-Selatan menghala Melaka bertujuan untuk mengesan pengguna cermin gelap melebihi had dan tanpa surat kebenaran.

Lim yang memandu kereta Mercedes-Benz berwarna hitam tidak menyangka keretanya ditahan kerana menggunakan cermin tingkap terlalu gelap.

Dia bagaimanapun dengan angkuh mendakwa merupakan orang kenamaan (VIP) dan memperlekehkan tindakan seorang anggota penguat kuasa JPJ yang dikenali sebagai Daud.

Daud dengan tenang meminta Lim menunjukkan sebarang surat kebenaran untuk menggunakan cermin gelap namun lelaki itu gagal berbuat demikian.

Berikutan itu, Daud mengeluarkan buku notis untuk dicatat maklumat peribadi Lim dan kesalahan yang dilakukannya, tetapi tidak semena-mena Lim merayu agar dia tidak disaman.

Lim yang ketika itu dalam perjalanan ke satu mesyuarat untuk menandatangani satu tender penting, mula terfikir untuk memberi rasuah kepada penguat kuasa tersebut agar urusannya tidak tergendala.

Tiba-tiba Lim menghulurkan wang berjumlah RM400 kepada Daud tetapi anggota JPJ itu enggan menerimanya.

Tanpa Lim sedari, tindakannya itu sedang diperhatikan oleh seorang pegawai SPRM, dikenali sebagai Ismail yang berada tidak jauh daripada mereka.

Ismail memperkenalkan dirinya sebagai pegawai SPRM kepada Lim dan menahannya kerana telah cuba menyogok Daud ketika menjalankan tugas supaya tidak disaman atas kesalahan menggunakan cermin gelap pada kenderaannya.

Komen:  Daripada kena denda kerana cermin kenderaan gelap ajer...terus kena tahan kerana cubaan merasuah.. padan ngan muka... semoga semua anggota PDRM dan SPRM amanah dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab .... bravissimi...

Friday, March 25, 2011

Sah ada unsur pluralisme - Jamil Khir

KUALA LUMPUR 24 Mac - Dipetik dari Akhbar Utusan Malaysia (Laporan Dari Parlimen)

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan ucapan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim di London pada 18 Mac tahun lepas mempunyai unsur-unsur pluralisme agama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, antaranya ucapan tersebut mempertikaikan sifat eksklusif kebenaran yang hanya terdapat di dalam agama Islam.

Selain itu katanya, ucapan tersebut mengakui fahaman The Transcendent Unity of Religions melalui konsep universal sufism (satu kebenaran banyak jalan), konsep kesamarataan agama, menafikan konsep benar dan sesat, terpengaruh dengan faham Falsafah Abadi (Perennial Wisdom) serta Kesatuan Metafizik (Metaphysical Unity).

"Berkenaan ucapan yang disampaikan oleh Yang Berhormat (YB) Permatang Pauh di London, Jakim telah mengkaji ucapan tersebut dan terdapat unsur-unsur pluralisme agama," katanya ketika menggulung perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam perkembangan sama Jamil Khir berkata, Jakim sentiasa memantau dan mengkaji sebarang pemikiran yang menyeleweng termasuk pluralisme agama.

Malah jelasnya, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-74 pada 25-27 Julai 2006 memutuskan berkenaan gerakan pemikiran liberal yang mengandungi fahaman-fahaman menyeleweng telah menyenaraikan konsep pluralisme agama sebagai salah satu doktrin sesat lagi menyesatkan.

Sementara itu, Jamil Khir berkata, pelbagai program penerangan akan disusun supaya masyarakat dapat memahami dengan lebih jelas mengenai fahaman pluralisme dan liberalisme.

Komen;  Macam-macam hal lah dengan Anwar Ibrahim ni...kenapalah mesti seseorang yg mengaku beragama islam ini memutarbelitkan ke peringkat antarabangsa pemikiran yang begini...dia kena muhasabah dan bersyahadah semula kalau dah sah dia berucap mengenai perkara tersebut....hanya kerana cita2 dia yang takkan kesampaian itu, dia sanggup memperjudikan agama.. nauzubillah

Saham bumiputera tinggal RM2b (dari jumlah RM52b)

KUALA LUMPUR 24 Mac – Saham milik syarikat-syarikat bumiputera di negara ini cuma tinggal RM2 bilion iaitu penyusutan sebanyak RM52 bilion berbanding jumlah asal bernilai RM54 bilion yang diperuntukkan oleh kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penyusutan ketara itu disebabkan sikap negatif masyarakat bumiputera sendiri yang tidak menghargai dan mengoptimum peluang diberi, sebaliknya lebih gemar terperangkap dalam soal hak.

Katanya, kerajaan sedar banyak pihak akan marah apabila mereka dihadapkan dengan fakta tersebut sedangkan untuk menyelesaikan isu itu, masalah sebenar perlu dikenal pasti sebelum menyelesaikannya.

“Inilah kerugian dan pembaziran bukan sahaja kepada individu tetapi masyarakat bumiputera secara keseluruhan jika kita hanya memberi tumpuan terhadap hak tanpa mengoptimumkan peluang yang terbit daripada hak tersebut,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap sempena Anugerah ICT Persatuan Industri dan Usahawan ICT Bumiputera Malaysia (NEF)-Awani di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Utusan Malaysia merupakan rakan media bagi anugerah berkenaan.

Mengambil iktibar daripada kesilapan tersebut, Najib tidak mahu masyarakat bumiputera abad ke-21 berterusan terperangkap dengan polemik hak yang tidak berkesudahan.

Sebaliknya, beliau mahu golongan tersebut bangkit menjadi sebuah masyarakat yang berdaya tahan serta mampu mencipta kejayaan dengan menerokai pelbagai peluang dalam bidang yang masih belum diterokai.

Menurutnya, masyarakat bumiputera perlu berubah jika tidak mahu dilihat sebagai kaum yang gemar meminta-minta, cepat berpuas hati serta suka berada dalam zon selesa agar tidak berterusan ditinggalkan kaum lain.

“Pertarungan hari ini adalah pertarungan minda dan kemahiran. Siapa yang berilmu dan menguasai maklumat, dialah kudrat yang mempengaruhi persekitaran. Oleh itu, jangan kita bersikap dogmatik dan berpuas hati dengan bentuk berbanding isi,” katanya 

Menyentuh mengenai perkembangan ICT di Malaysia, Perdana Menteri bangga kerana negara kini mempunyai asas yang kukuh dalam bidang tersebut terutama dalam aspek pembangunan perisian, aplikasi serta sebagai pembekal.

Tambahnya, industri ICT memainkan peranan yang amat penting dalam memenuhi hasrat kerajaan untuk menjayakan Model Baru Ekonomi (MBE) dengan berpaksikan pengetahuan serta inovasi.

Komen:  ???

Dosa racuni hati, perasaan

Oleh Ustaz Zawawi Jusoh, Harian Metro (Tazkirah) 25/03/2011

MENJADI nikmat paling berharga dalam kehidupan manusia apabila memiliki jiwa tenang. Jiwa tenang akan sentiasa berbahagia dalam mengharungi setiap cabaran, malah masih mampu tersenyum menghadapinya.

Jiwa tenang tidak mudah berputus asa, mengeluh dan berperasaan hasad dengki kerana semua sifat mazmumah itu boleh memusnahkan diri.


Semua cabaran kehidupan perlu dihadapi dengan sikap positif kerana perjuangan memupuk sifat terpuji akan melahirkan jiwa tenang. Dalam dunia moden ini, penyakit jiwa dikenali sebagai gangguan psikologi.

Ia memerlukan rawatan segera kerana kesannya amat buruk sekali kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Alangkah manisnya jika kita memiliki jiwa yang penuh dengan ketenangan dan ketenteraman.
 
Kegelisahan yang melanda diri seseorang menyebabkan mereka mengalami kebingungan. Ketika itu diri terasa tiada tempat lagi untuk mengadu.

 

Jiwa tak tenteram sebenarnya mempunyai sebab tersendiri. Antara sebab utamanya adalah melakukan dosa. Dosa adalah racun yang meracuni hati dan perasaan.

Maka kita mesti menjauhi segala kejahatan yang disebabkan daripada anggota badan. Tujuh anggota badan paling berpengaruh dalam melakukan dosa adalah mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki sehingga ada ulama yang mengatakan, Allah menciptakan tujuh neraka itu sebagai tempat menyeksa anggota yang melakukan dosa.

Mata hendaklah digunakan bagi melihat perkara yang baik dan indah, bukan yang haram atau yang lucah. Telinga mendengar yang baik-baik, bukannya mendengar sesuatu yang mengandungi nilai maksiat dan haram seperti mendengar umpatan dan fitnah.

Perut mesti diisi dengan makanan yang halal. Sebab yang menjadikan diri tidak tenang juga berpunca daripada hati kotor. Bukan saja dengan dosa tapi juga akhlak tercela.

Rasulullah bersabda maksudnya: "Sesungguhnya malaikat tidak masuk rumah yang ada anjing." Dimaksudkan dengan malaikat ialah ketenangan yang dibawa. Rumah pula ialah hati manakala anjing adalah menggambarkan sifat dan akhlak tercela.

Jika kita mempunyai akhlak tercela, hati bertindak sebagai rumah itu pasti menjadi kotor dan ketenangan tidak akan datang menjenguk.

Malaikat rahmat tidak akan berada di tempat tinggal mereka tetapi syaitan yang akan 'menetap'.

Sifat tercela membuatkan seseorang sering menjadi risau. Hasad dengki pula membuatkan mereka tidak suka melihat orang senang, bersifat takbur, ego serta sombong.

Itulah tekanan pertama dialami syaitan ketika kejadian Adam a.s kerana bimbang Adam menandinginya. Begitu juga ujub dan riak kerana sifat demikian berpunca daripada perasaan mereka mahu dilihat sempurna sedangkan orang lain dipandang rendah.

Begitu juga sifat bakhil atau kedekut. Mereka tidak akan pernah tenang, hatinya akan terikat dengan harta, cinta harta tak salah tapi kedekut itu buat orang gundah.

Cintakan kemasyhuran dan popular langsung tiada perasaan rendah diri, hati akan gelisah. Sifat pemarah membuatkan orang menjadi pendendam. Hanya rasa takut kepada Allah saja boleh menghilangkan rasa marah itu.

Al-Quran memberi petunjuk kepada manusia bagaimana untuk merawat jiwa yang tidak tenteram. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Wahai umat manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu al-Quran yang menjadi penasihat (pengajaran) daripada Tuhan kamu dan menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin (jiwa) yang ada di dalam dada kamu serta menjadi petunjuk (hidayah) untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman." (Surah Yunus ayat 57).

Bahkan amalan membaca dan menghayati isi kandungan al-Quran mampu mententeramkan jiwa. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: "Tidak berkumpul sesuatu kaum di dalam sesebuah rumah dari rumah-rumah Allah, mereka membaca kepadanya Kitab Allah (al-Quran) dan membincangkannya bersama-sama, melainkan turun ke atas mereka 'as-sakinah' (ketenangan) dan diliputi mereka dengan rahmat dan dinaungi mereka oleh malaikat dan Allah menyebut amalan mereka itu di hadapan makhluk Allah yang ada di sisi-Nya." (Riwayat Bukhari ).
 
Komen:  Ya Allah Ya Tuhanku, jauhkanlah diriku dari mempunyai sifat2 tercela dan moga kehidupan harianku sentiasa dalam keberkatan bersama suami dan anak2...Amin Amin Ya Rabbal Alamin..

Thursday, March 24, 2011

Rugi sia-siakan usia dengan kemaksiatan

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
2011/03/24

Muslim mesti sentiasa beringat manfaat kehidupan di dunia untuk kesejahteraan di akhirat

NIKMAT kehidupan yang dikurniakan Allah kepada setiap hamba-Nya ialah gambaran cinta dan kasih sayang yang tidak terbanding. Kesusahan hilang dengan kesenangan, kejahilan lenyap dengan pengetahuan, kesakitan terhapus dengan kesihatan dan kegelapan berganti gemerlapan.

Terlalu banyak nikmat dilimpahkan kepada isi dunia ini, tinggal lagi kita memanfaatkan setiap satunya dengan harapan untuk mendapat keberkatan dari-Nya. 

Ada manusia cuba menghitung nikmat, membandingkannya dengan kesusahan hidup dihadapi, lalu ternyata kemewahan hidup yang Allah kurniakan tidak terkira dengan jari. Nikmat melihat, mendengar, merasa, berfikir malah berkongsi kehidupan penuh kasih sayang tidak akan diperoleh jika tiada kuasa yang menganugerahkan. Tentu kita tidak boleh menyesali kepayahan dan kesukaran hidup di dunia, malah anggaplah ada hikmah menanti sementara iman diuji, tetapi berusahalah untuk mencari kesenangan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah An-Nahl, ayat 18)

Ada kala kita tidak sedar apa yang dimiliki hari ini adalah nikmat, bahkan ada orang lain yang tidak dapat merasainya. Sebab itu kita tidak harus lupa mensyukuri segala kemurahan hati Allah SWT menganugerahkan sebuah kehidupan lengkap. Cuma, ada kemudahan yang Allah sediakan tidak dapat dimanfaatkan akibat sikap manusia yang tidak tahu menghargai nikmat.

Sikap manusia yang mudah lalai dan lupa menyebabkan nikmat dikurniakan tidak memberi apa-apa faedah kepada manusia itu sendiri. Usia yang panjang sepatutnya diisi dengan kebajikan dan faedah kepada diri sendiri serta orang lain.

Malangnya, ada yang menghabiskan kehidupan dari awal hingga saki bakinya dengan judi dan zina. Tidak pula terkilan dengan kezaliman dan kejahatan meragut atau merompak, bahkan ada kehidupan orang lain yang terkesan dengan kejahilan ini.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak berganjak kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan dan ilmunya untuk apakah ia gunakan dan harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan dan juga tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya.” (Hadis riwayat At-Tirmizi) Buat orang yang berhati-hati menjaga amanah Allah, mereka tidak akan alpa dengan kemewahan dunia kerana sedar semuanya adalah pinjaman saja, sebaliknya berusaha meningkatkan limpahan rahmat dan nikmat itu.

Ia supaya nikmat Allah yang ada padanya dapat dikongsi dengan orang kurang berkemampuan kerana orang yang tidak melupakan hari akhirat walaupun dunia ini menjanjikan seribu kemewahan adalah orang yang tidak membazirkan nikmat Allah dengan keangkuhannya sebagai manusia.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan ingatlah bahawa kehidupan dunia ini meliputi segala kesenangan dan kemewahan, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat tidak lain hanya ibarat hiburan dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, kalaulah mereka mengetahui hakikat ini tentu mereka tidak akan melupakan hari akhirat.” (Surah Al-Ankabut, ayat 64)

Diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tirmizi: “Daripada Abdul Rahman Abi Bakrah dari ayahnya, seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah! Siapakah sebaik-baik manusia? Berkata Rasulullah: Sebaik-baik manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya dan umur itu dipergunakan untuk berbuat kebaikan. Berkata lelaki itu lagi: Siapakah sejahat-jahat manusia? Maka Rasulullah berkata: Sejahat-jahat manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya tetapi digunakannya untuk berbuat kejahatan.”

Usia panjang adalah satu nikmat tidak ternilai kerana dengannya kita terus dapat beribadat, merasai kehidupan, berkongsi kebahagiaan dan merencana masa depan. Jika nikmat usia ini diambil semula pemiliknya maka kita tiada peluang untuk terus menjadi hamba yang taat dan bersyukur.

Sebab itu jika kita beringat bahawa setiap yang bermula itu ada akhirnya, maka usia adalah satu peringatan sangat bermakna. Justeru, jika kita mengerti nikmat Allah yang satu ini tidak boleh dirayu jika Allah menghendakinya semula, apalah daya kita.

Sedangkan bertahun lamanya Dia berikan kita peluang dan ruang untuk memanfaatkannya demi kehidupan lebih abadi. Janji-janji kosong juga tidak mampu menukar qada’ dan qadar-Nya, dan kita sepatutnya sedar bahawa kematian adalah pengakhiran.

Oleh itu, sedang pintu taubat sentiasa terbuka, jangan kita longlai usaha untuk menjadi insan berguna.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom
 
 Komen:  Peringatan untuk diri sendiri dan sebagai hidangan ruhani bagi yang sudi melayari blog mami...Moga Allah swt melindungi kita dari godaan syaitan yang sentiasa berusaha untuk menjerumuskan kita ke arah kemaksiatan...Perlu diingat...betapa bnyknya cabang maksiat hingga mata dan telinga juga boleh menjadi perantara yang menyebabkan kita melakukan maksiat...nauzubillah...

Friday, March 18, 2011

Muhyiddin cabar Anwar serah DNA

Dipetik dari Utusan Online

KUALA LUMPUR 17 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menyerahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) kepada mahkamah untuk menyelesaikan kes liwatnya jika beliau benar-benar tidak melakukan sebarang kesalahan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Anwar tidak perlu memutar-belit persoalan pokok berhubung kes liwat itu kerana desakan supaya beliau menyerahkan DNA adalah suara umum rakyat Malaysia.

"Buat apa Anwar perlu takut kerana pendakwaan kes liwat bukan isu politik, sebaliknya isu perundangan yang keputusannya terletak pada mahkamah.

"Kalau dia tidak lakukan apa-apa kesalahan macam saya, berilah DNA. Saya tiada masalah, saya boleh bagi DNA kepada pihak berkuasa. Soalnya rakyat hendak tahu kebenaran. Jadi, dia (Anwar) janganlah putar belit, kaitkan dengan pihak lain pula. Tidak ada kena mengena langsung kerana inilah kes yang sedang dibicara," katanya di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Anwar yang berterusan cuba mengaitkan pihak lain dalam isu desakan rakyat supaya beliau menyerahkan DNA kepada mahkamah.

Ahad lalu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), rakyat perseorangan dan pemimpin politik mengadakan siri demonstrasi di seluruh negara bagi mendesak Anwar menyerahkan DNA.

Kata Muhyiddin, lagi cepat Anwar serahkan DNA, maka lebih cepat kebenaran diketahui.

Menurutnya, ketua pembangkang itu sepatutnya memenuhi tuntutan rakyat dan bukannya mencipta seribu satu alasan yang tidak munasabah.

"Kalau Anwar tahu dia tak bersalah, apa nak takut, buat sajalah dan lepas itu mahkamah akan dapat bukti kukuh untuk membuat keputusan yang rakyat nanti-nantikan," katanya.

Komen:  Anwar bukan melayu sejati...anak melayu pantang dicabar...kalau dia benar tentu sebelum dicabar dan disuruh...dia akan meng'offer'kan DNAnya untuk dibuat bandingan... tapi apa yang dibuat? pencacai2nya buat kerja yang dia suruh..fitnah orang lain untuk mengalihkan perhatian... kalau tuan hakim kita bijaksana...DNA anwar akan dipintanya barulah tamat cerita anwar peliwat negara...ewahh...macam pantun lak.. BETUL TAK?

Nilai semula penggunaan bahasa Melayu di sektor awam, swasta

Dipetik dari Utusan Online


Muhyiddin Yassin, Dr. Rais Yatim, Datuk Maglin Dcruz (kiri), Joseph Salang Gandum dan Kamaruddin Siaraf memegang bola kaca semasa merasmikan Pembudayaan Bahasa di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 17 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu kaedah perlu dirangka bagi menilai tahap pencapaian dalam penggunaan bahasa Melayu di kalangan sektor awam dan swasta untuk satu jangka masa yang telah ditetapkan. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia bagi memastikan segala dasar dan perancangan pembangunan negara tercapai dengan optimum dalam era kepimpinan negara yang menekankan kepada Indeks Prestasi Utama (KPI).

Penilaian itu, jelas beliau, menjurus kepada tahap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara dengan diberi keutamaan dan status yang sewajarnya.
"Sebagai contoh dalam urusan surat menyurat, pengendalian mesyuarat, ucapan dan perbincangan. 

''Selain itu, risalah dalam menyampaikan maklumat organisasi kepada masyarakat bagi tujuan promosi dan publisiti juga sewajarnya mendahulukan bahasa Melayu," katanya. 

Beliau berucap merasmikan Program Pembudayaan Bahasa anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi Dan Kebudayaan di Kompleks Kraf Tangan, hari ini. 

Hadir sama, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; timbalannya, Datuk Joseph Salang Gandum dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamaruddin Siaraf. 

Muhyiddin menambah, bahasa Melayu amat penting kerana ia menjadi benteng bagi memperteguh jati diri bangsa. 

Ini kerana menurut beliau, suasana dan persekitaran yang mewujudkan bahasa Melayu ditunjangi dengan nilai kesantunan yang tinggi dan budaya ketimuran.

"Terdapat banyak nilai baik di dalamnya yang boleh kita jadikan panduan dan pedoman," katanya.
Muhyiddin berkata, globalisasi dan ledakan teknologi maklumat hari ini telah melahirkan dunia tanpa sempadan dan sekatan. 

Interaksi manusia, jelas beliau, menjadi semakin luas dan pantas melalui bukan sahaja secara bersemuka, atas talian malah di alam siber. 

"Kita juga seharusnya tidak ketinggalan dan perlu seiringan dengan perubahan yang berlaku dan jangan sesekali berundur ke belakang," katanya. 

Menurut Muhyiddin, situasi hari ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi penggunaan bahasa Melayu yang mana unsur-unsur keunikan serta keagungannya menjadi longgar, rapuh dan mudah dicemari kerana dicampur aduk penggunaannya dengan bahasa-bahasa lain sewenang-sewenangnya. 

Pencemaran bahasa itu, katanya, sedikit sebanyak telah menghakis identiti asli bahasa Melayu dan rasa hormat terhadap bahasa Melayu turut pudar kerana dicampur aduk mengikut selera dan kehendak hati."Ledakan ini telah menjadikan bahasa Melayu semacam berada di belakang berbanding bahasa-bahasa lain," katanya.Akibatnya kata Muhyiddin, kelangsungan bahasa Melayu mendepani zaman sekarang melalui saat yang sangat getir.

Komen:  Malaysia tetap Negaraku, Bahasa Melayu tetap Bahasa Utamaku, Bangsaku Bangsa Melayu...kemana sekalipun kaki melangkah...eropah telah ku jelajah...negara matahari terbit telah ku redah...namun aku tetap megah dengan Negara, Bangsa dan Bahasa Ibundaku... TPM cuba menyerapkan patriotism kepada rakyat Malaysia, rasanya yang paling akan menggelabah ialah yang pertuturan harian mereka mandarin/tamil/english...dan jarang sekali berbahasa malaysia tetapi mengaku rakyat malaysia...mereka-mereka inilah yang patut dihantar belajar bertutur dan menulis dalam bahasa malaysia... walaupun begitu tidak dinafikan ada segelintir melayu yang suka berspeaking walaupun org tanya dia dalam bahasa malaysia macam Zeti Aziz... Ungku Aziz sibuk pertahankan bahasa melayu, anak dia cakap bahasa melayu pun pelat....

Hanya derita

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
 
AMPANG: Walaupun masih kecil, dia terpaksa menanggung kesakitan dipukul, malah ada kalanya wajah kecilnya itu akan ditampar selain turut dirotan sehingga luka.
 
Lebih menyayat hati, tangisan kanak-kanak itu langsung tidak diendahkan ibu tirinya yang tergamak memukul tubuh anak kecil itu sehingga cedera dan lebam.

Itulah penderitaan yang ditanggung kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang terpaksa menahan kesakitan bersendirian apabila kecederaan dan luka yang dialaminya tidak diubati.

Tidak cukup dengan itu, kanak-kanak malang terbabit turut menjadi mangsa dera bapa kandungnya sendiri.

Dalam kejadian terbaru di rumah bapa kandung mangsa di Taman Putra Sulaiman, di sini, kira-kira jam 1 tengah hari semalam, seorang jiran mangsa yang tidak sanggup lagi melihat penderitaan kanak-kanak terbabit bertindak menghubungi talian Nur.

Menurut sumber, sebaik mendapat panggilan berkenaan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bergegas ke rumah keluarga mangsa.


“Sebaik tiba di rumah berkenaan, pegawai JKM mendapati rumah yang didiami mangsa dalam keadaan berkunci dari luar dan tidak berpenghuni.

“Pegawai JKM bertindak bertanyakan mengenai hal kanak-kanak itu kepada jiran mangsa dan mereka mendakwa sering melihat kanak-kanak itu didera,” katanya.

Sumber berkata, pegawai JKM diberitahu jiran, mangsa ditinggalkan di rumah pengasuhnya di blok sebelah pangsapuri berkenaan.

Kanak-kanak lelaki itu sering mengadu didera bapa dan ibu tirinya kepada jiran mereka yang melihat kesan lebam pada badan dan muka kanak-kanak terbabit.

“Pegawai JKM yang pergi ke rumah pengasuh mangsa melihat keadaan tubuh mangsa ternyata terdapat kesan cedera pada bahagian muka, kepala dan badan,” katanya.

Atas keprihatinan pihak JKM, mangsa dibawa ke hospital berhampiran bagi menerima rawatan dan mendapatkan laporan perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan akibat didera.

Difahamkan, sepanjang perjalanan kanak-kanak itu ke hospital, dia mendakwa dipukul, dirotan dan ditampar ibu tirinya.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Menurutnya, polis sudah menahan bapa kandung mangsa untuk siasatan lanjut.

Komen:  Dimanakah gerangan rasa kasih dan sayang si bapa kandung terhadap anaknya itu?  Kalau ibu tiri tu lumrahnya begitulah (mami tak kata semua ya), belum tentu apa yang diperlihatkan sebelum bernikah akan sama sesudahnya...kebelakangan ini...ibu kandung pun ada yang aniaya anak sendiri....dimana letaknya kewarasanmu wahai ibunda dan ayahnda...tidak ku minta lahir ke dunia untuk didera tapi disayangi...letaklah diri kita ditempat anak2 ini...kasihanilah mereka...

Marah punca masalah besar

Oleh Mohd Shahrizal Nasir
rencana@hmetro.com.my
KITA sebagai manusia biasa, semestinya ada kekurangan dalam diri. Begitulah fitrah kejadian manusia. Sebab itu, kita dianjurkan Islam untuk sentiasa ingat-mengingati sesama Muslim supaya kekurangan itu dapat diatasi dengan cara yang terbaik. 

Marah adalah sifat yang ada dalam diri setiap manusia. Sifat itu dicipta bagi menilai sejauh mana tahap kesempurnaan iman seseorang Muslim.

Bagi Muslim yang benar-benar memiliki takwa, sememangnya mudah untuk menghindari sifat marah dalam diri. Sifat marah dikatakan antara punca berlakunya masalah yang lebih besar.

Jika seseorang tidak dapat mengawal perasaan marah, pergaduhan besar boleh berlaku, malah tidak mustahil hingga mendorong pembunuhan yang dahsyat. 

Syaitan sentiasa mengimpikan manusia tinggal bersamanya di neraka, lantas melakukan apa saja untuk mencapai impiannya itu.

Justeru, setiap individu Muslim harus sedar, jika mereka gagal mengawal kemarahan dalam diri, bererti mereka tewas dengan tipu muslihat syaitan.

Menjauhi sifat marah antara nasihat peninggalan Rasulullah. Perkara itu dijelaskan Rasulullah dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah, bahawa ada seorang lelaki (Abu Darda’) berkata kepada Rasulullah: “Berikanlah aku nasihat,” Baginda bersabda: “Jangan marah”. Maka orang itu mengulangi permintaannya beberapa kali, Nabi menjawab: “Jangan marah”. (Hadis riwayat Bukhari).

Perkara ini dijelaskan lagi Rasulullah dalam sebuah hadis lain. Pada satu ketika, terdapat dua orang yang saling mencela di sisi Rasulullah. Seorang mencela lawannya dengan penuh kemarahan hingga berubah wajahnya. Maka Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya aku ajarkan satu kalimah yang kalau diucapkan, pasti hilang apa yang ada padanya. Iaitu sekiranya dia mengucapkan: Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Daripada hadis di atas, jelas menunjukkan syaitan berusaha memanfaatkan sifat marah bagi memporak-perandakan umat Islam. Sifat marah dalam diri adalah musuh utama manusia.

Sememangnya umat Islam dikehendaki sentiasa memohon perlindungan daripada Allah supaya dijauhkan daripada syaitan yang dilaknat.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-A’raf, ayat 200).

Selain itu, secara jelas, Islam memberi jalan penyelesaian bagi mengawal marah. Antaranya seperti yang terdapat dalam hadis di atas iaitu dengan membaca ta’awwuz (a’uzu billahi min al-shaytan al-rajim).

Kalimah itu diajar Rasulullah kepada sahabat untuk mengawal rasa marah.

Rasulullah juga menganjurkan supaya umat Islam yang sedang dikuasai sifat marah untuk mengubah keadaan fizikal mereka ketika itu.

Umpamanya apabila seseorang itu sedang marah dalam keadaan berdiri, dianjurkan supaya dia duduk.

Sabda Rasulullah: “Jika salah seorang antara kamu marah sedang pada saat itu dia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah dia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah dia berbaring.” (Hadis riwayat Abu Dawud dan Ahmad).

Begitulah keindahan Islam yang amat prihatin terhadap umatnya. Pelbagai cara dan kaedah dianjurkan bagi mengatasi sifat marah. Secara logiknya, jika seseorang itu marah, dan dalam keadaan berdiri, pelbagai keadaan negatif boleh terjadi jika tidak dikawal dengan cara yang terbaik.

Rasulullah menganjurkan supaya orang yang sedang marah itu duduk dan baring jika rasa marah tidak berkurangan. Umat Islam juga dianjurkan untuk diam daripada berkata-kata ketika marah.

Bayangkan jika rasa marah tidak dapat dikawal, sudah pasti pelbagai kata-kata kesat dan kurang sopan terhambur keluar. Begitu hebat senjata syaitan ini yang tidak jemu menyesatkan manusia.

Sabda Rasulullah: “Apabila di antara kamu marah, maka diamlah.” (Hadis riwayat Ahmad).

Dalam hal ini, sifat sabar amat diperlukan.

Tanpa kesabaran, tidak mungkin seseorang itu boleh diam ketika marah sedang menguasai diri.

Justeru, wajar untuk menanam sifat sabar dalam diri lebih-lebih lagi ketika marah. Firman Allah dalam al-Quran: “Maka bersabarlah kamu dengan sabar yang baik.” (Surah al-Ma’arij, ayat 5).

Jika sifat sabar dapat ditanam dalam diri, nescaya rasa marah sukar menguasai jiwa dan akal seseorang Muslim.

Oleh sebab itu, darjat orang-orang yang sabar amat tinggi di sisi Allah.

Terdapat banyak ayat menyatakan sesungguhnya Allah sentiasa bersama-sama golongan yang sabar. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Allah berserta orang-orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 66).

Rasulullah amat menyukai orang yang sabar. Baginda pernah memuji seorang sahabatnya Asyaj ‘Abd al-Qays yang memiliki sifat lemah lembut khususnya sabar.

Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya pada dirimu ada dua sifat yang dicintai Allah iaitu sifat lemah lembut (sabar) dan ketenangan (tidak tergesa-gesa).” (Hadis riwayat Muslim).

Menurut Ibnu Qayyim al-Jawziyyah, sifat sabar boleh dibahagikan kepada tiga kategori. Kategori sabar yang pertama ialah sabar ketika melaksanakan perintah Allah, kedua adalah sabar daripada melakukan maksiat kepada Allah dan jenis yang ketiga adalah sabar ketika ditimpa ujian (musibah).

Selain itu, Islam juga menganjurkan orang yang sedang marah segera mengambil wuduk. Selain berfungsi sebagai penghapus dosa-dosa kecil, wuduk juga boleh menghilangkan perasaan marah.

Sabda Rasulullah:

“Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah dia berwuduk.” (Hadis riwayat Abu Dawud dan Ahmad).

Banyakkan mengingati Allah dengan cara berzikir kepadanya antara cara terbaik mengawal perasaan marah. Sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati pasti menjadi tenang dan tenteram.

Jika hati dipenuhi zikrullah, syaitan tidak akan dapat bersarang di dalamnya. Firman Allah: “Ingatlah dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.” (Surah al-Ra’d, ayat 28).

Rasulullah menganjurkan kita berdoa: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu agar aku dapat berbicara yang benar ketika marah dan reda.” (Hadis riwayat al-Nasa’i).

Pengiktirafan yang tinggi diberikan kepada mereka yang berjaya mengawal perasaan ketika marah. Sabda Rasulullah: “Bukannya kuat (kerana dapat mengalahkan orang) dengan bergusti (bergaduh), tetapi kekuatan sebenarnya adalah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).

Rasulullah menyatakan ganjaran akhirat bagi mereka yang berjaya mengawal perasaan marahnya menerusi sebuah hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang menahan marah sedangkan dia mampu melepaskan marahnya, Allah pasti memanggilnya pada hari kiamat di hadapan sekalian makhluk sehingga Allah memberinya pilihan untuk dia memilih mana-mana bidadari syurga.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud dan al-Tirmidzi).
Komen:  Untuk renungan bersama.  Kadangkala amarah mengatasi segala perasaan yang ada dalam diri..you're not you anymore...so banyakkan istighafar...insyaAllah...

Wednesday, March 16, 2011

Minda Pengarang: Kementerian patut segerakan pengharaman botol susu polikarbonat

Dipetik dari Bharian, 2011/03/16

PASTINYA ramai yang tertanya-tanya mengapa Kementerian Kesihatan harus menunggu sehingga 2012 untuk mengharamkan penjualan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi bahan Bisphenol A (BPA), sekiranya ia didapati berbahaya. Apabila diketahui kesan buruk BPA terhadap sistem hormon dan tubuh bayi serta kanak-kanak, maka apa yang perlu dilakukan Kementerian Kesihatan ialah mengharamkannya terus, bukan saja penjualannya malah penggunaannya dengan serta-merta. Jika botol susu jenis itu masih dibenarkan dijual di pasaran, bermakna kita seolah-olah membiarkan BPA terus mengancam kesihatan bayi dan kanak-kanak yang masih menggunakannya. Apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan botol susu polikarbonat mengandungi BPA dan membahayakan kesihatan si kecil kelmarin, ibu bapa khususnya yang menggunakan botol berkenaan pasti berasa bimbang. Tetapi apabila pengharamannya hanya berkuat kuasa pada 2012, kini mereka bukan saja bimbang, sebaliknya keliru dengan tindakan kementerian kerana jika penggunaannya dikatakan berbahaya, kenapa pengharamannya perlu ditangguhkan?

Kementerian sepatutnya bertegas dalam soal ini kerana kita tidak mahu rakyat membuat andaian bahawa kerajaan lebih mengutamakan kepentingan komuniti perniagaan – pengilang, pengedar dan peruncit, sebaliknya memperjudikan keselamatan pengguna. Risiko perniagaan tidak boleh disamakan dengan nilai serta kebahagiaan rakyat apabila kesihatan mereka terancam, apatah lagi bayi yang tidak berdosa. Walaupun tempoh pengharaman itu diputuskan Kabinet minggu lalu, tetapi Kementerian Kesihatan boleh memberi rasional terbaik kenapa botol susu berkenaan perlu diharamkan serta-merta di pasaran. Kita juga tidak mahu rakyat mempersoalkan langkah Kementerian Kesihatan kerana ia tidak selari dengan slogan gagasan 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, yang diilhamkan Perdana Menteri. Justeru, keputusan yang tidak memihak kepada kepentingan rakyat seperti ini dikhuatiri menjejaskan usaha kerajaan yang sedang giat merealisasikan slogan berkenaan. Bukti saintifik mengenai kesan BPA terhadap bayi dan kanak-kanak ternyata serius. 
 
Gangguan terhadap sistem hormon dan tubuh badan bayi dan kanak-kanak bukan isu kecil dan tidak boleh dikompromi kerana pada peringkat awal usia, sistem ketahanan badan masih lemah. Ibu hamil yang terdedah kepada BPA juga dikhuatiri melahirkan bayi cacat atau terencat tumbesarannya. Ibu bapa yang mempunyai anak tidak sihat juga bakal berdepan beban kewangan, selain emosi. Ketika rakyat perlu menerima hakikat kos sara hidup yang terus meningkat, ketegasan kementerian mengharamkan botol susu polikarbonat mampu mengurangkan risiko ibu bapa menanggung beban berkenaan. Kementerian juga wajar memberi panduan membeli bukan saja botol susu yang selamat, malah memeriksa status bahan pelbagai jenis bekas minuman dan botol air lain yang dilambakkan di pasaran sekarang. Kanada dan negara anggota Kesatuan Eropah mengharamkan botol polikarbonat pada 12 September 2010 dan kepekaan kerajaan kita menyusul tindakan itu tetap dihargai tetapi bukan menunggu sehingga 2012. Jangan tunggu sehingga ada bayi atau kanak-kanak terkorban atau mengalami kecacatan akibat penggunaan botol mengandungi bahan BPA ini baru Kementerian Kesihatan mahu bertindak drastik mengharamkan penjualan dan penggunanya kerana ketika itu tindakan kita sudah terlambat dan sia-sia. Oleh itu, walau apa juga alasan kementerian kita harap keputusan itu harus dikaji semula demi keselamatan rakyat. 
 
Komen:  Kerajaan kita ni kadang2 pun bingung jugak sebab benda ni melibatkan kesihatan rakyat...dah confirm merbahaya...kenapa masih lagi dibenarkan untuk dijual sehingga 2012?  Atau nak tunggu stock habis dulu? Habis mana yang lebih penting ni? Rakyat ke atau takut peniaga bangsa cina kerugian?  Kalau macam tu baik jangan umumkan dulu...2012 nanti..umumkan dan terus haramkan...tapi by that time...ramai baby yang dah cacat akibat dari kelalaian dan menjaga kepentingan peniaga? sebagai pengguna kita juga kena cerdik..jangan beli botol susu poli ni sumer...tukar ke botol kaca pulak...check betul2 sebelum beli botol susu baby ya....

Thursday, March 10, 2011

Tafsir Ayat: Taubat perlu dibuktikan dengan tidak ulang perbuatan berdosa

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Berita Harian, 2011/03/10

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya penerimaan taubat itu diterima oleh Allah hanya bagi orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan, kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Nisa’, ayat 17)

Islam menganjurkan umatnya sentiasa berpegang teguh pada ajaran Islam dengan melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Dengan ini, barulah Muslim mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang bertakwa.

Walau bagaimanapun, dalam kehidupan manusia yang sentiasa berdepan pergolakan dan pancaroba menguji keimanan, kadang-kadang ada manusia yang tersungkur dan rebah akibat tergoda ajakan hawa nafsu bergelora.

Atau terjebak dalam kancah maksiat yang memperdayakan pandangan mata hati, akhirnya terpalit noda hitam dalam lubuk jiwanya. Natijahnya, dia terbelenggu dalam kegelapan, meraba-raba mencari sinar Ilahi menerangi hatinya yang tercalit karat dosa.

Justeru, Islam mensyariatkan amalan taubat supaya insan dapat membersihkan diri daripada dosa membayangi dirinya.

Imam al-Raghib al-Ashfahani menerangkan: “Dalam istilah syarak, taubat ialah meninggalkan dosa kerana keburukannya, menyesali dosa yang pernah dilakukan, berkeinginan kuat untuk tidak mengulangi dan berusaha melakukan apa yang ditinggalkan dulu. Jika keempat-empat perkara itu sudah dipenuhi, bermakna syarat taubatnya sudah pun sempurna.

Justeru, dapat difahami taubat mempunyai peranan untuk membersihkan diri daripada dosa. Oleh sebab itulah, ahli tasauf menjadikan taubat sebagai anak tangga pertama harus dilalui sebelum menaiki anak tangga seterusnya untuk menjejaki makrifatullah.

Dengan taubat, manusia dapat memperbaharui janjinya dengan Allah untuk menjauhi segala perbuatan dosa dan maksiat yang merugikan, seterusnya mempertingkatkan keazaman beristiqamah serta beriltizam melaksanakan segala bentuk ketaatan penuh keikhlasan hanya kepada Allah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap anak Adam melakukan kesilapan, sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu ialah orang yang sentiasa bertaubat kepada Allah.” (Hadis riwayat Darimi)

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.” (Surah al-Tahrim, ayat 8)

Perlu diinsafi, taubat tidak memadai hanya sekadar manis di bibir dengan melafazkan ucapan saja, selepas itu mengulangi semula perbuatan dosanya buat kesekian kalinya. Taubat sebenar menuntut seseorang melakukan lebih daripada itu.

Lanjutan itu, betapa perlunya kehidupan Muslim dihiasi amalan muhasabah dan menilai diri supaya dengan amalan itu dia dapat mengambil langkah berwaspada dalam menelusuri titian hidup. Kemudian, disusuli pula dengan amalan soleh yang bakal memperkuatkan ketahanan diri dan menggilap kemantapan jiwa menepis segala bentuk dugaan dan godaan mendatang.

Apabila ditinjau sirah Rasulullah SAW, Baginda adalah contoh teladan terbaik menjadi ikutan. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW beristighfar sebanyak 70 kali dan Baginda juga tetap mendirikan solat tahajud di tengah malam padahal Baginda sudah diampunkan dosanya yang terdahulu dan akan datang.

Lantas Baginda menjelaskan kepada isterinya tercinta, Saidatina Aisyah: “Tidak bolehkah aku menjadi seorang hamba Allah yang sentiasa bersyukur kepada-Nya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin

Komen:  Semoga Allah menerima taubatku atas dosa2ku yang telah lalu dan tidak melalaikanku akan godaan yang sentiasa mendatang...Amin..

Utama hubungan dengan Allah jika ingin bahagia (juga hubungan dengan keluarga dan sesama manusia)

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
2011/03/10

Suami mesti pandai bimbing keluarga, hiasi rumah tangga dengan solat, ayat suci dan ilmu


TARIKAN ‘Jawa’ dan ‘Timur Tengah’ berjaya menggamatkan ruang Auditorium Blok D Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dipenuhi kakitangan kementerian serta agensi awam sekitar pusat pentadbiran Putrajaya. 

Ternyata populariti dimiliki pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dan pendakwah terkenal, Datuk Dr Fatma Zahrah Mohd Ramadan, menjadikan diskusi pagi Khamis menyentuh isu kekeluargaan berlangsung dalam suasana penuh bersemangat. 

Banyak maklumat serta rahsia kebahagiaan rumah tangga dikongsi dua ahli panel untuk dijadikan panduan peserta yang hadir dalam mendepani cabaran hidup hari ini termasuk peningkatan gejala sosial yang merisaukan.

Dr Fatma berkata, umat Islam hari ini kebanyakannya mengabaikan kepentingan hubungan dengan manusia menyebabkan mereka gagal mencapai kebahagiaan hidup berkeluarga dan masalah itu berpunca tiadanya perasaan takwa.

Katanya, panduan diberikan wahyu Allah dan sunnah Rasulullah juga tidak diberi perhatian serius menyebabkan kebahagiaan hakiki yang dicari gagal ditemui walaupun hakikatnya semua itu berada depan mata.

“Bagaimana hendak bahagia, Allah dan Rasulullah sudah bagi panduan dalam surah An-Nisa untuk kita semua ikut tetapi tidak mahu ikut. Apabila kata nak kahwin, ibu bapa akan tanya putih ke tidak, hidung mancung ke tidak.

“Ibu bapa jarang sekali yang bertanya, baik ke tidak, menutup aurat ke tidak. Sedangkan bahagia dalam Islam itu ialah hubungan dengan Allah (hablumminallah) dan hubungan dengan manusia (hablumminannas),” katanya.

Beliau yang ditanya mengenai makna kebahagiaan hidup berumah tangga mengajak pendengar menghayati suruhan Allah supaya mendalami ilmu agama, mengetahui hukum-hakam serta sentiasa mencari keredaan Allah.

Diskusi Keluarga bertajuk Bagaikan Cinta Khadijah di Hati Rasulullah SAW dianjurkan JAKIM sempena sambutan Maulidur Rasul dipengerusikan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelarasan Undang-undang JAKIM, Norliah Sajuri.

Diskusi itu dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim. Hadir sama Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Dr Fatma berkata, kasih sayang dalam rumah tangga perlu dicari dan itu mengikat suami isteri kepada tanggungjawab kerana mereka boleh masuk syurga atau neraka disebabkan pasangan masing-masing.

Beliau turut menjadikan perkahwinannya yang mencecah usia hampir 40 tahun dengan suami yang berasal dari Kelantan sebagai contoh bagaimana suami isteri perlu menerima kelebihan serta kekurangan pasangan mereka.

“Jika melihat kepada perbezaan budaya, suami saya suka makan budu, petai dan durian, rasanya hubungan kami tidak dapat bertahan tetapi kerana suami baik, bertanggungjawab dan pandai menjaga hati, usia perkahwinan menjangkau hampir 40 tahun,” katanya.

Katanya, menjadi tanggungjawab isteri sebagai tiang keluarga untuk memastikan rumah tangga sentiasa disinari kasih sayang dengan mentaati, menjaga rahsia suami, harta benda dan tidak meminta sesuatu yang tidak termampu oleh suami.

Suami pula sebagai ketua keluarga perlu sentiasa membimbing ahli keluarga, memastikan mereka memenuhi tuntutan agama selain menghiasi rumah tangga dengan solat, membaca al-Quran serta pencarian ilmu.

“Banyak suami tidak tanya isteri sudah solat ke belum. Yang mereka tanya, masak apa hari ini dan jika tidak masak, mereka marah tetapi jika isteri tidak solat, mereka tak marah pula,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fadzilah memberi panduan kepada suami untuk mencapai tahap cinta Khadijah dan Rasulullah SAW antaranya mengenali pasangan, memahami kerenah mereka selain berlapang dada apabila menerima teguran.

Beliau turut mendedahkan hasil kajian serta pengalaman berdepan pasangan menghadapi masalah rumah tangga, 99 peratus masalah disebabkan suami, isteri atau kedua-duanya tidak menjaga solat mereka.

“Bagaimana hendak taat dan setia pada pasangan jika tidak taat perintah Allah. Jika hendak kata cemburu, biarlah bertempat. Isteri tidak cemburu maknanya tidak berilmu dan suami yang tidak cemburu pula adalah dayus,” katanya.

Katanya, selain faktor pasangan, aspek mendidik anak boleh memberi cabaran besar untuk membina sebuah keluarga bahagia tambahan sekarang ini kebanyakan ibu bapa tidak fahaman pendekatan terbaik untuk mendidik anak.

Mohd Fadzilah berkata, anak tidak belajar daripada apa yang diperkatakan ibu bapa, sebaliknya mereka membina karakter berdasarkan contoh dilihat setiap hari dalam rumah tangga.

Justeru, ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang jika anak sukar mengikut apa yang diperintahkan tetapi hendaklah berasa risau apabila melihat tanda-tanda anak meniru sikap mereka terutama sikap yang negatif.

“Ini ramai yang ibu bapa tidak faham. Oleh itu, beri gambaran kepada anak gambaran yang baik dan gunakan perkataan yang baik. Saya suka ingatkan ibu bapa, perkataan yang keluar dari mulut mereka adalah doa, jadi doakanlah yang terbaik untuk anak kita,” katanya.

INFO
Sembilan waktu mustajab untuk ibu bapa nasihat anak walaupun untuk seminit:



Sebelum tidur;
Sedang tidur (bisikkan di telinga);
Selepas bangun tidur;
Selepas mandi;
Selepas solat;
Selepas baca al-Quran;
Selepas berdoa;
Selepas riadah;
Ketika emosi anak terangsang (contohnya selepas memarahi anak)

Ayat al-Quran yang digalakkan diamalkan:

1.  Surah al-Baqarah (satu malam baca, tiga malam syaitan tidak masuk rumah);
2.  Surah al-Nahl, ayat 97 (amalan untuk mencapai kebahagiaan).

Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang beramal salih, daripada lelaki atau wanita, sedangkan dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkannya dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.”

Ayat akhir surah at-Taubah (baca 7 kali selepas solat fardu untuk mengharap pertolongan Allah)
Firman Allah yang bermaksud: “Jika mereka berpaling, maka katakanlah (wahai Muhammad): Cukuplah Allah bagiku (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Kepada-Nya aku berserah diri dan Dialah yang memiliki ‘Arasy yang agung.”

Komen:  Yang baik dijadikan Tauladan

Keganasan rumah tangga patut dibendung (Tidak Patut Berlaku Langsung)

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Berita Harian
salidasuhaila99@yahoo.com, 2011/03/10

Pasangan tidak boleh anggap krisis masalah peribadi, tidak perlu campur tangan orang luar

ANTARA tujuan perkahwinan ialah untuk menghalalkan silaturahim antara dua insan supaya mereka dapat berkongsi sebuah kehidupan lebih daripada hubungan yang biasa.

Suami isteri ibarat penyatuan dua hati, segala-galanya dikongsi, hingga tiada apa yang membatasi melainkan qada dan qadar Allah jugalah yang memisahkan jodoh mereka di dunia ini.

Sungguhpun begitu, ada perkahwinan yang tidak dapat menterjemahkan objektif ibadah itu, walaupun hampir setiap pasangan berkahwin tahu keharmonian rumah tangga dapat dicapai melalui kesepakatan suami isteri menunaikan hak serta tanggungjawab masing-masing terhadap pasangan.

Penulis pasti mereka yang tidak menunaikan kewajipan sebagai suami isteri bukan tidak arif akan hal itu, tetapi sengaja membutakan mata dan pekakkan telinga kerana tidak mahu menunaikan tanggungjawab yang dianggap sebagai beban.

Sedangkan dalam Islam, suami isteri saling menggalas tanggungjawab dalam urusan rumah tangga dan tiada beza antara kedua-duanya, melainkan suami mempunyai lebih banyak tanggungjawab, sesuai dengan fitrah mereka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Daripada Abdullah bin Umar, berkata ya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Seorang lelaki adalah pemimpin dalam urusan keluarganya dan dia akan diminta bertanggungjawab dalam kepemimpinannya. Seorang isteri adalah pemimpin dalam mengurus rumah tangga suaminya dan dia akan diminta bertanggungjawab dalam kepemimpinannya.” (Hadis riwayat Al-Imam Al-Bukhari) Tetapi, disebabkan tiada persefahaman, suami isteri yang sepatutnya menjadi inti kerukunan rumah tangga tidak mampu menjadikan perkahwinan sebagai sebab untuk berbahagia, sebaliknya saling menyakiti antara satu sama lain hingga syurga didiami bersama menjadi neraka.

Ini jugalah yang membawa kepada masalah lebih buruk iaitu bencana keganasan dalam rumah tangga, malah berbunuhan antara suami isteri, selepas mereka lupa akad dan janji.

Keganasan dalam rumah tangga sering dianggap sebagai urusan peribadi yang tidak memerlukan campur tangan orang lain. Ada suami atau isteri yang sanggup membiarkan diri mereka dizalimi pasangan kerana menganggap hal itu lumrah dalam rumah tangga.

Seksyen 2 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) mentakrifkan keganasan rumah tangga bukan hanya penderaan fizikal yang memerlukan bukti kecederaan pada anggota badan, merangkumi perbuatan mengancam mangsa untuk melakukan kecederaan fizikal.

Begitu juga paksaan melakukan aktiviti seksual secara kejam dan di luar batasan manusia. Walaupun Islam menghalalkan hubungan intim suami isteri, tetapi ia tidaklah sehingga menzalimi, kerana Islam menentang kezaliman.

Undang-undang Malaysia juga tidak membenarkan suami atau isteri mengurung atau menahan pasangan masing-masing tanpa kerelaan mangsa, melakukan khianat, kemusnahan, kerosakan kepada harta dengan niat menyebabkan kesedihan dan kegusaran kepada mangsa.

Dalam Islam, kegagalan suami atau bapa suami memberi nafkah dan keperluan asas kepada isteri juga salah satu bentuk penganiayaan dalam rumah tangga kerana nafkah adalah hak isteri yang wajib disempurnakan suami atau orang yang menanggungnya.

Bencana rumah tangga banyak disebabkan kegagalan suami menunaikan tanggungjawab selain kejahilan isteri mengenai hak mereka untuk menuntut nafkah daripada bapa, datuk mentua atau sesiapa yang menanggung suami untuk melangsaikan tanggungjawab itu.

Penganiayaan juga berlaku apabila pasangan melakukan sesuatu yang memalukan atau menjatuhkan maruah suami atau isteri, kerana antara tanggungjawab pasangan berkahwin ialah menjaga kehormatan dan aib antara suami isteri.

Menurut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kebanyakan mangsa keganasan rumah tangga adalah isteri, tetapi tidak bermakna tiada suami yang menjadi mangsa. Dari 2003 hingga 2006, Pulau Pinang menunjukkan bilangan tertinggi mangsa terdiri daripada suami walaupun bilangan mangsa dalam kalangan isteri jauh lebih tinggi.

Masalah ini boleh dibendung jika setiap pasangan tahu punca menyebabkan berlakunya keganasan rumah tangga serta berusaha sedaya upaya menamatkan situasi sedemikian.

Mereka juga perlu tahu keganasan rumah tangga bukan masalah ‘peribadi’ yang tidak perlu campur tangan pihak boleh membantu. Justeru, bantuan ahli keluarga lebih tua atau bantuan kaunseling daripada pakar mungkin boleh membantu menyelesaikan masalah dan mencari titik penyelesaian.

Selain itu, jika keganasan menyebabkan kecederaan, mangsa perlu mendapatkan rawatan perubatan dan membuat laporan polis. Mangsa juga mungkin memerlukan Perintah Perlindungan (PO) atau Perintah Perlindungan Interim (IPO) daripada JKM supaya tidak berterusan menjadi mangsa.

Namun, jika ada yang menganggap keganasan rumah tangga adalah masalah ‘peribadi’ dalam ruang privasi yang tidak perlu ditangani, tentulah sukar untuk mempertahankan mahligai yang dibina walaupun asalnya untuk menyatukan dua hati.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom

Komen:  Segalanya berpaksikan iman dan ilmu, kalaulah perkahwinan itu ikhlas bersandarkan kasih sayang, insyaAllah ..... tak perlu lah tendang terajang....komunikasi adalah jalan terbaik, kalau dua2 tinggi suara...saper yang nak mendengarnya...sayangnya ada yang dah berkahwin bertahun2...anak2 dah besar2 tetapi perangai ibu bapa masih tak berubah2....sebab itulah banyak kes bercerai bila usia perkahwinan menginjak angka 20 tahun ke atas kerana anak dah besar panjang...tak perlu berebut pasal anak...they can make their choice... tapi ....bagaimana dengan perasaan sayang itu...setelah bersama selama 20 tahun, tidakkah bersisa perasaan kasih dan sayang pada pasangan?

Friday, March 4, 2011

Musnah fungsi hati (Yang Ramai Musnah Remaja Melayu Jugak)

 Harian Metro Online, 4/3/2011

IPOH: “Pengambilan alkohol dalam kadar tinggi boleh menyebabkan radang hati kerana fungsi hati akan terganggu, sekali gus tubuh gagal mendapat khasiat secukupnya.

“Ia membuktikan kesan pengambilan alkohol daripada minuman keras atau samsu murah boleh memusnahkan fungsi hati yang membantu sistem penghadaman dan membuang toksik berlebihan dalam badan,” kata Perunding Gastroenterologi Hospital Pakar Ipoh (KPJ-ISH), Dr Wong Choon Heng. Beliau yang dihubungi di sini, semalam berkata, pengambilan kandungan alkohol berlebihan dalam tubuh menyebabkan hati menjadi keras dan rosak.

Dr Wong berkata, kekerapan pengambilan alkohol bukan saja menyebabkan ketagihan melampau, sebaliknya boleh mengundang pelbagai penyakit kritikal termasuk menjejaskan fungsi jantung, hati, buah pinggang dan otak si peminumnya.

Menurutnya, pengambilan alkohol yang banyak pada masa singkat bukan saja boleh menyebabkan mabuk, ia juga boleh menyebabkan peminumnya separuh sedar.

“Apabila seseorang itu mabuk, banyak perkara boleh berlaku termasuk boleh mencetuskan jenayah dan kemalangan jalan raya sekiranya individu itu memandu dalam keadaan mabuk,” katanya.

Selain itu, katanya, ketagihan alkohol berlebihan juga boleh menyebabkan bahagian otak membengkak selain berisiko koma dan kematian mengejut.

Katanya, kesan pengambilan berterusan alkohol juga menyebabkan jantung menjadi lemah, sekali gus mengalami kesukaran bernafas,” katanya.

Komen:   Yang menogak arak2 murah ni ramai budak2 melayu dari keluarga yang sederhana2 aje..ada gak yang tak sesenang mana pun...tapi sebab murah dan nak berlagak jadi macam omputih yang boleh meneguk arak.... belilah arak yang reghenya tak sampai pun 4 henggit... makin bertambah rosaklah anak2 melayu kita... yang menjual arak2 ni orang2 kafir, yang membeli budak2 kita... bila benda2 ni akan dipandang serius dan dipantau oleh kerajaan, kerana saya percaya ada anak2 sekolah kita yang sudah mencuba minum benda2 ni.. alangkan ice, syabu pun dah boleh masuk sekolah, inikan pulak arak murah ni yang boleh dibeli secara terang2an...