Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, July 25, 2011

Harap "kita" lebih berhati-hati...

 

Blog, facebook bukan kewartawanan sebenarOleh Imlan Adabi
2011/07/25, Bharian Online

Media internet jadi senjata penulis tak beretika racuni minda masyarakat

TIDAK ramai yang mengenali Amizudin Ahmat sebelum ini. Dia sekadar penulis blog yang tulisannya kurang mendapat perhatian umum. Tetapi gara-gara ‘laporan’ yang dimuatkan dalam blognya, dia akhirnya disebut dan ada yang mempercayai kebenarannya.

Bagaimanapun, pengendali laman sharpshooterblogger.blogspot.com yang diheret ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terpaksa akur kepada kebenaran fakta. Dalam bidang kewartawanan, ketepatan dan kesahihan fakta bakal menentukan kewibawaan sesebuah berita dan rencana. Hal ini yang membezakan kewartawanan sebenar dengan penulis blog, portal berita dan catatan di facebook. 

Tradisi kewartawanan yang ada di media arus perdana dan stesen penyiaran berdasarkan fakta dan etika, berbeza tulisan di laman web dan blog yang boleh menulis apa saja, termasuk menuduh seseorang melakukan perbuatan rogol atau bunuh tanpa sebarang bukti.
Amizudin diarah membayar Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim RM400,000 berhubung satu artikel berkaitan dakwaan merogol pembantu rumah Indonesia.

Pada 1 Januari lalu, Rais memfailkan saman terhadap Amizudin, 42, yang juga ahli jawatankuasa Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung artikel yang disiarkan dalam blognya pada 28 Disember lalu.

Dalam penghakimannya, Hakim Zabariah Mohd Yusof, berkata selepas mengambil kira fakta dan bentuk fitnah yang dilakukan oleh Amizudin dalam blognya dan juga nilai wang semasa, jumlah yang diberikan kepada Rais adalah munasabah.

Hakim mendapati fitnah yang dibuat itu adalah sangat serius, dan jika seseorang itu mempercayainya, bukan saja reputasi Rais akan terjejas pada peringkat nasional dan antarabangsa, tetapi yang lebih penting ialah kesannya terhadap kehidupan Rais dan keluarga. Mahkamah memutuskan tidak ada keterangan yang boleh mengaitkan Rais dengan perbuatan salah laku sehingga mendorong Amizudin mengeluarkan artikel berkenaan.

Zabariah berkata, fitnah itu membabitkan perbuatan merogol seorang individu dari negara lain dan ini satu tuduhan paling kotor yang dibuat terhadap seseorang.

Katanya, artikel itu diterbitkan dalam satu laman blog yang dapat diakses oleh sesiapa saja, termasuk di luar negara.

Kes terbaru ini membuktikan isu blog dan internet tidak pernah reda. Penulis bebas menulis apa saja seolah-olah mereka mengetahui setiap kejadian dan boleh berperanan sebagai hakim untuk menentukan seseorang melakukan kesalahan.

Sebelum ini seorang kerani bank menjadi individu pertama disabitkan kesalahan menggunakan aplikasi lucah menerusi internet bagi tujuan komersial, didenda RM30,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen Klang pada 27 Mei lalu.

Hakim Slamat Yahya menjatuhkan hukuman terhadap Tajulzairi Tajuddin, apabila dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi internet dengan memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial.

Seorang belia berusia 29 tahun pula ditahan di Kelantan selepas tulisan dalam blognya menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar. Selepas dua hari menyembunyikan diri, penulis blog Adukataruna, akhirnya ditahan di Kota Bharu, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar. Dia disiasat mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 0gos 2008, penulis blog Penarik Beca, Abu Bakar Mohd Rashid, ditahan kerana meletakkan gambar anjing pada logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam blognya yang disifatkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai penghinaan kepada pasukan itu dan cubaan menghasut orang ramai membenci polis.

Penulis dan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin pula ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada September 2008 kerana didapati boleh mengganggu dan mengancam keselamatan serta ketenteraman awam.

Seorang lagi penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz ditahan mengikut Akta Hasutan pada September 2008 kerana membuat cadangan di laman blognya supaya bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

Semua mereka yang dikaitkan di atas tidak mempunyai latar belakang kewartawanan dan perundangan. Mereka menjadikan blog sebagai senjata untuk menulis apa saja, termasuk menghina dan mencerca peribadi orang lain, termasuk insan yang sudah meninggal dunia.

Jika internet yang sepatutnya digunakan untuk menyebarkan maklumat diseleweng, kita tidak tahu bagaimana pembaca boleh menghargai sebarang bentuk tulisan yang boleh memberi kesan kepada masyarakat itu sendiri.

Amat malang jika teknologi maklumat disalah guna kerana ledakan media penyiaran sepatutnya seiring perkembangan tamadun manusia itu sendiri.

Penulis juga mendapati beberapa catatan di facebook tidak terkecuali mempunyai unsur yang boleh dikaitkan dengan Akta Hasutan. Isu perhimpunan haram 9 Julai disensasikan. Ada yang menggunakan facebook untuk mengecam pihak yang bertentangan fahaman politik. Tidak terkecuali juga media sosial menjadi alat menjatuhkan hukuman kepada pihak lawan.

Jika keadaan ini berterusan, laman web, blog dan facebook sekadar media murahan yang bertentangan konsep sebenar media baru. Kita tentunya rugi jika tradisi kewartawanan diperlekehkan oleh segelintir golongan yang jahil. Tentunya lebih rugi jika penulis tidak berilmu terus kekal dengan laporan yang tidak manusiawi!

1 comment:

  1. Assalam Syg Mum

    Berbagai manusia dengan berbagai ragam... Berani menulis yang mendatangkan fitnah.. kenalah tanggung sendiri... Menulis apa saja boleh tapi biarlah dengan fakta..

    ReplyDelete