Hidup mati sebagai pelacur
Menyarung skirt pendek paras lutut dan baju T ketat dengan raut wajah yang cengkung serta tubuh sedikit kurus, pandangan kosong wanita itu bagai menggamit hati saya untuk mendekatinya.
Ternyata sapaan saya dibalas mesra tanpa menunjukkan riak terkejut walaupun ketika itu ada beberapa orang gelandangan lain yang turut menunggu makanan diedarkan berserta sedikit sumbangan wang.
Berbual dengan wanita ini tentang kisah hidupnya, timbul rasa belas di hati kerana dalam usia sebegitu dia sepatutnya bukan menghabiskan masa di jalanan dan lorong-lorong gelap sebagai pelacur murahan dan bergelumang dengan najis dadah.
"Saya tahu ini salah, tapi inilah saja pekerjaan yang saya tahu buat dari dulu sampai sekarang. Kalau tak bekerja mana nak dapat duit.
"Biarlah apa orang lain nak kata, yang penting saya tak minta duit mereka," katanya yang juga hidup bergelandangan kerana tidak mempunyai tempat tinggal.
Pendapatan hasil melacur dihabiskan dengan membeli dadah. Jika ada lebih dia akan menyewa sebuah bilik murah berharga RM15 untuk satu malam.
Asmah mengakui pendapatannya sekarang tidak mewah seperti dulu ketika masih muda, malah ada harinya sekadar cukup untuk mendapatkan bekalan najis dadah bagi melepaskan gian.
"Kalau tengah gian, makan minum tolak tepi yang penting mesti ada barang (dadah) tu. Lagipun sekarang makanan senang dapat sebab banyak pihak yang tampil memberi makanan percuma kepada golongan gelandangan di sekitar kawasan ini. Dapat juga mengurangkan bebanan kami di sini," katanya.
Seiring umurnya yang semakin meningkat, Asmah mengakui semakin memilih pelanggan yang ingin mendapatkan khidmatnya.
"Dalam seminggu hanya tiga atau empat kali saja saya keluar berkerja dan dalam semalam saya hanya hadkan 10 hingga 15 orang sahaja.
"Pelanggan yang datang akan dipilih dahulu sebelum mereka dilayan sekurangnya lima hingga 10 minit setiap seorang.
"Umur seperti saya dah tak bergetah lagi seperti muda-muda dahulu. Namun bayaran yang dikenakan tetap bergantung kepada kepuasan yang dinikmati oleh pelanggan. Selalunya bagi setiap layanan akan dikenakan sekitar RM50," katanya tanpa selindung.
Asmah mengakui terpaksa melakukan pekerjaan itu kerana tidak ada cara lain untuk mendapatkan wang bagi menyara hidup dan membeli bekalan dadah.
Dengan pendidikan setakat tingkatan tiga, tidak banyak peluang pekerjaan yang menanti untuknya.
Apatah lagi apabila dia terjerumus dalam kancah najis dadah sebagai penagih seawal usia 17 tahun.
"Kalau diikutkan logik akal mana ada wanita yang waras nak kerja jadi pelacur. Semua yang berlaku ke atas saya sekarang adalah angkara dadah.
"Memang saya akui zaman remaja saya agak liar. Ketika usia 15 tahun saya lari dari rumah kerana tidak tahan dikongkong oleh keluarga.
"Waktu itu saya berkawan dengan remaja-remaja yang nakal dan merekalah yang memperkenalkan saya dengan dadah.
"Mulanya sekadar untuk khayal dan berseronok tetapi lama-kelamaan semakin ketagih dan tak boleh hidup tanpanya," katanya.
Tambah Asmah, dia bukan sahaja mengambil dadah jenis heroin sebagai alat untuk melepaskan tekanan, malah kadang-kadang dia juga menjual bekalan dadah tersebut kepada kawan-kawannya.
Hasil jualan dadah tidak cukup untuknya untuk mendapatkan bekalan bagi diri sendiri.
Disebabkan ketiadaan wang dan rasa ketagihan yang tidak mampu dikawal, Asmah akhirnya 'menjual' tubuh bagi mendapatkan wang.
"Waktu itu memang tak pernah terfikir dosa atau pahala. Apa yang penting saya dapat bekalan dadah dan melepaskan rasa gian.
"Daripada sekadar untuk mendapatkan duit ketika terdesak, akhirnya ia menjadi pekerjaan tetap hingga ke hari ini," katanya.
Dalam pada itu Asmah sempat bertemu jodoh pada usia 21 tahun dan suaminya juga seorang penagih dadah yang dikenali ketika sama-sama asyik dalam dunia khayalan mereka.
"Jodoh kami tidak panjang. Hanya bertahan 10 tahun sahaja dan hasil perkahwinan tersebut kami dikurniakan empat orang anak.
"Saya mengambil keputusan untuk bercerai kerana tidak tahan dengan sikap panas barannya. Jika berlaku sebarang kesilapan pasti suami akan memukul dan menyeksa tubuh.
"Selepas berpisah kesemua anak saya hantar ke kampung untuk di jaga oleh kedua orang tua. Saya tidak mahu anak-anak mengetahui tentang pekerjaan saya. Sehingga kini pekerjaan saya sebagi pelacur dan penagih masih menjadi rahsia," katanya.
Ujarnya, bukan dia tidak tahu kesan dadah kepada diri, tetapi untuk berhenti dari ketagihan tersebut terlalu susah baginya.
"Saya hanya berharap suatu hari nanti jika anak-anak mengetahui tentang kisah hidup ini, mereka sudi memaafkan saya.
"Bagi remaja diluar sana, janganlah cuba mendekati najis dadah, kerana sekali mereka mencuba tidak mungkin dapat patah balik," katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment