Dipetik dari ruangan keluarga utusan online
BILA kilat menyambung, guruh berdentum dan langit yang cerah bertukar menjadi kelam, belum tentu hujan akan turun.Terkadang kita sangka panas hingga ke petang tetapi hujan di tengah hari, begitulah agungnya kuasa Allah tidak dapat ditandingi oleh ramalan manusia.
Usah meramal sesuatu yang tidak pasti kerana itu akan mengundang seribu satu musibah.
Bagi yang mengamalkannya elok dihentikan segera dan kepada yang boleh mengelak, lakukanlah.
Seperti mana yang dilalui oleh Rabiah (bukan nama sebenar) yang menjadi mangsa ramalan keluarga sehingga dia diserahkan kepada keluarga angkat.
Apa yang ingin Rabiah ceritakan adalah untuk teladan kepada orang lain supaya tidak percaya kepada ramalan dan menyerahkan anak kepada orang lain untuk dipelihara.
Begini kisah yang berlaku kepada Rabiah.
"Saya berusia lewat 20-an, telah berumah tangga dan mempunyai seorang anak perempuan. Saya melalui hidup yang pahit sejak kecil kerana diserahkan ibu bapa kepada keluarga angkat dengan alasan saya bakal membawa bala dalam keluarga.
"Ibu bapa saya orang kampung yang amat percaya dengan ramalan bomoh yang mengatakan kelahiran saya akan menyusahkan keluarga.
"Disebabkan percaya bulat-bulat apa kata bomoh saya diserahkan kepada keluarga angkat untuk dipelihara sehingga sekarang.
"Usia saya sekarang menjadikan saya lebih matang tentang hidup. Walaupun tinggal bersama keluarga angkat tetapi ayah dan ibu kandung akan melawat saya pada setiap bulan.
"Tamat pengajian di menara gading saya mendapat tawaran bekerja . Alhamdulillah, saya tidak menganggur lama.
"Kasih dan sayang kepada ibu dan ayah angkat melebihi insan yang melahirkan saya ke dunia ini kerana kesusahan mereka membesar dan mendidik saya hingga menjadi manusia berguna. Mereka amat sayang dan selalu mengambil berat tentang saya.
"Sikap mereka menjadikan saya keliru dengan kehidupan yang saya lalui sekarang. Ibu bapa angkat saya adalah permata hati dan nyawa hidup saya. Masa saya banyak dihabiskan bersama keluarga angkat dan jika waktu bercuti sahaja saya akan bersama ibu dan ayah kandung.
"Pernah saya berpindah ke rumah ibu kandung, tetapi hati saya meronta, menjerit dan merintih kerana terpisah daripada keluarga angkat dan akhirnya saya kembali kepada mereka.
"Siapa harus dipersalahkan sekarang dan saya selalu tertanya-tanya kenapa saya dipisahkan hanya kerana ramalan kuno yang mempengaruhi mereka.
"Suatu hari lamaran datang daripada kenalan terdekat keluarga angkat. Saya menerima lamaran tersebut kerana tiada sesiapa yang istimewa dalam hidup saya dan segala persiapan pertunangan disediakan oleh keluarga angkat.
"Saat itu saya amat sedih kerana sayu hati bila teringatkan ibu dan ayah kandung kerana yang mengatur dan mengendalikan majlis keseluruhannya adalah keluarga angkat, sedangkan yang akan mewalikan saya kelak adalah ayah kandung.
"Selepas cincin pertunangan disarungkan ke jari manis, oleh bakal ibu mertua, ibu mengalirkan air mata dan saat pipi saya dikucupi, ibu sempat membisikkan kata-kata 'maafkan ibu kerana dosa semalam' dan tahniah ibu doakan agar Rabiah bahagia sepanjang hayat.
"Kami berpelukan dan tangisan semakin kuat kedengaran. Semua yang hadir terpaku melihat ibu dan anak menangis berpelukan.
"Kasih ibu tiada sempadan dan akan berpanjangan sehingga ke syurga, doa ibu mustajab dan amarah ibu jangan ditempah kelak merana sepanjang hayat.
"Pengorbanan ayah juga sama walaupun kami terpisah oleh kepercayaan kuno namun ayah tetap memberi nafkah bulanan untuk saya.
"Selesai majlis, saya menghampiri ibu kandung dan ketika itu saya berjanji akan kembali ke pangkuannya. Kini saya faham naluri seorang ibu yang kehilangan anak. Saya tidak layak untuk menghukum kesalahan seorang insan yang telah melahirkan saya walaupun tidak membesarkan saya sepenuh masa.
"Kepada ibu dan ayah angkat saya tidak akan melupakan jasa mereka dan akan mengambil giliran untuk pulang. Saya akan cuba berlaku adil kepada mereka sehingga ke akhir hayat saya.
"Walaupun dibesarkan oleh keluarga angkat mereka tidak pernah menghalang saya untuk bertemu dan akhirnya kembali ke pangkuan ibu dan ayah kandung.
"Begitulah ikhlas dan sucinya pengorbanan yang mereka curahkan kepada saya. Kasih yang ikhlas akan menzahirkan kehidupan yang harmoni dan berpanjangan selamanya.
"Majlis pernikahan saya diapit oleh dua orang ibu, manakala ayah kandung sebagai wali dan ayah angkat sebagai saksi. Kini saya memiliki tiga orang ibu, yang melahirkan, membesarkan dan ibu mentua yang telah melahirkan anaknya yang kini menjadi suami saya.
"Saya juga memiliki tiga orang ayah. Kesemua mereka adalah insan-insan yang telah mencorakkan masa hadapan saya dan keluarga. Saya amat bersyukur dengan kurniaan Allah ini dan berjanji akan menjaga kesemua ibu bapa saya dengan baik.
"Alhamdulillah juga kerana saya mendapat suami yang baik dan memahami situasi hidup saya yang cukup unik ini. Saya bahagia kerana ibu bapa kandung, ibu bapa angkat dan ibu bapa mentua menerima kehadiran saya dan suami dengan seadanya.
"Mudah-mudahan sokongan tersebut menjadikan kami lebih matang dalam menghadapi ujian dalam rumah tangga. Terima kasih semua.
"Kepada masyarakat di luar sana yang mungkin menghadapi masalah seperti saya, pesanan saya jangan melatah dan berusaha membaiki keadaan. Kita harus menerima takdir ketentuan Ilahi dan yakin setiap yang berlaku ada hikmahnya.
"Apa yang saya lalui walaupun pahit tetapi manis di penghujungnya. Mungkin dulu saya mudah terasa hati kerana masih muda dan tidak tahu erti hidup sebenarnya. Alhamdulillah sekarang semua berakhir dengan bahagia. Terima kasih Allah,'' Rabiah menutup ceritanya.
Apa lagi yang mampu saya katakan melainkan rasa syukur dan gembira dengan apa yang dialami oleh Rabiah. Saya gembira kerana Rabiah telah menemui kebahagiaan yang dicarinya.
Kisah Rabiah elok dijadikan teladan terutama anak angkat yang sedang tercari-cari erti kebahagiaan bersama ibu bapa kandung dan ibu bapa angkat.
Ingatlah, kedua-dua mereka ada fungsinya untuk diri anda. Orang yang sabar dan tabah menghadapi hidup selalu mendapat nikmat yang indah daripada Allah seperti mana dilalui Rabiah.
Doa saya semoga Rabiah akan terus bahagia di samping suami dan anaknya serta kesemua ibu bapanya.
Menutup catatan, esok akan menghapus duka dan mimpi buruk dan mengusir kesedihan lalu akan diganti dengan tawa gembira.
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment