Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, March 11, 2013

Sudah terkena baru tahu



BERCAKAP tentang ibu dan anak tiri, samalah seperti dialog popular arwah Ibrahim Pendek mari kita lihat siapa yang kena!!, dalam filem Ali Baba Bujang Lapok arahan P. Ramlee. Itu cerita Hadzri dalam e-mel dan ketika kami berbual di telefon tentang pengalaman pahitnya beribu dan beradik tiri.

Pengalaman pahit Sheryzahida minggu lalu membuat dia terkenang kisah lebih 35 tahun lalu.

Walaupun umur saya kini 45 tahun tetapi kami senasib.

Namun bukan semua ibu tiri jahat, malah ada ibu tiri yang didera anak-anak tiri. Dalam hal macam inilah jika anak-anak tiri cekap, ibu tiri yang terkena. Sebaliknya jika ibu tiri cekap, anak-anak tiri akan terkena dan hidup menderita.

Dapat ibu tiri cekap" seperti saya adik beradik lalui, maka apa sahaja katanya akan benar di mata ayah. Kesusahan hidup bermula bila ibu diceraikan. Ketika itu saya baru berusia 5 tahun. Saya ada tiga orang kakak dan abang.

Oleh kerana ibu tak bekerja, maka dia terpaksa bawa kami ke rumah opah untuk dibesarkan. Waktu itu kami tak kisah ibu bercerai sebab kasihan ibu sering dimarah dan kena pukul. Kami suka ayah tak ada asalkan ibu tak terseksa.

Tetapi kami tak tahu ada masalah lain lebih besar lagi. Kehadiran kami menambah beban hidup opah yang memang sedia susah. Opah menoreh getah, lepas itu ibu ambil alih untuk besarkan kami. Tetapi tak sampai dua tahun, ibu jatuh sakit dan meninggal dunia. Tinggallah kami dengan opah.

Cuba pembaca bayangkan nasib dan kehidupan kami ketika itu. Opah yang tua terpaksa menoreh getah untuk besarkan kami. Waktu itu kakak baru berusia 15 tahun, kakak kedua 13 tahun dan seorang abang berusia 10 tahun.

Apa yang menyedihkan kami, ayah tidak pernah ambil tahu tentang kehidupan kami adik beradik, walaupun jarak rumah ayah dengan rumah opah cuma enam kilometer saja. Ketika mula bersekolah, banyak benda yang tidak mampu opah sediakan. Saya dan abang pernah pinjam basikal kawan pergi jumpa ayah, harapan kami minta sedikit wang untuk beli buku dan pakaian sekolah, tetapi tak pernah berhasil. Ayah takut dengan isterinya, tak berani bersuara, tak seperti dengan ibu ayah suka tengking dan pukul.

��Ketika itu ayah sudah ada anak baru, mula-mula seorang akhirnya bertambah empat. Sedihnya kami jarang dapat jumpa ayah. Kalau dapat jumpa pun, biasanya kami pulang tangan kosong. Ketika itu kami macam yatim piatu.

Kata opah dia tidak ada daya upaya membiayai persekolahan kami adik beradik. Untung kakak sulung dapat tamatkan pelajaran hingga tingkatan lima, sementara dua lagi kakak dan abang terpaksa berhenti sekolah, cari kerja.

Walaupun ayah-ayah saudara (anak-anak opah) ada hulurkan bantuan, hanya cukup untuk beli makanan sebab mereka pun bukan orang senang dan ada tanggungan, mereka bantu hingga kami dapat makan pun sudah cukup baik. Untuk belanja sekolah memang perit, sekolah jauh, nak naik bas perlukan duirt, mana nak cari.

Walaupun ayah kata dia tak ada duit, tetapi kami tanggungjawabnya. Susuh-susah hidup ayah mereka anak beranak boleh minum milo, sedangkan kami nak minum kopi manis pun susah, biasanya teh o kosong. Tunggu hingga ayah saudara hantar duit pada opah baru kami merasa kopi manis.

Pernah juga kami dapat duit dari ibu tiri seringgit dua, itu pun kadang-kadang. Agaknya dia suruh kami balik cepat kerana tak selesa tengok muka kami. Sebab kami kata nak tunggu sampai ayah balik. Tetapi apa yang boleh saya buat dengan duit sebanyak itu pada awal 80-an? Tambang bas ke rumah ayah pun sudah seringgit pergi balik.

Kakak kerja tak lama sebab kahwin dengan tentera. Tak lama lepas itu nenek meninggal dan saya terpaksa ikut kakak tinggal di rumahnya. Dua lagi kakak dan abang pun terpaksa berhenti sekolah, cari kerja untuk hidup. Dah nasib kami.

Boleh dikatakan saya bukan sahaja dibesarkan oleh kakak dan abang ipar, tetapi diberikan pelajaran hingga tingkatan lima. Agaknya kerana keikhlasan mereka tanggung saya anak yatim, kini hidup mereka cukup senang, suaminya dah berpangkat tinggi.

Bila kami adik-beradik nak kahwin, perkataan yang keluar dari mulut ibu tiri, biarlah mereka ada duit"...apa maksud cakapnya, pembaca fikirlah sendiri.

Setelah berkahwin dan ada anak, bila cuti atau hari raya, saya akan ke rumah ayah dan tinggal beberapa hari. Tujuannya hendak bermesra dengan ayah sebab ayah dah tua dekat 80 tahun. Tetapi anak-anak boleh bezakan layanan opah tiri. Kesimpulannya mereka sedar kehadiran mereka tidak disenangi.

Tidak mahu serabutkan fikiran, maka saya kurangkan balik kampung dan kalau balik pun untuk beberapa jam dan tak sanggup lagi bermalam di rumah ayah.

Saya cuba hubungi ayah, bercakap dengannya melalui telefon tapi biasanya tak dapat gara-gara ibu tiri. Alasannya telefon jauh, ayah tak boleh bergerak. Macam-macam lagi.

Moral ceritanya daripada pengalaman saya ini, ibu tiri tetap ibu tiri. Banyak kesan buruk pada anak-anak yang beribu tiri. Ada antara mereka jadi sangat sensitif, cepat kecil hati dan buruk sangka serta paling teruk jadi pendendam.

Kini setelah dewasa dan berkeluarga, saya amat menghargai sebuah keluarga bahagia. Saya berjanji akan memelihara dan menghargai keutuhan dan kebahagiaan keluarga supaya kekal abadi.

Hanya mereka yang senasib tahu betapa susah dan deritanya anak-anak yang beribu tiri.

Nasihat saya kepada ayah-ayah di luar sana, jika terpaksa berkahwin lagi kerana kematian isteri atau sebab-sebab lain, fikirkanlah nasib anak-anak terutama yang masih kecil.

Kepada anak-anak yang telah dewasa dan punya hidup sendiri, ditakdirkan ibu atau bapa telah meninggal dunia dan orang tua yang tinggal ingin berkahwin lagi, relakanlah. Sekurang-kurangnya ada yang membantu jika dia sakit pening dan jadi teman bersembang. Itu cerita Hadzri tentang pengalaman beribu tiri.

No comments:

Post a Comment