Oleh Siti Salmiah A Hamid
“Biar mati pengawal peribadi, jangan mati VIP”.
Gerun juga mendengarkan moto CPP Training & Services Sdn Bhd (CPPTS) yang bertanggung jawab melatih pengawal peribadi bertauliah.
Nyawa manusia dilihat semakin mudah melayang akibat perasaan iri hati dan dendam yang terbuku lama meskipun negara sudah menghimpit kemajuan, pembangunan mahupun sosial.
Menyedari wujudnya keperluan dalam melindungi dan mempertahankan nyawa individu, keluarga dan harta benda, CPPTS ditubuhkan bagi memberi khidmat keselamatan.
LATIHAN bagi pengawal peribadi sekiranya berlaku situasi kecemasan.
Sejak ditubuhkan pada Ogos 2008, CPPTS melatih lebih 3,000 pengawal peribadi terlatih.
Latihan mantap disediakan memenuhi semua aspek keselamatan dan pembangunan tenaga kerja meliputi kaji selidik, laporan dan perancangan dan pengurusan.
“Selepas meletak jawatan dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), saya berkhidmat sebagai pengawal peribadi kepada orang kenamaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya CPPTS, Mahathir Manan.
Dia terkejut dan kecewa kerana cara penugasan pengawal peribadi ketika itu lebih terarah kepada ‘bouncer’, bukannya sebagai pengawal peribadi.
Mereka menahan orang awam tanpa tertib, bersikap kasar dengan orang luar, menggunakan bahasa yang tidak wajar dan memakai pakaian yang tidak sesuai.
Pengalaman sebagai pengawal peribadi selain tugas sebagai anggota elit dalam PDRM memudahkan tugas menguruskan syarikat itu.
“Banyak syarikat swasta yang menyokong modul pembelajaran dan latihan CPPTS.
“Ada juga datang atas kehendak sendiri kerana minat dan ingin membina kerjaya sebagai pengiring rapat.
“Bermacam ragam dan kerenah perlu dihadapi kerana kebanyakan datang dari pelbagai agensi dan latar belakang berbeza,” katanya.
Ada peserta yang memiliki wajah yang garang katanya, tetapi kerana seekor katak, mereka sanggup menarik diri.
“Ada juga menangis ketika latihan ‘combat medic’ di hutan kononnya mereka fobia dengan keadaan yang gelap”, katanya.
Ditanya hala tuju peserta selepas tamat latihan, Mahathir berkata, CPPTS tidak menyediakan peluang pekerjaan, tetapi membekalkan mereka dengan latihan dan ilmu.
Ditanya pengalamannya sebagai pengawal peribadi, katanya tugas itu memang mencabar tetapi memberi kepuasan.
“Ketika bekerja dengan seorang tokoh korporat di Ipoh, saya bersama seorang rakan pengawal peribadi berhadapan dengan situasi rompakan.
“Pengawal terbabit menjadi panik dan tidak keruan sedangkan rompakan itu tidak mensasarkan VIP di dalam kereta.
“Justeru, saya mengambil kesimpulan, tidak semua orang mampu bertindak ketika dalam situasi kecemasan.
“Apabila menubuhkan syarikat ini, saya tekankan modul latihan menangani tekanan dan situasi cemas.” katanya.
Mengenai gaji diterima pengawal peribadi, katanya pembayaran sepatutnya setimpal memandangkan risiko yang perlu ditanggung mereka.
Mereka bukan saja menjaga keselamatan keluarga, harta benda dan kewangan majikan, tetapi nyawa sendiri turut dipertaruhkan.
“Apa nilai wang berbanding dengan risiko nyawa mereka untuk memastikan majikan selamat,” katanya.
No comments:
Post a Comment