Tampalan Khas Untuk Perdana Menteri Malaysia
Gambar berikut saya rakamkan di Kampung Sungai Bill, Slim Village, Perak pada 21 September 2009.
Apakah signifikannya gambar di atas?
Teliti dan lihat nama besar di papan tanda itu, 'Y.A.B Dato' Sri Mohd Najib Tun Hj, Abd Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia'.
Bagaimanapun, saya dimaklumkan, Dato' Sri Najib tidak menghadirkan diri, beliau digantikan oleh Dato' Sri Azalina Othman pada waktu itu memegang jawatan Menteri Pelancongan.
Pada tahun 2004, kampung kelahiran saya itu kononnya dimomokkan sebagai antara destinasi pelancongan di Perak.
Hakikatnya, indah khabar dari rupa.
Biarpun aliran sungai berair jernih dan dingin menjadi daya tarikan pelancong untuk berkunjung sejak awal tahun 70 an, prasarana disediakan pihak berkuasa tempatan bak melepaskan batuk di tangga.
Gerai dahulunya digunakan penduduk kampung untuk mencari rezeki, berniaga secara kecil-kecilan pada hujung minggu telah roboh.
Untuk rekod, gambar di atas saya rakamkan pada 22 Mac 2008.
Perhatikan gambar saya rekodkan pada Hari Raya lalu. Tulisan di papan tanda semakin pudar. Kini Dato' Sri Najib bukan lagi Timbalan Perdana Menteri manakala nama Dato' Sri Azalina pula tidak lagi tersenarai dalam barisan kabinet.
Tandas awam sebelum ini digunakan oleh pelancong gagal berfungsi berikutan ketiadaan bekalan air. Sedangkan sungai mengalir kurang 50 meter dari tandas itu. Wakaf, meja dan kerusi simen dibina sebelum ini berada dalam keadaan uzur dimamah usia.
Tambah memburukan keadaan, di zaman moden sistem telekomunikasi, penduduk Kampung Sungai Bill tidak menikmati kemudahan itu.
Tiada talian Celcom, Maxis dan Digi.
Namun penduduk 2 kampung terletak hanya 3 kilometer dari Sungai Bill, Kampung Sungai Jorong dan Kampung Sungai Dara berpeluang menerima dan membuat panggilan keluar menggunakan talian telefon mudah alih.
Sudah jatuh ditimpa tangga, talian tetap telefon sepatutnya dibekalkan TM juga tiada, klik di sini.
Masalah ini telah saya dedahkan beberapa kali, klik di sini dan di sini namun setakat ini tiada sebarang respon dari pihak berkaitan.
Sejak berkurun lamanya sehingga kini, majoriti penduduk Kampung Sungai Bill, penyokong kuat Barisan Nasional.
Mereka juga ahli UMNO seumur hidup.
Barangkali semua syarikat korporat pembekal talian telefon mudah alih dan TM terlepas pandang berhubung kesukaran didepani penduduk kampung. Untuk rekod, Kampung Sungai Bill terletak hanya 18 kilometer dari Tanjung Malim dan 17 kilometer dari Slim River. Jelasnya, kampung itu bukan tersorok di dalam hutan belantara sehingga kemudahan telekomunikasi dinafikan hingga ke saat ini.
Kami tidak mampu untuk memiliki telefon satelit.
Kasihanilah penduduk kampung, majoriti mereka petani, kerana sukar untuk berhubung dengan dunia luar. Belaslah kepada anak tinggal di bandar berikutan tiada kemudahan untuk berinteraksi dengan orang tua di kampung halaman. Simpatilah kepada pelancong terpaksa berkenderaan sejauh 5 kilometer untuk ke Balai Polis Slim Village sekiranya berlaku kes kecemasan.
Saya yakin, syarikat pembekal talian telefon tahu mengenai masalah sekian lama menjadi rungutan penduduk kampung, cuma mungkin hati mereka belum terbuka untuk membantu menyelesaikan masalah itu.
Tanpa talian telefon, peluang anak kecil dan remaja kampung untuk menikmati kemudahan jalur lebar hanya sekadar impian sahaja. Istilah 'maklumat di hujung jari' tidak wujud dalam kehidupan mereka, generasi bakal terus memperjuangkan konsep 1Malaysia pada masa akan datang.
Sebagai anak kampung, saya telah kehabisan ikhtiar untuk membuka mata banyak pilhak sekaligus menghulurkan bantuan. Usaha saya laksanakan itu tidak lebih seperti mencurah air ke daun keladi. Daun tidak basah, air mengalir masuk ke tanah.
Barangkali wakil rakyat dan ahli parlimen dipilih rakyat dalam pilihan raya lalu bak buta mata dan hati tetapi saya amat yakin Dato' Sri tidak begitu.
Mungkin jika Dato' Sri berkata ...
"Tolong tengokkan masalah penduduk Kampung Sungai Bill"
Arahan itu sudah lebih memadai untuk merangsang pihak terbabit untuk membantu.
Andai kata Dato' Sri bersuara ...
"Saya ingin meninjau ke Kampung Sungai Bill bertujuan memastikan kehendak rakyat didahulukan"
Kenyataan keramat itu pasti akan membuatkan semua penduduk kampung dan pelancong tersenyum gembira kerana bakal mendapat kemudahan jalan raya, wakaf, tandas dan kerusi serta meja simen baharu.
Untuk pengetahuan, nama Dato' Sri masih tercatat di papan tanda di kampung kami, biar pun kini kelihatan semakin luntur warna tulisannya.
Kepada pembaca mempunyai ruang dan peluang untuk memanjangkan kandungan tampalan ini kepada Perdana Menteri, bantulah.
Sebarkan maklumat ini.
Mewakili penduduk Kampung Sungai Bil, terima kasih saya dahulukan. Jasa kalian tidak akan kami lupakan seperti lupanya sebilanhan pemimpin kepada rakyat mengundi mereka.
No comments:
Post a Comment