Kajian di Eropah, dakwat kekal mudah dipadam
PUTRAJAYA 14 Sept. – Satu kajian yang dijalankan di Eropah mendapati dakwat kekal yang diinginkan pakatan pembangkang untuk digunakan dalam sistem pilihan raya di negara ini mudah dipadam dengan bahan yang sedia ada di pasaran.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof berkata, maka tidak hairanlah United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS) juga enggan menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya di negara masing-masing.
Dalam hubungan ini, kata beliau, desakan pembangkang melalui Bersih 2.0 termasuk menyarankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya dakwat kekal digunapakai pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah tuntutan yang tidak berasas.
“Jika guna dakwat kekal sekali pun ia tidak akan menjamin ke arah kebaikan kerana jelas terbukti bahan tersebut boleh dipadam dengan cara yang mudah.
“Tiada guna untuk bertelagah dalam hal ini memandangkan kerajaan telah membuat keputusan untuk menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (JTP) bagi memastikan memastikan proses pilihan raya yang bebas dan adil di negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai cadangan penggunaan dakwat kekal yang merupakan salah satu daripada lapan cadangan yang terkandung dalam tuntutan Bersih 2.0 dan kini telah diambil perhatian oleh SPR untuk dipertimbangkan.
Menurut Fadillah, JTP akan berbincang serta mencari kata sepakat mengenai bentuk penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh SPR sebelum dilaksanakan pada PRU-13 sekali gus menjadi bukti kerajaan komited dengan sistem pilihan raya yang bersih.
Selain itu, katanya, pihak pembangkang sepatutnya menerima dan menyertai JTP kerana ia merupakan peluang terbaik untuk menyelesaikan isu-isu yang membabitkan pilihan raya.
“Pemimpin-pemimpin parti pembangkang sepatutnya menyambut baik cadangan kerajaan itu kerana ia merupakan platform terbaik kepada mereka untuk mengkaji semula perjalanan pilihan raya di negara ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment