Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Wednesday, December 5, 2012

Dukung integriti simpan rahsia


Oleh Muhammad Nizam Ab Ghani
     
KETUA Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa dengan tegas mengingatkan setiap penjawat awam bahawa tiada ruang kompromi terhadap mana-mana penjawat awam yang membocorkan rahsia kerajaan. Ingatan tersebut disampaikannya ketika merasmikan Konvensyen Keselamatan Perlindungan anjuran Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (PKPKKM) di Putrajaya, baru-baru ini.
Peringatan oleh pemimpin nombor satu perkhidmatan awam itu perlu diberikan perhatian serius kerana kebocoran maklumat yang dianggap rahsia kerajaan semakin ketara sejak akhir-akhir ini. Situasi ini boleh dikatakan satu fenomena global yang tidak saja berlaku di negara kita bahkan turut melanda negara maju seperti Amerika Syarikat.

Demikian juga halnya yang berlaku terhadap pelbagai kes manipulasi maklumat peribadi pendeposit bank. Data peribadi penyimpan sebenarnya hanya terhad untuk makluman bank disalahgunakan pihak tertentu hingga menyebabkan penyimpan mengalami kerugian kerana berlaku transaksi luar pengetahuannya.

Sesungguhnya di Malaysia wujud beberapa garis panduan dan arahan perlu dipatuhi setiap jabatan kerajaan sebagai langkah untuk mengelak kebocoran maklumat kerajaan.

Ini kerana setiap maklumat yang mempunyai nilai strategik dan dianggap sebagai rahsia kerajaan dikenali sebagai dokumen terperingkat. Dokumen terperingkat terbahagi kepada 4 kategori iaitu terhad, sulit, rahsia dan rahsia besar.


Apabila kita membicarakan aspek perundangan mengenai dokumen terperingkat pastinya buku Arahan Keselamatan bukanlah asing di kalangan penjawat awam Malaysia. Selain Arahan Keselamatan, penjawat awam turut didedahkan kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 yang mengandungi skop dokumen terperingkat, kuasa pegawai pengelas serta hukuman yang bakal dijatuhkan kepada mana-mana individu yang didapati membocorkan isi dokumen berkenaan. Sungguhpun negara ini mempunyai undang-undang dan peraturan yang jelas berhubung pemeliharaan dokumen rahsia kerajaan, namun persoalan wajar diperhalusi kini ialah sejauh manakah tahap penghayatan serta pemahaman penjawat awam terhadap keperluan yang termaktub dalam arahan berkenaan.
Terdapat segelintir penjawat awam yang bergegas mendapatkan buku peraturan keselamatan hanya apabila bakal berhadapan dengan saat menduduki peperiksaan dalam perkhidmatan. Walhal kefahaman mengenai arahan keselamatan perlu diterjemahkan dalam bentuk praktikal ketika bertugas bagi menjamin tiada pelanggaran elemen keselamatan berlaku. Tidak dapat dinafikan bahawa faktor teknologi adalah sebab berlakunya kebocoran pelbagai maklumat yang sepatutnya diketahui oleh individu tertentu saja dalam sesebuah jabatan.


Sebut telefon pintar sesiapa saja dalam kalangan penjawat awam boleh memilikinya tanpa mengira pangkat dan gred. Walaupun fungsi asas sebuah telefon pintar adalah sebagai alat komunikasi, ia juga boleh menjalankan pelbagai fungsi, termasuk sebagai kamera dan melayari Internet.
Dengan kecanggihan teknologi komunikasi yang dimiliki telefon pintar, ia membolehkan seseorang itu dihubungkan atas talian tanpa perlu berada di hadapan komputer atau laptop.


Justeru tidak hairanlah andai terdapat segelintir penjawat awam yang hadir ke sesuatu mesyuarat dan mengikuti perjalanan mesyuarat dari awal hingga akhir pasti akan berkongsi keputusan dan situasi dalam bilik mesyuarat sama ada melalui facebook dan twitter.


Menerusi kedua-dua jenis media sosial itu orang luar yang tiada kaitan dengan mesyuarat akan mengetahui reaksi dan emosi pengerusi serta ahlinya dengan pantas. Walaupun ada pendapat yang mengatakan perkongsian itu tanda keprihatinan seseorang, namun setiap penjawat awam harus berwaspada serta berhemah dalam menggunakan sebarang gajet di tempat kerja.


Kegemaran berkongsi pandangan atau foto di laman sosial tidak sepatutnya turut menyentuh perkara yang boleh membuka ruang terbocornya rahsia kerajaan. Jika aspek pemeliharaan kerahsiaan dokumen terperingkat tidak diberikan perhatian serius oleh penjawat awam ia bakal mengundang padah kepada keselamatan negara. Setiap penjawat awam perlu sedar bahawa keselamatan rahsia kerajaan berkait rapat dengan aspek keselamatan fizikal iaitu bangunan kerajaan, diri penjawat awam dan dokumen terperingkat itu sendiri.


Untuk mencapai objektif itu, satu daripada langkah dikuatkuasa terhadap penjawat awam ialah amalan tapisan keselamatan yang pada ini dijalankan oleh PKPKKM adalah satu kaedah menyaring penjawat awam supaya hanya individu bebas daripada sebarang anasir pengganas dan subversif dilantik ke jawatan dalam perkhidmatan awam.


Selain itu, bagi sesiapa yang pernah berkunjung ke mana-mana pejabat kerajaan pasti akan terlihat papan tanda yang tertera ‘dilarang masuk kecuali kakitangan saja’. Pemasangan papan tanda berkenaan adalah satu daripada langkah bagi mengelakkan kawasan tempat kerja di pejabat kerajaan daripada dimasuki sewenang-wenangnya. Fail-fail yang terdapat di setiap pejabat kerajaan yang sepatutnya disimpan dengan baik dalam kabinet fail dan tidak dibiarkan berada merata-rata hatta di bawah meja pegawai. Oleh kerana kerahsiaan dokumen dan maklumat kerajaan membabitkan risiko masa depan tanah air, maka ia menghendaki setiap penjawat awam mendukung nilai integriti.


Integriti seorang penjawat awam sebenarnya mula dipupuk sejak hari pertama mereka menyertai perkhidmatan awam. Sebaik saja seorang penjawat awam menandatangani akuan bersumpah dan surat aku janji, dia bertanggungjawab memelihara rahsia kerajaan.


Justeru setiap penjawat awam perlu mengingatkan diri sendiri bahawa setiap rahsia kerajaan adalah amanah yang tidak ternilai. Sama-samalah kita merenungi motto PKPKKM-rahsiakan rahsia kerajaan. Penulis kini berkhidmat di sebuah agensi kerajaan

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05

No comments:

Post a Comment