Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, October 31, 2011

Bukan Melayu mampu kuasai bahasa kebangsaan

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Penduduk bukan Melayu di negara ini mampu menguasai bahasa kebangsaan jika mereka selalu menggunakannya dalam kehidupan seharian.

Setiausaha Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan Zainal berkata, langkah itu sekali gus boleh mengurangkan penggunaan bahasa pasar dalam kalangan masyarakat berkenaan. 

Beliau menjelaskan, jika bukan Melayu boleh menguasai bahasa Inggeris, tidak ada alasan untuk mereka tidak mampu menguasai bahasa kebangsaan itu.

"Punca masalah ini adalah sikap. Setelah 11 tahun belajar dalam sistem pendidikan dan tinggal di Malaysia, alasan tidak boleh bertutur dengan baik adalah tidak wajar.

"Mengapa mereka tidak boleh menguasai bahasa kebangsaan dengan baik sedangkan bangsa asing yang tinggal di sini boleh berbahasa Melayu dengan baik," katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas gesaan supaya rakyat menggunakan bahasa Melayu tinggi termasuk orang Melayu sendiri.

Bekas Dekan Fakulti Bahasa Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Emeritus Abdullah Hassan berkata, bahasa Melayu tinggi bukan bahasa percakapan harian yang dipelajari di rumah dan ia bukan hanya milik orang Melayu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Termuzi Abd Aziz berkata, penduduk bukan Melayu seharusnya fasih berbahasa Melayu kerana bahasa itu adalah subjek teras sejak di sekolah.

"Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memupuk penggunaan bahasa Melayu di rumah," katanya. 

Beliau menambah, bagi memupuk kecintaan terhadap bahasa Melayu, bahasa tersebut wajib digunakan dalam setiap majlis rasmi.

"Bahasa Melayu itu indah, jadi kita tidak mahu mencemarkan keindahan bahasa dengan penggunaan bahasa pasar," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Hindu Sangam Malaysia, R.S. Mohan Shan berkata, bahasa Melayu perlu diutamakan walaupun majlis tersebut dianjurkan bukan Melayu.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak seharusnya meminggirkan bahasa kebangsaan. Bagi acara-acara rasmi, kami menggunakan bahasa kebangsaan dan Tamil," katanya.

Komen:  Sepatutnya beginilah...bukan Melayu ajer yang patut menguasai Bahasa Melayu...telah termaktub dalam perlembagaan yang B. Melayu adalah Bahasa Kebangsaan .... bukan macam KM Penang tu...

No comments:

Post a Comment