Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Wednesday, April 27, 2011

Peguam Syarie Menulis: Rakus kejar kebendaan punca institusi kekeluargaan pincang

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip
Bharian Online, 2011/04/27

Gagal laksana tanggungjawab antara faktor perceraian

SETIAP pasangan yang berkahwin pasti mengharapkan hubungan dibina kekal sepanjang hayat. Tidak pernah tergambar akan melalui detik sukar membawa kepada perceraian yang akan memberi kesan terhadap beberapa pihak terutama anak-anak.

Punca perceraian perlu diambil kira untuk melihat apakah bentuk masalah yang boleh menyebabkan perceraian. Ada pelbagai punca perceraian antaranya faktor kekurangan kewangan, tiada persefahaman, kegagalan memahami serta melaksanakan tanggungjawab.

Sama ada kegagalan memahami tanggungjawab berpunca daripada kekhilafan mahupun kurangnya pendedahan diberikan hingga kadangkala pihak berkenaan tidak mengetahui akan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Satu lagi punca perceraian berkemungkinan kesan daripada pasca-modenisme yang tanpa disedari merubah serba sedikit budaya serta amalan masyarakat masa kini seiring kemajuan dicapai dan sekali gus memberi kesan terhadap perkara lain.

Pasca-modenisme bukanlah sesuatu yang baru, namun fahaman manusia berpegang kepada modernisme ini menyebabkan mereka yakin manusia yang berkuasa dan menentukan segala aspek kehidupan.

Pengaruh hebat ini juga berkesan ke atas pemikiran dan keyakinan umat Islam melalui pelbagai saluran seperti sistem pendidikan, ekonomi, budaya, sosial dan politik. 

Oleh demikian, pemahaman terhadap konsep keluarga dan tanggungjawab penting. Keluarga hari ini pada asasnya terdiri daripada bapa, ibu dan anak-anak. Berbeza masyarakat tradisional, keluarga lebih besar kerana termasuk saudara mara sebelah suami dan isteri yang tinggal bersama.

Ini sebenarnya memberi kesan kepada kepemimpinan keluarga kerana jika berdasarkan keluarga tradisional, keluarga akan dipimpin oleh datuk yang berpengalaman berbanding keluarga asas dipimpin bapa masih muda serta kurang pengalaman.

Perubahan demi perubahan menjadikan tumpuan manusia tertumpu kepada kebendaan. Kehidupan bukan lagi setakat selesa malah lebih daripada itu. Maka, berlakulah perceraian berpunca daripada kegagalan suami memberikan nafkah mengikut kehendak isteri untuk berbelanja. Pada masa sama, tanggungjawab yang sepatutnya mula diabaikan sedikit demi sedikit.

Suami adalah peneraju utama keluarga dan sebagai pembimbing kepada isteri serta anak bersesuaian kelebihan dianugerahkan Allah terhadap kaum lelaki. Suami juga bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri serta anak.

Firman Allah yang bermaksud: “Kaum lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah melebihkan kaum lelaki dengan beberapa keistimewaan daripada kaum perempuan dan kerana kaum lelaki membelanjakan sebahagian dari hartanya.” (Surah An-nisa’, ayat 34)

Dalam pada itu, tanggungjawab utama isteri adalah mentaati dan patuh kepada suruhan suami bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: 

“Sekiranya aku diperintahkan untuk menyuruh seseorang menyembah seorang yang lain, nescaya aku akan menyuruh seorang perempuan menyembah suaminya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Hakim)

Ini bukanlah menafikan hak atau memandang rendah peranan wanita kerana wanita mempunyai peranan tersendiri. Wanita pengurus utama keluarga dari sudut kewangan, makan minum, pakaian, pengurus kediaman serta dalam didikan terhadap anak.

Permasalahan mungkin timbul apabila suami mulai mengabaikan tanggungjawabnya. Lebih-lebih lagi jika isteri mempunyai kerjaya dan kebanyakannya mengharapkan wang hasil pendapatan isteri untuk menampung keperluan keluarga.

Akan tetapi, realitinya, suami masih lagi bertanggungjawab secara penuh dan isteri boleh membantu sekadar yang perlu, bukan menanggung sepenuhnya atau sebahagian besar keperluan.

Tuntutan kerja sekarang ada kala menyebabkan isteri tidak lagi menguruskan rumah tangga sebaliknya tugas menyediakan makanan serta keperluan keluarga dilakukan pembantu rumah. Ini belum lagi waktu kerja yang menyukarkan isteri membahagikan antara kerjaya dan rumah tangga.

Ini belum lagi kes isteri yang berjawatan lebih tinggi daripada suami yang turut mencetus kepada perbalahan. Segelintir wanita juga gagal memahami bahawa konsep ketaatan bukanlah satu budaya yang sengaja diwujudkan pada zaman dulu tetapi digariskan oleh syarak.

Kegagalan memahami tanggungjawab menyebabkan lelaki mengambil kesempatan terhadap isteri yang bekerja sementara isteri yang menyumbang kepada ekonomi keluarga pula merasakan dirinya tidak boleh dikawal oleh suami.

Kemodenan tidak bermaksud perlu mengubah semua perkara sehingga mengenepikan hukum syarak.

Pemahaman ini perlu diterapkan kepada masyarakat supaya dapat memahami apa yang dimaksudkan kemodenan sebenar mengikut Islam.

Kebahagiaan rumah tangga juga bukan melihat kepada setinggi mana ilmu seseorang dari sudut akademik mahupun ilmu agama, atau sebanyak mana masa dan wang diperuntukkan untuk keluarga.

Keluarga akan bahagia apabila semua ahlinya memenuhi tanggungjawab masing-masing serta saling menghormati selain bekerjasama menguruskan keluarga berdasarkan syariat Islam tanpa mengetepikan keperluan mengikuti perkembangan semasa. 

Komen:  Semuanya terletak pada ilmu didada dan tanggungjawab untuk melaksanakannya.  Orang yang bijaksana akan melaksanakan ilmu yang ada didada dengan penuh rasa tanggungjawab.  Sebab itulah pepatah melayu ada menyatakan tepuk dada tanya selera, ikut hati mati, ikut rasa binasa dsbnya...pada saya komunikasi dan kasih sayang adalah penting dalam melayari bahtera rumahtangga...untuk membina keluarga bahagia, kita perlukan wang ringgit juga, sebab tanpanya, kucar kacir jugak jadinya...anak2 akan membanding2kan diri mereka dengan kawan2 yang lebih berada...ibu bapa yang jadi mangsa... serba salah dibuatnya..

2 comments:

  1. Assalam Syg Mum

    Sebenarnya harta dan wang boleh beli apa saja, namun kasih sayang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit kata orang tua-tua kita. Hujung pangkalnya HATI.

    Sayang Tak?

    ReplyDelete
  2. Assalam sayang daddy,

    betul harta dan wang tak boleh beli kasih dan sayang, tapi tanpanya, kasih dan sayang boleh melayang D. Barang perlu diingat, duit adalah keperluan...tapi janganlah diperhambakan oleh duit plak...ya tak...

    SAYAN.....G!!!!

    ReplyDelete