KITA biasa dengar cerita isteri lari atau tinggalkan suami ikut lelaki lain. Biasanya kerana terpengaruh dengan ayat-ayat cinta atau sudah tidak tertahan dengan suami kaki pukul, selain mencari kehidupan mewah bersama suami baru orang kaya.
Tetapi kebelakangan ini anehnya kita dengar berita isteri lari ikut lelaki lain kerana kepakaran lelaki tersebut dengan ilmunya. Memang kita tak mahu percaya, tetapi ada beberapa kes suami dan anak-anak ditinggalkan demi mengejar cinta dengan kekasih baru yang bukan pun kaya, kacak atau pun berpangkat, lebih malang lelaki itu tidak ada pekerjaan tetap. Itu cerita Encik Ikram yang dikenalkan kepada saya oleh seorang teman.
''Saya hairan bagaimana Haiza sanggup tinggalkan 4 anak kami, seorang daripadanya anak istimewa yang dia sangat sayang. Lebih malang Haiza bukan masih muda, sebaliknya usianya hampir 50 tahun dan anak sulung kami sudah pun bekerja. Jadi apa sebenarnya yang dia mahu cari dalam hidupnya selama ini.
''Saya bukan suami kaki pukul, malah banyak membantu dia dalam kerja rumah tangga, malah saya beri dia duit untuk perbelanjaan membeli pakaian dan kegunaan peribadi. Kerana dia suka berpakaian mahal. Saya ikutkan kehendaknya sebab dia tidak ada ramai kawan di kejiranan kami sebab sibuk menguruskan anak istimewa kami dan keluarga.
''Kerana di rumah ada komputer, anak-anak ada Facebook, maka Haiza teringin buka Facebook, saya benarkan dan anak saya sendiri ajar dia buka FB. Saya tahu dia kesunyian tinggal dengan anak istimewa kami, jadi biarlah dia ada FB agar dia gembira.
''Bila dah pandai saya tak tahu dia buka dua akaun dalam FB. Bermula dari situlah dia berkenalan dengan seorang lelaki yang pandai menggoda dan mahir dengan ayat-ayat cinta.
Malangnya dia tidak tahu bezakan antara kebenaran dan kepalsuan. Dia terus percaya.
''Saya mula sedar perubahannya bila dia sering terima SMS yang tak pernah berlaku sebelumnya. Saya mula mengesyaki sesuatu, satu hari saya buka SMS dia dan saya terlihat perkataan yang aneh-aneh, bila tanya katanya kawan perempuan. Saya diam juga. Nak jadikan cerita satu hari anak istimewa saya telefon saya ke pejabat. Saya terkejut bagaimana dia pandai telefon saya, kerana setahu saya dia tidak tahu nombor telefon saya. Dia menangis, katanya hujan lebat ada petir kilat dia takut. Saya terkejut bila katanya emak sudah keluar belum balik lagi. Setahu saya Haiza tidak pernah tinggalkan anak kami sendirian.
''Dalam diam saya cari bukti, anak sulung saya celik computer buka akaun Facebook ibunya. Dia terkejut kerana katanya ibunya bercinta dengan lelaki lain. Dia sendiri tidak sanggup baca luahan cinta mereka berdua. Barulah terbongkar aktiviti Haiza selama ini. Rupa hubungan mereka sudah erat walaupun baru beberapa bulan berkenalan. Anak saya merayu supaya saya bertindak menyekat kegilaan ibunya bercinta itu.
''Sungguh saya tak sangka baru berkenalan dan baru ada FB sudah jatuh cinta dan tak tahu bezakan antara buruk dan baik. Saya nasihatkan dia supaya tidak melakukan kerja-kerja bodoh. Ingat diri dah tua, anak-anak dah besar, malulah kepada mereka. Saya juga tanya Haiza apa yang kurangnya layanan saya terhadapnya selama ini. Semua kehendaknya saya sediakan. Dia mengaku kesilapannya.
''Tidak berapa lama kemudian nak jadikan cerita Haiza minta izin saya untuk melihat dan menjaga ibunya yang sakit. Saya lebih hairan, kerana ibunya sakit sudah lama dan dia tidak pernah menjenguk apa lagi menjaga ibunya. Sebab hubungannya dengan ibu dan adik beradiknya yang lain tidak berapa baik. Mereka sering berselisih faham.
''Kerana dia mengaku dah insaf dan ingin berbakti kepada ibunya yang sakit saya izinkan. Tapi adik beradiknya kehairanan, sebab hubungan mereka sentiasa tegang.
''Ketika keluar rumah pergi menjaga ibunya itulah Haiza ambil kesempatan lari tinggalkan rumah dan anak-anak. Saya terkejut bila dia tak balik ke rumah dan tidak dapat dihubungi dengan telefon. Adiknya di kampung pula beritahu Haiza tidak ada.
''Saya buat dua kali laporan polis apabila Haiza tidak pulang ke rumah. Saya bimbangkan keselamatannya. Harapan saya supaya dia dapat ditemui dan dibawa balik, tetapi Haiza gagal di kesan. Namun hasil pencarian dari Facebook milik Haiza saya dapat mengesan lelaki tersebut yang jadi teman Haiza.
''Isterinya bernama Su dan melalui Su saya mendapat tahu suaminya mengaku 'ustaz', menjadi penceramah jemputan dan pernah belajar sekolah pondok di Kelantan.
''Ustaz ini tak berkelayakan pun, sekolah pondok pun tak habis, tetapi dengan sedikit asas agama dia berjaya mempedaya wanita jatuh cinta padanya. Kata Su dia ditinggalkan setelah duit simpanannya berjumlah lebih RM80,000 ribu habis dikikis oleh suaminya yang kononnya ustaz ini.
''Lebih malang dia tinggalkan Su ketika Su sakit dan hanya boleh bergerak menggunakan kerusi roda, sebab cedera dipukul oleh suaminya. Kata Su, dia pernah buat laporan polis, tetapi malangnya pihak hospital tidak menjumpai laporan kesihatannya menyebabkan laporan polis yang dibuatnya tidak dapat dipanjangkan.
''Memang lelaki Islam tak ada masalah kahwin lagi kalau isterinya sakit, tetapi dalam kes 'ustaz' ini Su sakit kerana dia yang pukul. Semuanya kerana dia tidak dapat wang lagi daripada Su. Dan dia tidak boleh berkahwin dengan Haiza sebab kami belum bercerai.
''Berbalik kepada cerita Haiza tadi, dia bukan banyak duit, tetapi adalah sedikit simpanan dan sedikit barang kemas yang saya belikan, tetapi rasanya kini hidupnya mungkin terhimpit kerana Haiza tidak ada simpanan lagi.
''Kata saudara yang pernah terjumpa Haiza, kini Haiza terpaksa bekerja untuk menyara hidupnya. Bila tak berduit untuk bayar sewa rumah dia pernah menumpang di rumah saudaranya beberapa bulan. Kini pindah lagi setelah jejaknya dikesan
''Saya pernah merayu kepada saudara Haiza supaya pujuk Haiza balik, sebab kami bukan bercerai. Dia lari tinggalkan rumah. Masalahnya, anak istimewa kami terlalu rindukan ibunya hinggakan dia selalu demam, dan saya amat bimbangkan kesihatannya. Tetapi saya hairan mengapa Haiza buta hati dan perasaan melalui keperitan hidupnya sekarang.
''Kata Su dia tak terkejut jika Haiza jadi sepertinya. Dulu dia juga begitu, jadi bodoh ikut setiap arahan 'ustaz'. Hingga duitnya habis, kini dia ditinggalkan. Dia bimbang Haiza juga jadi bodoh sepertinya. Itu kepandaian 'ustaz' dan ilmunya, kerana itu Su masih takutkan 'ustaz'.'' Demikian cerita Ikram tentang isterinya lari ikut 'ustaz' sejak lapan bulan lalu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130901/ke_05/Tinggalkan-suami-ikut-ustaz#ixzz2dio8LoBQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment