Kesesakan pengaruhi perasaan
SEPERTI bertempur di medan perang. Itu antara tanggapan yang diberikan tatkala diutarakan pandangan mengenai tahap budi bahasa di kalangan pengendali kenderaan negara ini.
Biarpun tidak bersenjata namun cukup dengan pacuan empat, dua roda mahupun berjalan kaki, anda sebenarnya berjuang untuk ‘selamat’ sampai ke destinasi. Bunyi seakan menggerunkan. Ditambah pula dengan laporan peningkatan kes kemalangan jalan raya setiap tahun terutama pada musim perayaan. Malah, dipetik dalam satu laporan berita sebelum ini iaitu sebanyak 43,678 kes kemalangan dicatatkan sepanjang Januari hingga September tahun ini (berdasarkan rekod polis) berbanding 40,154 kes pada tempoh yang sama pada 2010.
Senario ini akhirnya menjurus kepada persoalan ‘mengapa’ dan ‘apakah’ sebab yang membawa kepada peningkatan itu. Justeru, timbul persepsi bahawa antara puncanya ialah pentingkan diri yang menular dalam kalangan pengendali kenderaan (bukan semua) negara ini sehingga turut menyumbang bahaya kepada pemandu lain. Benarkah begitu? Sekiranya ya, ini sedikit sebanyak merujuk kepada tahap budi bahasa mereka di jalan raya disebabkan penularan sikap lebih pentingkan diri daripada keselamatan. Adakah benar budi bahasa sudah semakin luntur atau mereka samseng jalanan? “Kalau dibandingkan dengan negara luar, tahap budi bahasa di negara kita masih baik lagi. Cuma, ingin saya ingatkan terdapat dua golongan di jalan raya, satu adalah mereka yang memang kurang ajar, samseng jalanan. “Golongan satu lagi, ialah mereka yang bersopan-santun di tempat kerja, rumah tetapi apabila masuk saja dalam kenderaan, bertukar personaliti menjadi sebaliknya,” kata Prof Madya Dr Nor Hisham Osman.
Mengulas perkara itu, pensyarah di Universiti Malaya ini ketika ditemui berkata majoriti yang menjadi kurang ajar ketika di jalan raya ialah daripada golongan kedua, yang mewakili 80 peratus. Tidak menafikan bahawa golongan pertama (samseng jalanan) juga agak biadab, namun mereka merangkumi skop segelintir saja. Dengan menjelaskan senario kurang ajar seperti memotong barisan ketika di tol, menggunakan lorong kecemasan untuk cepat sampai, Nor Hisham berkata masih ramai yang keliru apabila menafsirkan senario tidak berbudi bahasa di jalan raya. Disebabkan kekeliruan itu, ada segelintir pihak mempunyai persepsi bahawa kelajuan kenderaan yang dipandu seseorang itu, boleh dikira sebagai kurang ajar. “Adakah membawa laju itu kurang ajar? Kalau itu ditakrifkan, maksudnya semua orang kaya yang membawa kereta berkelajuan tinggi seperti Mercedes-Benz, BMW adalah daripada golongan yang kurang ajarlah di jalan raya? “Bagi saya, kelakuan seperti melanggar lampu merah, menukar laluan tanpa memberi isyarat dan memotong kenderaan mengguna lorong kiri jalan adalah tindakan kurang ajar,” katanya. Agak menghairankan. Seseorang yang berbudi bahasa dengan sesiapa saja, di mana jua, mula berubah tatkala menaiki kenderaan. Kalau diikutkan secara logik, seseorang yang telah sinonim dengan sesuatu amalan, sepatutnya akan tetap mengamalkannya walau di mana jua senarionya tetapi, mengapa mereka bertukar kelakuan menjadi agresif? “Saya rasa faktor utama seseorang individu itu menjadi kurang ajar disebabkan kesesakan jalan raya. Orang yang mempunyai kesabaran tinggi pun akan jadi tidak sabar apabila berada dalam kejadian begini. “Mereka jadi sedemikian bukanlah disengajakan. Tetapi disebabkan faktor kesesakan dan ditambah pula dengan tekanan lain, akhirnya menyebabkan mereka berpersonaliti sebaliknya,” katanya. Ketika ditanya apakah jenis tekanan itu, Nor Hisham berkata, faktor seperti tekanan kerja yang memerlukannya sampai ke destinasi tepat pada masanya sedikit sebanyak boleh mengubah kelakuan seseorang itu. Tidak sekadar itu, malah tekanan menghadapi kesesakan jalan raya untuk mengambil anak di tempat pusat penjagaan, sekolah, juga boleh menjurus seseorang pengendali kenderaan itu melanggar peraturan jalan raya. “Selalunya senario ini (langgar peraturan jalan raya) berlaku ketika jalan sesak ditambah dengan tekanan lain, membuatkan mereka hilang pertimbangan. “Hendak kata mereka pentingkan diri, ya, mereka terpaksa. Sebagai contoh, pemandu bas mungkin akan kehilangan pekerjaannya sekiranya sentiasa lambat ikut jadual. Hendak atau tidak, mereka terpaksa jadi begitu (langgar peraturan jalan raya),” katanya. Apabila berbicara mengenai tingkah laku pemandu negara ini, tidak lengkap sekiranya tidak menyentuh senario perebutan tempat letak kereta sama ada di pusat beli-belah, jabatan kerajaan dan swasta. Setelah menunggu berjam lamanya, secara tiba-tiba datang sebuah kenderaan dari arah bertentangan dan terus memasuki lot tempat letak kereta yang baru saja dikosongkan, mungkin antara senario yang pernah dialami setiap daripada kita. Tanpa rasa bersalah, pemandu sama ada berseorangan mahupun berkeluarga keluar dengan selamba dan tidak menghiraukan pemandu yang sudah lama menunggu untuk mendapatkan lot tempat letak kereta berkenaan. “Itu biasalah, kurang ajar, tidak berbudi bahasa. Tetapi, kita kena lihat sudut lain pula. Mengapa jadi begitu? Ini disebabkan tempat letak kereta yang ditawarkan tidak cukup. “Mungkin dia sudah pusing banyak kali sampai hilang pertimbangan dan jadi begitu. Begitu juga dengan naik bas, mengapa orang susah nak beratur? Ini kerana, mereka tahu sekiranya terlepas bas ini, lambat lagilah hendak tunggu,” katanya. Atas faktor itu, Nor Hisham berharap agar kelengkapan kemudahan turut dititikberatkan supaya kelakuan sedemikian dapat dikurangkan.
- Bernama
Komen: Tapi kalau sumer org ada alasan (sebab berperangai kurang ajar), penyelesaian takkan tercapai sampai bila2 pun...macam langgar lampu isyarat..kalau di luar negara spt Jepun...di saat dan ketika itulah juga polis traffic akan muncul di sebelah kereta kita..suruh kita ketepi, disaman, dan bagi kita demerit point...hingga satu tahap..lesen memandu akan ditahan...di Malaysia ni undang2 banyak sungguh...lebih2 lagi undang2 jalanraya...tapi penguatkuasaan hampagas...nak harapkan rakyat Malaysia (tidak semua) yang kurang ajar atas jalanraya berfikir sendiri....mmg tidaklah..sebab kalau dia berfikir...dia takkan buat begitu...jadi dengan penguatkuasaan yang tegas ajer dapat mengajar pemandu menjadi lebih berhemah. Bagi masalah pengangkutan awam..saya bersetuju dgn Prof. Selagi masalah ini tidak selesai...jgn harap akan ramai menggunakan pengangkutan awam...public transport masih lagi satu isu yang besar bg rakyat marhaen di Malaysia...di Jepun dan Itali (Eropah secara amnya) org2 kaya masih menggunakan public transport...SEBAB???... ianya memudahkan...murah dan cekap...serta on time...kat Malaysia ni..bukan nk kondem semuanya hangat2 taik ayam ajer...masa launching sumer tip top... lepas tu macam2 hal timbul...sgt melemaskan...
No comments:
Post a Comment