Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Thursday, November 3, 2011

Lihat sudut positif AUKU

Negara dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang memutuskan bahawa Seksyen 15 dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 adalah bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Malaysia. 

Keputusan pihak hakim secara majoriti 2-1 telah memihak kepada rayuan empat orang bekas pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mendakwa hak kebebasan berpolitik dan bersuara adalah kebebasan rakyat Malaysia. 

Keputusan bersejarah itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

Ada yang melihat dan bersuara bahawa Seksyen 15 AUKU adalah suatu seksyen yang begitu menekan dan mengongkong para pelajar di IPT untuk terlibat dalam politik di luar kampus. 

Ya, mungkin ada kebenarannya di situ. Tetapi adakah ramai yang cuba menyingkap kenapa AUKU menghalang para pelajar di IPT untuk terlibat dalam politik kepartian di luar kampus? 

Adakah ramai yang mengetahui bahawa para pelajar ini sebenarnya boleh menyertai ceramah-ceramah dan aktiviti-aktiviti ilmuwan yang dianjurkan oleh mana-mana parti politik sebagai suatu usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan keilmuan mereka?
Mereka hanya tidak dibenarkan untuk menunjuk simpati dan memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik.
Antara sebab mungkin mengapa Seksyen 15 dan keseluruhan AUKU itu dibentuk khusus kepada para pelajar IPT dan kakitangannya di kampus adalah untuk membela dan menjaga nasib para warga kampus terutama pelajar.
Sebagai contoh mudah, sekiranya pelajar diberi kebebasan menyertai parti politik secara langsung, dan mereka terlibat dalam mana-mana tindakan disiplin parti yang memerlukan denda wang ringgit, maka siapa yang harus membela mereka sedangkan pelajar ini masih belum mempunyai pendapatan sendiri? 

Malah kebanyakan daripada mereka pula hanya bergantung kepada pinjaman PTPTN untuk belajar di IPT untuk tempoh masa tiga hingga lima tahun.

AUKU juga berperanan sebagai suatu 'punca kuasa' untuk menggalakkan para pelajar bergiat aktif dalam kampus berbanding sibuk aktif dengan aktiviti-aktiviti parti politik di luar. 

Sekiranya para pelajar ini diberi peluang untuk menyertai politik kepartian, maka sudah pasti masa, wang dan tenaganya akan terpaksa dihabiskan untuk parti politik yang disertainya di luar kampus. 

Kesibukan menyertai dan memegang jawatan dalam parti politik ini akhirnya menyebabkan masa belajar mereka akan digunakan untuk kepentingan parti, duit kocek yang ada dalam simpanan juga terpaksa dibelanjakan untuk survival politiknya dalam parti dan pastinya tenaga serta keringat harus dibahagikan antara tumpuan untuk belajar, komitmen dalam kampus dan penglibatan dengan parti politik.

Seksyen 15 AUKU juga berperanan secara halus untuk membantu dan memastikan para pelajar agar lebih peka dan memberi tumpuan terhadap pengajaran dan pembelajarannya di IPT. 

Sekiranya para pelajar ini asyik sibuk siang dan malam dengan aktiviti parti politik tidak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, maka ruang waktu yang ada pada dirinya semakin terhad. 

Ini tidak mustahil akan menyebabkan para pelajar itu ponteng kelas dan tidak menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Ditambah dengan tekanan yang dihadapi dalam organisasi parti politik, maka pelajar tersebut sudah pasti akan hilang tumpuannya terhadap pengajian. 

Akhir sekali yang menjadi mangsa dalam perkara ini ialah pelajar itu sendiri, mana mungkin kepimpinan parti politik itu akan membantu pelajar untuk lulus cemerlang dalam pelajarannya.

Kita tidak bercakap lagi soal perpecahan di dalam kampus sekiranya para pelajar dan kakitangan IPT diberi kebebasan untuk menyertai secara aktif mana-mana parti politik. 

Cuba bayangkan sekiranya setiap pentadbiran, dan ahli akademik dibolehkan bergiat aktif dalam parti politik, sudah pasti mereka akan mengambil peluang yang ada untuk menguatkan parti dan pengaruhnya. 

Sekiranya seorang pensyarah itu seorang ketua bahagian atau ranting sebuah parti, adakah beliau tidak mempunyai perasaan was-was dan dendam terhadap pelajarnya yang mempunyai jawatan yang sama tetapi dari parti lawan? 

Siapa yang boleh beri jaminan bahawa pensyarah itu tidak akan menggunakan kuasa dan kedudukan yang beliau ada untuk menggagalkan atau memberi tekanan terhadap pelajarnya yang 'setaraf' dengannya dalam dunia politik kepartian? 

Adakah seorang Naib Canselor mampu duduk selesa sekiranya Timbalan Naib Canselor dan pegawai di bawahnya ialah seorang ketua parti lawan? 

Itu tidak termasuk lagi pengetua kolej-kolej kediaman, dekan-dekan fakulti dan pengarah-pengarah pusat, institut dan jabatan.

Pendek kata yang boleh ditekankan di sini adalah AUKU itu sudah pasti ada cacat celanya kerana ia merupakan sebuah akta atau undang-undang yang diciptakan oleh manusia, tetapi tujuan dan keseluruhannya adalah untuk kebaikan warga di IPT juga. 

Janganlah kerana seekor nyamuk yang dimarahi tetapi seluruh kelambu dibakarnya.

Para pelajar dan warga IPT akan mengalami pelbagai kesulitan sekiranya AUKU ini terus dibakulsampahkan begitu sahaja. 

Oleh itu, pihak pemerintah perlu meneliti dengan mendalam sebelum mengambil sebarang keputusan. Pihak pembangkang pula perlu matang dalam memberi hujah agar negara dan masa depan rakyat tidak akan dijual kepada pihak lain.

Komen:  Masa belajar...belajarlah betul2...supaya selepas belajar boleh jadi salah seorang daripada pentadbir negara dlm pelbagai sektor..nak jadi ahli politik lepas belajarpun takder saper yang tahan... tapi sekarang ni kalau budak2 u ni asik terlalak terlolong sibuk berpolitik...bila masa belajarnya? belajar dgn uni kerajaan..pinjam ptptn..pun duit kerajaan...tapi korang tunjuk sikap kurang ajar... umpamanya anak2 dirumah yang masih makan/tido/menumpang idup ngan mak bapaklah... disuap makan pastu tangn yang menyuap tulah digigit...belajar ajelah dulu...jgn kerana duit yg disogok pembangkang yang takat 100-200 tu korang terus jadi bodoh piang...

1 comment:

  1. Saya sangat bersetuju dengan hujah2 yang dilontarkan saudara di atas. Saya sendiri menyaksikan betapa berpolitik itu boleh memunahkan masa depan akademik seorang pelajar.

    Terdapat 2 orang rakan kelas saya di Universiti Malaya yang terjebak dengan kempen Reformasi Anwar Ibrahim pada penghujung 90'an. Dua2 lelaki Melayu di dalam kursus yang mana lelaki Melayu adalah minoriti. Akhirnya rakan kelas saya gagal keluar kerana gagal mengimbangkan masa berpolitik dan bersekolah.

    Kedua2nya dari latar belakang keluarga sederhana. Latar belakang di mana ijazah itulah yang akan membantu menaikkan taraf ekonomi keluarga mereka. Dan setelah payah jerih berusaha untuk menjejaki universiti, harapan semuanya terpadam begitu sahaja. Adakah Anwar Ibrahim membantu mereka mencari kerja setelah gagal? Adakah mereka dibantu untuk memasuki pusat pengajian lain?

    Tepuk dada, tanyalah selera.

    ReplyDelete