Ada seorang lelaki tua yang sangat alim. Dia tinggal bersendirian di sebuah pondok. Setiap hari dia menghabiskan masanya hanya dengan beribadah, berpuasa dan berzikir. Boleh dikatakan aktiviti hariannya hanyalah mengabdikan diri kepada Allah.
Pada suatu malam, lelaki itu bermimpi. Dia melihat seorang peniaga sedang sibuk menguruskan perniagaan di sebuah pekan. Apa yang menariknya, peniaga itu memiliki keimanan yang jauh lebih hebat daripadanya walaupun sibuk menguruskan hal duniawi. Berbeza pula dengan lelaki tua itu yang hanya beribadah kepada Allah.
Pada keesokan harinya, lelaki tua itu pun pergilah ke pekan untuk mencari peniaga yang muncul dalam mimpinya. Ketika dia sampai di hadapan kedai, dia mendapati peniaga itu sedang sibuk melayan pelanggan. Lelaki tua itu mengambil keputusan untuk duduk memerhatikannya dari luar kedai.
Sepanjang pemerhatiannya, dia tidak nampak pun peniaga itu seolah-olah sedang beribadah sepertinya. Kemudian, lelaki tua itu melihat peniaga itu menuju ke masjid berhampiran. Beberapa minit kemudian, peniaga itu kembali ke kedainya menyambung rutinnya seperti tadi.
Curiga dengan tindakan lelaki tua itu, peniaga lalu menyapanya.
"Assalamualaikum. Ada apa-apa yang saya boleh tolong pak cik? "Tanya peniaga itu.
"Waalaikummussalam. Eh! Tidak ada apa-apa. Pak cik tak mahu membeli tapi pak cik nak tanya sesuatu." Balas lelaki tua itu lalu menceritakan mimpinya.
"Begini pak cik, sebelum saya menjawab soalan, boleh tak pak cik lakukan sesuati untuk saya?" Tanya peniaga itu.
"Pak cik boleh lakukan apa saja" balas lelaki tua itu.
"Baiklah, pak cik ambil piring yang berisi air ini. Dengan piring ini, pak cik pergi ke hujung bangunan dan patah balik ke sini tanpa menumpahkan air dalam masa lima minit." Arah peniaga itu.
Lalu lelaki tua itu memulakan perjalanannya. Lelaki itu jalan dengan sangat berhati-hati agar air dari piring tidak tertumpah sehingga tiba semula di kedai itu.
"Nah, ini piring tadi. Selamat. Sekarang apa maksud mimpi pak cik?"
Lalu peniaga itu mengambil piring tersebut.
"Sepanjang pak cik ke hujung bangunan, berapa kali pak cik ingat Allah?"
"Ingat Allah?" Tanya lelaki tua itu terkejut.
"Pak cik tidak ingat langsung kepada Allah tadi. Pak cik cuma pastikan air supaya tidak tertumpah dan tiba masanya. Terang lelaki tua itu seraya menyesal dengan tindakannya itu.
"Tapi saya sentiasa mengingati Allah sepanjang masa. Ketika saya berniaga , saya juga membawa 'air dalam piring'. Saya jujur, amanah, dan adil dalam perniagaan. Saya tidak pernah lupa bahawa Allah sentiasa memerhatikan saya' terang peniaga itu.
-RayyanRaudhah-
No comments:
Post a Comment