Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Wednesday, April 3, 2013

Pak Mie ke Romania


Oleh Abie Abdullah


Kuala Lumpur: “Saya tidak menjangka sampai ke tahap ini maklum balas terhadap filem pendek A Stray Hero yang saya dan isteri hasilkan kerana niat kami cuma satu iaitu mahu memberi kesedaran kepada masyarakat terutama orang Islam bahawa anjing bukan haram, tetapi najis,” kata pembikin filem amatur, Hisyam Salleh dan Rahmah Ghazali.

Filem yang berdurasi lapan minit mengenai sepasang suami isteri di Alor Setar, Kedah yang memelihara ratusan ekor haiwan terbiar termasuk anjing berpenyakit itu menarik perhatian pihak organisasi Asotia Persona memilih A Stray Hero untuk menyertai Cluj Shorts International Film Festival di Romania pada 19 hingga 20 April ini. Pemilihan itu sekali gus menjadi calon tunggal Asia Tenggara ke festival berkenaan. “Kami hanya ingin timbulkan kesedaran mengenai tabu dalam kalangan masyarakat kita, itu sahaja. Malah, saya tidak menyangka filem yang mula dimuat naikkan laman web Vimeo itu turut disaksikan oleh rakyat Malaysia sehingga mencecah lebih 105,000 tontonan.

“Kami hanya merakam secara spontan aksi Pak Mie dan isteri selepas mendapat persetujuan mereka. Secara keseluruhan, rakaman dibuat lebih satu jam tetapi kami sunting hingga menjadi lapan minit. Sebagai amatur, kami bukannya pandai sangat menyunting, tetapi saya belajar menerusi Youtube,” kata Hisyam yang dihubungi, di sini semalam.

Hisyam, 30, hanya menggunakan kamera Canon D5 Mark 3 merakam A Stray Hero, kisah Muhd Azmi Ismail atau Pak Mie dan isteri yang menyelamatkan haiwan jalanan termasuk anjing walaupun beragama Islam. “Untuk mengimbangi cerita itu, kami mendapat kerjasama dengan pihak Mufti Kedah yang sudi ditemu bual. Kami ke Kedah dua kali, pertama tiga hari dan kali kedua, empat hari bagi mengikuti perjalanan rutin harian Pak Mie dan merakam temu bual orang ramai,” katanya yang juga wartawan portal di Free Malaysia Today. Menurut Hisyam, sebelum penerbitan A Stray Hero ini, mulanya dia tertarik dengan karakter seorang ustazah yang mengajar Quran di Rawang yang sering memberi makanan kepada anjing jalanan. Bagaimanapun idea itu terbantut selepas anjing berkenaan ditangkap pihak berkuasa. “Bagaimanapun ustazah yang kami panggil Auntie Umairah mencadangkan kami bertemu Pak Mie di Kedah yang dianggapnya hero sebenarKalau dulu saya tidak suka anjing kerana diajar supaya menjauhkan haiwan itu, tetapi tanggapan saya berubah kini selepas bertemu Pak Mie,” katanya. A Stray Hero terpilih daripada lebih 400 penyertaan, kemudian disenarai pendek bersama 85 karya dari seluruh dunia sebelum dipilih lagi sebagai finalis untuk bersaing dengan 31 lagi karya.


Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/03

Sila layari link di bawah untuk melihat video yang dimaksudkan.
http://www.youtube.com/watch?v=jjPSgIGG0iY

No comments:

Post a Comment