Saya ingin berkongsi pengalaman sewaktu bertugas di dalam program Khabar Haji di kota suci Mekah, baru-baru ini.
Syukur ke hadrat Ilahi atas limpah rahmatnya yang telah memberikan saya peluang dan rezeki berkhidmat di Mekah dalam usia yang masih muda.Terlalu banyak pengalaman yang diperolehi dan berjuta cabaran yang ditempuh, dalam tempoh tersebut. Di sana, Allah telah menunjukkan segala-galanya, membuka sifat sebenar diri kita. Saya ditugaskan bersama rakan menyampaikan berita haji di Astro Oasis. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ibarat mengharap panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari.Tanggungjawab dan amanah yang diberi, akhirnya dikhianati oleh mereka. Mungkin juga niat asal yang pada mulanya baik, tetapi telah terpesong di pertengahan jalan. Apa yang pasti, jika niat asal kita tidak baik, maka di penghujungnya adalah natijah yang menterjemahkan niat asal seseorang itu dalam melakukan sesuatu perkara. Sebab itulah tokoh ulama hadis yang terkenal, iaitu Imam an-Nawawi telah meletakkan hadis yang pertama di dalam karangan beliau, adalah berkaitan tentang niat.
Tidak perlu saya hurai hadis berkaitan niat, kerana sudah jutaan kali dan seringkali kita mendengar hadis ini dari mulut para imam, guru-guru agama dan ramai lagi.Apa yang lebih menyedihkan apabila mereka ini sanggup memperalatkan orang lain demi mengejar kemewahan, dalam erti kata yang mudah ialah zalim terhadap sesama manusia. Golongan seperti inilah yang perlu kita hapuskan, kerana telah menggunakan agama untuk mengaut keuntungan ataupun mereka ini bertopengkan agama semata-mata. Mereka ini juga termasuk salah satu daripada golongan munafik yang diriwayatkan oleh asy-Syaikhan, daripada Abi Hurairah yang bermaksud, tanda munafik ada tiga perkara:
Jangan berdusta ketika ia bercakap; jangan mungkir janji apabila ia berjanji dan; jangan khianat apabila diamanah akan dia. Di dalam hadis riwayat At-Thabrani, daripada Khuzaimah bin Tsabit pula ada menyatakan bahawa: "takutlah kamu akan doa seorang yang kena zalim, kerana doanya itu mustajab, Allah SWT berfirman: Demi kebesaran-Ku, Aku nanti tolong akan dikau walaupun kemudian daripada beberapa abad". Tetapi masih ramai di antara kita yang tidak takut untuk melakukan kezaliman sesama manusia, mungkin belum sampai saat dan ketikanya pembalasan. Ingatlah bahawa di akhirat nanti adalah hari perhitungan yang sebenarnya, di mana tiada seorangpun yang akan terlepas daripada mahkamah Allah. Sidang pembaca sekelian, antara tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan oleh Allah kepada para ibubapa, adalah anak-anak. Anak-anak adalah merupakan anugerah yang tidak ternilai kepada kita.
Rasulullah SAW bersabda: Setiap anak yang dilahirkan, membawa fitrah beragama (percaya kepada Allah), maka ibubapalah yang mencoraknya sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. (riwayat Bukhari).
Jangan kita jadikan kesibukan bekerja, sebagai alasan tidak memberi perhatian atau tidak memberi didikan agama, terhadap anak-anak. Nabi menyuruh kita supaya mendidik anak-anak supaya mengerjakan solat apabila berumur tujuh tahun, dan apabila sudah sampai umurnya 10 tahun, maka pukullah anak-anak tersebut, sekiranya mereka tidak menunaikan solat. Begitulah ajaran agama kita, iaitu didikan agama itu, perlu diterapkan sejak kecil. Sekiranya kita menginginkan anak-anak yang soleh dan solehah, yang akan mendoakan kita sewaktu kita tiada lagi di dunia ini nanti. Sekiranya kita menjadi ketua atau bos di tempat kerja pula, antara tanggungjawab dan amanah kita sudah semestinya terhadap syarikat dan pekerja-pekerja di bawah kita.
Kewajipan kita terhadap Allah adalah keutamaan di dalam pekerjaan, barulah setiap tugas ataupun kerja yang akan kita lakukan, diberkati, malah dipermudahkan oleh-Nya. Kebajikan para pekerja pula salah satu elemen penting yang perlu diambil berat oleh seorang ketua, dimana kerja yang diarahkan nanti, adalah bersesuaian mengikut tahap kemampuan para pekerjanya. Ikuti atau contohilah Nabi SAW di mana baginda menunjukkan contoh tauladan yang baik, apabila baginda menjadi pemimpin. Ini kerana, setiap perbuatan atau tingkahlaku seorang ketua, akan dinilai oleh pekerja bawahannya dan seterusnya menjadi ikutan mereka.
Kebanyakan bos cakap tak serupa bikin, anak buah kena ikut peraturan...boss apa2pun boleh...ceh...
No comments:
Post a Comment