Dipetik dari Akhbar Utusan Malaysia Online bertarikh 30 Disember 2010.
BEGITU pantas masa berlalu. Hanya tinggal sehari lagi kita akan melangkah ke tahun baru, 2011. Tentunya 2010 yang ditinggalkan juga mempunyai banyak kebaikan di sebalik kesedihan yang mungkin dilalui.Sepanjang tahun ini juga, pelbagai tragedi berlaku yang mana memerlukan kita semua merenung dan berfikir, apakah hikmahnya ujian yang dianugerahkan oleh Allah itu?Lalu teringat juga saya akan pesanan orang tua-tua supaya jangan diungkit jangan dikenang kisah nan lalu.
Tetapi itu hanya kata-kata dan pesanan untuk dijadikan panduan. Sesuai dengan masa kini apabila didatangi musibah atau ujian, kita juga harus bangkit untuk meneruskan langkah menghadapi hari depan yang masih panjang.Secara tidak langsung segala ujian itu boleh dijadikan sandaran mengumpul semangat dan iktibar supaya kita lebih berhati-hati dalam mencari arah tuju hidup berlandaskan iman dan takwa. Jika direnung kepada segala tragedi yang berlaku, kematian, pembunuhan, nahas ngeri, perselisihan faham dan perbezaan pendapat, banyak yang tersirat di sebalik yang tersurat.
Saya setuju kita tidak boleh kenang perkara yang sedih selama-lamanya, malah tidak juga boleh berbangga dengan kesenangan yang ada.Tetapi sebagai manusia, kita diberi akal untuk menilai dan menimbang mana yang baik dan buruk. Benar hidup perlu diteruskan, tetapi bagaimana caranya? Cadangan saya, ayuh kita bergerak ke depan, membaiki diri dan berani membuat perubahan dalam hidup terutama soal akhlak, tingkah laku dan jati diri di samping selalu mengingati Allah.
Saya juga terpanggil mengaitkan isu ini dengan pelbagai perkara yang melanda masyarakat sepanjang tahun ini terutamanya masalah sosial yang pada saya nampak begitu ketara. Perceraian, keruntuhan akhlak di kalangan remaja, antara perkara serius yang melanda masyarakat kita sekali gus melemahkan institusi keluarga. Paling membimbangkan, masalah cinta turut menjadi beban dalam hidup remaja sehingga sanggup melarikan diri dari rumah mengikut lelaki yang mereka cintai dan juga membunuh kerana cintanya tidak berbalas. Tragedi seperti ini, jika tidak dibendung akan terus bermaharajalela dalam masyarakat disebabkan sikap kebanyakan ahli masyarakat sendiri yang tidak begitu mengambil peduli berbanding dulu. Inilah antara perkara serius yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat sama ada ibu bapa, pekerja, keluarga, jiran, rakan taulan dalam usaha membina masyarakat lebih prihatin dan berilmu.
Saya juga ingin menyentuh tentang kes perceraian yang kini berada di tahap membimbangkan. Seperti diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom baru-baru ini, jumlah kes pasangan yang bercerai mencapai 27,116. Puncanya sekadar tidak ada persefahaman, masalah akhlak dan campur tangan pihak keluarga. Angka tersebut, kata Jamil Khir Baharom diperoleh hasil kajian yang dilakukan oleh Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sepanjang setahun dari 2003 hingga 2004. Dalam kes tersebut, di pihak suami tiada persefahaman mencakupi 43.33 peratus, masalah tidak bertanggungjawab 32.93 peratus, masalah akhlak atau sosial 12.03 peratus dan campur tangan pihak ketiga 5.54 peratus sementara ekonomi 2.62 peratus. Sementara isteri pula memberi sebab bercerai kerana tiada persefahaman 69.44 peratus dengan alasan mereka tidak mahu memanjangkan cerita selain 17.68 peratus disebabkan tidak bertanggungjawab dan masalah akhlak atau sosial 5.84 peratus. Melihat pada angka yang dimaklumkan, jelas ia bukan perkara remeh malah dikhuatiri menjejaskan institusi keluarga yang kini seperti terumbang-ambing. Jika ibu bapa tidak dapat memberi tumpuan dan contoh terbaik dalam rumah tangga bagaimana dengan masa depan anak-anak? Siapa yang harus mereka jadikan contoh jika di dalam rumah suasananya selalu panas dan membahang. Ayah dan ibu tidak sehaluan, komunikasi dengan anak-anak tidak ada dan rumah sekadar tempat persinggahan. Akibatnya anak-anak, khasnya remaja akan mencari jalan penyelesaian di luar. Turut membimbangkan, adalah kes perceraian pada usia emas. Beberapa wanita yang berkongsi kisah rumah tangga mereka dengan saya kebanyakannya memberitahu mereka terpaksa mengambil keputusan untuk berpisah dengan pasangan masing-masing setelah mencecah usia 50-an kerana tidak sanggup lagi hidup berpura-pura. "Selama ini kami bertahan kerana anak-anak. Apabila anak-anak sudah berdikari, saya mohon cerai kerana mahu bebas dalam erti kata sebenar," itu kata salah seorang daripada mereka. Alasan yang diberi, suami tidak semesra dulu, ada teman wanita dan banyak menghabiskan masa di luar dengan kawan-kawan. Ertinya selama ini mereka hanya berlakon hidup sebagai suami isteri demi anak-anak. Adakah situasi ini baik untuk institusi keluarga kita?
Saya tidak mahu mengulas panjang tentang perkara itu memandangkan setiap orang ada pendekatan tersendiri dalam membina keluarga mereka. Lagipun ini adalah masalah peribadi.
Namun saya tetap percaya semuanya bermula dari rumah. Elok acuan yang digarap ibu bapa, maka akan eloklah anak-anak yang dididik dan diberi tunjuk ajar. Apa pun 2011 diharap akan lebih membuka minda kita semua untuk membaiki kelemahan diri sepanjang tahun lalu.
Tidak salah muhasabah diri, mencari kekurangan dan kekuatan yang ada untuk membuat perubahan dalam hidup.Terkadang kita alpa dengan kekurangan kerana leka dibuai kelebihan yang dipinjamkan oleh Allah. Inilah masanya kita cermin diri.Seperti juga saya dan keluarga yang menjadi lebih kuat dan bersatu setelah diuji dengan pelbagai cabaran sejak akhir-akhir ini.
Pada saya hanya kekuatan, semangat dan kasih sayang sesama keluarga mampu mengembalikan kegembiraan yang telah hilang. Biarpun ia pahit, namun manisnya tetap ada.
Penutup catatan, jika ada sesuatu yang hilang pada hari kelmarin, berusahalah untuk mendapatkannya semula pada hari ini, esok dan seterusnya tanpa rasa kecewa kerana percayalah, kebahagiaan itu laksana pokok mawar yang ditanam. Biarpun tidak berbunga ia akan terus tumbuh sehingga kuntumnya menjelma pada satu hari nanti.
Salam Tahun Baru 2011.
"Yang Buruk Dijadikan Sempadan
Yang Baik dijadikan Teladan"