Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Thursday, June 27, 2013

Bersangka Baik Demi Cinta

Usia perkahwinan sudah lebih tiga puluh tahun. Mereka sudah punya tiga orang cucu. Namun si isteri meluahkan rasa hatinya dengan berkata, “saya sudah letih berdepan dengan kerenah suami. Sikap sambil lewanya sangat memeningkan kepala. Saya benar-benar berada di persimpangan, ingin minta agar perkahwinan ini dibubarkan atau meneruskannya. Apa pandangan saudara?”

“Teruskan perkahwinan,” jawab saya dengan pasti. Saya teringat ungkapan lama yang menjadi pegangan diri sejak dahulu. Ungkapan itu berbunyi: “Jika sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Tetapi jika jalan sudah benar namun pelbagai masalah menghalang, jangan berpatah balik, teruskan perjalanan!”

“Mengapa pula?” tanya siisteri.

“Jika puan boleh sabar selama 30 tahun, hanya ada beberapa tahun sahaja untuk terus bersabar. Umur kita tidak lama. Sabarlah dalam bersabar. Yang penting cubalah positifkan pemikiran dan perasaan. Puan di jalan yang betul, cuma rintangannya ada. Puan mesti atasi dan teruskan perkahwinan ini. ”

“Saudara cakap senang tetapi bagaimana hendak terus positif jika dia terus bersikap negatif?”

Saya senyum. Ya, tulisan kali ini saya tujukan untuknya dan untuk saya juga serta untuk kita semua. Sebenarnya pemikiran yang betul adalah syarat untuk kita bersikap positif. ‘Right mental attitude’ sangat penting dalam melayari bahtera rumah tangga. Sikap yang betul perlu untuk menghadapi cuaca rumah tangga yang tidak menentu. Bagaimana untuk tenang dan bahagia di dalam diri tidak kira apa yang sedang dihadapi di luar diri kerana apa yang lebih utama ialah ‘what happens in you’ bukan ‘what happens to you.’

Untuk mengekalkan cinta perlu ada sikap positif. Tanpa sikap yang positif, cinta akan terbarai dan kebahagiaan akan berkecai. Berikut adalah beberapa langkah praktikal untuk membina pemikiran yang positif seterusnya membentuk sikap yang positif:

1. Fokus pada tanggung jawab, bukan menuntut hak.
Punca hati tidak tenang dan hilang kebahagiaan dalam hidup kebanyakannya manusia ialah perjuangannya untuk mendapatkan hak. Manusia sering marah dan mengeluh dengan berkata, “aku sepatutnya tidak dilayan begini.” Dalam kebanyakan situasi, kita sering tidak mendapat apa yang kita jangkakan dan harapkan. Betul bukan? Selagi kita hidup kita akan alami pelbagai situasi yang mana susu yang kita berikan tetapi tuba kita terima sebagai balasannya.

Di dalam rumah tangga jangan mengharapkan kesempurnaan pada pasangan kita. Bunga yang kita berikan, jangan mengharap bunga sebagai balasannya. Tetapi apakah kerana tidak mendapat balasan lalu kita berhenti menghulurkan kebaikan? Jangan! Fokus pada tanggung jawab – sebagai suami atau isteri kita dituntut oleh syariat untuk melaksanakan tanggung jawab. Tunaikan hak pasangan kita itu lebih utama daripada kita menuntut hak kita. Ah, apakah ini bererti kita akan terus menjadi mangsa?

Jawabnya, tidak. Kita akan lebih tenang, percayalah. Adalah tidak bijak untuk terus membuang masa dan tenaga memikirkan tentang apa yang sepatutnya berlaku berbanding apa yang perlu dan patut kita lakukan? Ramai orang terseksa dengan kekecewaan dan geramkan pasangannya yang sepatutnya berbuat begini atau begitu… Pada hal, pemikiran yang negatif itu akan memburukkan lagi keadaan. Yang penting fokus kepada apa yang aku boleh lakukan untuk melaksanakan tanggung jawab ku.

Katalah dalam satu pertelingkahan dan kita berada di pihak yang betul dan benar, itu pun bukan jaminan untuk kita dimenangkan dan dibenarkan. Acap kali pihak pasangannya kita terus berusaha menegakkan benang yang basah. Apatah lagi bila egonya tercabar. Lalu sikap kita bagaimana? Jangan berterusan menuntut hak. Jangan memendam rasa dengan mengecam bahawa keadaan itu tidak adil. Ingatlah, berterusan memperjuangkan kesempurnaan dalam dunia (termasuk rumah tangga) yang tidak sempurna ini hanya akan menjerumuskan kita ke lembah dendam, marah, kecewa dan kemurungan.

Rasa-rasa yang negatif ini akan ‘menyedut’ tenaga, keceriaan dan akan menyebabkan kedutan pada wajah kita. Kesannya, kita akan ditarik ke belakang. Malah kita akan ditolak ke lorong yang salah dalam kembara kehidupan yang penuh ujian ini. Untuk bergerak ke hadapan dan terus memburu kemajuan dalam diri agar lebih bahagia dan tenang dalam hidup… kita perlu tinggalkan segala keegoan, kepentingan, ketakutan dan sikap tidak memaafkan.

Semua itu hanya boleh dicapai apabila kita fokus kepada tanggung jawab dan selalu berfikir tentang apa yang perlu aku lakukan berbanding dengan apa yang sepatutnya dia (pasangan kita) lakukan. Tumpukan kepada apa yang boleh kita kawal, yakni tanggung jawab kita bukan pada sesuatu yang di luar kawalan kita yakni hak kita yang ada pada kawalan pasangan kita.

Ironinya, mereka yang berjaya melaksanakan tanggung jawab dengan baik sering mendapat haknya sebagai balasan. Dan kalau mereka tidak mendapat balasan daripada pasangannya pun, Allah akan memberikan ketenangan dalam hati mereka seperti mana ketenangan yang dirasai oleh Siti Asiah isteri kepada Firaun.

ii) Sering berdamping dengan orang yang positif.

Siapa kita lima tahun akan datang dicorakkan oleh dengan siapa kita bergaul dan buku apa yang kita baca. Begitu ditegaskan oleh orang bijaksana. Dengan siapa kita meluangkan masa kita sangat menentukan sikap kita. Kata pepatah, burung yang sama bulu akan terbang bersama. Rasulullah s.a.w menegaskan, agama seseorang ditentukan oleh temannya.

Justeru, berhati-hatilah memilih orang untuk kita dampingi. Jauhkan ‘toxic people’ yang sering menusuk jarum-jarum umpatan, adu domba dan rasa pesimis dalam melayari kehidupan berumah tangga. Pernah kita jumpa orang yang sentiasa mengeluh? Asalkan berjumpa sahaja mulalah dia mengeluh tentang badannya yang tidak sihat, dia sering ditipu, dia dilayan dengan buruk sampailah ke rumahnya yang sempit… Apa yang anda dapat daripada orang yang begini?

Oleh itu jika jiran, teman atau kenalan kita ialah dia yang tidak ‘melahirkan’ sesuatu yang baik dan positif daripada diri anda, mengapakah tidak kita buat sedikit perubahan atau penyesuaian? Kita berhak untuk meletakkan satu jarak yang agak jauh untuk tidak dijangkiti oleh sikap negatifnya. Ingat, teman rapat kita ialah mereka yang membantu kita mengeluarkan yang terbaik dari dalam diri kita. Kaki umpat, mengeluh dan menghasut hakikatnya bukan sahabat kita walaupun kelihatan dia baik dengan kita! Ingat pepatah Melayu lama – sokong yang membawa rebah.

iii) Jadikan sekarang masa paling gembira.

Jika orang bertanya bilakah masa yang paling gembira dalam hidup berumah tangga kita, jawablah, “sekarang!” Usah berpaling ke belakang dengan mengatakan semasa mula-mula kahwin dahulu atau melangkau ke masa hadapan dengan berkata, “bila anak-anak sudah besar dan hidup lebih stabil.” Dengan berkata demikian kita telah ‘membunuh’ potensi hari ini.

Ya, memang kita mula-mula kahwin dahulu kita gembira, tetapi rasa gembira itu hanya pada waktu itu. Dan waktu itu telah berlalu. Kita hanya hidup pada masa ini bukan pada masa lalu. Justeru, jadikanlah masa ini masa yang paling gembira. Hiduplah untuk hari ini kerana semalam sudah berlalu dan hari esok masih belum tentu. Inilah yang dipesankan oleh Rasulullah s.a.w, jika kamu berada pada pagi jangan menunggu waktu petang dan begitulah sebaliknya. Kita hanya akan meletihkan diri sendiri jika cuba hidup dalam tiga masa – semalam, hari ini dan esok!

Jangan biarkan tragedi masa lalu menyengat kita berkali-kali dengan mengenangnya selalu. Sebaliknya, carilah pengajaran yang kita dapat daripadanya dan selepas itu terus lupakan. Juga jangan sentiasa diingat-ingat saat gembira masa lalu kerana itu hanya memori dan itu bukan lagi realiti yang sedang kita hadapi masa kini. Sebaliknya, carilah apakah ‘resipi’ yang menghasilkannya dahulu dan mari dengan itu kita ciptakan kegembiraan baru hari ini!

iv) Cari jalan untuk mengatasi stres.

Stres akan menyebabkan keletihan dalam pemikiran dan perasaan yang lama-kelamaan akan membentuk sikap yang negatif. Oleh itu para suami atau isteri mesti menemukan cara untuk mengawal stres. Antara kaedah terbaik ialah dengan melakukan aktiviti fizikal, hobi atau minat kita. Boleh jadi dengan berkebun, menenun, membaca, berjoging atau bersukan. Lepaskanlah geram, kecewa dan marah kita kepada aktiviti yang menyihatkan dan menceriakan.

Jangan tahan jika anda hendak ketawa, berlari atau melompat sepuas-puasnya. Bebaskan diri daripada belenggu tekanan dan masalah yang menghantui hidup anda. Dengan aktiviti yang aktif dan perlakuan yang memerlukan konsentrasi mental, fikiran, jiwa dan emosi kita akan melalui tempoh ‘pause’ atau istirahat. Lupakah kita bahawa Rasulullah saw berlumba lari dengan isterinya?

Ini akan memberi kekuatan untuk kita meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Kita akan dapat melupakan seketika masalah yang kita hadapi… bukan untuk eskapisme tetapi untuk kembali menanganinya semula apabila jiwa kita segar, fikiran kita tenang dan emosi kita telah kembali stabil.

v) Jangan terlalu serius.

Kehidupan berumah tangga ialah sesuatu yang serius tetapi perlu dijalani dengan tidak terlalu serius. Jalanilah kehidupan dengan sedikit gurau senda dan berhibur. Siti Aishah pernah meletak dagunya di bahu Rasulullah s.a.w untuk melihat tarian orang Habsyah. Hiburan umpama garam dalam masakan. Tidak perlu terlalu banyak, tetapi cukup sekadar keperluan untuk memberi rasa yang enak. Ya, sedangkan Rasulullah s.a.w lagikan bergurau dengan isteri-isterinya, mengapa kita tidak?

Memang banyak perkara yang penting dan kritikal perlu kita selesaikan, tetapi itu tidak menghalang daripada kita berjenaka dan bergurau senda seadanya dengan pasangan kita. Insya-Allah dengan unsur-unsur humor dalam rumah tangga kita, hubungan kita suami isteri akan lebih kukuh dan kita akan mampu bergerak lebih jauh untuk menghadapi cabaran dalam rumah tangga. Ternyata mereka yang menangani kehidupan dengan ceria menjadi individu yang lebih berjaya menyelesaikan konflik dalam berumah tangga seterusnya membina rumah tangga bahagia.

Apabila rumah tangga kelihatan malap atau ‘sindrom bisu’ mula melanda, cepat-cepatlah ubah suasana luaran itu dengan mengubah suasana dalaman kita dengan empat cara yang dicadangkan ini. Insya-Allah, yang penting bukan apa yang kita lihat tetapi bagaimana kita melihatnya. Orang yang positif akan sentiasa melihat sisi positif pada pasangan dan keadaan yang sedang dihadapinya… Mereka sahaja yang layak bahagia kerana sentiasa berfikir untuk membahagiakan orang lain. Sebaliknya orang yang negatif, hanya akan menyeksa dirinya dan membosankan pasangan hidupnya!

Kesimpulannya, bersangka baiklah walaupun kekadang keadaan tidak sebaik yang kita sangkakan. Bukan menafikan realiti, tetapi demi ketenangan hati. Orang yang buruk sangka akan tersiksa dua kali, pertama oleh sangkanya atas keburukan yang belum terjadi. Kedua, oleh derita hatinya apabila yang buruk itu telah benar-benar terjadi.

Apabila kita bersangka baik, hati akan menjadi lebih tenang. Kita punya tenaga dan upaya untuk menghadapi ujian hidup apabila kita hadapinya dengan tenang. Ya, mungkin kita tidak mampu mengubah keadaan, tetapi sekurang-kurangnya kita punya kekuatan untuk menghadapinya. Pada hal yang buruk dan sukar itu kekadang hanya seketika, atau boleh jadi yang buruk itu… tidak buruk sama sekali. Ada hikmah yang tersirat di sebaliknya. Ada kebaikan yang tersembunyi di belakangnya. Begitulah hidup… satu siri misteri yang tidak dapat ditebak dan diduga. Pernah kita membayangkan suami atau isteri kita yang ada ini sebelum ini? Kebanyakkannya tidak! Bercinta dengan orang lain, berkahwin dengan orang lain. Itulah misterinya takdir…

Apa yang perlu kita lakukan… bersyukur dengan apa yang ada. Bila bersyukur Allah tambah nikmat. Bersyukurlah dengan pasangan yang ada, Insya-Allah, Tuhan akan menambah kebahagiaan kita. Kalau dia tidak berubah perangai, kita pula yang Allah kurniakan kesabaran untuk menghadapi karenahnya. Itu juga satu anugerah bukan? Ya, kata bijak pandai, “jangan minta hidup yang mudah tetapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!”

oleh : USTAZ PAHROL MOHAMAD JUOI

Wednesday, June 19, 2013

Kredit to: Saya Orang Johor (FB) _ Infor menarik untuk dikongsi....Kisah Tuanku Sultan Ibrahim dengan jambatan besi dan konkrit







Assalamualaikum semua. Admin SOJ rasa ramai yg nak tau kisah Sultan Johor tepuk Jambatan kan...
kan... ni admin ada skit citenya. kalau ada yg salah admin mtk maap la.....

Kisah Tuanku Sultan Ibrahim dengan jambatan
besi dan konkrit


1909 – Jambatan Keretapi Besi di Buluh Kasap.  Semasa pembinaan jambatan ini pada 1909, Tuanku Sultan Ibrahim telah dijemput untuk merasmikan pembukaan jambatan tersebut. Baginda telah bertanyakan kepada jurutera British tersebut mengenai keselamatan struktur jambatan besi tersebut. Jurutera British tersebut telah mengesahkan bahawa jambatan tersebut kukuh dan selamat.  Mendengarkan kata-kata jurutera tersebut, Tuanku Sultan Ibrahim telah menggoyangkan struktur jambatan tersebut dengan tangannya.
Jambatan tersebut telah bergoyang.

Kini, kita boleh melihat dibahagian selatan bawah jambatan tersebut terdapat dua lapisan ruang yang telah ditambah untuk memperkuatkan struktur jambatan tersebut. Ini menjadi petanda kisah Tuanku menggoyang jambatan tersebut.

1924 - Tambak Johor

Perkara yang sama telah berlaku semasa majlis perasmian Tambak Johor. Tuanku Sultan Ibrahim telah bertanya mengenai keselematan teknologi British untuk jambatan tersebut kepada penasihat beliau yang berbangsa British. Pegawai tersebut telah mengiringi baginda di majlis perasmian tersebut.

Tuanku Sultan Ibrhim kemudiannya telah mengetuk hujung Tambak Johor dengan tongkatnya…… dan segala skru besar yang menyokong tapak tambak tersebut telah tercabut. Tambak Johor kemudiannya telah
ditutup selama dua hari untuk kerja-kerja baik pulih.

Kemurkaan Tuanku Sultan Ibrahim

Sebenarnya, kejadian yang berlaku di kedua-dua tempat ini adalah berkaitan. Ini adalah petanda mengenai keupayaan Raja-raja Melayu dan kedaulatannya. Menurut kisah, perkara tersebut berlaku sebagai pengajaran kepada pihak British supaya tidak masuk campur dengan urusan dalaman negeri Johor.

Pada 1909, kerajaan Johor telah dipaksa untuk menerima rancangan pihak British untuk membina jalan keretapi. Jalan keretapi ini dibina melalui tanah kerajaan Negeri Johor. Kerajaan British telah ‘memberi pinjaman’ RM 24 juta ringgit kepada Johor untuk projek membina rel keretapi ke Singapura. Jumlah itu termasuk kos pembinaan jambatan besi Buluh Kasap dan juga pembinaan Causeway.

Pihak Birtish berharap bahawa kerajaan Johor tidak mampu untuk membayar pinjaman tersebut, dan dengan ini British akan memaksa Johor untuk menerima Gabernor British seperti negeti-negeri Melayu lain.

Dengan takdir Allah, Kerajaan Johor telah membayar habis pinjaman tersebut pada 1930.

Sebagai membalas budi keatas ‘pinjaman’ kerajaan British tersebut, Tuanku Sultan Ibrahim telah merosakkan struktur binaan British tersebut dengan tangannya sendiri.

1930 – Jambatan Konkrit Parit Sulong

Satu lagi kisah Tuanku Sultan Ibrahim dengan jambatan adalah ketika upacara pembukaan jambatan Parit Sulong. Jurutera tempatan daripada JKR Johor telah diarahkan untuk membina sebuah jambatan, yang pertama dalam sejarah.

Beliau pada mulanya kurang percaya mengenai berita Tuanku Sultan menggoyangkan jambatan. Apabila Tuanku Sultan menggoyangkan jambatan yang dibinanya…. beliau terus jatuh pengsan disitu
juga.

Peristiwa ini telah disaksikan oleh beratus orang, dan cerita tersebut menjadi buah mulut sehingga kini.


kredit: Tuan Mo Razzi and the Unekspected with Dapunta Hiyang


Monday, June 17, 2013

Salah kami tidak pantau anak gadis hingga salah arah...


ANAK-ANAK adalah harta, sebaiknya mereka dididik mengikut acuan berhemah yang boleh membawa keberkatan dalam hidup mereka dalam suasana yang diberkati oleh Allah SWT.

Berilah kasih sayang agar mereka tidak melanggar batas keagamaan dan patuh kepada perintah Yang Maha Esa.

Hanya dengan iman yang teguh sahaja menjadi perisai kepada segala bentuk gangguan sihir sama ada dalam rumah tangga, cinta dan juga kerjaya.

Namun dalam melalui cinta yang terlarang, manusia sering tewas dengan ujian. Untuk memiliki sesuatu yang halal dan sah, terkadang terdapat banyak halangan.

Pun begitu tanamkan dalam hati, setiap ujian yang Allah bagi adalah kerana Allah ingin menghadiahkan kita sesuatu yang amat bernilai jika segala rintangan itu berjaya diharungi dengan penuh kesabaran dan mengharapkan keredaan Ilahi.

Minggu ini, saya ingin berkongsi pengakuan seorang ibu yang menghadapi dilema apabila anak gadisnya jatuh cinta dengan rakan sejenis.

Disebabkan keadaan yang tidak menggembirakan itu, keluarganya menjadi kucar-kacir dan hubungan dengan suami juga terjejas. Semoga kisah ini menjadi pengajaran berguna yang perlu dikongsi dengan orang ramai di luar sana.

Bagaimana wanita ini menangani masalah tersebut dan apa yang terjadi kemudian, kita ikuti kisah ini bersama.

"Nama saya Kalsom (bukan nama sebenar), bekerja sebagai seorang pegawai di sebuah bank. Suami saya seorang penjawat awam dan menjadi pegawai kanan di sebuah jabatan kerajaan.

"Kami mempunyai tiga orang anak, dua lelaki dan seorang perempuan berusia antara 13 hingga 20 tahun.

"Anak sulung saya masih menuntut di sebuah IPTA dan akan menamatkan pelajaran pada hujung tahun ini. Yang kedua juga menuntut di IPTA dan bongsu di tingkatan satu.

"Saya tidak risau tentang anak sulung kerana dia memang seorang anak yang baik, rajin solat, mendengar kata dan pandai. Begitu juga yang bongsu, nampak menyerlah dalam persekolahannya.

"Namun sebagai ibu, saya amat kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku terhadap anak kedua saya, yang juga anak tunggal perempuan yang saya panggil Noni.

"Tanpa saya sedari, dia telah menjalin hubungan songsang dengan rakan sejenisnya. Segalanya bermula apabila saya memberi sepenuh kebebasan kepadanya kerana yakin dia seorang anak yang sopan. Selama ini, dia tidak pernah menyakiti hati saya.

"Saya kesal kerana tidak pernah mengenali siapa kawan rapatnya. Saya ambil mudah dengan siapa dia berkawan, ke mana dia pergi dan tidak bertanya apabila dia lewat pulang ke rumah.

"Bermula dengan berkawan biasa, akhirnya bertukar status kepada kekasih. 'Ibu..., Noni lewat pulang hari ini, ada perbincangan dengan kawan'... begitulah yang sering Noni beritahu saya.

"Sebagai seorang ibu, saya mempercayainya kerana Noni tidak pernah berahsia dengan saya dan akan menceritakan segalanya jika berhadapan dengan masalah.

"Suatu hari, saya menerima kunjungan seorang tetamu yang tidak diundang, seorang wanita sebaya dengan saya. Setelah menjawab salam dan berkenalan, saya menjemput wanita itu masuk ke rumah.

"Dia memberitahu namanya Habsah (bukan nama sebenar). Dia bertanya tentang Noni dan mahu mengesahkan Noni adalah anak saya.

"Ya..., dia anak gadis saya. Kenapa dengan Noni?" tanya saya yang mula terasa tidak sedap hati.

"Beginilah Puan Kalsom, saya sebenarnya sudah buntu dan mati akal memikirkan masalah anak-anak...dan saya terpaksa beritahu puan tentang hubungan anak puan dengan anak saya.

"Anak kita sebenarnya sudah menjalin hubungan terlarang...mereka sebenarnya bercinta sesama sendiri, katanya tenang sambil menunjukkan gambar-gambar yang tertera pada telefon bimbitnya yang disalin dari telefon bimbit anaknya.

"Ketika itu dunia saya gelap seketika, adakah saya sedang bermimpi di siang hari atau ini dugaan untuk saya? Saya menangis kerana terkejut dan kesal dengan perlakuan anak saya itu.

"Istilah pengkid tidak pernah hadir dalam kamus hidup saya. Malah saya tidak pernah menyebut perkataan itu sepanjang hidup saya. Tetapi pertemuan dengan Habsah telah membongkar segala rahsia aktiviti sosial anak-anak gadis kami yang melampau dan sukar untuk saya percaya.

"Namun bukti yang ada pada Habsah telah menceritakan segala-galanya. Kami menangis sambil berpelukan dan berfikir bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini.

"Kata Habsah, suaminya belum tahu perkara tersebut dan dia juga tidak bercadang untuk memberitahu hal itu kerana bimbang keadaan akan menjadi lebih teruk.

"Saya juga mengambil pendekatan yang sama iaitu merahsiakan hubungan cinta terlarang anak-anak kami daripada pengetahuan suami.

"Setelah berbincang, kami sependapat untuk 'memisahkan' mereka daripada berjumpa. Segalanya dilakukan umpama menarik rambut di dalam tepung, dengan harapan untuk membawa mereka ke pangkal jalan. Kami sepakat untuk menghantar anak-anak ke kelas bimbingan agama tetapi di tempat yang berasingan.

"Syukur mereka tidak membantah dan menurut sahaja apa yang kami minta. Terdapat pelbagai aktiviti yang dijalankan di kem tersebut. Setelah hampir setahun di sana, segala niat dan doa restu kami dimakbulkan Ilahi.

"Suatu hari, sedang kami sekeluarga sedang bersantai, Noni datang dan memohon maaf kepada saya. Katanya dia terbabas jauh kerana terpengaruh dengan kawan-kawan yang dihanyutkan oleh budaya songsang.

"Terima kasih ibu kerana telah selamatkan saya daripada menjadi mangsa sebagai seorang gadis pengkid."

Anak gadis saya mengakui ketika itu jiwanya lebih terarah kepada sifat kelakian. Sambil memeluk saya, dia menangis kesal akan dosa yang terpalit.

"Saya bersyukur kepada Ilahi dan berterima kasih kepada Habsah yang telah membongkar segala yang menjadi rahsia anak-anak kami. Jika tanpa ikhtiarnya, mungkin perlakuan mereka yang songsang itu tidak dapat diselamatkan.

"Kepada ibu bapa yang terlalu memberi kebebasan, awasi pergerakan dan perlakuan anak-anak. Nasihat saya, jangan terlalu percayakan anak-anak yang masih di bawah jagaan kita.

"Jika mereka tersasar dari kehidupan yang normal, cepat bertindak mengikut acuan yang digariskan oleh agama.

"Kehidupan hari ini terlalu banyak terdedah kepada 'jerangkap samar' yang ada di mana-mana. Saya nasihatkan ibu bapa mengambil peranan penting untuk memantau anak-anak agar tidak terpesong daripada batas agama.

"Saya bersyukur kerana dapat menyelamatkan Noni lebih awal. Terima kasih kepada Habsah yang prihatin dengan persahabatan anak-anak kami. Moga Allah berkati hidup Noni dan kami sekeluarga dan juga keluarga Habsah,'' demikian Kalsom menamatkan ceritanya.

Alhamdulillah, saya turut lega dengan penyelesaian kes anak Kalsom ini. Sebagai ibu, Kalsom telah bertindak bijak dengan menghantar anaknya ke pusat latihan bagi mendalami ilmu agama.

Ibu-ibu di luar sana patut mencontohi Kalsom dan Habsah dalam menangani anak-anak yang tidak terkawal ini terutama remaja perempuan.

Perhatikan tingkah laku anak-anak yang terlalu rapat berkawan. Perhatian, kasih sayang dan pemantauan amat penting bagi memastikan mereka tidak terpengaruh dengan budaya tidak sihat.

Menutup catatan, pesanan saya, nafsu adalah mainan syaitan dalam diri seorang manusia. Bila dimanjakan, ia akan menjadi ketagih dan bila dibiarkan, kita akan terus terlupa. Sebaik-baiknya, jangan ikut nafsu tetapi ikut akal untuk mencari keredaan dan kesejahteraan hidup yang abadi.

Salam.



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, June 10, 2013

Bandar Tenggelam 25 Tahun Lalu Tiba2 Muncul Semula di Argentina


(20 Foto) Bandar Argentina Yang Tenggelam Musnah Di Laut 25 Tahun Lalu, Tiba-Tiba Muncul Di Permukaan Semula!
Written By FM Station on Wednesday, 29 May 2013 | 04:58

Bayangkan. Kalau sebuah kereta yang tenggelam dalam sungai bertahun-tahun lamanya, tiba-tiba timbul di permukaan semula. Rasanya cerita itu dah cukup buatkan kita rasa terkejut dengan kemunculan kereta yang hilang.

Macam mana kalau sebuah bandar yang telah lama musnah dan ditenggalami air laut, tiba-tiba muncul semula di permukaan selepas 25 tahun?

Memang terkejutnya saya ketahui fenomena alam yang sangat jarang sekali berlaku. Malah pertama kali berlaku sepanjang saya hidup. 

Kejadian ini sebenarnya berlaku di sebuah bandar Argentina, iaitu lebih di kenali sebagai Villa Epecuen.

Tak perlulah para pembaca lain bayangkan bagaimana keadaan bandar tenggelam bila timbul semula. 

Sebab dalam entry ni saya sediakan 20 gambar keseluruhan bandar yang tiba-tiba muncul telah di ambil oleh photographer yang bertauliah lagi mahir dari sumber ini. Jom sama-sama lihat.



pemandangan yang di ambil dari atas helicopter 





sisa bangunan-bangunan selepas lama tenggelam





boleh nampak jalur lingkaran menunjukkan kawasan keseluruhan bandar





kemusnahan bandar lebih 25tahun dahulu





lagi pemandangan bandar hantu, Villa Epecuen, Argentina





walaupun di tenggelami air, masih terdapat binaan bangunan yang belum rapuh sepenuhnya





ada kawasan yang masih di tenggelami air laut





antara penduduk lama yang datang melawat





pemandangan bandar musnah teruk setelah tenggelam





rangka kereta yang tinggal





sisa kemusnahan





tangga ini masih teguh walaupun setelah lama di tenggelami air laut





lelaki ini berusia 81 tahun, antara penduduk yang kembali ke bandar itu





batang-batang pokok yang ada tapi mati





air laut masih mengalir di kawasan bandar yang pernah tenggelam itu

pemandangan senja di sana 





perbezaan gambar bandar 25tahun yang lalu dengan realiti sekarang





bila kemusnahan terjadi, apa pun tak mampu dihalang



heningnya suasana di Villa Epecuen ini sehingga di gelar bandar hantu



mangkuk tandas je terselamat?

Syukurlah kita dengan keselamatan dan keamanan yang masih di kecapi kita pada hari ni dengan izin Allah...


Wassalam :)