Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, January 30, 2012

Kiamat kah?

Ancaman ribut matahari




Ribut matahari yang kuat boleh menyebabkan transformer bekalan elektrik terbakar seperti yang berlaku di Quebec, Kanada pada tahun 1989.


AWAL minggu lalu, dunia digemparkan dengan fenomena ledakan di matahari atau disebut ribut matahari.

Adakah ini ada rentetan ramalan ahli nujum terkenal Nostradamus mengenai kemusnahan Bumi?

Sebelum ini penyelidik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) pada Mac 2006 pernah meramalkan ribut matahari paling dahsyat atau dikenali dengan solar maksimum akan berlaku dalam setiap 50 tahun.

Kajian yang diketuai oleh Mausumi Dikpati daripada Pusat Nasional bagi Penyelidikan Atmosfera (NCAR) menyatakan, kitaran matahari akan menjadi lebih kuat 30 hingga 50 peratus berbanding terdahulu.

Jika ramalannya benar, tahun 2012 dan 2013 bakal menyaksikan aktiviti matahari lebih besar daripada tragedi Solar Max 1958.

Ledakan atau aktiviti matahari terkini dicatatkan sebagai yang paling kuat sejak 2005, demikian menurut pakar astrofizik Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA), Doug Biesecker.

Koordinator Observatori Negara Langkawi (ONL), Agensi Angkasa Malaysia, Mhd Fairos Asillam berkata, matahari merupakan bintang.

“Kitaran suria atau kitaran aktiviti magnetik matahari adalah perubahan berkala dalam jumlah pancaran atau sinaran dari Matahari yang menyirami Bumi “Kitaran suria mengambil masa secara purata 11 tahun dari satu solar maksimum ke solar maksimum berikutnya dan telah diperhatikan bahawa perubahan antara sembilan hingga 14 tahun bagi sebarang kitaran suria yang diberikan,” katanya semasa dihubungi Mingguan Malaysia.
Bagaimana kita menentukan bila fasa aktif matahari?

Mhd Fairos berkata, ahli astronomi yang memantau keadaan matahari setiap hari akan melihat banyak tompokan hitam di permukaan matahari.

“Solar maksimum adalah tempoh yang mana aktiviti solar adalah tertinggi di dalam kitaran suria bagi matahari.
Semasa solar maksimum, terdapat bilangan tompok matahari yang banyak di atas permukaannya iaitu melebihi angka 200,” katanya.

Ini menyebabkan medan magnet matahari berpintal atau menyimpul. Akibatnya akan berlaku suar suria atau julangan bebola api yang bersaiz gergasi dari permukaan matahari dan juga ejeksi jisim korona (corona mass ejection atau CME).

Di Malaysia, Agensi Angkasa Malaysia (Angkasa) dan Jabatan Metereologi Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Aktiviti Matahari bagi memantau aktiviti matahari di ONL dengan kerjasama International Space Weather Initiative (ISWI) bagi memantau aktiviti matahari.

Bagi letupan yang berlaku di matahari 23 Januari lalu, jawatankuasa berkenaan akan memantau selama enam hari sehingga Isnin.

“Ini kerana hanya letupan yang paling hampir dengan permukaan Bumi akan dikira kerana ia mengambil masa dua hingga enam hari untuk sampai ke Bumi,” katanya.

Apabila berlakunya ribut solar, hanya bahagian matahari yang paling hampir dengan Bumi dan menyemburkan tenaga dipantau.

“Apabila semburan banyak dan kuat melanggar lapisan atas dan dinding magnet Bumi ia mengakibatkan ribut geomagnetik.

“Ribut berkenaan boleh memberikan gangguan pada lapisan ionosfera Bumi di mana terdapatnya komunikasi radio dan satelit,” katanya.

Bagaimanapun jelas Mhd. Fairos, ribut geomagnetik biasanya tidak memberikan kesan langsung kepada negara-negara di kawasan Khatulistiwa.

Biasanya kawasan berhampiran Kutub Utara dan Kutub Selatan mendapat kesan langsung daripada ribut berkenaan.

“Malaysia tidak terlibat secara langsung kerana negara tidak mempunyai banyak satelit tetapi kebanyakkan satelit mempunyai panel solar.

“Ketika itu operator satelit akan memastikan satelit berada pada mod pasif supaya fungsinya tidak terganggu,” katanya.

Mengambil contoh Kitaran Suria ke 22 yang berlaku pada 1989 menyebabkan transformer di Quebec, Kanada terbakar dan keadaan bergelap selama sembilan jam.

Tragedi

Bagaimanapun selepas apa yang berlaku di Quebec, Kanada, menurut Fairos, saintis semakin memahami aktiviti matahari dan kerugian daripada tragedi berkenaan dapat dikurangkan.

Bagaimanapun jika ribut berkenaan amat kuat, negara yang berdekatan dengan kutub seperti Eropah, Jepun, Rusia akan mendapat kesannya.

“Sebab itulah aurora juga hanya kelihatan di negara berhampiran kutub,” katanya.

Negara yang berhampiran dengan Khatulistiwa lebih selamat dengan medan magnet yang melindunginya.
Ini kerana zarah-zarah matahari datang ke Bumi dan masuk melalui Kutub Utara dan Kutub Selatan.

“Walaupun negara kita tidak terlibat secara langsung dengan ribut solar tetapi aktiviti yang melibatkan satelit mungkin terganggu.

“Bayangkan jika telefon bimbit, kereta, trak, kapal terbang, komputer, televisyen, radio atau permainan elektronik semua tidak berfungsi.

“Tentu ini akan melumpuhkan ekonomi negara,” katanya.

Malah beberapa syarikat penerbangan di Eropah terpaksa mengubah laluan penerbangan daripada melalui kawasan kutub yang terdedah kepada radiasi.

Bagaimanapun ribut solar yang diukur adalah pada skala G1 yang paling rendah atau minor kerana biarpun terdapat letupan kuat di matahari tetapi jarak yang jauh memperlahankan impak yang tiba ke Bumi.

Mhd Fairos menegaskan ribut solar tidak memberikan sebarang kesan kepada manusia serta tidak berkaitan dengan perubahan cuaca.

Sementara itu, ahli astronomi amatur tempatan, Shahrin Anuar berkata, selain Bumi, planet-planet yang berada di sekitar matahari turut merasai kesan fenomena daripada ledakan tersebut.

“Jika Bumi menerimanya pada awal minggu lalu, planet Marikh pula merasai kesan tersebut sehari selepas itu,” katanya.

Partikel bertenaga tinggi akan tiba ke Bumi dalam jangka masa satu hingga dua hari sementara radiasi elektromagnetik akan mencecah Bumi dalam masa lapan minit.

CME yang tercetus bergerak dengan halaju 6.4 juta kilometer sejam menuju Bumi.

Jumlah bahan yang terbebas dalam proses tersebut dianggarkan mencapai berjuta-juta kilogram.

Partikel-partikel yang terhasil daripada letusan matahari itu tidak membahayakan nyawa manusia kerana dihalang oleh medan magnet.

Kesan aktiviti matahari yang mencetuskan ledakan yang paling buruk pernah direkodkan berlaku pada abad ke-19.

Ketika itu kesan ketara yang berlaku adalah gangguan sistem telegraf.

Pada 1859, Bumi menghadapi fenomena ribut solar yang terbesar dan mengejutkan.

Tindakbalas di atas permukaan matahari teramat marak sehingga menyebabkan sistem wayar telegraf di United Kingdom (UK) dan AS terganggu dan dalam kes tertentu, terbakar secara tiba-tiba.

Sehingga rencana ini ditulis pada 27 Januari, laman web Angkasa melaporkan :Rantau aktif 1402 yang menyebabkan letusan suar matahari dan ribut geomagnetik pada awal minggu ini kembali aktif dengan penyemburan jisim korona di kutub utara Matahari.

Bagaimanapun letusan CME ini tidak memberikan ancaman kerana tidak menghala ke Bumi.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat terkini mengenai ribut Matahari setiap hari boleh layari http://www.angkasa.gov.my

Friday, January 27, 2012

Bukan Doa Kamu Yang Makbul Sebenarnya


  Bercakap fasal doa:
saya teringat satu kisah yang sangat-sangat memberikan kesan dalam kehidupan saya. Guru-guru saya di sekolah, semenjak sekolah rendah, sangat menerapkan doa. Jadi, saya sudah dibiasakan dengan Solat Hajat, Solat Dhuha, Qiamullail, waktu-waktu doa yang mustajab seperti ketika hujan dan sebagainya agar saya rajin berdoa, dan agar doa saya makbul. Jadi, bila Allah anugerahkan saya kejayaan, saya sentiasa rasa, itu sebab saya doa dengan bersungguh-sungguh. Namun satu cerita mengubah persepsi saya.     Cerita yang saya dengar itu begini:    Kisah berkenaan seorang abang dan seorang adik.    Kedua-duanya adalah anak yatim lagi miskin. Mereka tinggal di rumah pusaka tinggalan ibu bapa mereka. Kedua ibu bapa mereka adalah hamba ALLAH yang soleh. Kedua-dua anak dididik untuk bergantung harap dengan Allah SWT.     Si abang, saban hari berdoa agar ALLAH mengubah nasib hidupnya. Dia meminta kepada ALLAH agar dipertemukan dengan isteri yang cantik lagi kaya. Dia meminta kepada ALLAH agar dirinya kaya raya.     Si Adik pula, seorang yang buta huruf. Tidak seperti abangnya, dia membaca doa pun dengan melihat kertas. Sebelum bapanya mati, dia pernah meminta bapanya menulis sesuatu di atas kertas, dan kertas itu sering dipegangnya setiap kali berdoa.     Akhirnya, Allah mempertemukan seorang perempuan yang cantik lagi kaya dengannya. Perempuan itu jatuh hati kepadanya, lantas berkahwin. Si Abang seperti mendapat durian runtuh dan kehidupannya terus berubah. Dia keluar dari rumah pusaka, dan meninggalkan adiknya.     Si Abang akhirnya kaya raya, malah terus kaya apabila dia memasuki medan bisnes. Dia sudah mula alpa dengan ALLAH, melewat-lewatkan solah, jarang membaca Al-Quran, tapi tidak pernah lalai untuk meminta kekayaan daripada ALLAH. Kalau masuk dalam bab perniagaan, kekayaan dunia, maka berbondong-bondong doanya kepada ALLAH. Dan ajaibnya, Allah beri apa yang dia minta. Si abang rasa dia istimewa.     Si adik pula, hidupnya tidak berubah. Dia masih seorang sederhana, dengan kelemahannya sebagai seorang buta huruf, dia hannya mendapat kerjaya sederhana, terus menjaga rumah pusaka. Si adik, juga rajin berdoa. Si abang tahu, si adik rajin berdoa. Tapi Si Abang melihat, hidup adiknya tidak berubah-ubah. Lantas satu hari, ketika Si Abang menziarahi adiknya, Si Abang berkata dengan sombong:     “Kau kena berdoa kuat lagi. Tengok aku, berdoa je ALLAH makbulkan. Kau ni tak cukup hampir dengan Allah ni. Berdoa pun masih tengok-tengok kertas. Tak cukup hebat.”     Si Adik tersenyum sahaja. Suka abangnya menegur kerana padanya, teguran abang amat bermakna.     Si Adik terus hidup sederhana, di dalam rumah pusaka, dengan doa melihat kertas saban hari, dan kehidupannya tetap tidak berubah. Tidak menjadi kaya seperti abang.     Satu hari, Si Adik meninggal dunia. Ketika Si Abang mengemas-kemas rumah pusaka, dia berjumpa satu kertas. Kertas itu adalah kertas yang adiknya sering pegang ketika berdoa.     Si Abang menangis teresak-esak apabila membaca kertas kecil itu.     Kertas itu tertulis: “ Ya Allah, makbulkan lah segala doa abang aku”     MasyaALLAH…     Si Abang mula membandingkan dirinya dengan adiknya. Adiknya kekal taat kepada ALLAH dan tidak meringan-ringankan urusannya dengan ALLAH SWT. Adiknya, sedikit pun tidak meminta dunia kepada ALLAH, malah tidak meminta apa-apa untuk dirinya. Tetapi adiknya meminta agar segala doa Si Abang dimakbulkan. Si Abang, tidak pernah sedikit pun mendoakan Si Adik.    Si Abang mula nampak, rupanya, bukan doa dia yang makbul. Tetapi doa adiknya telah diterima oleh ALLAH SWT, lantas segala doanya menjadi makbul.     Cerita ini meruntun hati saya, dan buat saya sentiasa berfikir panjang.     Kadang-kadang kita, bila Allah realisasikan hajat kita, kita suka mengimbau usaha-usaha kita.     "Aku buat beginilah yang jadi begini."    "Doa aku makbul seh!"     "Aku ni memang Allah sayang. Tengok, semua benda Allah bagi. Aku minta je pun."     Tanpa sedar kita bongkak. Takabbur.     Sedangkan, kita tak tahu, mungkin yang makbul itu adalah doa ibu bapa kita, doa adik beradik kita, doa sahabat-sahabat kita. Bukannya doa kita.     Cerita itu sangat menyentuh hati saya.    Membuatkan setiap kali saya berdoa, saya tidak lupa mendoakan ibu bapa saya, guru-guru saya, keluarga saya, adik beradik saya, sahabat-sahabat karib saya, yang teramat akrab saya sebutkan namanya agar lebih merasai bahawa saya memerlukan mereka mendoakan saya juga.Kita ini banyak dosa. Banyak hijab.     Mungkin doa orang lain yang lebih bersih hatinya, lebih suci jiwanya yang makbul, menyebabkan rahmat Allah tumpah pada diri kita. Sebab itu jangan berlagak. Jangan tinggi diri. Jangan rasa doa kitalah yang makbul. Pulangkan semuanya kepada Allah. Doa itu sebahagian daripada usaha sahaja sebenarnya.     Dan jangan rasa segan nak minta orang lain doakan kita.     Semoga bermanfaat note ini.     
Sebarkan jika anda rasa ada manfaatnya.    Semoga Allah redha dengan kita    
Komen:  Mak & Abah, Suami dan sesiapa juga yang mendoakan kebaikan ke atas diri ini...kupohon kepada Allah, kurniakanlah kebaikan dan rezeki yang melimpah ruah keatas mereka semuanya..amin amin ya rabbal alamin..