Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Thursday, March 6, 2014

Kantoi dalam FB dengan isteri sendiri




BERBELAH-bahagi antara mahu dengan tidak, Fikri, 33, (bukan nama sebenar) akhirnya akur dengan pujukan untuk ditemubual.

Biasalah, lebih setahun penulis menerajui ruangan Pengakuan ini, majoriti yang mahu dan mudah berkongsi cerita adalah kaum wanita berbanding lelaki.

Setelah dipujuk dan diyakinkan bahawa perkongsian bukan untuk mengaibkan cuma mahu memberi pengajaran, Fikri mengangguk.

Akhirnya satu pertemuan diatur antara penulis dan Fikri di sebuah kedai makan di ibu kota.

"Kisah ini kisah terpencil kak (panggilannya kepada saya). Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa zaman sains dan teknologi ini memang mudah mendedahkan kita kepada pergaulan sosial di alam maya," kata Fikri membuka bicara.

Dia mengakui bukanlah seorang yang up-to-date dengan segala rangkaian laman sosial walau ramai yang sudah memberitahunya tentang facebook, skype, google dan sebagainya pada.

Dia tetap dengan keputusannya tidak mahu membuka sebarang akaun dengan mana-mana laman sosial.

"Memang saya selalu dikutuk rakan kerana ketinggalan zaman, sudahlah memakai telefon genggam yang canggih tetapi tidak memanfaatkan sepenuhnya, kata mereka kepada saya," cerita Fikri yang ketika itu mengakui sedikit tidak tergugat dengan kata-kata berbaur sindiran daripada sahabat-sahabatnya.

Secara fizikalnya lelaki ini mempunyai rupa dan bentuk badan yang menarik. Ditambah dengan kerjayanya sebagai pengurus di sebuah syarikat pembinaan, Fikri memang mempunyai karismanya yang tersendiri.

Pada usia 33 tahun, dia juga dikurniakan Allah SWT dengan isteri yang bekerjaya dan seorang anak perempuan berusia empat tahun.

Buka akaun Facebook

Masih berpegang kepada prinsipnya, Fikri memang tidak akan membuka akaun di mana-mana sosial. Namun, setelah pihak syarikat mengeluarkan arahan agar setiap staf membuka akaun facebook dan menyertai kumpulan yang diwujudkan oleh bahagian sumber manusia bagi tujuan meguar-uarkan maklumat mengenai syarikat dan staf, barulah Fikri membukanya.

"Saya hanya mengarahkan setiausaha yang membuat akaun saya, lepas siap semuanya barulah saya tahu saya sudah ada akaun.

"Satu petang yang tidak begitu sibuk, saya pun mengambil keputusan melihat apa yang ada dalam facebook. Mula-mula saja saya sudah lihat ramai kenalan mahu berkawan dengan saya, baru dua hari akaun dibuka sudah ada lebih 100 friend request (pertanyaan untuk berkawan), satu persatu saya klik 'yes', maklumlah orang hendak berkawan dengan kita takkan kita memilih pula.

"Sejam juga masa saya dihabiskan pada kali pertama menatap facebook dan saya akui patutlah semua orang teruja dengan akaun masing-masing kerana saya juga sudah berperasaan demikian.

"Teruja melihat foto-foto sahabat dan kenalan lama di sekolah dan universiti. Dalam ramai-ramai itu ada seorang perempuan yang agak cantik yang mengajak saya chatting dan saya melayani kerana tidak ada begitu banyak kerja di ketika itu," ujar Fikri lagi.

Kawan kerja

Hari demi hari, Fikri semakin galak memeriksa akaun facebooknya. Sesekali ada juga terbit di fikirannya kenapa dia ketinggalan dan tidak membuka akaun dari dulu lagi kerana macam-macam informasi yang boleh didapati di laman sosial tersebut.

"Salam perkenalan daripada seorang wanita di senarai rakan facebook saya yang mengakui pernah berjumpa saya di seminar, juga saya sambut ceria.

"Pada saya tiada salahnya menyambung silaturrahim. Boleh dikatakan setiap hari Fieya, (bukan nama sebenar) ajak bersembang dalam talian.

"Saya layankan saja, walau jenuh mengingati mana satu Fieya yang mengaku pernah bertemu saya di satu seminar yang pernah saya ikuti di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, saya jadi seronok bersembang dengannya. Diakui juga kerana gambar profilnya yang menarik, maka naluri kelakian saya tidak mampu menidakkannya.

"Bermula daripada kisah kerjaya, hinggalah ke kisah rumah tangga masing-masing. Kata Fieya, dia sudah enam tahun berumah tangga tapi masih tidak mempunyai anak.

"Kebetulan Fieya bekerja di sebuah jabatan kerajaan yang mana saya perlu selalu berhubung dengannya maka saya rasakan tiada salah saya berkawan dengannya," ujar Fikri lagi.

Entah kenapa sehari tidak bersembang dengan Fieya, dia merasakan seperti ada yang kurang dalam hidupnya.

Adakalanya dia yang menyapa wanita itu terlebih dahulu walau dari awal perkenalan Fieya yang sering membuka bicara mereka di alam siber.

"Saya akui rasa seakan rindu pula bila dia tidak tegur saya. Kadang-kadang masuk saja pejabat buka komputer bukan pasal kerja yang saya lihat dulu tapi mesej-mesej yang diberi oleh Fieya dan bila tiada mesej dari dia saya jadi tak keruan pula.

"Saya mula keliru dengan perasaan tersebut. Memanglah kami tidak ada apa-apa hubungan kecuali setiap hari bersembang hal kerja, hal diri masing-masing, hal semasa dan keluarga sahaja, tetapi saya akui sangat selesa dengannya," akui Fikri.

Setelah hampir tiga bulan bersembang tanpa bersua, dia memberanikan diri mengajak Fieya makan tengah hari bersama.

Bagi mengelakkan rasa bersalah, dia mencari alasan kerja untuk bertemu Fieya di pejabatnya.

"Tidak sangka pelawaan saya diterima dengan selamba tetapi Fieya kata dia tidak mahu bertemu di pejabat, sebaliknya mahu saya ke sebuah kafe di pusat membeli belah terkemuka di ibu kota.

"Tanpa fikir panjang saya setuju dengan cadangannya. Siap menyembur minyak wangi lagi dan saya memang tak sabar bertemu Fieya," ujarnya.

Berdasarkan warna baju yang diterangkan Fieya dalam perbualan mereka sebelum bertemu, Fikri tidak mengambil masa yang lama untuk mengecam wanita itu yang duduk membelakangi pintu masuk kafe.

Namun, alangkah terkejutnya Fikri apabila mendapati Fieya adalah isterinya sendiri, Filzah.

"Terkejut saya melihat Filzah di situ dan ketika itu sangka saya Fieya ada di tempat duduk lain di situ, tapi Filzah segera 'mengkantoikan' saya dengan berkata, 'sayalah Fieya'.

"Muka saya terus jadi merah padam, terkejut dan langsung tidak sangka isteri memasang perangkap untuk menguji kesetiaan saya," katanya.

Jadi kekok

Sejak peristiwa itu, Fikri menjadi malu-alah pada isterinya, yang semenjak peristiwa itu sering memperli dirinya.

Namun, Filzah bukanlah menyalahkan Fikri sepenuhnya kerana dia mengakui sengaja menggoda Fikri menerusi kebijaksanaannya menyusun ayat bicara.

"Akhirnya saya ajak Filzah berbincang, jenuh saya menerangkan tentang situasi dan perasaan antara saya dan 'Fieya'.

"Saya tahu Filzah sudah tidak mempercayai saya lagi. Dia menganggap saya seorang suami yang tidak setia. Filzah juga menjadi dingin semenjak peristiwa tersebut," katanya.

Fikri mengakui dalam hal tersebut dia yang patut dipersalahkan kerana tidak sepatutnya mempunyai perasaan sedemikian terhadap 'Fieya'.

"Selepas bermuhasabah diri saya mengakui semuanya salah saya dan tidak salah bagi Filzah menguji kesetiaan saya sebegitu. Saya juga rasa menyesal kerana kalah dengan nafsu sendiri.

"Apabila diimbas kembali memang tidak patut kami bersembang dengan begitu intim di alam siber, ia umpama berkhalwat juga, cuma bezanya tidak bertemu di alam nyata.

"Bayangkanlah kalau Fieya memang wujud, entah apalah yang akan terjadi seterusnya sebab kami sudah mula bertemu.

"Saya akui juga peristiwa tersebut besar hikmahnya kerana berjaya menguji sejauh mana kesetiaan saya sebagai seorang suami," ujar Fikri.

Dengan nekad dan rasa bersalah yang tinggi, Fikri berusaha meyakinkan Filzah tentang kesetiaannya.

Mujurlah Filzah menerima dirinya seadanya dan turut meminta maaf kepada kerana menyamar sebagai perempuan lain semata-mata mahu menguji kesetiaan suaminya.

"Peristiwa tersebut sebenarnya satu hikmah yang besar buat keluarga kami. Selepas itu saya menjadi begitu berhati-hati di alam siber, memang ada usikan dan salam perkenalan daripada ramai wanita di facebook tapi saya hanya layankan atas dasar kerja sahaja.

"Untuk meyakinkan Filzah saya turut memberikan dia kata laluan akaun saya kepadanya dan sebaliknya. Kami berdua berikrar untuk menjadi pasangan yang jujur dan setia antara satu sama lain, insya-Allah, tiap apa yang berlaku bukanlah sia-sia," ujar Fikri mengakhiri bicara.