Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Wednesday, August 1, 2012

UITM : Sampai Bila?


Siswa ITM, UiTM: Idealisme, alat politik

UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UITM) kini tidak seperti ITM dulu. Mahasiswanya kini tidak seperti dulu. Kini mereka mendapat PTPTN, dulu tiada. Pelajar miskin dulu rata-rata akan menderu ke Dewan Makan untuk menikmati juadah makan tengah hari, makan malam atau sarapan yang tidak seberapa, dengan lazatnya.

Kami semua bersyukur ketika itu. Amat-amat bersyukur, kerana wang di poket ada kalanya terputus. Makan tengah hari pada hari Jumaat ditunggu-tunggu kerana ia merupakan hidangan istimewa: nasi beriani dengan ayam masak merah. Hari-hari biasa selalunya ikan cencaru keras yang disebut dengan panggilan ikan jaket.

UiTM kini lain daripada ITM dulu. Pelajar-pelajar datang ke kampus berkereta. Sekurang-kurangnya Kancil atau MyVi. Parking di dalam kampus di Shah Alam penuh sehinggakan parking pensyarah pun diambil alih. Telefon tangan canggih-canggih belaka. iPad dan tablets tidak asing. Belajar dalam suasana yang amat selesa. Mereka cukup beruntung.

Namun UiTM sekarang bukan seperti ITM dulu. Dulu perjuangan mereka ialah untuk masa depan bangsa. Pelajar-pelajar baru didedahkan dengan semangat lagu Warisan: Anak Kecil Main Api. Semua mereka menyanyikan lagu itu dengan linangan air mata. Dulu sekitar 1970‘an pejuang-pejuang pelajar berjuang untuk masa depan bangsa dan negara.

Kini UiTM sudah mempunyai pelajar seperti Khalid Mohd. Ismath. Pelajar yang diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu. Pada 1970-an ITM pun mempunyai pelajar seperti dia bernama Ibrahim Ali, tapi perjuangan mereka berbeza. Ibrahim berjuang atas idealisme siswa, sementara Khalid atas dasar menjadi alat parti politik.

‘‘Jauh bezanya pelajar sekarang dan dulu. Dulu kami Kesatuan Siswa ITM (KSITM) berslogankan Bumiputera Bertindak. Memperjuangkan untuk ITM ditukar menjadi Universiti. Berjuang untuk kursus-kursus diploma tertentu dinaik taraf menjadi ijazah. Itu perjuangan kami. Kami tidak diperkuda-kudakan oleh mana-mana parti politik," katanya yang menjadi Presiden KSITM pada 1974, sewaktu berlakunya demonstrasi besar-besaran oleh para pelajar ITM.

Tarikh demonstrasi ialah 22 April 1974. Berlaku tunjuk perasaan terhebat dan luar biasa membabitkan 6,000 pelajar ITM. Tepat jam 12 tengah malam, kesemua 6,000 pelajar itu berbaris panjang dan berarak dari Shah Alam untuk ke bangunan Parlimen bagi menuntut taraf ITM dinaikkan.

Dalam perjalanan itu, menurut Ibrahim, 1,500 ditangkap, kira-kira 200 ke 300 dibawa di hospital, hanya lebih kurang 300 sahaja yang berjaya tiba di bangunan Parlimen.

Yang luar biasa, semasa berjalan mereka tiba di Stesen Kereta Api Batu 3, sekumpulan pelajar merampas kereta api dan para pelajar kejuruteraan mengambil alih membawa jentera itu untuk ke Kuala Lumpur.
Polis terpaksa bertindak dan ‘‘kami dapat melihat tabung-tabung gas pemedih api ditembak bagaikan percikan bunga api."

‘‘Hasil daripada peristiwa itu, ITM ditutup, namun kampus itu diambil alih oleh para pelajar selama dua minggu. Pelajar Hotel Catering menyediakan makanan, pelajar Komunikasi (Mass Comm) melakukan perang saraf media, pelajar kejuruteraan menjalankan peranan mereka.

‘‘Kami bertahan selama dua minggu di kampus Shah Alam, Jalan Othman dan Seksyen 17 Shah Alam."
Kemudian perundingan dengan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein pun berjalan. ‘‘Saya mengetuai perjumpaan dengan Tun Razak dan Tan Sri Ghazali Shafie (Menteri Dalam Negeri) di Jabatan Perdana Menteri. Pada waktu itu semua ibu bapa kepada Exco-Exco KSITM dibawa ke Kuala Lumpur dan ditempatkan di Hotel Hilton untuk memujuk para pemimpin pelajar menghentikan tunjuk perasaan."

Dalam perundingan itu, cerita Ibrahim lagi, Tun Razak memberikan surat perakuan kepadanya selaku Presiden KSITM bahawa kerajaan bersetuju untuk menaik taraf sebahagian daripada Diploma ITM menjadi Ijazah Am, tetapi dengan syarat pulang ke kampung dahulu.

ITM kemudian ditutup selama sebulan. Para pemimpin itu tidak pulang ke kampung, sebaliknya berkampung di bangunan MAYC di Jalan Syed Putra setelah mendapat kebenaran daripada Presiden MAYC ketika itu, Sanusi Junid (Tan Sri). ITM kemudian dibuka semula sebulan selepas itu sekitar awal Jun 1974. Sebahagian Diploma kemudian diiktiraf sebagai Ijazah Am.

‘‘Itulah perjuangan kami ketika itu," kata Ibrahim, bekas pelajar Komunikasi Massa ketika itu yang kemudian Diplomanya diiktiraf sebagai Ijazah Am. Ibrahim kemudian disumbat ke dalam ISA pada Disember tahun yang sama kerana terbabit dalam demonstrasi Baling dan demonstrasi menuntut ITM dijadikan Universiti.

Perjuangan beliau tidak habis sampai di situ sahaja. Perjuangannya bagi menuntut ITM dijadikan universiti tidak putus-putus. Selepas keluar daripada tahanan ISA pada 1978, beliau menyertai politik. Menjadi Ahli Parlimen Pasir Mas pada 1986 beliau masih tidak putus bercakap mengenai ITM untuk dijadikan universiti.

‘‘Saya dilantik menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada 1992 dan masih bercakap mengenai isu yang sama sehinggakan Dr. Mahathir pernah berseloroh Ibrahim tak ada kerja lain asyik cakap pasal perkara itu sahaja.

‘‘Pada 1999 saya dilantik menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjaga hal ehwal undang-undang, saya mengadakan perhimpunan siswazah ITM di Stadium Malawati Shah Alam dengan menjemput Dr. Mahathir merasmikannya. Semua tokoh-tokoh korporat besar negara lulusan ITM turut hadir. Datuk Najib Tun Razak selaku Menteri Pelajaran juga hadir. Sebelum saya berucap saya sekali lagi bertanya kepada Dr. Mahathir memohon supaya beliau mengumumkan ITM dijadikan universiti.

‘‘Dr. Mahathir kemudian toleh ke arah Najib dan bertanya kalau dia umum ITM jadi universiti hari ini bolehkah dari segi perundangan? Najib berkata, tiada masalah ia boleh dilakukan. Maka pada hari itu bertukarlah ITM menjadi universiti atau dikenali sebagai UiTM," kata Ibrahim kepada saya dalam satu pertemuan selepas majlis penganugerahan oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kepada Pengarah pertama ITM, Tan Sri Arshad Ayub dengan Anugerah Bintang Pahlawan Pribumi Perkasa serta diangkat sebagai Bapa Modal Insan Pribumi Perkasa, Ahad lalu.

Ibrahim masih tidak puas hati. Beliau mahu melihat sebuah universiti Melayu Bumiputera itu yang selama ini dipandang rendah oleh orang lain, termasuk bangsanya sendiri, dipandang tinggi. Ibrahim bertanya kepada Dr. Mahathir, UiTM perlu ditubuhkan Fakulti Perubatan, atau jika tidak ia akan terus dipandang rendah.

‘‘Dr. Mahathir kemudian meluluskan penubuhan fakulti perubahan UiTM yang kini adalah antara fakulti yang paling susah untuk dimasuki berdasarkan meritnya yang tinggi," katanya.

Perjuangan belakang tabir Ibrahim terhadap ITM dan UiTM tidak selesai apabila dengan menggunakan inisiatifnya, beliau menubuhkan Yayasan Budiman, yayasan yang kini menaja para pelajar sederhana yang miskin mencapai cita-cita mereka untuk menjadi kumpulan profesional melalui program Destinasi Anak Bangsa. Para pelajar sederhana ini diambil menjalani kursus pra-diploma selama enam bulan dengan dibiayai oleh yayasan ini sehinggalah mereka mampu melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan atau kejuruteraan dan menjadi akauntan dan jurutera profesional.

Itulah perjuangan para pemimpin pelajar dahulu. Bukan macam Khalid Mohd. Ismath yang terbabit dalam perhimpunan Bersih baru-baru ini. Dia dipengaruhi oleh Ambiga, Tian Chua, Mat Sabu dan lain-lain. ‘‘Jauh bezanya perjuangan kami dengan para pelajar sekarang. Kami tidak dipengaruhi oleh parti politik. Dulu kami tidak mengizinkan langsung dipengaruhi oleh mana-mana parti politik. Kami bukan anti kerajaan, tapi kami berjuang untuk suasana kampus yang lebih baik, duit poket lebih dan untuk anak bangsa. Kami tidak menentang kerajaan dan kami masih boleh berunding dengan para menteri, TPM dan PM," katanya.

Semasa di bawah Arshad Ayub dulu, kata Ibrahim beliau menggalakkan para pelajarnya berfikiran kritikal, tetapi berpandukan kepada isu-isu dan bukan untuk menentang kerajaan.

Ibrahim menjangkakan dengan pindaan undang-undang Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) yang membenarkan para pelajar menjawat jawatan dalam parti politik maka keadaan akan menjadi lebih teruk lagi.

‘‘Para pelajar sekarang suka take side. Dan lebih teruk apabila para pelajar ini dibawa oleh parti-parti politik pembangkang semasa cuti untuk dicuci fikiran mereka menentang kerajaan," katanya.
Itulah yang membezakan ITM dan UiTM sekarang. Sebuah institusi yang masih boleh bertahan dalam situasi politik UMNO semasa, dan tidak pasti kedudukannya jika kerajaan sekarang terjunam dalam pilihan raya ke-13 kelak.

Hayat UiTM sebenarnya berada di hujung tanduk.

Nota:  Melayu kena sedar diri dan kembali ke pangkal jalan...janganlah diperkotak katikkan oleh jongos2 politik dan akhirnya nasib dan masa depan anak2 melayu kita yang rebah....